Category Archives: 9/10

Abdul Rahman Bin Auf Tangisi Kekayaan Duniawi (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Abdul Rahman Bin Auf Tangisi Kekayaan Duniawi (Bahagian 1)”]

Beliau juga mempunyai semangat jati diri yang kental, yang membolehkan beliau menghadapi segala aral melintang. Beliau telah dipersaudarakan oleh Rasulullah s.a.w dengan Saad Ibnu Rabi’e seorang bangsawan dan jutawan Madinah (Al-Ansar). Namun beliau tidak mengambil kesempatan dan peluang untuk membolot harta kekayaan saudaranya sekalipun beliau mendapat tawaran lumayan termasuklah memilih salah seorang daripada isteri saudaranya.

Sebaliknya beliau meminta Saad menunjukkan kepadanya di mana terletaknya pasar untuk beliau memulakan perniagaan dengan keringat dan semangat berdikari yang gigih. Sungguh beliau memang seorang pedagang yang berbakat dan pintar. Dalam sekejap masa, beliau berjaya menunjukkan kehebatannya dalam berdagang hingga berjaya memperolehi harta yang banyak. Beliau mempunyai 100 ekor kuda yang dapat dipergunakan dalam peperangan, 100 ekor unta, dan 10,000 ekor kambing sehingga diwaktu beliau meninggal, tatkala dihitung seperempat daripada kekayaannya, menyamai jumlah 84 ribu dinar.

Akan tetapi di samping kekayaannya yang melimpah, beliau termasuk orang yang paling dermawan dan paling pemurah juga merupakan seorang tokoh sahabat yang paling banyak berbuat kebajikan terhadap kaum fakir miskin. Malah, beliau juga seorang yang berdikari dan tidak suka bergantung kepada orang lain sehingga beliau menjadi peniaga yang disegani. Prinsip berdikari yang dimiliki oleh Abdul Rahman bin Auf menjadi formula asas kejayaan dan kecemerlangan beliau. Berdikari adalah tanda harga diri individu yang bermaruah dan bebas dari hidup bergantung dengan orang lain. Prinsip inilah juga yang diajar oleh Rasulullah saw buat semua ummat bagi membina tamadun yang cemerlang. Sabda Rasulullah saw :

  • “Tiada sesuatu makanan yang baik melebihi apa yang dihasilkan dari usahanya sendiri. Nabi Allah Daud makan dari hasil usahanya sendiri.” – Riwayat Bukhari

Bukan itu sahaja, beliau merupakan seorang yang tidak mengikut cara pemikiran “Fikrah Maadiyyah (Kebendaan).” Mereka yang terpengaruh dengan fahaman maadiyyah hanya akan memikirkan soal dunia semata-mata.

Renungi ungkapan ulama’ sufi terkenal Abu Sulaiman Ad Darani :

  • “Jika akhirat memenuhi ruang hati, maka dunia tetap datang mendampinginya, namun tatkala dunia yang memenuhi ruang hati, maka akhirat akan menyisih, kerana sesungguhnya akhirat adalah suatu yang mulia sedang dunia adalah sesuatu yang keji.”

Di samping memiliki kekayaan yang melimpah-ruah beliau adalah seorang yang takut dan benci kepada harta kekayaan dan selalu menghindarkan diri daripada pengaruh kekayaannya. Adalah diriwayatkan bahawa pada suatu hari, Abdul Rahman Bin Auf menangis tersedu-sedu lalu ia ditanya orang apakah yang menyebabkan beliau menangis, lalu dijawabnya…

Sesungguhnya Mas’ab adalah lebih baik daripadaku kerana ia meninggal dunia di zaman Rasul dan sewaktu meninggal dunia ia tidak memiliki walau sepotong kain yang dapat dijadikan kafan untuk membungkusnya. Sesungguhnya Hamzah Bin Muttalib juga adalah manusia yang lebih utama daripada saya, padahal ia tidak mempunyai kain yang dapat dijadikan kafan untuk memakamkannya. Saya khuatir saya ini termasuk di antara orang yang dipercepat untuk menikmati kebahagiaan dunia dan saya khuatir akan tersisih daripada para sahabat Nabi di akhirat kelak disebabkan mempunyai banyak harta.

Inilah antara sifat-sifat yang patut dijadikan teladan oleh setiap orang yang inginkan kejayaan, di dunia mahupun akhirat.

5 CIRI-CIRI USAHAWAN BERJAYA

usahawan berjaya

  • Sifat yang amanah dalam melakukan semua pekerjaan.
  • Peribadi yang soleh dan taat pada perintah Allah.
  • Harus mempunyai semangat jati diri yang kental.
  • Seorang yang berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain.
  • Tidak terlalu kebendaan, dan rakus mengejar kekayaan.     

