Category Archives: 9/10

Abu Darda’ (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Abu Darda’ (Bahagian 1)”]

Dunia  dan harta dari sudut pandangan Abu Darda’.

Pada suatu hari ketika Abu Darda’ pergi berkunjung ke Syria, yang sewaktu itu amat makmur negerinya dengan para penduduknya hidup penuh dengan limpahan kemewahan. Maka apabila melihatkan kenyataan itu, lantas Abu Darda’ pun memberi peringatan :

“Wahai warga Syiria, kalian adalah saudara seagama, tetangga dan pembela dalam melawan musuh bersama, tetapi aku hairan melihat kalian. Mengapa kalian tidak punya rasa malu? Kalian kumpulkan apa yang tidak kalian makan. Kalian bangunkan semua yang tidak kalian huni. Kalian harapkan apa yang tidak kalian dapat. Beberapa kurun waktu sebelum kalian ,kaum Aa’d  juga telah mengumpulkan dan menyimpannya. Mereka memimpikan dan membina  lalu meneguhkan bangunan, tetapi akhirnya semua binasa. Rumah mereka menjadi kuburan belaka dan angan-angan hanya menjadi  sebuah fatamorgana sahaja.”

Abu Darda’ juga pernah mengirimkan sepucuk surat kepada seorang sahabatnya pada suatu hari. Di dalam suratnya itu beliau menulis :

“Tiada satu pun harta di dunia ini yang kamu miliki, melainkan sudah ada orang yang memilikinya sebelum kamu, dan tentu akan ada orang lain yang memilikinya sesudah kamu. Sebenarnya, harta yang kamu miliki sekadar yang kamu telah manfaatkan untuk dirimu. Maka utamakanlah harta itu untuk orang yang memerlukannya iaitu anak-anakmu yang mewarisimu. Mungkin kepada  anak soleh yang beramal untuk Allah, maka pasti engkau akan bahagia. Mungkin kepada anak durhaka yang mempergunakan harta itu untuk maksiat, maka engkau lebih celaka lagi dengan harta yang telah engkau kumpulkan. Oleh itu, percayalah bahawa nasib mereka adalah kepada rezeki Allah SWT, dan selamatkanlah dirimu sendiri.”

Menurut pendapat Abu Darda’, dunia ini seluruhnya hanyalah titipan Allah SWT.  Sewaktu banyak harta-harta rampasan telah dibawa ke Madinah sebagai hasil kemenangan pasukan Islam di Cyprus,  Abu Darda’ malah menangis.

Maka seorang sahabat bernama Zubair bin Nafis lantas bertanya, “Wahai Abu Darda’, mengapa engkau menangis ketika dimenangkan oleh Allah SWT?” jawab Abu Darda, “Wahai Zubair, alangkah hinanya makhluk di sisi Allah bila mereka meninggalkan kewajibannya terhadap Allah SWT, selagi ia perkasa, berjaya mempunyai kekuatan, lalu meninggalkan amanat Allah SWT, jadilah mereka seperti yang engkau lihat.”

Nasihat Abu Darda’ :

“Carilah kebaikan sepanjang hidupmu, kerana Allah SWT mempunyai tiupan rahmat yang dapat mengenai siapa sahaja yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya. Mohonlah kepada Allah SWT agar ia menutupi malu atau cela dan kejahatanmu serta menghilangkan rasa tidak tenteram di hatimu.” Ini kerana menurut Abu Darda’, ibadah bukan sekadar untuk mencari kebaikan dan mengerahkan segala daya upaya demi  untuk mendapatkan redha Allah SWT semata-mata, tetapi perlu juga sentiasa rendah hati mengingati tentang kelemahan diri sendiri.

Demikianlah mutiara hikmah dari beberapa nasihat yang telah ditinggalkan oleh sahabat baik junjungan kita Rasulullah s.a.w. iaitu Abu Darda’ yang penuh dengan cahaya hikmah dari kebeningan hatinya. Beliau berniaga dengan Allah dan seluruh hidupnya hanyalah untuk Allah SWT.

TIP

berzikir

*Dalam kesibukkan mencari rezeki, jangan lupa untuk sentiasa berzikir mengingati Allah kerana itu amat penting dan paling utama.

*Jalinkan hubungan yang baik sesama manusia di samping akrab juga hubungan dengan al-Khaliq.

*Lunaskan tuntutan terhadap Allah SWT sebelum melunaskan tuntutan terhadap manusia.

*Berniagalah dengan ikhlas dan jujur tanpa menipu sesiapa.

*Infaqkan harta yang diperolehi ke jalan Allah agar mendapat keberkatan dan keredhaan-Nya, selain daripada menyimpannya untuk keperluan diri dan keluarga.

 

Abu Darda’ (Bahagian 1)

“Kebaikan sebesar zarah (butiran kecil) dari orang yang bertaqwa, lebih berat dan bernilai daripada ibadah setinggi gunung dari orang yang menipu diri sendiri.” (Abu Darda’ r.a.)

