Category Archives: 9/10

Istidraj (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Istidraj (Bahagian 1)”]

Mungkin anda sendiri pernah melihat dalam kehidupan seharian kita, mungkin ada sesetengah orang yang anda kenali yang berjaya walaupun hidupnya hanya bersandarkan perniagaan yang melibatkan rasuah dan penipuan, bisnesnya mengaut keuntungan yang berlipat ganda, tetapi pada suatu masa ALLAH telah menarik kembali kenikmatan yang diberikannya.

Sebagai contoh, FIRAUN :

Kisah yang paling mudah untuk kita renungkan kembali, adalah kisah Firaun, nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, jauh sekali bersin. Semuanya kerana Allah beri nikmat kesihatan – Orang lain selalu sakit, tetapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia belum menemui ajalnya, sampai dia begitu angkuh dan meninggi diri, malah zalim dan menyeksa sesama manusia sehingga melampaui batas-batas peri kemanusiaan.

Semuanya kerana beliau merasakan dan mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah juga Allah binasakan dia, dengan merentap kekuasaannya dan menenggelamkan dia dan bala tenteranya di Laut Merah.

Istidraj

Contoh seterusnya, Qarun :

Kita selalu menyebut ‘Harta Karun’ – Istilah itu mungkin bermulanya dengan kisah si Qarun yang banyak harta. Qarun adalah antara yang hidup pada zaman Nabi Musa a.s. Di awal kehidupannya, beliau amat miskin dan mempunyai ramai anak. Namun dia berhati mulia lagi dermawan terhadap golongan faqir miskin.

Lantaran itu, dia pernah memohon Nabi Musa berdoa kepada Allah agar diberikan kekayaan supaya dapat dia membantu mereka yang miskin. Permintaan tersebut dimakbulkan Tuhan. Harta Qarun kini melimpah ruah, gudangnya dipenuhi dengan emas dan perak. Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja dibawa oleh ramai orang-orang kuat dan beberapa ekor keldai.

Meskipun begitu Qarun telah lupa daratan dan kufur dengan nikmat Allah yang diberikan kepadanya. Di saat Nabi Musa datang kepadanya dan memohon sedikit pertolongan untuk membantu golongan miskin, Qarun telah membentak dengan mengatakan harta itu hanya untuknya kerana ia hasil dari penat lelahnya sendiri dan bukan untuk dikongsikan!

Lalu dia menerima azab kemurkaan Allah, ditenggelamkan bersama-sama harta bendanya ke dalam tanah di sebuah kawasan yang terletak dalam daerah al-Fayyum, Mesir yang juga dikenali sebagai Danau Qarun. Jadi walaupun kita kaya, jangan sangka kerana Allah sayangkan kita, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.

DI SEBALIK KEKAYAAN

Jika difikirkan betul-betul, maka terjawablah keraguan yang mengganggu akal fikiran. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang dan mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya, rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya.

Fahamilah, jika orang yang membuat berbagai kejahatan, maksiat, zina, mabuk, meninggalkan solat, tidak puasa, dan apa sahaja yang bertentangan dengan ajaran Islam, tetapi ALLAH tetap berikannya nikmat kesihatan, kekayaan, dan kejayaan kemudian riak dan takbur pula, mungkin sebenarnya dia telah diistidrajkan oleh ALLAH S.W.T. – Mungkin semakin banyak harta dan kekayaannya itu, semakin banyaklah pula dosa-dosa yang dikumpulnya.

TIDAK SEMUA BEGITU…

Namun, janganlah pula tersalah anggap. Apabila melihat orang kaya, bawa kereta besar-besar, terus sahaja kita kata mereka itu orang jahil, kufur, lupa daratan dan telah diistidraj! – Tidak semestinya semua orang begitu.

Alhamdulillah di Malaysia ini masih ramai golongan berada yang kuat pegangan agamanya, jutawan-jutawan juga masih ramai yang terus menerus berbakti ke jalan Allah. Telah ramai yang meninggalkan kebatilan dan melakukan kebaikan. Malah, jika hendak disebut tak terbilang ramainya orang-orang kaya yang suka menderma untuk pembinaan masjid, memberi bantuan pada rumah orang-orang tua dan anak-anak yatim serta mengusahakan berbagai yayasan demi membantu mereka yang kurang upaya.

Yang penting bagi kita yang berjalan di atas landasan yang benar dan hidup dalam cahaya Islam serta mengerjakan segala kewajipan dan meninggalkan segala larangan, janganlah berputus-asa jika menghadapi kegagalan. Cuba…dan cuba lagi sampai anda berjaya kerana ALLAH itu MAHA PEMURAH dan jika kita mendapat keredhaanNYA serta keberkatanNYA, maka tentunya segala urusan kita akan dipermudahkan dan usaha kita akan mendapat keuntungan. InsyaAllah.