Abdul Rahman Bin Auf Tangisi Kekayaan Duniawi (Bahagian 1)

Abdul Rahman Bin Auf adalah salah seorang sahabat Rasulullah yang akrab dan kaya-raya. Beliau adalah seorang pemuda Quraisy di kota Mekah yang ketika itu penuh dengan bermacam-macam kemaksiatan jahiliah seperti penyembahan berhala mahupun kejahatan-kejahatan lainnya. Namun demikian Abdul Rahman terhindar dari pelbagai kejahatan yang berleluasa.

Nama asal Abdul Rahman sebelum beliau memeluk Islam ialah Abdul Ka’abah, tetapi setelah memeluk Islam beliau menukar namanya kepada Abdul Rahman. Abdul Rahman Bin Auf telah memeluk Islam sebelum Rasulullah s.a.w  memasuki Darul Arqam lagi.

Adalah diriwayatkan, ibu kepada Abdul Rahman Bin Auf sesudah mengetahui beliau memeluk Islam, telah berkata kepada anaknya,

“Aku akan berjemur di panas matahari yang terik di waktu siang dan di waktu malam yang sejuk, aku akan bermalam di ruang lapang, hinggalah engkau mengaku akan kembali semula kepada agama nenek moyangmu!”

Demikian ibunya mengugut. Namun, Abdul Rahman Bin Auf tetap nekad  untuk memeluk agama Islam yang syumul. Seterusnya, beliau sebagai seorang sahabat Rasulullah yang akrab, Abdul Rahman mempunyai satu keistimewaan yang khas iaitu berjuang untuk menegakkan agama Allah bukan saja dengan pedangnya bahkan dengan harta dan kekayaannya juga. Beliaulah antara para sahabat yang banyak sekali mengorbankan kekayaannya untuk memperjuangkan kepentingan Islam.

Bukan itu sahaja, beliau adalah antara orang yang terkaya pada ketika itu, ini kerana beliau bijak berniaga. Antara pendekatan yang beliau ambil sewaktu berniaga ialah :

  • Pengurusan ekonomi berasaskan kebajikan

Pengurusan ekonomi

Kejayaan gemilang yang dicapai oleh Abdul Rahman bin Auf, tidak menjadikan beliau lupa daratan dan menyeleweng dari Manhaj Rabbani. Sebaliknya beliau menangani kekayaannya dengan menabur bakti kepada agama, perjuangan dan ummah.

Dikeluarkan oleh Abu Nuaim di dalam kitab Al Hilyah daripada Az Zuhri katanya :

“Abdul Rahman bin Auf telah bersedekah di zaman Rasulullah saw. Setengah dari hartanya yang berjumlah Empat Ribu Dirham kemudian beliau mengorbankan 40 Ribu Dirham, 500 kuda di jalan Allah SWT. diikuti pula 1500 ekor unta di jalan Allah SWT. Kesemua harta itu adalah hasil perniagaannya.”

Antara pendekatan lain yang menjadikan beliau seorang usahawan yang berjaya adalah, sifat amanahnya yang patut kita jadikan contoh. Kecemerlangan yang diperolehi dalam perniagaannya, banyak bergantung kepada sifatnya yang amanah, sifat inilah meletakkan beliau sebagai usahawan yang berjaya dan beliau juga antara sahabat yang paling kaya di Madinah.

Rasulullah s.a.w. pernah menyebut :

  • “Engkau adalah yang dipercaya (amanah) dikalangan penghuni langit dan engkau jugalah yang dipercaya (amanah) dikalangan penghuni bumi.”

Selain itu, keperibadiannya yang soleh dan taat kepada Allah SWT pula menjadi modal utama yang menjana kemajuan gemilang dalam kerjayanya sebagai seorang ahli ekonomi dan usahawan. Peribadi ini diiktiraf oleh baginda Rasulullah s.a.w dengan sabdanya :

  • “Tidak dicabut roh seseorang Nabi sehingga ia sembahyang di belakang seorang lelaki yang soleh dari ummatnya.”

[Bersambung di “Abdul Rahman Bin Auf Tangisi Kekayaan Duniawi (Bahagian 2)”]

Sumber Rezeki Membentuk Peribadi (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Sumber Rezeki Membentuk Peribadi (Bahagian 1)”]

Takutlah kepada kemurkaan Allah SWT.

Janganlah kerana terlalu ghairah untuk menjadi insan yang berjaya, khususnya dalam dunia perniagaan atau apa sekalipun, kita sanggup mengenepikan segala hukum-hakam yang telah ditentukan dan bertindak rakus jua gelojoh, sehinggakan tidak menunaikan kewajipan kita  terhadap hak dan kepentingan orang lain, yang berada di tangan kita akibat sifat tamak yang menebal dalam diri, dan terlalu memburu kekayaan dan kemewahan yang boleh menggelapkan mata kita kepada kebenaran.

Ingatlah bahawa setiap rezeki yang kita makan itu akan menentukan pembentukan hati, jiwa dan sikap kita dalam menuju keredhaan Ilahi. Jangan sesekali suburkan jasad dan hati kita dengan sesuatu yang haram, lantaran ini amat merugikan kehidupan kita di hari muka. Jagalah sumber rezeki yang diperolehi agar ia mampu menyelamatkan diri kita dari cengkaman api neraka di akhirat kelak.

