Category Archives: 9/10

Nabi Sulaiman Raja Agung yang Kaya Raya Namun Tetap Beriman (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Nabi Sulaiman Raja Agung yang Kaya Raya Namun Tetap Beriman (Bahagian 1)”]

Maka ratu Balqis dengan hanya sekelip mata sudah berada di istana baginda dan beliau sangat terkejut dan segan akan kehebatan dan kekayaan kerajaan Nabi Sulaiman. Kekayaan kerajaan Nabi Sulaiman jauh meninggalkan kekayaan beliau dan akhirnya Ratu Balqis mengakui kehebatan Nabi Sulaiman dan bertukar aqidah dari menyembah matahari kepada menyembah Allah yang Maha Esa. Sekalian rakyat beliau turut mengikut jejak dengan beriman kepada Allah.

Allah s.w.t berfirman

“Dan sesungguhnya Kami telah memberi ilmu kepada Daud dan Sulaiman; dan keduanya mengucapkan: ‘Segala puji bagi Allah yang melebihkan kami dari kebanyakan hamba-hamba-Nya yang beriman.’ Dan Sulaiman telah mewarisi Daud dan dia berkata: ‘Hai manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu, sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurnia yang nyata.'” (Surah an-Naml: 15-16)

burung

Rasulullah saw bersabda: “Kami para nabi tidak mewariskan.”

Nabi Sulaiman mewarisi kenabian dari Nabi Daud. Perkara ini adalah hal yang jelas. Allah s.w.t telah memilihnya sebagai Nabi dari Bani Israel. Begitu juga, Allah s.w.t telah memberinya kekuasaan (kerajaan) sehingga ia menjadi pemimpin Bani Israel. Nabi Daud pada asalnya hanyalah seorang pengembala kambing namun dengan ilham dan wahyu dari Allah, Nabi Daud akhirnya menjadi seorang panglima pasukan yang tiada tandingan. Kehebatan ini dapat diwarisi oleh Nabi Sulaiman.

Allah s.w.t. telah menceritakan kisah Nabi Daud dan Nabi Sulaiman dalam Al-Quran. Antaranya:

“Dan Kami kuatkan kerajaannya.” (Surah Shad: 20)

Ayat tersebut bererti bahawa Nabi Daud belum pernah kalah dalam peperangan yang diikutinya. Dengan bimbingan yang Allah s.w.t berikan kepada Nabi Daud dan juga pasukannya dan rakyatnya di mana mereka adalah orang-orang yang bertauhid dan menyerahkan diri kepada Allah s.w.t, Allah s.w.t mengungkapkan kepada Daud hal-hal yang menjadikan pasukannya memiliki keistimewaan yang dengannya mereka dapat mengalahkan pasukan-pasukan yang lain yang ada di bumi saat itu.

Allah s.w.t berfirman:

“Dan Kami telah melunakkan besi untuknya.” (Surah Saba’: 10)

Masalah baju besi yang dibuat untuk orang-orang yang hendak berperang cukup mengganggu gerakan mereka. Kita boleh bayangkan ketika ada dua orang yang berperang yang salah satunya dapat bergerak dengan bebas dan pantas, sementara yang lain tidak dapat bergerak dengan hebat disebabkan baju besinya yang berat. Namun dengan kekuasaan Allah s.w.t, Nabi Daud dapat melunakkan besi dan membuat baju besi yang ringan. Ini adalah kemajuan penting yang Allah s.w.t berikan kepada Nabi Daud dan tenteranya. Kemajuan ini kini dimiliki oleh Nabi Sulaiman. Demikianlah Nabi Sulaiman memiliki pasukan yang dahsyat yang melebihi pasukan mana pun di bumi pada saat itu. Allah s.w.t telah menambah kurniaan-Nya kepada Nabi Sulaiman:

“Dan Sulaiman telah mewarisi Daud, dan dia berkata: ‘Hai manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurnia yang nyata.'” (Surah An-Naml: 16)

Pada suatu hari baginda menadah tangannya dan berdoa kepada Allah s.w.t. Antara hati Nabi dan Allah s.w.t tidak ada penghalang, jarak, atau waktu. Tiada seorang pun dari para nabi yang berdoa kepada Allah s.w.t kecuali doanya pasti terkabul. Kejernihan hati ketika mencapai puncak tertentu, maka ia akan mencapai apa sahaja yang diinginkan di jalan Allah s.w.t. Dalam doanya, Nabi Sulaiman berkata:

“Ia berkata : Ya Tuhanku, ampunilah aku dan anugerahilah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seseorangpun sesudahku.” (QS. Shad: 35)

Sulaiman menginginkan dari Allah s.w.t suatu kerajaan yang belum pernah diperoleh oleh siapa pun setelahnya. Allah s.w.t mengabulkan doa hamba-Nya Sulaiman dan memberinya kerajaan tersebut. Nabi Sulaiman sama sekali tidak taksub kepada kekuasaan dan ingin menunjukkan sikap kesombongan namun baginda ingin mendapatkan kekuasaan untuk memerangi kezaliman di muka bumi. Cuba kita perhatikan kata-kata Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis ketika beliau berdialog dengannya tentang istananya dalam surah An-Naml:

“Dan ketika Ratu Balqis datang, ditanyakanlah kepadanya: ‘Serupa inikah singgahsanamu?’ Dia menjawab: ‘Seakan-akan singgahsana ini singgahsanaku, kami telah diberi pengetahuan sebelumnya dan kami adalah orang-orang yang berserah diri.” (Surah An-Naml: 42)

Ketika kita membuka lembaran-lembaran sejarah kehidupan Nabi Sulaiman yang diungkap oleh Al-Quran, kita akan mengetahui bahawa kita berada pada zaman keemasan Bani Israel, iaitu masa Nabi mereka dan penguasa mereka Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman tidak merasa puas dengan apa yang telah diwarisinya dari Nabi Daud. Perkara ini yang membuatkan Nabi Sulaiman sentiasa cemerlang dalam pimpinannya dan menjadi contoh dan ikon dalam menjadi pemimpin hebat, walaupun hidup dengan penuh kekuasaan, kehebatan dan kekayaan, namun tetap tunduk dan taat kepada Allah s.w.t.

 

Nabi Sulaiman a.s. Raja Agung yang Kaya Raya Namun Tetap Beriman (Bahagian 1)

Bertemu lagi dalam artikel untuk keluaran kali ini. Kali ini penulis ingin berkongsi tentang kisah Nabi Sulaiman a.s. yang kaya raya namun imannya masih tetap utuh kepada Allah s.w.t. Seperti mana yang kita ketahui dan pelajari dari kisah-kisah Para Anbiya, Nabi Sulaiman adalah seorang Nabi dan seorang Raja yang Agung.

Nabi Sulaiman merupakan putera kepada Nabi Daud a.s. Setelah kewafatan Nabi Daud, baginda dilantik menjadi pengganti dalam pemerintahan kerajaan Bani Israel. Disebabkan kebolehan dan bakat kepimpinan yang hebat, baginda telah menjadi raja ketika usianya masih muda iaitu 13 tahun.

Walaupun masih muda, baginda mempunyai kebolehan serta kepandaian dalam memerintah dan baginda sangat terkenal sebagai pemerintah yang hebat. Nabi Sulaiman dikurniakan oleh Allah dengan pelbagai kelebihan dan mukjizat yang menakjubkan.

Mukjizat Nabi Sulaiman

Antara mukjizat yang ada pada diri baginda termasuklah baginda dapat menguasai angin yang telah menjadi sebagai alat pengangkutannya. Baginda juga mampu memerintah makhluk dari golongan jin. Baginda turut memahami segala bahasa pertuturan binatang-binatang yang ada termasuklah burung-burung dan serangga.

serangga

Kekayaannya Tidak Terjangkau

Kekayaan Nabi Sulaiman tidak terjangkau akal dan tidak terkira banyaknya kerana baginda mempunyai kebolehan mengetahui di mana letaknya harta-harta yang tersembunyi di perut bumi. Nabi Sulaiman hidup dengan penuh kehebatan dan kemewahan di istana baginda.

Walaupun baginda diselubungi dengan harta kekayaan, kememakmuran, kelebihan dan kehebatan, semua ini tidak menjadikan baginda seorang yang sombong dan bongkak. Baginda tetap merupakan seorang yang kuat ibadah, adil, bijaksana dalam memerintah dan mempunyai otak yang cerdas dalam menjalankan urusan pemerintahannya.

Kisah burung hud-hud

Pada suatu hari, Nabi Sulaiman mahukan laporan daripada seekor burung hud-hud yang baginda arahkan mencari sumber air di negeri Yaman yang telah dilanda kemarau. Namun begitu burung hud-hud yang ingin ditemui baginda tidak kunjung tiba menyebabkan Nabi Sulaiman menjadi murka. Baginda akan menghukum burung tersebut jika ia datang tanpa sebab yang munasabah atas kelewatannya.

Setelah lama menunggu, akhirnya burung hud-hud tersebut pun tiba sambil menundukkan kepalanya tanda takut atas kelewatannya. Tanpa berlengah lagi burung hud-hud tersebut melaporkan tentang berita yang diketahuinya mengenai sebuah negeri yang kaya raya bernama Sabak.

Negeri Sabak diperintah oleh seorang perempuan bernama Ratu Balqis. Namun begitu, Ratu Balqis serta rakyatnya tidak pula beriman kepada Allah sebaliknya menyembah dan bertuhankan matahari.

Dakwah Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis

Nabi Sulaiman yang sebelum itu murka kepada burung hud-hud tersebut tidak jadi menjatuhkan hukuman kepadanya. Berita tentang kekufuran Ratu Balqis serta rakyat jelatanya lebih menarik perhatian baginda lalu menulis sepucuk surat untuk diutuskan kepada Ratu Balqis.

Surat tersebut berupa seruan dakwah dari Nabi Sulaiman supaya Ratu Balqis dan seluruh rakyat jelatanya menyembah serta mengabdikan dirinya kepada Allah yang Esa dan meninggalkan segala sembahan yang lain. Burung hud-hud tersebut telah diamanahkan untuk mengirimkan surat tersebut kepada Ratu Balqis.