Jauhi diri DARIPADA DIISTIDRAJ

  • Sentiasa merendahkan diri ketika berurusan dengan sesama manusia.
  • Sentiasa membelanjakan harta dalam berbakti ke jalan Allah.
  • Sentiasa taat pada perintah ALLAH.
  • Tabah menghadapi dugaan ALLAH dan tidak berputus-asa dari rahmatNya.
  • Sentiasa muhasabah diri.

 

Istidraj (Bahagian 1)

“AKU MENIPU, BUAT MAKSIAT, TINGGAL SOLAT, TAPI AKU TETAP KAYA!”

Apakah perkara sebegini benar-benar berlaku? Pada entri kali ini tentu sahaja, ada yang tertanya-tanya, apakah benar apa yang dikatakan ini, mungkin ada pula yang berkata, ianya hanya mainan atau khayalan insan jahil itu semata-mata.

Sesungguhnya, ia adalah benar dan pernah berlaku pada ramai individu, lebih-lebih lagi mereka yang hidup kaya raya dan kebanyakan dari golongan atasan yang boleh dikatakan hampir tidak pernah mengalami kesusahan!

Istidraj

Apakah yang dimaksudkan dengan istidraj?

Istidraj ini adalah satu kalimah, yang sering menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang terus menerus dilimpahkan rezeki, kejayaan dan kekayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH yang taat, malahan seorang yang jahil dalam hukum agama dan pengamal maksiat yang tegar.

Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak mahu berusaha ke jalan ISLAM, juga tidak suka merapatkan diri pada yang Maha berkuasa, ALLAH S.W.T.

3 situasi yang menghairankan kita :-

  • Boleh dikatakan agak ramai individu-individu yang berjudi, minum arak, tetap dengan mudah boleh berjaya, sedangkan kita yang baik dan meninggalkan segala larangan di dalam Islam ini, terkial-kial walaupun sudah berusaha, berzaman lamanya.
  • Kita yakin, jika berbuat baik, taat pada ALLAH maka segala urusan kehidupan kita akan dipermudahkan. Tetapi kita lihat, mereka yang selalu meninggalkan solat, tidak pernah puasa, jauh sekali memberi zakat, begitu maju perniagaannya sehingga menjadi kaya raya. Kita pula yang hidup dengan penuh daif, miskin dan selalu dalam kesusahan.
  • Islam agama yang benar, tetapi kita sering melihat orang-orang yang bukan Islam lebih berjaya. Umat Islam tertindas dalam kehidupan sempit lagi menderita sendirian, tersisih, longlai di tengah-tengah lautan yang menenggelam jiwa yang mudah mengaku kalah dengan arus deras, dugaan dan cabaran dari yang Maha Esa.

Dari Abdullah bin Qais r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:

”Tidak ada yang lebih sabar mendengar ejekan, selain daripada Allah S.W.T. Orang-orang kafir mengatakan-Nya berbilang (banyak atau bersekutu), atau mereka mengangkat anak bagi-Nya. Namun begitu Allah Taala tetap memberi mereka rezeki, memaafkan mereka dan memberikan apa yang mereka pinta.” SUMBER RUJUKAN JAKIM

Maksud huraian hadith ini adalah..

  • Nikmat Allah S.W.T maha luas dan tiada sesiapapun dapat menyekatnya. Allah juga Maha Sabar dalam setiap urusan-Nya. Manusia yang dijadikan oleh Allah adalah makhluk yang diamanahkan untuk menggunakan nikmat yang diperolehi itu untuk keperluan mendekatkan diri kepada-Nya.
  • Namun begitu ada juga golongan manusia yang menggunakan nikmat Allah tetapi dalam masa yang sama mereka semakin jauh daripada Allah S.W.T. Hal ini terjadi, kerana hati mereka telah mati lantaran nikmat itu diguna atau disalurkan kepada perkara-perkara mungkar termasuklah golongan yang syirik atau kafir yang seolah-olah nikmat itu tidak disedari oleh mereka, dan akhirnya menjadikan mereka semakin sesat dan melupakan Allah.
  • Bagi orang yang kufur tetapi mendapat keistimewaan atau nikmat yang lebih ini mereka dikatakan mendapat ISTIDRAJ iaitu pemberian nikmat Allah yang besar tetapi pemberian itu tidak diredhai-Nya.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

“Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.” (at-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Bagaimanakah mereka yang diistidraj?

Manusia yang mendapat istidraj adalah manusia yang takhbur dan lupa daratan. Apalah ertinya hidup ini jika mendapat seribu macam nikmat seperti kaya raya, menjadi jutawan, berkuasa dan sebagainya tetapi sama sekali tidak diberkati malah dibenci oleh Allah S.W.T.