Sabda Rasulullah s.a.w.  yang bermaksud : “Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang layak baginya.” (Hadis Riwayat : At-Tarmizi).

Daripada hadis di atas, jelas dan ketara bahawa proses untuk mendapatkan rezeki yang halal dan diberkati itu sangatlah penting bagi menentukan pembentukan hati nurani kita, jiwa kita dan seterusnya perjalanan hidup kita sama ada langkah kita itu ke syurga atau ke neraka.

Jadilah pekerja/peniaga  yang beriman.

peniaga beriman

Di dalam kesibukkan kita berniaga atau mencari rezeki juga, janganlah sesekali kita alpa dan  mengabaikan solat fardu lima waktu hanya kerana alasan tidak sempat atau tidak cukup masa untuk melaksanakannya disebabkan kesibukkan yang ada, lantaran dalam kehidupan ini, setiap insan dikurniakan masa yang sama sahaja, tidak lebih dan  tidak kurang 24 jam sehari semalam. Jadi terpulang kepada kita untuk menguruskan masa dengan baik dan bijak,  membahagikannya antara tuntutan Ilahi dan tuntutan diri sendiri.

Jadilah hamba Allah yang baik dan taat, agar setiap langkah kita mencari rezeki saban hari akan lebih diberkati, diredhai dan membawa kita lebih dekat dan rapat kepada-Nya, apabila kehidupan kita dalam keberkatan sepanjang masa.

Tidak rugi kita melapangkan sedikit waktu untuk mengucapkan rasa syukur tanda terima kasih sebagai hamba yang berbakti  kepada-Nya. Dengan mensyukuri segala nikmat yang dilimpahkan kepada kita setiap hari, dengan hanya mengambil masa tidak sampai beberapa minit untuk menjatuhkan dahi di tikar sejadah, bersujud dan berdoa di atas segala kurniaan nikmat daripada-Nya, sama ada banyak ataupun sedikit. Ini kerana, DIAlah yang Maha Pemberi dan pembuka pintu-pintu rezeki kepada kita. Itu pun seandainya  kita tahu dan mahu bersyukur serta  menghargai setiap pemberian-Nya. In Shaa Allah.

PERINGATAN

  • Berniagalah dengan mengeluarkan modal hasil titik peluh sendiri.
  • Jangan mengambil hak insan lain demi  untuk mencapai tujuan peribadi.
  • Elakkan daripada mengambil dan memakan harta anak-anak yatim.
  • Kembalikan hak orang lain yang bukan menjadi hak milik kita.
  • Jangan suka menindas dan menipu golongan yang lemah.
  • Jangan menjadi manusia yang kejam dan zalim dengan merampas hak insan lain.
  • Allah melapangkan rezeki bagi setiap peniaga yang jujur , ikhlas dan amanah.
  • Jangan bakhil dan kedekut untuk bersedekah, berzakat.
  • Sucikan hati dan jiwa dengan mencari harta dan pendapatan yang halal.
  • Dari rezeki yang halal, salurkanlah kepada sumber yang baik-baik.

Sumber Rezeki Membentuk Peribadi (Bahagian 1)

Carilah Rezeki Halal Elakkan Rezeki Haram.

rezeki halal

“Hati” merupakan organ yang sangat penting dalam tubuh manusia. Oleh itu, ia perlu dijaga dengan sebaik mungkin agar tidak tercemar dan ternoda dengan sebarang perkara yang boleh merosakkan atau mencacatkannya.

Jika wajah kita ingin sentiasa kelihatan cantik dan menawan setiap masa, begitu juga dengan hati. Ianya perlu dijaga seelok-eloknya, agar senantiasa jernih, bersih serta tidak berkarat dan hitam. Hati yang terjaga dengan baik tidak akan terhijab walau sedikit pun jika ia selalu digilap dengan sifat-sifat mazmumah di dalam diri. Jauhkan diri daripada perasaan buruk sangka, hasad dengki, iri hati, khianat mengkhianati, benci-membenci dan sebagainya.

Sebaliknya tanam dan suburkanlah sifat-sifat yang baik agar hidup sentiasa tenang dan tenteram supaya kehidupan  menjadi lebih indah, bahagia dan sejahtera setiap masa.

Dengan itu, apabila hati dijaga dengan elok, maka keseluruhannya akan menjadi baik dan sempurna kerana di hatilah terpancar cahaya keimanan dan ketaqwaan yang terpamer di wajah seseorang insan. Ini disebabkan “Hati” adalah sarang segala bentuk kebaikan mahupun kejahatan.

Perkara paling utama untuk menjaga hati ialah dengan menentukan sumber rezeki yang menjadi darah daging kita setiap hari melalui pemakanan dan sumber rezeki yang diperolehi sama ada halal, haram atau syubahah.

Jangan mengambil hak orang lain (terutama harta anak-anak yatim).