Demikianlah kata-kata hikmah seorang ahli sufi dan seorang hartawan yang tidak pernah lalai dari menyebut nama Allah SWT dalam setiap urusan dan kehidupan sehariannya. Beliau sering merenung dan meneliti kembali setiap amal ibadahnya dan senantiasa mengingatkan orang tentang perilaku palsu.

Ini kerana menurutnya kepalsuan itu melemahkan iman serta merasakan diri lebih hebat daripada orang lain dan menyebabkan kesombongan. Oleh kerana hal itulah, maka beliau telah menuturkan kata-kata yang penuh hikmah dan amat bermakna untuk difahami dan dihayati seperti di atas.

Abu Darda’ adalah salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang  utama. Beliau terkenal sebagai  seorang sahabat yang cerdas tetapi hidupnya amat sederhana. Beliau sanggup menjauhi kehidupan duniawi dan lebih mementingkan ibadah. Beliau cuma menjalani kehidupan sebagai seorang ahli sufi yang warak dan telah menjadi  teladan kepada sahabat-sahabat nabi yang lain.

Kisah pengislamannya

Menceritakan tentang keislamannya, Abu Darda’ menyatakan : “Aku mengislamkan diriku kepada Rasulullah s.a.w. ketika aku ingin agar ibadah dan perniagaan dapat terhimpun dalam diriku. Tetapi tidak berhasil. Lantas aku kesampingkan perniagaan, agar aku dapat lebih banyak beribadah kepada Allah SWT. Sesungguhnya, aku tidak terlalu gembira meski setiap hari mendapat untung sebanyak 300 dinar. Allah memang tidak mengharamkan perniagaan, tetapi aku lebih suka bergabung dengan orang yang di dalam berniaga tidak melalaikan Allah SWT.”

saudagar islam

Abu Darda’ adalah seorang hartawan di Madinah dan juga merupakan seorang saudagar yang terkenal dengan sifat jujur. Beliau masuk Islam adalah kerana kejujurannya dan banyak orang begitu suka berdagang dengannya, berbanding dengan pedagang-pedagang yang lain. Ini adalah disebabkan beliau seorang pedagang yang tidak pernah menipu.

Jelas di sini, bahawa kejujuran itu amat penting dalam kehidupan seharian kita.  Lebih-lebih lagi apabila berurusan dengan ramai orang di sekeliling kita dan yang paling penting sekali jujur kepada diri sendiri dan jujur dalam mentaati perintah Allah SWT. Tidak kiralah siapa kita dan bagaimana pun  keadaan kita, tetapi sifat jujur dan amanah itu amat perlu ditanam dan diasuh sedari awal dalam diri agar kita lebih dipercayai dan dihormati.

Kemuliaan  seseorang itu bukanlah disebabkan oleh pangkat dan hartanya, tetapi adalah kerana sifat-sifat peribadi yang dimiliki olehnya yang boleh menjadi contoh teladan kepada orang lain yang mengenali  dirinya. Mampu menjadi Ikon untuk diikuti dan dicontohi. Begitulah dengan  sahabat nabi ini

Abu Darda’ mampu  mengambil hikmah kehidupan di dunia tetapi beliau tidak lupa mengharapkan untuk meraih pahala di akhirat jua. Setelah meninggalkan perniagaanya, Abu Darda’ telah menjalani hidup sebagai ahli sufi dan beberapa ajarannya yang penuh dengan hikmah di antaranya adalah :

“Maukah anda mendengarkan jika aku sampaikan amalan yang terbaik dan amalan yang terbersih di sisi Allah? Amalan yang mampu meninggikan darjat anda? Yang lebih baik daripada memerangi musuh di medan perang, yang lebih baik dari wang emas dan perak?”  ujar Abu Darda’.

Lantas bertanya para sahabat “Amalan apakah itu, wahai Abu Darda’?”

jawab beliau “Dzikrullah,” kerana dzikir kepada Allah itu lebih utama.

[Bersambung di “Abu Darda’ (Bahagian 2)”]

Mengapa Perlu Kita Pilih Untuk Berniaga? (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Mengapa Perlu Kita Pilih Untuk Berniaga? (Bahagian 1)”]

Maka semut itu pun bertanya, “Siapa punya beban yang kau bawa itu, wahai sang keldai?”
Maka keldai pun menjawab, “Bos saya punya, yang sedang minum dan makan-makan dibawah pohon di sebelah sana tu!”

“Oh begitu….” kata sang semut tersebut sambil tersenyum.

Sang keldai berkata, “Eh! Kamu semua ini pula, kenapa nampak begitu gembira? Sedangkan kamu semua terpaksa mengangkat beban makanan yang besar-besar belaka?” tanya sang keldai kepada sang semut tadi.

“Kami memang begini setiap hari. Kami juga membawa beban yang berat bahkan lebih berat dari badan kami tetapi kami rasa gembira sekali. Tiada istilah penat bagi kami dan kami sangat gembira melakukannya.”

“Mengapa boleh jadi begitu ya?” tanya sang keldai dengan rasa penuh kehairanan.

Ketua semut itu diam sejenak lalu berkata: “Barangkali kerana kita mempunyai jurang perbezaan wahai sang keldai yang dihormati.”

“Apa perbezaannya, sang semut? Saya lihat, kita sama sahaja, membawa bebanan masing-masing?” tanya keldai kembali.