Sepatutnya orang-orang yang kaya dengan berbagai nikmat hendaklah mengunakan nikmat Allah itu untuk kebajikan dan mengabdikan diri ke jalan yang benar agar hidup mereka diredhai Allah, bahkan itulah sifat makhluk yang benar-benar bersyukur.

[Bersambung di “Istidraj (Bahagian 2)”]

 

Zubair Al-Awwam – Menggadaikan Segala Harta Benda Demi Islam (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Zubair Al-Awwam – Menggadaikan Segala Harta Benda Demi Islam (Bahagian 1)”]

Menginfakkan harta kekayaannya ke jalan Allah.

bersedekah

Sebagai salah seorang pedagang dan para sahabat yang kaya-raya juga usahawan terbilang,  lantaran  perniagaannya yang sangat maju, berkembang dan berjaya, Zubair Al-Awwam telah menginfakkan harta miliknya demi untuk Islam tercinta.

Diceritakan sebelum meninggal dunia, Zubair Al-Awwam telah berpesan  kepada anaknya untuk melunasi hutang-piutangnya, kerana segala harta yang ada menjadi miliknya telah didermakan dan dipergunakan ke jalan Allah dan andai hutangnya juga tidak terlunas, maka beliau meminta kepada anaknya agar bermohon kepada Allah SWT sebagai pelindungnya, supaya melunasi hutang-piutangnya itu dan Allah SWT telah mengabulkan permintaannya.
Zubair juga dikatakan memiliki seribu orang hamba dan turut memiliki tanah yang mengeluarkan hasil yang melimpah ruah di mana beliau sentiasa membayar pajakannya, tanpa mengambil sedikit pun daripada hasilnya.

Sewaktu peperangan Badar al-Qubra, Zubair Al-Awwam telah menggadaikan 2 ekor kuda miliknya, demi untuk mempertahankan kesucian Islam dan dianggarkan juga beliau memiliki harta kekayaan yang bernilai lebih daripada 40juta dirham dan didermakan serta diagihkan kepada anak-anak yatim, isteri-isteri dan anak-anaknya selain untuk dirinya sendiri dan diinfakkan untuk berjihad ke jalan Allah. Demikianlah kisah seorang usahawan Islam terbilang yang kaya-raya serta sahabat nabi yang dikasihi dikenali sebagai Zubair Al-Awwam.

Zubair Al-Awwam – Menggadaikan Segala Harta Benda Demi Islam (Bahagian 1)

Dengan kekuatan jasmaniah dan rohaniah serta keteguhan iman yang dimilikinya, Zubair Al-Awwam bin Al-Khuwailid bin Al-Qurasyi Al-Asadi atau juga lebih dikenali dengan nama Abu Abdillah atau juga dipanggil sebagai “Hawari Rasulullah s.a.w.” yang bermaksud (Sahabat setia nabi) Zubair Al-Awwam sanggup berjuang dan berkorban apa sahaja demi Islam addin yang syumul, walau terpaksa bergadai harta dan nyawa sekalipun. Itulah yang menyebabkan baginda Rasulullah s.a.w. amat menyayangi beliau yang juga seorang sahabat yang sering merindukan untuk mati syahid.

Ketika berusia 15 tahun, Zubair Al-Awwam telah berjaya memeluk Islam setelah diberi taufik dan inayah oleh Allah SWT kepadanya, kala usia meningkat remaja. Beliau adalah antara tujuh orang yang terawal mendapat petunjuk dari Allah SWT dan juga merupakan bakal tetangga nabi sewaktu di syurga kelak. Alangkah bertuahnya seorang insan bernama Zubair Al-Awwam, kerana bakal menemani Rasulullah s.a.w. di dalam syurga Allah SWT Azzawajalla nanti, antara 10 sahabat yang telah dijamin syurga oleh Allah SWT. Namun demikian, bukanlah sesuatu yang  mudah untuk beliau sampai ke tahap itu, meskipun telah dijamin syurga untuknya.

gadai harta benda demi islam

Perjuangan dan pengorbanan beliau berjihad fisabilillah mempertahankan Islam tercinta, begitu hebat dan mencabar. Jihadnya begitu besar dalam sejarah peperangan yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. dan ketokohan Zubair Al-Awwam sebagai salah seorang pahlawan Islam yang terbilang dan terkenal dengan keberaniannya bermain pedang, memang amat-amat dikagumi. Beliau juga dikatakan sangat hebat dalam menunggang kuda.

Keturunan Bangsawan yang disanjung tinggi.

Insan yang mulia, sudah pasti datangnya dari keturunan yang baik. Demikian juga dengan  sahabat nabi yang bernama Zubair Al-Awwam ini. Beliau adalah sepupu kepada junjungan mulia kita Rasulullah s.a.w. dari sebelah datuknya, iaitu anak kepada Safiyah binti Abdul Muthalib.