Disebabkan terlalu memburu kesenangan dan kemewahan duniawi, manusia hari ini sanggup melakukan apa sahaja demi  mencapai hasrat dan impian masing-masing  tanpa mengira apa pun, walau terpaksa menindas dan mengambil hak orang lain, asalkan kemewahan dapat diraih dengan mudah dan hajat hati tercapai. Ramai yang gemar mengambil kesempatan di atas kelemahan dan kekurangan insan lain. Ini amat-amat dikesali dan tidak wajar berlaku dalam kehidupan yang berlandaskan Islam dan juga masyarakat kita amnya.

Di dalam surah An-Nisa’ ayat 2 Allah SWT berfirman : “Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang sudah dewasa) harta mereka, janganlah kamu menukar yang baik dengan yang buruk dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) bersama harta kamu. Sesungguhnya (tindakan menukar dan memakan) itu adalah dosa besar.” (An-Nisa’ : Ayat 2)

Sering terjadi perkara seumpama ini ialah apabila orang yang diamanahkan untuk menjaga harta anak-anak yatim itu seorang yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah maka, dia akan mengambilnya dengan jalan yang salah, zalim dan  tanpa pengetahuan anak-anak yatim tersebut, sedangkan hakikatnya mereka tidak berhak untuk berbuat demikian walaupun sebagai penjaganya.

Ini amat bersalahan dan bertentangan serta berdosa besar. Allah melaknat perbuatan tersebut kerana terdapat banyak hadis-hadis dan Firman-Firman Allah SWT di dalam al-Quran dan hadis yang melarang keras perbuatan tersebut serta menjelaskan mengenai larangan-larangan dan seksaan-seksaan bagi sipemakan harta anak-anak yatim itu contohnya seperti :

Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’  juga ayat 10 yang bermaksud : “Sesungguhnya Orang yang memakan harta anak yatim secara zalim  sebenarnya mereka itu menelan api neraka dalam perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.” (Surah An-Nisa’ : Ayat 10).

[Bersambung di “Sumber Rezeki Membentuk Peribadi (Bahagian 2)”]

Saidina Abu Bakar As-Siddiq – Sahabat Terbilang, Saudagar Dermawan (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Saidina Abu Bakar As-Siddiq – Sahabat Terbilang, Saudagar Dermawan (Bahagian 1)”]

Pengorbanan seorang saudagar

Dengan harta kekayaan yang dimilikinya, Saidina Abu Bakar As-Siddiq telah banyak menginfakkan keseluruhan daripada harta miliknya untuk perjuangan jihadnya menegakkan agama Islam yang Syumul. Beliau begitu banyak menyumbangkan tenaga, wang ringgit, harta kekayaan serta seluruh jiwa raganya demi perkembangan Islam sejagat.

Beliau sangat dihormati oleh Masyarakat Quraisy kerana keluhuran hati budi dan sikapnya yang  dermawan. Di samping itu, beliau juga adalah manusia yang paling agung dan mulia dalam sejarah Islam selepas baginda Rasulullah SAW. Saidina Abu Bakar As-Siddiq adalah tokoh sahabat terbilang yang tiada tolok bandingnya serta sukar dicari.

Kerendahan hati budinya ketika memegang kuasa dan tampuk pemerintahan menjadikan beliau seorang pemimpin atau khalifah yang amat disegani dan disenangi rakyat seluruhnya. Tutur bahasanya yang lembut, sopan dan menarik hati amat dikagumi dan disayangi oleh rakyat jelata serta baginda Rasulullah SAW sendiri.

saudagar islam

Beliau juga adalah seorang yang tidak lokek untuk membelanjakan keseluruhan harta peribadi miliknya bagi membantu masyarakat sekitar. Apatah lagi setelah beliau menjadi seorang Khalifah Ulung yang memerintah Negara. Beliau telah sanggup mengorbankan seluruh harta benda miliknya untuk menebus kembali hamba-hamba yang telah ditawan, ditangkap dan diseksa sewaktu berlakunya peperangan. Beliau telah membeli hamba-hamba tawanan dan kemudian memerdekakannya.

Salah seorang hamba tawanan yang telah dibeli dan dibebaskan ialah Bilal bin Rabbah, yang juga amat terkenal dalam sejarah Islam. Pendek kata, Dalam kalangan para sahabat-sahabat Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar As-Siddiq adalah seorang sahabat dan khalifah yang paling banyak menginfakkan harta kekayaan miliknya demi menegakkan Islam tercinta.

Itulah kehebatan jiwa yang dimiliki oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai khalifah agung yang amat dermawan dengan kemurahan hatinya bagi membantu orang yang susah. Sesungguhnya pengorbanan beliau memang tiada tandingan di dunia ini.

Telah disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 265 mahfumnya : “Dan perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali ganda. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai). Dan Allah Maha melihat apa yang kamu lakukan.”
(Petikan Surah Al-Baqarah ayat : 265.)