“Kamu membawa beban yang berat tetapi beban yang berat itu bukan kepunyaanmu, tetapi majikanmu yang sedang makan minum dan berehat-rehat di bawah pohon sana, sedangkan kami semua membawa beban memang lebih besar daripada badan kami tetapi beban-beban ini adalah kepunyaan kami sendiri, dan bukannya bos kami.” demikian penjelasan semut.

Keldai itu termanggu-manggu tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana dia tetap seekor keldai yang hanya pandai menurut perintah majikannya tanpa sedikit pun sedar akan maksud yang disampaikan oleh sang ketua semut tersebut.

Baiklah, para pembaca yang budiman sekalian. Apakah moral yang boleh kita perolehi dari cerita ini?

Sebenarnya, banyak moral disebalik kisah ringkas ini! Tetapi terdapat satu pengajaran penting yang boleh kita ambil disini ialah;

semut

Walaupun beban, dugaan dan cabaran yang dihadapi oleh seseorang usahawan di dalam dunia perniagaan itu selalunya lebih besar dari dunia makan gaji, namun, mereka akan tetap sentiasa tabah dan gembira menghadapinya. Kerana, mereka tahu, mereka sedang berusaha untuk mencapai impian mereka sendiri, dan bukannya impian orang lain atau impian majikan mereka.

Pengajaran yang kedua, terdapat golongan yang tidak sedar tentang potensi mereka yang sebenar. Samada mereka tidak diberi peluang, tiada modal ataupun sudah tahu namun tidak berani untuk bertindak kerana terlalu risau tentang cakap-cakap belakang yang mengatakan berniaga itu berisiko tinggi untuk gagal, tiada pendapatan tetap dan tiada jaminan masa hadapan.

Penulis berharap agar mesej yang ingin disampaikan disini, membawa kesan walaupun sedikit kepada para pembaca. Minda kita harus dicuci dan dibersihkan. Jika kita sekarang sedang bekerja, belajarlah untuk berniaga secara sambilan dahulu. Jika tiada minat, banyakkan membaca tentang kejayaan usahawan-usahawan ternama dan ubahlah sikap, mungkin suatu hari nanti dibukakan hati untuk meminati perniagaan, kerana perniagaan itu Sunnah Rasulullah SAW.

Mengapa Perlu Kita Pilih Untuk Berniaga? (Bahagian 1)

Selamat bertemu kembali dalam artikel dalam keluaran kali ini dan penulis ingin berbicara tentang kepentingan memilih jalan perniagaan sebagai cara hidup.

Sepertimana yang kita semua sedia maklum, Islam amat menggalakkan perniagaan sebagai kerjaya umat muslim. Kita perlu yakin bahawa 9/10 sumber rezeki datangnya dari jalan perniagaan. Namun begitu, berdasarkan fakta, tahukah anda bahawa dalam komuniti manusia, hanya 1/10 sahaja yang menjalankan perniagaan sedangkan 1/10 inilah yang menjana pendapatan yang lumayan dan dari 1/10 ini, hanya 5% sahaja yang benar-benar kaya raya, yang lain hanya kaya biasa-biasa dan sebilangan besar mereka pula pernah merasa erti kegagalan dan kerugian puluhan ribu ringgit mahupun jutaan ringgit.

Sebenarnya, tidak ramai yang sanggup untuk berusaha keras untuk menjadi kaya, namun apabila ditanya tentang adakah anda mahu kaya? Rata-rata menjawab; “Ya, sudah pasti saya mahu kaya!”.

Apabila diajak untuk berniaga, mereka mula menjawab; “Baik sahaja aku makan gaji, kerja senang, bulan-bulan dapat gaji tetap, rajin ke malas ke, tetap dapat gaji!”

Mengapa berlaku sedemikian?

Penulis ingin bawakan kepada para pembaca sebuah kisah yang boleh dijadikan pengajaran buat semua para pembaca sekalian. Ayuh teruskan membaca dan sama-sama kita hayati maksud tersirat yang ingin penulis cuba sampaikan.

KISAH SEKUMPULAN SEMUT DAN SEEKOR KELDAI PEMBAWA BARANG

semut

Pada suatu hari, seekor keldai sedang beristirehat kerana merasa kepenatan setelah memikul barangan yang membebankan. Beban yang cuma sebesar setengah daripada punggungnya itu telah diletakkan dipunggungnya oleh majikan keldai itu. Keldai tersebut hanya mengikut sahaja perintah majikannya tanpa banyak soal walaupun hakikatnya ia sudah terlalu letih membawa bebanan tersebut.

Perjalanan tersebut begitu berat ditambah pula hari yang begitu panas terik, maka keldai itu pun beristirehat di pohon rendang, dengan nafas yang termengah-mengah dan mulutnya berbuih-buih. Ketika keldai itu sedang beristirehat, tiba-tiba lalulah segerombolan semut yang kelihatan sedang bernyanyi-nyanyi dengan riang gembira sambil membawa beban makanan mereka. Keldai itu mula tertarik melihat gelagat sekumpulan semut tersebut.