Surat itupun telah dibawa oleh burung hud-hud. Sesampainya ia ke negeri Sabak dan istana Ratu Balqis, ia menjatuhkan surat tersebut dihadapan Ratu Balqis lalu Ratu Balqis mengambil serta membacanya. Nabi Sulaiman telah mengarahkan supaya menyerahkan diri di bawah kekuasaan kerajaannya serta beralih daripada menyembah matahari kepada menyembah Allah yang Maha Esa disamping tidak bersikap sombong.

Setelah membaca surat tersebut barulah Ratu Balqis sedar bahawa ada lagi sebuah kerajaan yang lebih hebat selain kerajaan Sabak. Ratu Balqis lalu mengarahkan utusan beliau kepada Nabi Sulaiman setelah berbincang dengan para cerdik pandai dari kerajaannya. Utusan yang dihantar membawa pelbagai hadiah berupa emas dan intan berlian sebagai memujuk Nabi Sulaiman menarik balik arahan baginda. Namun baginda menolak segala hadiah tersebut  kerana baginda sendiri mempunyai harta yang tidak terkira banyaknya.

Baginda mengarahkan utusan tersebut untuk pulang semula ke Sabak dan menyampaikan dakwah serta pesanannya agar meninggalkan amalan menyembah matahari. Mereka pun pulang lalu menceritakan kepada Ratu Balqis tentang kehebatan  dan kekayaan Nabi Sulaiman melebihi Ratu Balqis.

Ratu Balqis tidak percaya dan ingin melihat dengan matanya sendiri. Perkara ini telah diketahui oleh Nabi Sulaiman lalu baginda memerintahkan rakyatnya dari kalangan jin membawa Ratu Balqis ke istana baginda dengan sekelip mata.

[Bersambung di “Nabi Sulaiman Raja Agung yang Kaya Raya Namun Tetap Beriman (Bahagian 2)”]

Salman Al-Farisi (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Salman Al-Farisi (Bahagian 1)”]

Sara hidup dengan menganyam daun-daun kurma

Salman Al-Farisi, merupakan seorang gabenor di Al-Madain yang terletak berhampiran dengan Kota Baghdad. Selain itu beliau juga adalah seorang amir.

Meskipun beliau adalah seorang gabenor dan seorang amir yang terjamin kehidupan dan pendapatannya, namun beliau tetap berusaha gigih dan bekerja sendiri untuk menguruskan serta mengawasi kebun kurmanya bagi menyara hidup keluarganya.

Salman Al-Farisi sanggupmengambil upah merajut dan menganyam daun-daun kurma untuk dijadikan tikar, bakul dan beg sebagai sumber pendapatan beliau untuk  menyara keluarganya. Beliau membelinya dengan harga 1 dirham dan dijualnya kembali dengan harga 3 dirham. Hasil pendapatan daripada  jualannya itu telah dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu 1 dirham digunakan untuk pusingan modal, 1 dirham digunakan untuk bersedekah dan 1 dirham lagi digunakan untuk dinafkahkan kepada keluarganya. Di sini jelas menunjukkan betapa Salman Al-Farisi tidak sekali-kali menggunakan kuasa dan amanah yang dimandatkan kepadanya untuk kepentingan diri sendiri dan keluarganya. Inilah ciri-ciri seorang pemimpin dan ketua yang amat kita sanjungi yang sukar ditemui pada masa kini.

Sebagai seorang gabenor negara, sudah pastilah beliau mendapat  insentif sebanyak 5000 dirham, tetapi kesemua wang tersebut telah diinfakkannya ke jalan Allah dan tidak ada satu dirham pun yang diambilnya untuk keperluan diri. Beliau sanggup menolak untuk tidak menerima wang gajinya sebagai seorang gabenor negara. Demikianlah pengorbanan besar yang dilakukan oleh Salman Al-Farisi yang begitu zuhud serta berpegang  teguh dengan  agamanya iaitu Islam.

Sumbangan dan jasa Salman Al-Farisi.

sumbangan

Sepanjang baliau bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. beliau tidak pernah sekalipun menyertai peperangan kecuali peperangan khandak yang merupakan peperangan pertama yang telah disertai olehnya. Bermula daripada detik  itulah beliau tidak akan melepaskan peluang yang ada untuk turut serta dengan Rasulullah s.a.w. di dalam peperangan-peperangan  yang lain sebagai jihad dan perjuangannya menegakkan Islam.

Ketika  berlakunya peperangan khandak yang diketuai oleh Rasulullah s.a.w. bersama dengan tentera  Islam yang hanya berjumlah 3,000 orang, sedangkan pihak musuh pula terdiri daripada 10,000 orang maka, Salman Al-Farisi pun mencadangkan kepada Nabi agar kaum muslimin menggali parit di sekeliling Kota Madinah sebagai satu strategi  utama, untuk menewaskan musuh-musuh Islam yang pada ketika itu tentera Islam telah diancam oleh tentera Musyrikin Mekah serta kaum yahudi yang laknat. Salman Al-Farisi menyuarakan pendapatnya kepada Rasulullah s.a.w. dan dengan persetujuan Rasulullah s.a.w. maka kerja-kerja pembinaan parit tersebut telah berjaya dilakukan dan dapat disiapkan dalam tempoh enam hari sahaja.