Demikianlah selingkar kisah ketokohan seorang sahabat Rasulullah SAW iaitu Saidina Abu Bakar As- Siddiq yang boleh kita jadikan contoh teladan terbaik untuk menguruskan harta yang ada sebaik mungkin agar semakin berkat, bertambah dan bercambah dengan mendapat seribu satu kebaikan dan keberkatan dari Ilahi.

Jangan sesekali lupa untuk menunaikan zakat fitrah, demi untuk memakmurkan lagi jiwa dan umat Islam. Semuga setiap amal dan hasil usaha yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah SWTdi dunia dan akhirat.

Saidina Abu Bakar As-Siddiq – Sahabat Terbilang, Saudagar Dermawan (Bahagian 1)

Saidina Abu Bakar adalah seorang sahabat yang paling akrab dengan junjungan mulia Rasulullah SAW. Beliau dilahirkan di Kota Mekah pada tahun 570 Masihi. Nama sebenarnya ialah Abdullah Ibni Abi Qahafah. Pada awalnya beliau digelar sebagai Abdull Kaabah yang memberi pengertian hamba kaabah.

Namun selepas pengislamannya, nama beliau bertukar kepada Abdullah. Ibunya bernama Salma Binti Shakhar atau juga lebih dikenali sebagai “Ummu Khoir” yang bererti Ibu yang baik. Berasal daripada keturunan Bangsawan Quraisy iaitu kaum Bani Tamim. Beliau diberi nama Abu Bakar adalah kerana beliau merupakan orang yang mula-mula beriman dengan dakwah yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW selain Bakar itu di dalam bahasa arab bermaksud “unta muda”. Ini kerana beliau amat gemar memelihara dan menternak unta.

saudagar islam

Dari saudagar menjadi Khalifah Pertama

Saidina Abu Bakar As-Siddiq telah dilantik menjadi Khalifah Islam yang pertama iaitu selepas kewafatan Rasulullah SAW pada tahun 632 Hijrah. Sebelum dilantik sebagai Khalifah Islam pertama, Saidina Abu Bakar As-Siddiq merupakan seorang pedagang dan usahawan Islam terbilang yang kaya-raya, terpelajar serta disanjung tinggi oleh kaum Quraisy.

Antara perniagaan beliau adalah penjualan kain di pasar, di samping turut memiliki kebun kurma, membiak banyakan unta-unta dan berbagai-bagai jenis perniagaan lain lagi. Beliau telah memeluk agama Islam selepas Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul dan beliau adalah lelaki pertama yang memeluk agama Islam.

Mengapa digelar As-Siddiq?

Gelaran “As-Siddiq” telah diberikan oleh Rasulullah SAW  kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq adalah kerana sikap dan pendiriannya yang begitu teguh dalam membenarkan kata-kata Rasulullah SAW ketika berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj.

Ketika itu, sebaik saja Rasulullah SAW selesai melakukan Israk dan Mikraj dari Masjidil al-Haram ke Masjidil al-Aqsa, seterusnya naik ke Tujuh Petala Langit di Sidratul Muntaha dan kemudiannya kembali semula ke Baitul Makmur di Mekah pada malam yang sama pada 27 Rejab tahun ke-11 selepas baginda dilantik menjadi Rasul iaitu 3 tahun sebelum hijrah.

Segolongan orang yang tidak mempercayai apa yang  telah dikhabarkan oleh Rasulullah SAW kemudiannya telah pergi menemui Saidina Abu Bakar As-Siddiq untuk mendengarkan dan mengetahui pendapat beliau sendiri mengenai dakwaan yang dibuat oleh Rasulullah SAW itu samada benar atau sebaliknya.

Mereka menyangka bahawa Saidina Abu Bakar Radiallahuanhu kali ini  akan turut mendustakan kisah yang langsung tidak masuk akal itu pada fikiran mereka. Setelah pertanyaan itu disampaikan kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq, maka beliau pun bertanya…

  • ”Adakah Muhammad berkata begitu?”
  • lantas sahut mereka “Benar!”
  • Saidina Abu Bakar As-Siddiq pun lantas berkata… ”Jika Muhammad berkata begitu, maka sungguh benarlah apa yang telah diceritakannya itu,”
  •  “Engkau percaya hai Abu Bakar bahawa Muhammad sampai ke Tanah Syam lebih sebulan perjalanan dan pulang pada malam semalam?”
  • Maka Saidina Abu Bakar pun menyahut dengan tegas membalas soalan kaum yang tidak mempercayai kerasulan nabi itu. “Benar, Aku percaya! Malah lebih daripada itu aku percaya kepadanya. Aku percaya akan berita dan langit yang diberitakannya itu, baik pada waktu siang mahupun pada waktu malam.”

Begitulah hebatnya Saidina Abu Bakar As-Siddiq mempertahankan kenyataan Rasulullah SAW  terhadap golongan yang mencurigainya. Lantaran keteguhan iman dan ketegasan beliau terhadap agama yang dibawakan oleh Muhammad SAW maka, beliau telah diberikan gelaran sebagai “As-Siddiq” yang bermaksud orang yang bersifat benar.