Semut-semut tersebut semuanya kelihatan gembira sambil membawa beban masing-masing, ada yang membawa bangkai, tulang-tulang binatang termasuk cebisan-cebisan ayam dan sebagainya lagi. Keldai itu berasa hairan apabila melihat segerombolan semut itu senang hati dengan riang gembira bernyanyi- nyanyi.

Semut-semut itu juga melihat keldai terduduk dalam keadaan kepenatan. Sebaik sahaja menghampiri keldai tersebut, ketua semut itu bertanya kepada keldai, “Hai keldai, apa yang sedang kamu lakukan di sini.”

“Saya sedang berehat wahai semut,” jawab keldai tersebut.

“Kenapa kamu kelihatan begitu penat sekali?” tanya semut lagi.

“Itulah dia saya begitu penat sekali sebab membawa beban ini, beban yang tidak sebesar badanku ini tapi tersangatlah penat bagiku,” jawab keldai itu lagi.

[Bersambung di “Mengapa Perlu Kita Pilih Untuk Berniaga? (Bahagian 2)”]

Rasulullah s.a.w – Teladan Sepanjang Zaman (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Rasulullah s.a.w – Teladan Sepanjang Zaman (Bahagian 1)”]

Baginda telah dibawa berniaga ketika berusia 12 tahun lagi. Pada usia semuda itu, baginda telah menunjukkan minat yang tinggi dan sanggup menghadapi cabaran dalam perniagaan. Semasa baginda berusia 20 tahun, baginda pernah diamanahkan untuk mengurus dan memperdagangkan harta yang dimiliki oleh Saidatina Khadijah.

Baginda menjalankan perniagaan dengan sepenuhnya berlandaskan hukum syarak serta mengamalkan sifat-sifat yang terpuji. Baginda juga disenangi oleh para pelanggan kerana tutur katanya yang berbudi bahasa serta pandai mengambil hati. Hal ini menyebabkan keuntungan selalu berpihak kepada baginda.

Contohi Akhlak Rasulullah s.a.w

Berniaga bukanlah semata-mata bertujuan untuk mencari keuntungan, kerana di dalam perniagaan, sering sahaja mendapat kerugian. Tujuan perniagaan mengikut Islam sebenarnya ialah, memperbesarkan serta memperluaskan aktiviti syariat atau bertujuan ibadah untuk mendapatkan pahala yang banyak. Justeru, di dalam perniagaan, hendaklah sentiasa mencari keredhaan Allah SWT dengan niat yang betul serta pelaksanaan yang betul.

Cara atau kaedah terbaik dalam menjalankan perniagaan agar mendapat keredhaan-Nya adalah  dengan mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w. dan Jadikanlah Rasulullah s.a.w sebagai Ikon atau ‘role model’ untuk kita berjaya dalam apa jua perkara. Insya-Allah pasti selamat di dunia mahupun di akhirat.

Islam telah menetapkan beberapa syarat dan garis panduan yang khusus dalam melaksanakan perniagaan. Garis panduan yang ditetapkan itu adalah bertujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya perselisihan faham dan penipuan di dalam bidang perniagaan. Semuga perniagaan yang telah atau bakal dijalankan mengikut syarat yang telah ditetapkan ini mendapat barakah dari-Nya.

murah rezeki

TIP

  • Amanah – penjual dan pembeli perlu bersikap jujur dan tidak menipu dalam perniagaan
  • Ihsan – mengambil kira semua aspek kemasyarakatan dan keberkatan dari Allah SWT.
  • Bekerjasama – Penjual dan pembeli hendaklah bertolak ansur, sekiranya timbul perkara yang tidak diingini.
  • Menjauhi perkara yang haram – amalan menipu dalam timbangan, riba, menjual barang yang diharamkan dan sebagainya perlu  dielakkan.
  • Melindungi penjual dan pembeli – penjual dan pembeli hendaklah saling melindungi hak masing-masing.

Rasulullah s.a.w – Teladan Sepanjang Zaman (Bahagian 1)

Di dalam islam, perniagaan dianggap sebagai satu aktiviti yang sangat mulia. Ia merupakan satu ibadah dan juga sunnah Rasulullah s.a.w. Aktiviti perniagaan sebenarnya sangat digalakkan dalam agama islam. Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran dan Hadis yang menyokong aktiviti jual beli ini.

perniagaan islam

Walaupun perniagaan merupakan suatu bidang yang penuh dengan risiko dan cabaran, di mana peniaga sentiasa berhadapan dengan kemungkinan mendapat untung atau rugi, namun naluri dan fitrah manusia tetap cenderung dan menginginkan keuntungan daripada sesuatu perniagaan itu. Justeru, tidak hairanlah terdapat sebahagian manusia yang sanggup melakukan apa sahaja cara, bagi mendapatkan keuntungan yang berlipat kali ganda.

Sekiranya perniagaan itu dijalankan dengan penuh amanah serta mengikut etika yang telah disyariatkan dalam Islam, Insya-Allah, syurgalah balasannya. Namun sekiranya ia dijalankan di luar batas syariat Islam, maka ianya tidak lagi dianggap sebagai ibadah, malah akan mendatangkan padah kepada diri di dunia mahupun di akhirat kelak.