Semasa kecilnya, Zubair Al-Awwam telah diasuh dan dididik dengan begitu tegas oleh ibunya Safiyah, yang amat menginginkan anaknya menjadi seorang pemberani sepertinya. Zubair sentiasa dipaksa untuk belajar dan bekerja keras supaya nanti menjadi seorang  insan yang kuat dan gagah apabila telah dewasa.

Di dalam hal ini, Safiyah sering memukul anaknya Zubair untuk mendidiknya agar menjadi seorang yang berguna, dan turut dinyatakan juga bahawa Safiyah seolah-olah kelihatan begitu zalim dan kejam dalam mengasuh dan mendidik Zubair  Al-Awwam sewaktu  kecilnya.  Namun,  tindakan tersebut terpaksa dilakukan oleh Safiyah bukanlah kerana beliau benci atau tidak sayangkan anaknya Zubair sebaliknya, beliau mahukan Zubair menjadi seorang yang bijaksana. Barangkali  kerana cara didikan yang diterimanya itu jugalah, menyebabkan  sikap peribadi Zubair  terbentuk  dan terasuh  dengan sempurna sebagai seorang  lelaki yang perkasa dan berani serta senantiasa kuat menempuh cabaran.

Hebat bukan? Bayangkan tusukan mata-mata pedang yang tajam menikam dan memenuhi seluruh tubuh Zubair Al-Awwam, cuma Allah SWT sahaja yang mengetahui betapa kuatnya jiwa beliau dalam menegakkan Islam tercinta sehingga sanggup melepaskan nyawanya serta mengorbankan jasadnya  di hujung pedang. Masya-Allah! Betapa kentalnya keimanan Zubair-Al-Awwam. Sekental hati ibu yang telah membesarkannya.

Oleh itu didikan dan disiplin amat penting dalam mengasuh  anak-anak agar menjadi insan yang mulia dan berguna apabila dewasa kelak, sebagaimana yang dilakukan kepada Zubair Al-Awwam. Itulah contoh yang dapat kita lihat.

[Bersambung di “Zubair Al-Awwam – Menggadaikan Segala Harta Benda Demi Islam (Bahagian 2)”]

Hibah – Pengertian Dan Kelebihannya (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Hibah – Pengertian Dan Kelebihannya (Bahagian 1)”]

Hibah merupakan penyerahan atau pemberian langsung oleh seseorang dengan tidak bersyarat dan juga tanpa balasan, tetapi mestilah harta atau benda yang hendak diberikan itu adalah harta yang halal dan hak milik sendiri,  hasil daripada titik peluhnya bekerja, dan juga tidak ada hak keluarga di dalamnya yang telah diambil.

Hibah amat digalakkan di dalam islam kerana ia merupakan amalan sunat yang harus dilakukan.  Terutamanya untuk kaum keluarga yang terdekat kerana ia dapat membantu orang lain yang berada di dalam kesusahan seperti anak-anak yatim, musafir dan golongan fakir miskin yang sangat-sangat memerlukan bantuan dan pertolongan.

Ini telah dijelaskan di dalam al-Quran dan al-Sunnah mengenai amalan hibah yang amat digalakkan menerusi Firman Allah SWT yang bermaksud :-

  • “Dan berikanlah mas kahwin (mahar) kepada perempuan (yang kamu nikahinya) sebagai pemberian dan penuh kerelaan. Kemudian, jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada (mas kahwin) itu dengan senang hati, maka terimalah dan nikmatilah pemberian itu dengan senang hati..” (Surah Al-Nisa’ : ayat 4.)

Manakala  di dalam surah Al-Baqarah melalui ayat 177 pula mahfumnya :-

  • “Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang yang meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat dan menunaikan zakat dan orang yang menepati janjinya apabila dia berjanji  dan orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang yang bertaqwa…” (Surah Al-Baqarah : ayat 177.)

Oleh yang demikian, di sini dapat kita lihat dengan jelas betapa pentingnya pemberian hibah itu dilakukan kerana, dengan pemberian seumpama itu, ia boleh menambahkan lagi keberkatan rezeki yang kita perolehi apabila ia dimanfaatkan sebaik mungkin ke jalan kebaikan dan diredhai oleh Allah SWT.

hibah

Tip

  • Pemberian hibah dapat mengeratkan tali silaturrahim di antara keluarga, rakan, taulan dan juga sesama  insan di samping kita dapat menggembirakan hati pihak lain khususnya mereka yang kita sayangi.
  • Dengan pemberian hibah juga kita dapat membantu masyarakat dan golongan-golongan yang amat memerlukan bantuan serta pertolongan.
  • Jadikan pemberian hibah itu sebagai  satu amalan yang murni dan baik apabila kita berkemampuan untuk  melakukannya.
  • Hibah dapat menggembirakan hati orang lain dan dengan ini mereka akan selalu mendoakan untuk kita kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan  di akhirat.
  • Hibah juga mendidik diri kita agar tidak bersikap tamak, bakhil dan kedekut. Ini dapat menghapuskan sifat-sifat mazmumah yang ada dalam diri kita dari terus bermaharajalela.