[Bersambung di “Saidina Abu Bakar As-Siddiq – Sahabat Terbilang, Saudagar Dermawan (Bahagian 2)”]

Tamak (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Tamak (Bahagian 1)”]

Tawan hati pengguna dengan bijak : Punca perniagaan Berjaya.

pelanggan

Untuk berniaga, peniaga perlulah berilmu dan mempunyai ilmu perniagaan yang luas kerana tanpa ilmu anda tidak boleh melangkah jauh ke hadapan. Ini  kerana, untuk berniaga anda memerlukan pelbagai strategi di dalam selok-belok perniagaan bagi menarik hati dan minat para pelanggan untuk mendekati anda dan seterusnya membeli produk-produk jualan anda.

Cara anda berkomunikasi dengan pelanggan juga amat penting diperhalusi dan diperbaiki, kerana budi bahasa yang indah dan tutur kata yang lemah lembut dan sopan itu, mampu mencairkan hati pengguna untuk tertawan dengan produk-produk anda, tanpa adanya paksaan dan gesaan untuk membeli dan mencuba. Sekiranya seseorang peniaga itu bijak menawan hati pelanggan, maka dengan mudah sahaja perniagaan anda cepat berkembang dan diketahui  umum.

PERINGATAN
*Sifat tamak yang berlebihan adalah sikap yang sering memusnahkan diri sendiri .

*Jauhilah diri daripada menindas orang lain secara sengaja kerana ia adalah suatu kezaliman.

*Dalam mengejar keuntungan, jangan lupa kerugian juga tetap menanti di depan mata.

*Jadilah peniaga yang sentiasa meletakkan diri anda di tempat pengguna, agar anda dapat merasai susah payah orang lain dalam menyempurnakan matlamat anda untuk berjaya dan menjadi seorang peniaga yang cemerlang dan berkembang maju.

*Hargai pelanggan anda dengan ramah mesra dan berbudi bahasa dengan selayaknya dalam berkomunikasi sepanjang berurusan.

*Hadirkan di dalam diri sifat jujur, ikhlas dan amanah, agar anda mampu menjadi seorang peniaga yang disegani dan dihormati ramai, serta dimuliakan oleh pelanggan atau pengguna yang mengenali anda.

*Sentiasa tersenyum mesra, merupakan salah satu asset penting bagi menarik dan menawan hati pelanggan anda untuk terpaut serta terbuka hatinya untuk  melihat dan membeli barangan yang anda niagakan.

Tamak (Bahagian 1)

KEUNTUNGAN JANGKAMASA PENDEK, KERUGIAN JANGKAMASA PANJANG

Tamak” adalah salah satu sikap yang perlu dielak dan dijauhkan oleh para peniaga, jika mahukan perniagaan mereka kekal berterusan dan berpanjangan. Seandainya diri dikuasai sifat tamak, maka usah hairan jikalau hari ini perniagaan mereka seakan maju dan berjaya, tetapi selepas itu lingkup dan terpaksa  gulung tikar akibat tekanan harga yang diberikan kepada pelanggan, ataupun pengguna begitu mencekik darah dan amat tidak munasabah di fikiran.

Fenomena ini sering sahaja berlaku pada waktu-waktu tertentu, seperti ketika berlaku kenaikan harga barangan, ketika menyambut sebarang  perayaan penting dan juga waktu musim tengkujuh. Kebanyakan para peniaga begitu gemar mengambil kesempatan seperti ini , demi untuk mengaut keuntungan yang banyak dan berkali-kali ganda di dalam perniagaan mereka untuk tempoh waktu yang singkat.

Namun begitu, yang terbeban dan tertindas dengan sikap peniaga seumpama ini adalah para pengguna, kerana terpaksa membeli barang-barang keperluan tersebut dengan harga yang mahal dan tidak berpatutan, demi kegunaan seisi keluarga. Peniaga harus ingat, walaupun usaha mereka mencari rezeki itu halal kerana susah payah hasil daripada titik peluh sendiri berniaga dan tidak terbatas untuk mendapatkan seberapa banyak keuntungan tetapi, mereka perlu sedar dan tahu, tidak semua pengguna atau pelanggan itu kaya-raya, banyak duit dan mewah untuk berbelanja sewenangnya tanpa had.

Sebagai peniaga, anda perlu rasional dalam meletakkan sesuatu harga terhadap barangan anda. Jika barang atau produk anda berkualiti  tinggi dan sangat diperlukan, maka pelanggan ataupun pembeli tetap akan mencari anda untuk mendapatkan barangan tersebut. Mereka tidak akan membeli dan mencari di tempat lain, sekiranya  harga yang ditawar dan diberikan oleh peniaga amat berpatutan, di samping khidmat dan layanan terhadap pengguna amat memuaskan. Sikap timbang rasa dan tolak ansur kedua-dua pihak, iaitu antara peniaga dan pengguna amat perlu sekali dipupuk. Ia bukan sahaja baik untuk hubungan dua hala tetapi mampu memberikan  keuntungan yang  lebih besar lagi apabila ramai pelanggan yang datang amat menyukai sikap diri, perkhidmatan dan produk-produk jualan para peniaga yang berniaga.

berniaga

Peniaga : Usah terlalu pentingkan diri!