Allah SWT telah berfirman dalam surah an-Nisa ayat 29 yang bermaksud :-

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil (tidak benar), kecuali dalam perdagangan yang berlaku atas dasar redha meredhai di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya Allah maha penyayang kepadamu.” (Surah al-Nisa’ : ayat 29)

ERA KEGEMILANGAN PERNIAGAAN  ISLAM

Sebelum kedatangan Islam, bangsa Arab telah muncul sebagai golongan pedagang yang berkemahiran dan menguasai jalan perdagangan dunia seperti Eropah, China, Parsi dan Afrika. Selepas kedatangan Islam, Mekah menjadi pusat ibadat yang terpenting di Semananjung Arab dan orang Arab mengambil peluang ini untuk menjalankan perdagangan ketika musim haji. Keamanan dan keselamatan sebagai pusat ibadat telah menarik pedagang lain untuk berniaga di situ. Hal ini sekaligus menjadikan Mekah sebagai pusat perdagangan.

Rasulullah s.a.w berketurunan dari Bani Hashim kaum Quraisy dan telah dipelihara oleh Abu Talib, iaitu bapa saudaranya yang merupakan saudagar Arab yang kaya. Kaum Quraisy merupakan ‘Kabilah’ (bangsawan) yang paling terhormat di Mekah dan maju dalam perniagaan.

[Bersambung di “Rasulullah s.a.w – Teladan Sepanjang Zaman (Bahagian 2)”]

Dalami Definisi Ibadah Haji dan Umrah (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Dalami Definisi Ibadah Haji dan Umrah (Bahagian 1)”]

Sejarah Ringkas Ibadah Haji Di Bawah Syariat Rasulullah S.A.W

  1. Haji telah diwajibkan pada Tahun Ke-5 Hijrah
  2. Pada Tahun Ke-6 Hijrah, Rasullullah S.A.W , mengerjakan umrah dengan disertai oleh 1500 orang para sahabat namun demikian rombongan ini tertahan di Hudaibiyah.
  3. Pada Tahun Ke-7 Hijrah, mereka membuat Umrah Qada’
  4. Pada Tahun Ke 10 Hijrah, Rasulullah S.A.W telah  mengisytiharkan untuk menunaikan Fardhu Haji.
  5. Pada 25 Zulkaedah Tahun 10 Hijrah, Rasulullah S.A.W dengan isteri-isteri Baginda telah memulakan perjalanan dan diikuti oleh 120,000 orang para sahabat.
  6. Haji tersebut dikenali sebagai Haji Islam, Haji Akbar atau lebih dikenali sebagai Haji Wada’

Rasulullah S.A.W telah bersabda dengan maksudnya :

“Daripada Aishah r.a berkata ia kepada Rasulullah S.A.W  bahawa kami percaya bahawa jihad itu adalah amalan yang paling utama, mengapa kami tidak berjihad, maka sabda Rasulullah S.A.W bagi kamu sebaik-baik jihad itulah haji mabrur. ” – (Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhary)

Perniagaan yang sesuai dijalankan pada musim Ibadah Haji dan Umrah.

Musim haji diibaratkan pintu rezeki terutamanya kepada peniaga-peniaga yang menjual barangan kelengkapan haji dan umrah. Perniagaan semasa musim haji di dunia dianggarkan bernilai AS$50 bilion ($61 bilion) dan dijangka meningkat berganda kepada AS$100 bilion menjelang 2020, menurut seorang professor pemasaran antarabangsa.

Jumlah itu merangkumi semua aspek perniagaan yang dikendalikan semasa musim haji seperti penginapan, pengangkutan dan makanan dan minuman (F&B).

Sebahagian besar jumlah itu dikuasai oleh Arab Saudi yang menjadi lokasi perhimpunan jemaah haji di dunia.

Seperti yang kita sedia maklum, Ibadah Haji dan Umrah mempunyai keberkatannya sendiri. Ianya bukan sahaja meliputi keberkatan pahala berganda serta penyucian diri, malahan juga mampu menjana ekonomi umat Islam yang menjalankan perniagaan.

haji dan umrah

Terdapat beberapa senarai produk atau barangan Haji dan Umrah berupa pakaian dan lainnya yang menjadi keperluan para jemaah melaksanakan ibadah tersebut:

1-      Kain Ihram

Kain Ihram adalah kain yang wajib dipakai oleh semua jemaah dalam melaksanakan ibadah Haji atau Umrah. Ianya merupakan kain yang tidak dijahit dan dipakai sepanjang masa beribadah Haji atau Umrah.

2-      Jubah

Para Jemaah kebiasaannya akan memakai jubbah selepas habis melaksanakan ibadah Haji atau Umrah kerana sepanjang ibadah tersebut dilaksanakan, umat islam dilarang memakai pakaian/kain yang berjahit. Maka sesudah ianya selesai, para jemaah pastinya lebih selesa memakai jubah memandangkan ia adalah pakaian tradisi penduduk di sana.

3-      Kopiah dan serban

Kopiah dan serban ibarat isi dengan kuku yang sentiasa dipakai bersama. Sudah pasti para jemaah memerlukannya untuk dipakai selepas ibadah Haji dilaksanakan.