Hibah – Pengertian Dan Kelebihannya (Bahagian 1)

Hibah membawa maksud Pemberian Hak atau Harta secara sukarela, tanpa dipaksa atau terpaksa daripada satu pihak kepada satu pihak yang lain dengan niat dan tujuan yang baik, tanpa ada sebarang syarat,  imbalan atau balasan.

Barangkali, perkataan ‘Hibah’ ini jarang-jarang kita dengar dan ketahui. Namun, hakikatnya ia mempunyai banyak keistimewaan, kelebihan, hikmah dan manfaatnya kepada kita,  jika kita mampu melaksanakannya.

Ia merupakan pemberian secara suka sama suka dengan syarat di dalamnya tidak ada hak-hak  orang lain yang diambil misalnya, seperti hak insan-insan yang dizalimi atau  dianiayai.

Pemberian hibah ini cuma dilakukan ketika seseorang itu masih hidup dan sihat sahaja. Hibah tidak akan berlaku sekiranya si pemberi hibah itu cuma sekadar berhasrat dan berura-ura sahaja, tetapi kemudiannya dengan takdir Allah SWT pula, si pemberi  telah meninggal dunia tanpa diduga.  Maka dengan itu hibah ini tidak akan berlaku kerana hukumnya telah berubah daripada hibah kepada wasiat.

Harus difahami sebaiknya,  agar kita tidak terkeliru dengan istilah ini. Hibah hanya akan berlaku ketika seseorang pemberi dan juga penerima hibah itu masih hidup,  ketika  proses perlaksanaan pemberian dijalankan. Begitulah halnya yang perlu kita fahami dan ketahui.

Siapakah pemberi ‘Hibah’ dan siapakah pula penerimanya?

hibah

Orang yang layak memberikan hibah tidak kira siapa atau kepada siapa pun. Asalkan masing-masing berhak dan layak memberi serta menerimanya.

Sebagai contoh :-

  • Jika seseorang itu merupakan ahli perniagaan yang Berjaya, kemudian memiliki pula harta yang banyak tetapi tidak mempunyai anak atau waris, maka dia berhak untuk memberikan sebahagian daripada harta miliknya itu kepada sesiapa pun yang dia senangi,  dengan sewenang-wenangnya tanpa ada had dan batasan jumlah yang  perlu ditentukan.

Selain itu juga ianya tidak ada sebarang imbalan balik kepada si pemberi daripada si penerima. Pemberian dan perjanjian itu hanya sah selagi kedua-duanya, iaitu si pemberi dan si penerima hibah itu masih hidup.

[Bersambung di “Hibah – Pengertian Dan Kelebihannya (Bahagian 2)”]

Anas Bin Malik: Perawi Hadis Rasulullah s.a.w. (Hartawan Yang Zuhud) (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Anas Bin Malik: Perawi Hadis Rasulullah s.a.w. (Hartawan Yang Zuhud) (Bahagian 1)”]

Doa Nabi terhadap Anas.

berdoa

Ketika ibunya datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata : “Wahai Rasulullah, ini adalah Anas, anak yang bijak dan cerdas untuk membantumu” lantas Anas diserahkan kepada Rasulullah s.a.w. dan baginda kemudian menerimanya. Ibunya lalu memohon kepada Rasulullah s.a.w. untuk mendoakan Anas, maka Nabi pun berdoa untuknya.

“Ya Allah! perbanyakkanlah anak dan hartanya, serta masukkanlah dia ke dalam syurga.” Dalam riwayat lain, “Ya Allah perbanyakkanlah harta dan anaknya, panjangkanlah umurnya dan ampunilah dosanya”.

Anas berkata, “Demi Allah hartaku sangat melimpah, sampai kurma dan anggurku berbuah dua kali dalam setahun. Jumlah anak-anak dan cucuk-cucuku mencapai seratus.” dalam riwayat lain seratus enam. Berkat doa Rasulullah s.a.w. maka Anas menjadi sahabat yang paling banyak anaknya serta paling panjang umurnya.

Penjaga Rahsia Rasulullah saw.