Dalam setiap urusan jual beli, sifat amanah, jujur dan ikhlas itu sangat penting ditanam dalam diri para peniaga sekiranya inginkan perniagaan mereka berkembang maju, lantaran didoakan oleh pengguna ataupun pelanggan yang sering berkunjung membeli barangan anda secara berulang-ulang kali. Tanpa adanya pengguna dan pembeli tetap, tidak mungkin anda mampu menjadi seorang peniaga yang cemerlang dan berjaya,  sekiranya tiada sokongan yang diberikan oleh masyarakat sekitar khususnya, pihak pengguna. Janganlah sekali-kali menipu serta  merosakkan kepercayaan yang telah diberikan oleh para pelanggan kepada anda.

Sikap terlalu mementingkan diri sendiri dalam kalangan para peniaga juga seharusnya tidak wujud, kerana berniaga itu bukan sahaja untuk mengaut keuntungan di dunia tetapi juga untuk  mencari keuntungan di akhirat kelak. Lantaran itu, peniaga perlulah melaksanakan urusan jual beli dengan sempurna mengikut hukum-hakam dan garis panduan yang ditetapkan.

Para Peniaga janganlah sewenang-wenangnya meletakkan harga yang tinggi terhadap barangan tanpa memikirkan bebanan yang ditanggung oleh pengguna. Dikhuatiri nanti, apabila peniaga terlalu tamak dan terlalu mementingkan diri sendiri, sedikit sebanyak perniagaan mereka akan terjejas. Ini sudah pasti  perniagaan itu akan berakhir dengan kerugian yang banyak dan memerlukan tempoh yang lama untuk bangkit semula mendapatkan kepercayaan dan keyakinan daripada pihak pengguna, sebelum anda kembali memulakan perniagaan yang lain.

[Bersambung di “Tamak (Bahagian 2)”]

7 Magnet Murah Rezeki (Bahagian 2)

[Bersambung dari “7 Magnet Murah Rezeki (Bahagian 1)”]

#4 – Solat Sunat Dhuha

Solat sunat Dhuha termasuk dalam kandungan Hadith Rasulullah s.a.w sebagai amalan yang digalakkan untuk diamalkan. Mengikut kajian, Solat Sunat Dhuha yang dilakukan pada awal pagi hari mempunyai rahsia dan khasiat tersendiri. Gelombang warna pada waktu Dhuha adalah dalam mod warna kuning, iaitu berkait rapat dengan rezeki dan kebolehan komunikasi seseorang. Individu yang sentiasa mengamalkan Solat sunat Dhuha akan lebih cenderung dan berkebolehan berkomunikasi dengan hebat dan mampu menjadi “magnet rezeki.” Rezeki akan lebih mudah mendekati mereka (dengan izin Allah).

#5 – Menjaga Amal Makruf, Solat 5 Waktu dan Banyakkan Berzikir

Seperti yang umum sedia maklum, zikir mampu mendekatkan lagi kita kepada Allah SWT. Zikir bermaksud mengingati Allah SWT. Tidak kira melalui perbuatan seperti melakukan solat dan amal soleh atau melalui perkataan seperti melafazkan zikrullah. Allah SWT amat menyayangi Hamba-Nya yang sentiasa mengingati-Nya. Allah SWT menjanjikan bantuan dan pertolongan buat para Hamba-Nya yang sentiasa menunaikan solat, bersabar dengan segala ujian-Nya dan yang sentiasa mengingati-Nya walaupun dalam keadaan susah mahu pun senang. Segala amalan juga haruslah kita jaga, yang baik kita perbanyakkan dan yang haram kita jauhkan.

bersedekah

#6 – Banyakkan Bersedekah

Percayalah bahawa semakin banyak kita bersedekah, semakin Allah menambahkan rezeki kita. Sedekah dan zakat mempunyai rahsia tersendiri di mana ia dapat menyuburkan dan membersihkan rezeki yang kita terima. Maka, jangan takut atau kedekut untuk bersedekah (mengikut kemampuan). Lagipun, belum pernah kita terdengar orang muflis sebab bersedekah. Pegang prinsip bersedekah umpama menabung untuk saham akhirat nanti. Pahala yang terhasil dari amalan sedekah semakin hari semakin subur dan berpanjangan tanpa henti. Bersedekahlah dengan tulus ikhlas tanpa mengungkit-ungkit dan jauhkan diri dari bersedekah untuk mendapat nama. Peganglah prinsip “tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima.”