Berkat  cadangan itu jugalah maka tentera Islam telah berjaya bertahan daripada dalam Kota Madinah.  Madinah akhirnya terselamat daripada jatuh ke tangan musuh-musuh Islam dan umat Islam telah mendapat kemenangan besar di dalam peperangan khandak. Alangkah hebatnya Salman Al-Farisi menggunakan kepakaran yang ada pada dirinya, untuk menewaskan musuh Islam dengan kejutan yang telah dilakukannya.

5 Sifat terpuji

1. Tunaikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin tanpa memikirkan  imbuhannya.
2.  Sentiasa memahami dan bersikap rendah diri walau siapa pun anda dan sebesar mana pun jawatan yang disandang agar anda menjadi insan yang lebih dihormati dan disanjungi.

3. Tidak mengambil kesempatan di atas kepercayaan yang diberikan dengan sentiasa bersikap jujur dan telus.
4. Keteguhan jiwa dan ketinggian budi akan menjadikan kita insan yang hebat dan dimuliakan.
5. Lengkapkan diri dengan segala ilmu agar kita bijak dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul serta berhikmah bila berkata-kata.

Salman Al-Farisi (Bahagian 1)

Salman Al-Farisi merupakan salah seorang sahabat karib junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.  Beliau adalah seorang tokoh yang sangat menyerlah daya kepimpinannya dan amat disayangi oleh Rasulullah s.a.w. lantaran keberanian, keikhlasan serta sifat zuhudnya terhadap kemewahan dan kehidupan duniawi.

Salman Al-Farisi

Nama penuh Salman Al-Farisi ialah Mabah bin Budzkhasyan bin Mousilan bin Bahbudzan bin Fairuz bin Sahrk Al-Isfahani. Beliau berasal  daripada keluarga Zoroastrian yang begitu dihormati  dan disegani dari sebuah desa, iaitu Jayyan yang terletak berhampiran Kota Isfahan, Persia (Parsi). Bapanya adalah seorang  Dihqan (Ketua Kampung) dan juga merupakan orang terkaya yang memiliki rumah terbesar dan juga  kebun kurma yang sangat luas dan banyak hasilnya. Beliau amat disayangi oleh bapanya sehingga beliau telah ditempatkan di sebuah kuil agama Majusi sebagai  penjaga  api.

Pencarian yang panjang

Namun begitu, Salman tetap tidak merasa tenang dan aman dengan agama yang dianutinya sehingga berlaku pergolakkan jiwa  dalam dirinya, lantas mendorong beliau untuk mencari agama baru yang lebih baik dan boleh mendamaikan jiwanya. Dengan hidayah Allah SWT, beliau meneruskan pencarian dan pengembaraannya untuk mencari agama baru yang lebih baik dan menepati kehendak hatinya. Kisah perjalanan kehidupan Salman Al-Farisi untuk mendapatkan hidayah Allah SWT amatlah panjang.

Sebelum memeluk Islam, beliau asalnya adalah  seorang yang beragama Majusi, berbangsa Parsi dan kemudian memeluk agama Nasrani. Beliau sanggup pergi ke negeri  Syam dan kemudian ke Yathrib dan seterusnya ke Madinah, semata-mata untuk mencari kebenaran dalam agamanya. Sewaktu mula-mula  beliau memeluk agama Islam, beliau adalah seorang hamba, namun demikian Rasulullah s.a.w. telah menganjurkan kepada para sahabat supaya memerdekakannya.

Salman Al-Farisi sangat terkenal sebagai seorang mukmin yang kuat beribadat, bersifat rendah diri dan tiada langsung tertarik dengan kehidupan dan kemewahan duniawi. Beliau amat terkenal dengan sifat taqwa dan zuhudnya. Beliau juga merupakan seorang tokoh sahabat nabi yang banyak meriwayatkan hadis-hadis  daripada Rasulullah s.a.w. kerana beliau adalah salah seorang sahabat yang banyak bergaul dengan baginda Rasulullah  s.a.w.  sendiri.

Pernah suatu ketika juga beliau  tinggal serumah, bersama dengan Abu  Darda’ yang terkenal sebagai seorang ahli sufi, yang mempunyai kebiasaan melakukan ibadah pada waktu malam dan shaum diwaktu siang. Oleh yang demikian Salman telah melarangnya dari keterlaluan beribadah seperti itu lantas menegur Abu Darda’ dengan penuh hikmah dan lemah lembut.

“Sesungguhnya kedua matamu mempunyai hak atas dirimu, demikian pula keluargamu mempunyai hak atas dirimu, Di samping engkau shaum, berbukalah dan di samping melakukan solat tidurlah.”