Suatu hari Anas melayani Rasulullah s.a.w. sehingga selesai dan kemudian berkata : “Nabi sedang tidur siang,” selepas itu beliau pun pergi dan mendapati anak-anaknya sedang bermain. Beliau berdiri dan melihat mereka bermain. Tiba-tiba Nabi datang, dan memberi salam kepada mereka. Terus memanggil Anas dan mengutusnya untuk suatu urusan. Sepertinya ini adalah perintah rahsia, hingga beliau mendatangi ibunya dengan perlahan. Ibunya bertanya “Ada apa denganmu?”  Anas menjawab, “Nabi mengutusku untuk suatu urusan. Ibunya bertanya lagi, “Urusan apa itu?” Anas menjawab, “Ini adalah rahsia Nabi”. Maka ibunya berkata, “Jagalah rahsia Rasulullah”. Maka Anas tidak menceritakannya kepada sesiapa pun.

Akhlak Rasulullah s.a.w. terhadap Anas bin Malik.

Pada suatu hari Rasulullah mengutus Anas untuk suatu hajat, kemudian beliau berkata, “Demi Allah saya akan pergi!” Dalam hatiku aku akan pergi kalau Nabi menyuruhku. Kemudian beliau  pun pergi dan melintasi kanak-kanak yang sedang bermain di pasar. Beliau yang masih remaja ketika itu, turut terleka bermain sekali. Tiba-tiba Rasulullah datang memegang tengkuknya dari belakang. Kemudian beliau melihat kepada baginda Rasul, ternyata baginda tersenyum sambil berkata, “Wahai Unais, pergilah selesaikan apa yang aku perintahkan!” Maka Anas menjawab : “Baik Rasulullah, saya akan pergi”. Anas berkata lagi “Demi Allah aku telah menjadi pembantu baginda selama 9 tahun, aku tidak pernah mendapat komen tentang apa yang aku kerjakan”, “Kenapa kamu berbuat seperti ini dan begini?” Atau sesuatu yang aku tinggalkan, “Kenapa kamu tidak berbuat seperti ini?”

Anas telah menjadi pembantu Rasulullah s.a.w.  bertahun-tahun lamanya, tetapi baginda tidak pernah mencelanya sama sekali, tidak pernah memukul, tidak pernah mengherdik, tidak pernah bermuka masam, tidak pernah menyuruhnya dan sekiranya malas Rasulullah tidak mencelanya. Maka jika salah satu keluarganya mencelanya, beliau berkata, “Biarkanlah apa yang dia kerjakan!”

Tsabit bertanya kepada Anas “Apakah tanganmu pernah bersentuhan dengan telapak tangan Rasulullah s.a.w.? Anas menjawab, Ya, pernah! Baginda menghulurkannya padaku, dan aku pula menyambutnya.

Karamah Anas

Ibnu Abi Dunya berkata : “Ketika Tsabit sedang bersama Anas, tiba-tiba datang Qohromanah dan berkata, “Wahai Abu Hamzah, telah datang musim kemarau, sehingga tanah kami kering”. Kemudian Anas terus berdiri dan mengambil air wudhu, lalu keluar menuju tanah tadi  dan melakukan solat sebanyak 2 rakaat. Setelah itu beliau berdoa. Maka tiba-tiba awan pun mendung dan turunlah hujan, sehingga airnya melimpah-limpah. Ketika hujan reda, Anas memanggil sebahagian keluarganya dan berkata, “Lihatlah langit itu”. Maka setelah itu tanahnya menjadi subur.

Menurut catatan, Anas memang sangat kaya, mempunyai ramai anak ( 120 orang ). umur beliau ketika wafat ialah 104 tahun dan beliau telah meriwayatkan sebanyak 2200 hadis Nabi s.a.w.

Anas Bin Malik: Perawi Hadis Rasulullah s.a.w. (Hartawan Yang Zuhud) (Bahagian 1)

Memandangkan kos sara hidup hari ini kian mencabar dengan perbelanjaan rutin yang semakin meningkat, maka usaha untuk memperbaiki taraf kehidupan dan ekonomi masing-masing bagaikan satu perlumbaan apabila ada segelintirnya menganggap bahawa wang dan harta kekayaan itu sebagai perkara paling penting untuk membina kehidupan yang bahagia dan harmonis.

harta kekayaan

Kebanyakan daripadanya memandang harta kekayaan sebagai satu keistimewaan. Oleh sebab itu, sering kita lihat bahawa sesiapa yang mempunyai harta yang banyak, maka mereka akan dianggap lebih tinggi darjatnya atau paling tidak pun mereka dipandang mulia, berbanding yang lain kerana keberadaannya itu. Namun, jika kita renung kembali kepada konsep zuhud, harta yang berlimpah bukanlah suatu kelebihan, tetapi adalah sebaliknya apabila golongan kaya akan dianggap sebagai materialistik.

Sebenarnya, Islam tidak pernah melarang untuk mencari harta kekayaan, tetapi amat menggalakkan agar kita terus berusaha gigih selagi tidak mengabaikan suruhan dan larangannya.