4-      Telekung

Telekung sangat diperlukan oleh para jemaah wanita sebagai keperluan ibadah mereka. Maka sudah pasti ianya merupakan produk yang wajib untuk dijual buat para usahawan.

5-      Air Zam-zam

Sepertimana yang semua ketahui, air zam-zam adalah air terbaik didunia dan mempunyai khasiat dan kebersihan yang tidak pernah diragui. Air zam-zam hanya boleh didapati di Makkah dan ia terhad kepada beberapa liter sahaja yang boleh dibawa pulang ke Malaysia. Disebabkan perkara ini, air zam-zam yang diimport ke Malaysia sangat mahal harganya.

6-      Makanan Sunnah

Makanan Sunnah Rasulullah seperti kurma, delima, kismis, habbatus sauda dan lain-lain menjadi perkara wajib untuk dijadikan sebagai makanan yang baik untuk kesihatan. Ianya amat sukar ditemui di Malaysia dan perlu diimport dari Negara luar.

7-      Kekacang dan halwa

Kekacang seperti kacang pistachio, badam dan lain-lain amat digemari ramai dan ianya juga perlu diimport dari Negara luar. Perniagaan seperti ini sentiasa membuahkan hasil yang lumayan kerana sifatnya yang sentiasa ‘evergreen’.

 

Dalami Definisi Ibadah Haji dan Umrah (Bahagian 1)

Bertemu lagi kita dalam keluaran kali ini. Segmen 9/10 kali ini akan membawakan para pembaca mendalami maksud Ibadah Haji dan Umrah serta perniagaan yang boleh dijalankan berkenaan Haji dan Umrah. Sebelum pena penulis melangkah lebih jauh, elok penulis huraikan beberapa definisi frasa tertentu dalam melaksanakan Ibadah Haji dan Umrah.

HAJI

haji

Ibadah Haji mengikut kebiasaan sebutan orang adalah ‘haji besar’ dan ibadah Umrah pula disebut ‘haji kecil’. Musim Haji bermula daripada 1 Syawal hingga 10 Zulhijjah(hari raya puasa hingga hari raya haji), manakala Umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa termasuk di luar musim haji. Dari segi syarak pula ianya adalah mengunjungi Baitullahil Haram di Mekah untuk mengerjakan ibadat-ibadat yang tertentu di sana.

Menunaikan Haji

Menunaikan haji adalah rukun Islam kelima dan ia dikerjakan hanya di sekitar tanah suci Mekah serta masanya hanya dari 9 hingga 13 Zulhijah. Haji menurut syarak adalah mengunjungi Baitullah (Rumah Allah) di Mekah untuk beribadat ‘manasik’ (tawaf, saie, bergunting) dan wukuf pada waktu serta syarat-syarat tertentu dalam bulan Zulhijah.

“Tidak ada ganjaran bagi Ibadat Haji yang mabrur kecuali Syurga.” , “Sesiapa yang mengerjakan ibadat Haji dan tidak sekali-kali menyetubuhi isterinya juga tidak melakukan maksiat nescaya dia kembali suci bersih sebagaimana hari dia dilahirkan”, “Wahai umatku semua, sesungguhnya Allah s.w.t. memfardhukan ibadat haji kepada kamu, oleh itu kamu hendaklah mengerjakan ibadat haji.”

Lalu seorang lelaki bertanya kepada Baginda s.a.w.: “Adakah wajib dikerjakan pada setiap tahun, wahai Rasullullah?” Rasulullah s.a.w. hanya diam sehinggalah lelaki tersebut bertanya kali ketiga lantas Baginda s.a.w. menjawab: “Jika aku katakan ya, nescaya kamu wajib mengerjakan pada setiap tahun, oleh itu kerjakanlah ibadat haji ketika kamu berkemampuan.”

Semua imam-imam berpendapat bahawa ibadat Haji adalah fardhu, malah ia adalah rukun Islam kelima dan ia juga fardhu yang perlu dikerjakan secepat mungkin bagi yang berkemampuan.

Fardhu:

Ibadah Haji adalah Fardhu yang mesti dikerjakan dan beberapa syarat tertentu menjadi  penentu bagi ibadat Haji sama ada sah atau tidak serta tidak wajib membayar Dam apabila meninggalkannya. Fardhu juga dikira sebagai rukun dan syarat. Semua Mazhab bersependapat tentang perkara fardhu dan wajib dalam Haji. Fardhu Haji mesti dikerjakan malah batal Haji jika meninggalkannya. Fardhu juga dikira sebagai rukun Haji.

Perkara-perkara fardhu di dalam Haji terdiri dari empat perkara iaitu:
1- Berihram.
2- Wuquf di Arafah.
3- Tawaf Ifadhah.
4- Bersa’i di antara Bukit Safa dan Marwah.

Keempat-empat Mazhab berpendapat tentang perkara fardhu dan wajib dalam Haji.

Perkara-perkara wajib didalam Haji:

Wajib: Pekerjaan Haji yang mesti dikerjakan serta wajib membayar Dam jika meninggalnya.