Peristiwa ini  telah sampai  ke pendengaran Rasulullah s.a.w. maka baginda pun bersabda :

“Sungguh, Salman telah dipenuhi dengan ilmu.”

Sepanjang hayatnya, Salman Al-Farisi sempat menjalani kehidupan bermula daripada  zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah kepada zaman pemerintahan Saidina Uthman bin Affan, iaitu khalifah Islam yang ketiga. Baginda Rasulullah s.a.w. sering memuji-muji Salman Al-Farisi lantaran kecerdasan dan ketinggian ilmu yang dimilikinya, sebagaimana beliau memuji agama dan budi pekerti serta akhlaknya yang luhur,  ketika orang Anshar dan Muhajirin ingin mendapatkannya.

Rasulullah s.a.w. pun bersabda : “Salman adalah golongan kami, Ahlul Bait.” Demikianlah betapa kasihnya Rasulullah  s.a.w.  kepada Salman Al-Farisi.

[Bersambung di “Salman Al-Farisi (Bahagian 2)”]

Tip Murah Rezeki Cara Islam (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Tip Murah Rezeki Cara Islam (Bahagian 1)”]

Tip #6. Sentiasa Bersyukur kepada Allah

Setiap waktu dan ketika, kita sebagai hamba-Nya wajib bersyukur atas segala kurniaan-Nya. Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah SWT. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7)

Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)

baca al-quran

Tip #7. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Al-Quran tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau Asma’ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten 7 kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah Ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, Ya Fattah Ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa yang mengamalkan membaca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Insya-Allah.

Tip #8. Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba itu dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah menyuruh kita meminta kepada-Nya, nescaya DIA akan perkenankan dan jangan sesekali bergantung harap kepada yang lain, kerana perbuatan sedemikian adalah syirik yang merupakan dosa besar.

Tip #9. Berikhtiar atau berusaha sehabisnya

Barangsiapa yang berusaha, pasti dia akan mendapat sesuatu atau memperolehi hasilnya. Perkara ini adalah sunnatullah. Dalam satu hadis sahih, dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tetapi agama hanya Allah berikan kepada orang yang dicintai-Nya sahaja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Sebagai orang beriman, tentulah kita perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada kemurahan rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang hati bacalah Al-Quran, hendak dapat anak yang baik, didiklah mereka sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat jagalah pemakanan dan makan makanan yang baik dan halal, hendak mendapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak memperolehi rezeki berkat jauhilah perkara yang haram, dan sebagainya.

Tip #10. Bertawakal

Dengan bertawakal semata-mata kepada Allah SWT, seseorang itu akan direzekikan dengan rasa kaya jiwanya. Ini bersesuaian dengan Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:

Barangsiapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)

Nabi Muhammad SAW pula telah bersabda:

“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.”(Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “Jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)

Sebagai kesimpulan, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kunci utamanya adalah melaksanakan amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Sekian, moga bertemu lagi dalam keluaran seterusnya. Salam ukhuwah dari kami di Majalah IK. Wassalam.

 

Tip Murah Rezeki Cara Islam (Bahagian 1)

Rezeki itu bukanlah tertakluk kepada wang ringgit semata-mata. Ia juga mungkin hadir dalam bentuk anak-anak yang soleh, isteri yang taat, dikelilingi sahabat-sahabat yang baik, jiran yang baik serta saling menghormati dan berbagai lagi rezeki kurniaan Allah SWT.

Dengan adanya rasa syukur atas kurniaan-Nya, Allah berhak menambahkan lagi keluasan rezeki kita pada bila-bila masa dan juga berhak menarik kembali kemewahan yang telah dikecapi jika kita tidak bersyukur.

Tip #1. Menjalin silaturrahim

Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda:

“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)

Kita dapat lihat di sini, bahawa dengan merapatkan silaturrahim Insya-Allah, seseorang itu akan dilapangkan rezekinya. Umat Islam sememangnya amat ditegah dan dilarang memutuskan silaturrahim, kerana ia akan meninggalkan kesan buruk terhadap diri, keluarga dan masyarakat khasnya.

berwudhuk

Tip #2. Melazimi kekal berwuduk

Seorang Arab desa, telah menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta panduan mengenai beberapa perkara, termasuk mahu dimurahkan rezekinya oleh Allah . Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

Dengan menjaga kebersihan dan sentiasa bersih daripada hadas juga dikatakan punca kepada keluasan rezeki yang Allah akan kurniakan.

Tip #3. Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah SWT. Ia menjadi penyebab untuk Allah SWT membuka pintu rezeki kita. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:

“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.”
(Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

Sedekah juga akan menyuburkan lagi rezeki yang diperolehi. Dengan bersedekah, harta yang diperolehi umpama sebuah pohon yang tumbuh segar dan mekar tanpa kerosakan. Jangan risau, Allah SWT akan melipatgandakan rezeki kepada pemberi sedekah. Bersedekah tidak akan mengurangi walau sedikit pun rezeki kita, malahan semakin bertambah.