Artikel kali ini memaparkan kisah mengenai Anas bin Malik r.a. untuk mengajak para pembaca mengenali dan mengetahui keperibadian tokoh besar ini. Anas bin Malik r.a. merupakan anak didik kesayangan Nabi dan merupakan periwayat Hadis Rasulullah s.a.w. Pada masa yang sama, beliau juga dikatakan salah seorang hartawan yang terkaya di Madinah.

Nasab beliau

Nama sebenar beliau adalah Anas bin Malik bin Nadzor bin Dhomdom bin Zaid bin Harom bin Jundub bin Amir bin Ghanam bin Adi bin An Najjar, Abu Hamzah Al Ansori Al Khazraji. Beliau adalah kerabat baginda Rasulullah s.a.w. dari sebelah isterinya, selain daripada murid serta pengikut baginda Rasulullah s.a.w. dan juga merupakan sahabat terakhir yang meninggal dunia.

Anas adalah pambantu Nabi dan seorang yang banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah s.a.w. Ibunya ialah Ummu Sulaim Malikah binti Milhan bin Kholid bin Zaid bin Harom, isteri Abi Tholhah Zaid bin Sahl Al Ansori. Sewaktu Nabi s.a.w. datang ke Madinah, Anas ketika itu baru berusia 10 tahun. Waktu itu juga, ibunya datang menemui Nabi s.a.w. lantas berkata kepadanya : “Ini adalah Anas, anak yang pandai dan akan menjadi pembantumu”. Selepas beberapa tahun bersama Nabi, baginda menggelarkan Anas Abu Hamzah (Singa).

Anas dilahirkan 10 tahun sebelum Hijrah atau bertepatan dengan tahun 612 Masihi. Ketika baginda Rasulullah wafat, Anas baru sahaja berusia 20 tahun dan beliau memeluk Islam sejak daripada kecil lagi.

Keilmuan dan Periwayatan Hadis.

Walaupun beliau seorang hartawan, namun segala peranan beliau dalam kehidupan lebih banyak menjurus kepada perjuangan dan kepentingan Islam. Beliau adalah seorang Mufti, Qari, Muhaddith dan Perawi Islam. Beliau banyak menuntut ilmu dengan Rasulullah s.a.w. secara langsung bersama dengan Abu Bakar, Umar, Usman, Mu’ad, Usaid Al Hudair, Abi Tholhah, Ibunya sendiri Ummu Sulaim putri Milhan dan Bibinya Ummu Haram juga suaminya Ubadah bin Shamit, Abu Dzar, Malik bin Sha’sha’ah, Abi Hurairah, Fatimah dan banyak lagi. Beliau mempelajari ilmu perniagaan secara terus daripada Rasulullah s.a.w.

Anas juga turut mendidik individu penting yang di antaranya adalah Al Hasan, Ibnu Sirin, Asy Sya’bi, Abu Kilabah, Makhul, Umar bin Abdul Aziz, Tsabit Al Banani, Bakar bin Abdillah Al Mazani, Az Zuhri, Qotadah, Ibnul Munkadir, Ishak bin Abdillah bin Abi Tholhah, Abdul Aziz bin Shuhaib, Syuaib bin Al Habhab, Amru bin Amir al Kufi, Sulaiman At Taimi, Hamid At Thowil, Yahya bin Sa’id Al Ansori, Katsir bin Salim, Isa bin Thohman dan Umar bin Syakir.

Setiapkali Anas berbicara mengenai hadis Rasulullah s.a.w. dan apabila telah selesai bicaranya, maka beliau akan berkata : “Sebagaimana yang dikatakan Rasulullah”. Musnad Anas sebanyak 2,286 buah Hadis, yang disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim sebanyak 180 hadis, dan yang hanya dalam riwayat Bukhari sebanyak 80 hadis dan Muslim 90 hadis.

[Bersambung di “Anas Bin Malik: Perawi Hadis Rasulullah s.a.w. (Hartawan Yang Zuhud) (Bahagian 2)”]

Haram Dalam Halal dalam Perniagaan! (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Haram Dalam Halal! (Bahagian 1)”]

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa :

Rasulullah SAW lalu berdekatan dengan selonggok makanan, lalu baginda memasukkan tangannya ke dalam longgokan itu. Tiba-tiba jari baginda terkena sesuatu yang basah. Baginda bertanya : “Apa semua ini wahai tuan punya makanan?”  Orang itu menjawab “Terkena hujan wahai Rasulullah.” Baginda bersabda : “Mengapa tidak kamu letakkan di atas supaya orang ramai dapat melihatnya?  Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalanganku.”
(Hadis Riwayat : Muslim, At-Tirmizi.)

Berdasarkan hadis di atas, huraiannya adalah seperti berikut :

Di antara sifat Rasulullah SAW ialah baginda sentiasa mengambil berat tentang urusan umatnya termasuklah urusan mu’amalat mereka. Ini mendorong baginda  untuk meninjau bagaimana keadaan perjalanan jual beli yang dilakukan oleh umatnya di pasar.