#7 – Berdoa Bersungguh-sungguh Diwaktu Mustajab Berdoa

Doa adalah senjata orang mukmin. Setiap amalan dan usaha yang telah dilakukan haruslah diiringi dengan doa dan kemudiannya bertawakal kepada Allah SWT. Berdoalah kepada Allah agar memurahkan rezeki dan membukakan pintu rezeki kita seluas-luasnya. Terdapat masa dan ketika di mana ia dikatakan waktu yang amat mustajab untuk berdoa. Antaranya ialah:

  • Doa orang yang teraniaya
  • Doa selepas solat 5 waktu
  • Doa waktu antara 2 khutbah Jumaat
  • Doa waktu solat dhuha
  • Doa diwaktu berjemaah
  • Doa seorang ibu
  • Doa ketika sedang sujud

Gunakanlah sebaik-baiknya senjata orang Mukmin ini. Mudah-mudahan Allah SWT memakbulkan setiap doa kita supaya hidup lebih diberkati. Apabila hidup kita diberkati, maka mudahlah rezeki mengalir kepada kita. Insya-Allah.

 

7 Magnet Murah Rezeki (Bahagian 1)

Assalamualaikum dan salam motivasi buat para pembaca yang budiman. Alhamdulillah, dalam keluaran kali ini, Majalah IK berkesempatan untuk berkongsi – 7 Magnet Murah Rezeki menurut perspektif Islam. Didoakan agar Allah SWT sentiasa mengurniakan hati yang bersih dan ceria. Semuga perkongsian kali ini dapat meninggalkan kesan buat para pembaca sekalian.

#1- Mohon Keampunan Dari Allah SWT dan Bertaubat Dari Dosa

Sepertimana yang kita ketahui, memohon keampunan dari Allah SWT adalah sangat penting untuk mencari redha-Nya dalam usaha menggali rezeki kita. Ia umpama menjadi benih bagi pohon rezeki yang kita telah tanam dan usahakan. Sekiranya kita sentiasa memohon keampunan Allah SWT, maka makin suburlah benih rezeki yang akan tumbuh. Pohonlah keampunan dari Allah SWT atas segala dosa dan kesilapan kita. Tidak perlu bertangguh untuk bertaubat. Memang benar, pintu taubat sentiasa terbuka selagi Hari Kiamat belum menggegarkan dunia ini, namun begitu jangan sampai kita terlewat. Allah SWT pasti akan mengampunkan dosa Hamba-hamba-Nya yang bersungguh-sungguh. Mohonlah hanya kepada Allah secara “direct.”

mohon keampunan

#2 – Mohon Keampunan Sesama Manusia.

Satu lagi tugas utama kita, iaitu mohon keampunan sesama manusia. Allah SWT Maha Pengampun dan sedia memaafkan dosa-dosa hamba-Nya, namun dosa kita sesama manusia hanya manusia itu sendiri yang dapat mengampunkannya. Contoh dosa sesama manusia, mengumpat, mengutuk, hasad dengki, mencuri, merompak dan sebagainya. Rasulullah s.a.w menjelaskan mengumpat ini dalam sabda Baginda yang bermaksud :

“Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya. (Hadith Riwayat Muslim)

Dosa mengumpat membinasakan amal kebaikan ibarat api membakar kayu kering

Dari Jabir dan Abi Said, Rasulullah s.a.w bersabda: “Awaslah daripada mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras daripada zina. Sesungguhnya seseorang terkadang ia berzina dan bertaubat, maka diterima Allah swt akan taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampun dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpatnya itu.”

Maka, Hadith ini telah menjelaskan bahawa perbuatan mengumpat itu lebih berat dosanya daripada perbuatan zina. Dosa penzina hanya Allah SWT yang mengampunkannya, kerana dosa ini berkaitan manusia dengan Penciptanya, namun dosa mengumpat hanya dapat diampunkan oleh orang yang diumpat. – Huraian ini menunjukkan bahawa ia merupakan kunci kedua yang paling utama untuk menyuburkan lagi pohon rezeki yang telah kita tanam pada kunci #1.

#3 – Mohon Keampunan dan Doa Ibu Bapa

“Syurga Itu Dibawah Tapak Kaki Ibu!” Suatu masa seorang lelaki termenung memikirkan nasib hidupnya. Seringkali, ditimpa masalah. Selepas muhasabah diri, terdetik di hatinya, mungkin ada sedikit hati ibu dan bapanya pernah rasa terguris, dan mungkin beliau terlepas pandang atau tidak sengaja meninggikan suara. Hati orang tua memang agak sensitif, dan sangat memerlukan kesabaran dalam melayani karenah mereka. Kita seharusnya melayan sebaik-baiknya kerana bakti ibu yang melahirkan, membesarkan dan mendidik kita sehingga dewasa dan berjaya, amat tidak ternilai harganya. Mohonlah keampunan dari kedua-dua ibu bapa. Insya-Allah, rezeki akan dikurniakan bak bunga wangi yang mekar menguntum.

[Bersambung di “7 Magnet Murah Rezeki (Bahagian 2)”]