Tip#4. Melazimi solat malam (tahajud dan lain-lain)

Terdapat keterangan bahawa amalan solat tahajud memudahkan kita memperolehi rezeki, meningkatkan darjat kita, menjadikan diri dihormati orang dan doanya dimakbulkan oleh Allah SWT. Solat malam yang kebiasaannya dilakukan pada sepertiga malam sangat baik dijadikan sebagai amalan rutin demi mendapatkan redha Allah SWT, kerana pada waktu itu adalah waktu yang sangat mustajab untuk berdoa, di kala suasana tenang dan sunyi, ketika insan lain sedang nyenyak dibuai mimpi.

Tip #5. Melazimi solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dilaksanakan sewaktu orang sedang sibuk dengan urusan duniawi (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Di dalam sebuah hadis qudsi juga ada disebutkan:

“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

[Bersambung di “Tip Murah Rezeki Cara Islam (Bahagian 2)”]

Abdullah Ibnu Al-Mubarak : Siapakah Sebenarnya Beliau? (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Abdullah Ibnu Al-Mubarak : Siapakah Sebenarnya Beliau? (Bahagian 1)”]

Berjuang menegakkan syiar Islam.

perjuangan islam

Seperti yang umum ketahui, Abdullah Ibnu al-Mubarak bukan sahaja seorang hartawan, dermawan dan ulama yang disegani . Tetapi, beliau juga merupakan seorang pahlawan Islam yang ulung dalam menegakkan kalimah Allah SWT. Beliau dikatakan seorang pejuang Islam yang begitu handal dan berani dalam peperangan.

Menceritakan tentang kisah kepahlawanannya, berkata Abdullah bin Sinan : “Suatu waktu aku bersama Abdullah bin al-Mubarak dan Mu’tamir bin Sulaiman di Thursus, tiba-tiba, ada seruan untuk berperang, maka Abdullah bin al-Mubarak pun pergi bersama mereka yang turut menyahut seruan jihad itu.”

Ketika dua kumpulan pasukan perang bertemu dan menyusun barisan masing-masing, tiba-tiba keluar salah seorang jaguh Romawi daripada barisan mereka, lalu beliau menentang perlawanan perang. Oleh yang demikian, salah seorang anggota perang daripada kaum muslimin pula, telah keluar menemuinya.

Maka, jaguh Romawi itu pun mula menyerangnya dengan dahsyat sekali dan berjaya membunuhnya, hinggakan 6 orang daripada barisan perang kaum muslimin telah terkorban dalam peperangan tersebut.

Ini membuatkan kumpulan Romawi yang angkuh dan bongkak itu, meminta untuk meneruskan perlawanan lagi. Akan tetapi, tiada seorang pun daripada barisan perang kaum muslimin yang berani keluar. Maka pada ketika itu, Abdullah Ibnu al-Mubarak telah menoleh kepadaku lantas berkata : “Wahai Fulan, apabila aku terbunuh, maka lakukanlah hal ini dan hal itu.” (Ibnul Mubarak berwasiat kepadaku),  kemudian beliau terus menggerakkan kudanya dan mara ke depan untuk menyahut cabaran daripada tentera  Romawi itu. Setelah itu, berlakulah adegan serang-menyerang  antara keduanya  sehingga 6 orang bala tentera Romawi telah terbunuh dalam peperangan itu. Tentera Romawi terus mengugut Abdullah Ibnu al-Mubarak dengan kata-kata ancamannya, namun Abdullah Ibnu al-Mubarak sedikitpun tidak gentar melawan musuhnya yang juga musuh umat Islam.

Subhanallah! lihatlah betapa besarnya pengorbanan yang telah dilakukan oleh Abdullah Ibnu al-Mubarak yang sanggup berjuang di jalan Allah, hanya semata-mata untuk mendapat dan mengharapkan redha-Nya. Beliau sedikit pun tidak mahu orang lain mengetahui apa yang telah dilakukan olehnya, demi menjaga keikhlasan hati agar tidak sampai kebaikannya itu dirosakkan oleh iblis durjana, kerana ujudnya perasaan riyak didalam hati. Sebagai kesimpulannya, Ini dapat kita sifatkan bahawa, untuk menjadi insan yang disenangi  oleh semua lapisan masyarakat, maka pelbagai pengorbanan perlu kita lakukan secara ikhlas dan istiqamah, agar nanti kita dapat menjadi cermin yang mampu memantulkan wajah yang elok dan sempurna serta tidak pudar sebagai contoh teladan kepada anggota masyarakat.

Abdullah Ibnu al-Mubarak, meskipun beliau memiliki harta yang berlimpah ruah serta ilmu yang tepu di dada, namun beliau sedikitpun tidak pernah angkuh dan sombong.  Malah, tetap berpenampilan sederhana, gerak-geri dan tutur bicaranya penuh sopan dan santun. Demikianlah antara sifat-sifat terpuji yang dimiliki olehnya.

Saat Kewafatan Abdullah Ibnu al-Mubarak.