Di dalam kes di atas, jelas kelihatan betapa peniaga tersebut telah cuba untuk menipu pelanggan dengan menyorokkan  makanan yang tidak elok di bawah. Perbuatan sebegini adalah dianggap sebagai satu penipuan oleh Rasulullah SAW dan amat dilarang keras kerana ia bercanggah dengan tuntutan iman seorang mukmin.

Biarpun makanan itu masih belum rosak tetapi dengan perbuatan sedemikian ia tetap boleh memudaratkan orang lain apabila memakannya kelak. Oleh yang demikian, Elakkanlah daripada menjual makanan yang telah rosak!

Meskipun anda pasti akan mengalami kerugian dan tidak langsung menguntungkan para peniaga tetapi insya-Allah jika kita jujur, akan ada balasan setimpal menanti dan mungkin Allah SWT akan mengurniakan rezeki serta keuntungan melalui jalan yang lain pula.

Teramat rugi apabila rezeki yang sepatutnya kita dapat dengan halal, berubah menjadi haram dan berdosa!

TIP

jual beli

  • Jaga kualiti makanan untuk terus mendapatkan pelanggan tetap yang sentiasa membeli
  • Elakkan unsur-unsur penipuan agar perniagaan mendapat keberkatan ilahi.
  • Pamerkan kejujuran dan keikhlasan di dalam berniaga agar anda dipercayai oleh pelanggan.
  • Tanamkan sifat amanah dalam diri ketika berniaga barulah barangan anda akan lebih disukai dan tidak rugi.
  • Rugi yang sebenarnya rugi adalah apabila yang halal menjadi haram.

Haram Dalam Halal dalam Perniagaan! (Bahagian 1)

Setiapkali menjelangnya bulan ramadhan yang mulia, panorama biasa di bazar ramadhan yang akan dapat kita lihat dan saksikan adalah pelbagai jenis juadah berbuka puasa pasti memenuhi tiap sudut meja yang telah dibuka untuk jualan. Selalunya, pada waktu inilah ramai peniaga-peniaga baru akan muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan memenuhi ruang niaga.

Bazaar Ramadhan

Pastinya mereka ingin turut serta mencuba bakat dan resepi masing-masing untuk sama-sama berniaga bagi memeriahkan bazar ramadhan, di samping berusaha mendapatkan rezeki lebih sebagai persediaan untuk menyambut lebaran.

Sebenarnya sebahagian daripada  peniaga-peniaga yang kita temui di bazar-bazar ramadhan itu tidak pernah kelihatan pun kelibat mereka berniaga di mana-mana tempat sebelum ini, tetapi dengan hadirnya ramadhan al-mubaraq, ianya membuka peluang besar untuk mereka menambahkan pendapatan sampingan, maka kesempatan yang datang setahun sekali  itu telah direbut sebaiknya.

Tertipu tanpa sedar

Selalunya, dalam kesibukan kita mencari  juadah untuk berbuka puasa, kita sering “terkena” apabila terbeli makanan-makanan yang  telah di “Kitar semula” untuk jualan bagi menjimatkan kos dan mengaut untung lebih dengan memperdaya pelanggan. Perkara sebegini sering dilakukan oleh peniaga-peniaga di bazar ramadhan yang tidak jujur, tanpa kita sedari. Acap kali kita akan terbeli makanan yang telah basi dijual kembali dan apabila pulang ke rumah untuk menikmati juadah  tersebut sewaktu berbuka puasa, barulah kita menyedari  bahawa makanan yang dibeli sudah tidak elok lagi untuk disuapkan ke mulut. Jika sekiranya termakan makanan yang sudah rosak itu, sudah pasti ia memudaratkan diri dan menyebabkan keracunan makanan, sementelahan lagi ketika perut sedang lapar dan kosong.

Perbuatan seumpama ini sering dilakukan oleh para peniaga yang tidak begitu mementingkan kebersihan dan kualiti makanan yang dijual, sebaliknya hanya tahu untuk mendapatkan keuntungan lebih dengan kadar segera tanpa memperdulikan perasaan pelanggan yang mengeluarkan wang untuk membeli makanan daripada mereka. Sikap sebegini amatlah dikesali  sama sekali dan tidak harus dilakukan  oleh para peniaga Islam, semata-mata demi untuk mengaut keuntungan berganda dengan cara yang pantas dan mudah sehingga tergamak  menipu pelanggan.

Inilah yang dikatakan, “HARAM DALAM HALAL” – menipu dan memperdaya pelanggan itu haram, di dalam perniagaan yang halal di bulan yang mulia.

[Bersambung di “Haram Dalam Halal! (Bahagian 2)”]