Perkara-perkara wajib di dalam Haji terdiri dari tujuh perkara iaitu:

1- Berihram dari Miqat.
2- Wuquf di Arafah.
3- Bermalam di Muzdalifah.
4- Bermalam di Mina.
5- Bercukur atau bergunting rambut dan bercukur adalah afdhal.
6- Melontar setiap Jamrah.
7- Tawaf Wida’

Keempat-empat Mazhab bersependapat tentang perkara fardhu dan wajib dalam Haji.

Perkara-perkara sunat didalam Haji:

Perkara yang digalakkan mengerjakannya. Orang yang mengerjakannya akan diganjarkan dengan pahala dan orang yang meninggalkannya tidak akan dibalas seksa. Sunat, mandub, mustahab dan tatawwu’ ialah: Beberapa perkataan yang mempunyai pengertian sama.

Perkara-perkara sunat di dalam Haji iaitu:
1- Mandi sunat Ihram.
2- Bertalbiah.
3- Melakukan Tawaf Qudum bagi bagi orang yang mengerjakan Haji Ifrad dan Haji Qiran.
4- Bermalam di Mina pada malam Arafah.
5- Berlari-lari anak dan sopan-santun ketika melakukan Tawaf Qudum.

[Bersambung di “Dalami Definisi Ibadah Haji dan Umrah (Bahagian 2)”]

Saidatina Khadijah r.a – Tokoh Usahawan Wanita Islam Terulung (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Saidatina Khadijah r.a – Tokoh Usahawan Wanita Islam Terulung (Bahagian 1)”]

KEEMPAT : Intipati kejayaan yang seterusnya adalah, beliau dapat menjangka segala permasalahan dalam perniagaan.

chess

Seperti dalam permainan catur, seseorang individu itu harus dapat menjangkakan pergerakan musuh untuk menang. Begitulah cara yang diaplikasikan oleh Siti Khadijah. Antara masalah yang dapat dijangka oleh Khadijah adalah :

  1. Saiz pasaran tempatan yang kecil.
  2. Kurangnya perbezaan sehingga menyebabkan  bisnes lambat berkembang atau gagal.
  3. Strategi perniagaan yang lemah hingga menyebabkan perniagaan tidak produktif.
  4. Tiada pasukan pengurusan yang efektif.
  5. Pelan perniagaan yang tidak berkesan.
  6. Matlamat perniagaan yang kabur atau tidak jelas.

‘Bagaimana Khadijah menyelesaikan masalah itu?.’ Bagi masalah yang pertama, beliau telah menerokai pasaran luar seperti Syria dan Yaman juga tidak hanya menumpukan perhatian kepada bisnes di Mekah sahaja.

Seterusnya, Khadijah telah memilih Nabi Muhammad s.a.w sebagai rakan kongsi kerana beliau dapat melihat kebijaksanaan baginda dalam perniagaan. Bagi masalah yang ketiga, beliau telah menyelesaikannya dengan menawarkan keuntungan yang tinggi kepada Nabi Muhammad s.a.w sebagai pelaburan yang akan mendatangkan keuntungan berlipat ganda.

Ini menunjukkan kebijaksanaan Khadijah dalam pengurusan kewangannya. Bagi masalah yang seterusnya pula, Khadijah mengurangkan risiko ini dengan menghantar pembantunya, Maisarah, untuk membantu Nabi Muhammad s.a.w dan sekaligus membantu memantau perniagaannya. Bagi mengatasi masalah  serta pelan perniagaan yang tidak berkesan, beliau telah berjaya mengurangkan masalah agensi secara langsung dan tidak langsung. Manakala untuk menyelesaikan masalah yang terakhir, Khadijah telah menggunakan konsep mudarabah yang memadankan insentif dan matlamat perniagaan.

KELIMA : Seterusnya, intipati yang terakhir adalah, kecekapan Siti Khadijah dalam menguruskan masalah agensi.

Dalam perniagaan yang melibatkan pemodal dan pengurus perniagaan, wujud potensi untuk terbitnya masalah agensi. Bagi kontrak mudarabah, masalah akan timbul apabila usahawan tidak menjalankan tugasnya dengan baik mengikut cara yang melindungi hak-hak pihak yang terlibat.

Situasi yang dapat menggabungkan cara Siti Khadijah dalam mengurangkan masalah agensi adalah, dari segi insentif, dengan adanya kontrak mudarabah Nabi Muhammad mempunyai insentif untuk menjana keuntungan sebanyak mungkin. Ini kerana, semakin banyak keuntungan, maka semakin banyak pendapatannya.

Seterusnya, mekanisme pembahagian keuntungan. Mekanisme ini wujud melalui konsep kontrak mudarabah. Yang seterusnya, pemantauan dilakukan oleh Khadijah secara berterusan dengan bantuan pembantunya, Maisarah, dan Maisarah turut membantu memberikan maklumat yang sahih kepada Khadijah.