Diceritakan, bahawa sebelum kewafatan beliau, di saat ia sedang menanti dalam keadaan sakaratul maut,  Abdullah bin al-Mubarak tetap berusaha untuk beramar ma’ruf. Abdullah al-’Ajli berkata : “Ketika ajal menjemput Abdullah Ibnu al-Mubarak, telah ada seseorang yang mentalkinkannya,” dan dia berkata,”Ucapkanlah laa ilaha illallah.’ Orang itu telah mengulang-ulangi perkataan tersebutsehingga beberapa kali. Maka, Abdullah bin al-Mubarak pun berkata kepadanya, “Kamu tidak pandai melakukannya, aku khuatir kamu akan menyakiti orang Islam yang lain setelah aku, apabila kamu mentalkinkan aku dan aku telah mengatakan laa ilaha illahllah, maka biarkanlah aku. Dan apabila aku mengeluarkan kata-kata lain, maka talkini aku lagi, sehingga ia menjadi akhir dari ucapanku.”

Setelah menjalani hidup kurang lebih 63 tahun, akhirnya  seorang ulama, hartawan dan dermawan yang terpuji lagi terbilang iaitu Abdullah Ibnu al-Mubarak telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dan pergi buat selama-lamanya meninggalkan dunia yang fana ini.

Abdullah Ibnu Al-Mubarak : Siapakah Sebenarnya Beliau? (Bahagian 1)

Abdullah Ibnu al-Mubarak, adalah seorang imam besar yang sangat dihormati dan dikenali ramai dalam kalangan Atba’ut Tabi’in iaitu (generasi setelah tabi’in) yang amat dipercayai dan begitu teliti dalam meriwayatkan hadis-hadis  Rasulullah s.a.w.  Beliau juga merupakan salah seorang ahli hadis yang sangat masyhur dan terkemuka.

Nama penuh beliau ialah Abu Abdurrahman Abdullah bin al-Mubarak al-Hanzali al-Marwazi. Merupakan anak seorang pedagang yang berbangsa Turki manakala ibunya pula berketurunan Parsi. Beliau telah mendapat bimbingan daripada beberapa orang guru dan merupakan seorang ahli yang sangat mahir dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, terutamanya berkenaan dengan ilmu gramatika dan kesusasteraan.

Syeikh Abdullah Ibnu al-Mubarak telah dilahirkan pada tahun 118H bersamaan dengan 736 Masihi. Beliau banyak menulis tentang hadis-hadis nabi dan salah satu daripada karyanya yang masih lagi wujud  sehingga kini ialah bertemakan tentang “Zuhud.” Abdullah Ibnu al-Mubarak dikatakan meninggal dunia pada tahun 181H iaitu bersamaan dengan 797 Masihi, di sebuah Kota bernama Kota Hit yang terletak di tepi sungai Euphrat.

sedekah

Seorang Hartawan Yang Banyak Berjasa :

Oleh kerana beliau telah mewarisi harta yang begitu banyak daripada orang tuanya, maka Abdullah Ibnu al-Mubarak telah mengembangkan harta tersebut dalam bidang perniagaan, sehinggakan beliau telah menjadi  seorang ahli korporat yang sangat hebat dan berjaya. Modal yang digunakan oleh Abdullah Ibnu  al-Mubarak untuk melibatkan diri dengan dunia perniagaan adalah sebanyak 400 ribu dirham. Bayangkanlah pada ketika itu, harga bagi seekor kambing hanyalah sekitar 5 dirham sahaja, jadi cubalah hitung berapa banyakkah harta kekayaan yang diwarisi oleh beliau daripada peninggalan ayahandanya?

Hasil daripada harta yang telah dikembangkannya itu, beliau telah membelanjakannya untuk membantu fakir-fakir miskin, menuntut ilmu dan menyantuni  para ulama selain daripada digunakan untuk berjihad ke jalan Allah. Beliau  berniaga bukanlah bertujuan untuk memperkayakan dirinya sendiri, tetapi adalah untuk menolong para ulama dalam mengembangkan agama Allah. Beliau pernah berkata kepada Fudhail bin ‘Iyadh : “Andaikata bukan kerana kamu dan teman-temanmu (yang bermaksud para ulama) nescaya aku tidak akan berniaga.”

Alangkah mulia dan tulusnya niat Abdullah Ibnu al-Mubarak ini untuk berniaga dan berdagang, demi mengangkat darjat para ulama, agar mereka tidak ditindas dan dipergunakan oleh pihak penguasa dan mereka yang berduit. Disebabkan hal inilah, maka berkata Abbas ad-Dauri : “Tidaklah aku melihat seorang yang mengajarkan hadis lillahi Ta’ala Kecuali 6 orang yang di antaranya adalah, Abdullah bin al-Mubarak.”

Menurut al-Imam adz-Dzahabi  yang menyatakan bahawa,  dalam setahun  Abdullah Ibnu al-Mubarak telah mengeluarkan sejumlah wang bernilai  100 ribu dirham, semata-mata untuk membantu golongan fakir miskin. Di samping itu, beliau juga turut membantu melunasi hutang-hutang yang telah ditanggung oleh seorang pemuda yang telah dipenjarakan akibat daripada bebanan hutang yang tidak mampu dibayar olehnya.Tanpa pengetahuan pemuda itu, Abdullah Ibnu al-Mubarak telah melangsaikan segala hutang-piutang beliau,sehingga akhirnya  pemuda itu telah dibebaskan dari penjara. Subhanallah! Maha suci Allah. Betapa mulianya hati seorang insan yang bernama Abdullah Ibnu al-Mubarak ini. Beliau sanggup menyembunyikan sedekahnya hinggakan tangan kirinya langsung tidak tahu apa yang telah disedekahkan oleh tangan kanannya. Masya-Allah!

