Rezeki Biar Berkat (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Rezeki Biar Berkat (Bahagian 1)”]

JUJUR DALAM BERNIAGA

Setiap peniaga tentu mengimpikan keuntungan yang banyak dan berlipat ganda hasil dari apa yang diniagakan. Namun harus diingatkan, di dalam keghairahan peniaga-peniaga mencari untung yang lebih banyak, janganlah pula melakukan penipuan dalam sukatan dan timbangan.

Allah SWT telah berfirman di dalam  surah Al-Mutaffifin ayat 1-3,

mahfumnya : “kecelakaan yang besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau mereka menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.”

Maksud menipu dalam sukatan dan timbangan di sini adalah sangat meluas sebenarnya. Ia meliputi – Menindas para pengguna dengan barangan-barangan yang tidak berkualiti untuk mengaut keuntungan yang terlalu banyak. Memperdaya rakan kongsi perniagaan bersama. Menipu dalam projek kononnya besar dan menguntungkan tetapi tidak. Mengambil komisyen secara berlebih-lebihan tanpa dipersetujui pihak pengurusan. Menggunakan wang syarikat dan berbagai-bagai lagi cara penyelewengan.

Semua ini adalah amat dicela, keji dan dilarang keras di dalam mana-mana agama sekalipun. Jika tidak ada sikap jujur dan amanah dalam diri, maka  ia akan merosakkan kepercayaan orang ramai terhadap peniaga itu sendiri dan paling merugikan bakal menutup pintu rezeki akan datang. Jadi, dalam apa jua aspek kehidupan ini, tak kira apa pun yang ingin kita lakukan kita perlu bersikap jujur dan amanah apatah lagi dalam urusan mencari rezeki yang berkat dan halal.

Jangan sesekali bersikap tamak dan khianat kerana setiap insan telah ditentukan oleh Allah rezeki masing-masing dengan mengikut kadar apa yang telah mereka usaha dan kerjakan. Jadi, mencari rezeki itu biarlah berkat, barulah selamat dunia dan akhirat.

berniaga cara islam

Tip berniaga dalam Islam

  • Berniagalah dengan amanah dan jangan sekali-kali cuba menipu dalam sukatan dan timbangan, barulah perniagaan itu kekal dan berkat.
  • Sentiasalah membantu golongan-golongan yang kurang bernasib baik kerana amalan itu tidaklah mengurangi walau sedikit pun harta yang ada sebaliknya semakin berkembang dan bertambah keberkatannya.
  • Perniagaan mendidik diri kita agar menjadi insan yang sabar, redha, tabah, jujur dan cekal. Dari sini, kita akan lebih bersyukur dengan rezeki dan nikmat yang dilimpahkan.