Kesimpulannya :-

Khadijah bukan sahaja seorang wanita yang mempunyai perilaku yang baik, malah beliau juga merupakan tokoh usahawan yang disegani kerana bijak menguruskan perniagaannya di tengah-tengah masyarakat Arab yang pada ketika itu memandang rendah terhadap golongan wanita sepertinya. Mungkin ketabahan dan kesungguhan Siti Khadijah dalam mengusahakan perniagaannya ini, sedikit sebanyak ia boleh membantu memberikan inspirasi kepada anda, siapa tahu anda boleh mengikut jejak langkahnya suatu hari nanti, Insya-Allah!

5 CARA SAIDATINA KHADIJAH BERNIAGA

  1. Menggunakan konsep ‘empowerment’.
  2. Memanfaatkan konsep Mudarabah.
  3. Kesinambungan perniagaan dan rancangan pewarisan.
  4. Dapat menjangka masalah dalam perniagaan.
  5. Kecekapan menguruskan masalah agensi.

 

Saidatina Khadijah r.a – Tokoh Usahawan Wanita Islam Terulung (Bahagian 1)

Siti Khadijah Binti Al-Khuwailid begitulah nama diberi, beliau merupakan seorang isteri, sahabat, dan kekasih yang penyayang kepada baginda Rasulullah s.a.w. Namun, di sebalik sifatnya yang lemah lembut dan penyayang itu, beliau merupakan seorang ahli perniagaan wanita yang amat dikenali sekitar tahun 585 masihi, selepas mewarisi perniagaan bapanya.

Dalam situasi masyarakat Arab pada zaman itu yang gemar memandang rendah terhadap kemampuan kaum hawa, Khadijah masih dapat berdiri seiring dangan mereka. Kehebatannya dalam bidang perniagaan merupakan sesuatu yang amat mengkagumkan pada ketika itu. Di sini ingin kami rungkaikan satu persatu akan kehebatan bagaimana cara Siti Khadijah berniaga.

PERTAMA : Saidatina Khadijah telah menggunakan konsep ‘empowerment’ dalam perniagaannya. ‘Apakah konsep yang dimaksudkan itu?.’

Konsep ini amat bertentangan dengan konsep berniaga secara kuku besi atau autokrasi, ini kerana beliau membenarkan para pekerjanya untuk berfikir, bertindak, dan mengambil keputusan dengan bebas. Dengan sikap yang sedemikian ia memberikan satu sumbangan yang positif dalam pengukuhan dan kemantapan sesebuah organisasi untuk berkembang.

Kita boleh mengambil contoh dalam hal ini, di mana ketua bagi sesebuah organisasi tidak harus  mengekang dan menghadkan kebolehan para pekerjanya, agar suasana bekerja dengan tenang dan aman dapat berjalan dengan lancar serta bakal mengaut keuntungan yang banyak apabila dapat bekerjasama dengan baik.

Dalam konteks bisnes, Khadijah telah memberikan kuasa sehingga ke tahap yang tertentu kepada para pekerja dan ‘mudarib-nya’ iaitu (rakan kongsi yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan)  untuk menjalankan bisnesnya. Ini terbukti, apabila rombongan para pekerja dan mudarib-nya berniaga, beliau tidak turut serta bersama mereka.

Dalam konsep ‘Mudarabah’, perniagaan dikendalikan oleh mudarib dan para pekerja yang diberi kuasa untuk melanjutkan ‘empowerment’. Namun begitu, pemantauan yang berterusan tetap di jalankan.

KEDUA : Konsep Mudarabah ini adalah sangat bermanfaat kepada ekonomi sesebuah Negara kerana ia menggalakkan sifat keusahawanan, mengurangkan kebergantungan terhadap subsidi, dan menambahkan peluang pekerjaan untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan.

Dalam pada itu, bagi Rasulullah s.a.w sendiri, selain daripada faedah kewangan, beliau juga turut mendapat faedah tidak ketara di atas kontrak mudarabah bersama Siti Khadijah berkaitan peranan strategik dan operasional yang dijalankan oleh Siti Khadijah.

KETIGA : Intipati kejayaan Siti Khadijah seterusnya adalah, kesinambungan perniagaan dan rancangan pewarisan atau ‘succession planning’.

camels

 

Ia memberikan peranan penting dalam meneruskan perniagaan. ‘Succession planning’ adalah satu proses dalam mempersiapkan orang lain sebagai pengganti kepada  individu tertentu untuk sesebuah institusi. Dalam fahaman ini, institusi yang dimaksudkan itu adalah perniagaan Siti Khadijah.

Gangguan terhadap perniagaan selepas bersara atau meninggal dunia dapat dicegah sekiranya, ‘succession planning’ dijalankan. Dalam situasi  ini, Siti Khadijah telah mengahwini Nabi Muhammad s.a.w kerana sifat baginda yang mulia dan secara tidak langsung menjadikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai tunggak yang akan menggantikannya dalam urusan perniagaannya kelak.

Jika kita menganalisis perniagaan Siti Khadijah, dapat dilihat jelas di sini bahawa ia berada di fasa perluasan. Sebelum perniagaannya memasuki fasa kemerosotan, beliau telah mencari pengganti yang sesuai dan berkelayakan agar hayat perniagaannya dapat dipanjangkan.

[Bersambung di “Saidatina Khadijah r.a – Tokoh Usahawan Wanita Islam Terulung (Bahagian 2)”]