[Bersambung di “Abdullah Ibnu Al-Mubarak : Siapakah Sebenarnya Beliau? (Bahagian 2)”]

Jam Tawaf – Khasiat dan Fungsinya Kepada Tubuh Badan Manusia (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Jam Tawaf – Khasiat dan Fungsinya Kepada Tubuh Badan Manusia (Bahagian 1)”]

2. DNA Makhluk Berjasad:

Imej getaran DNA yang ditunjukkan di dalam mikroskop mempunyai warna. Setiap warna jelas menunjukkan getaran yang terhasil. Perkara ini berlaku adalah konsep tenaga yang sentiasa mengikut hukum ke kanan, iaitu tawaf. Cuba kita perhatikan baik-baik, animasi DNA menunjukkan DNA membuat belitan ke arah kanan.

Pusingan DNA adalah jelas merupakan 1 fenomena kitaran tawaf dan semua makhluk di alam semesta ini ada trademark penciptanya. Oleh sebab itu, semua ciptaan Allah ada DNA masing-masing dan salah satunya Allah sentiasa menggunakan konsep kitaran tawaf.

3. Aliran Darah Manusia

Menurut kajian, aliran darah dalam urat saraf manusia ada 1 pergerakan istimewa. Yang istimewanya semenjak dari kandungan ibu lagi, kitaran darah anda ialah ikut sistem tawaf. Setiap aliran darah manusia yang melalui jantung adalah pergerakan ke arah kanan.

Oleh sebab itu bila perjalanan darah diganggu, maka badan manusia akan rosak. Molekul-molekul dan zarah dalam apa jasad pun, sentiasa bergetar ke arah kanan. Segala perbuatan dan aktiviti ke arah kanan dinamakan tawaf. Pesakit jantung yang memakai alat bantu pengepam dilarang untuk memakai Jam Tawaf ini kerana Jam Tawaf sentiasa kembalikan sistem kelilingnya kepada sifat fitrah.

Pesakit jantung yang memakai alat dan mesin nadi akan mempunyai kesan bila pakai Jam Tawaf. Ini kerana Jam Tawaf akan membatalkan hukum mesin ini sehingga mesin ini rosak. Apabila mesin rosak, ia tidak membantu pesakit jantung yang dibantu oleh mesin nadi tadi. Ini disebabkan jam tawaf sentiasa akan mengembalikan fitrah, sedangkan mesin jantung bertindak berlawanan. Oleh yang demikian, pesakit jantung dilarang memakainya.

4. Planet Bumi:

Tahukah anda, bahawa Tuhan sengaja mencipta planet bumi berputar ke arah kanan? Jika anda masih ingat, semua planet dalam sistem suria dan Galaksi Bima Sakti mengelilingi matahari dalam keadaan berputar ke arah kanan. Semua planet yang berjiran dengan bumi sentiasa tawaf kepada matahari.

Planet bumi yang kita duduki ini sentiasa berputar ke arah kanan di paksinya sendiri. Bahkan, matahari kita sendiri sentiasa berpusing di atas paksinya ke arah kanan. Semua tabiat dan kelakuan planet serta matahari ini adalah hukum putaran semulajadi ke arah kanan dan proses ke arah kanan ini sama dengan TAWAF Umat Islam mengelilingi Kaabah.

Taufan, Puting Beliung dan Aliran Air

5. Taufan, Puting Beliung dan Aliran Air:

Penulis mengajak para pembaca untuk memerhatikan taufan dan puting beliung dan taufan, anginnya berpusing dan bergerak ke arah kanan. Hukum ke arah kanan bersifatkan ketaatan. Putaran puting beliung ini sangat dahsyat dan kerana ketaatannya, pusingannya sentiasa ke kanan. Sifat ke kanan ini sering disifatkan sebagai putaran tawaf. Bukan itu sahaja, air dalam singki juga berputar ke arah kanan seperti Tawaf.

Tawaf itu sebenarnya mempunyai rahsia yang misteri, hanya Umat Islam sahaja yang mendedahkannya dan sudah tentulah rahsia kebaikan ini telah Allah abadikan di planet bumi iaitu dengan kehadiran Kaabah, di mana manusia mengelilingi dengan cara Tawaf.

Sebagai penutup, penulis ingin kongsikan sebuah Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“…Islam mula tersebar dalam keadaan pelik dan asing,  dan Islam akan kembali asing pula, maka beruntunglah orang-orang yang asing. (Hadis Riwayat Muslim )

halalmuslim.com

Jam Tawaf – Khasiat dan Fungsinya Kepada Tubuh Badan Manusia (Bahagian 1)

Bertemu lagi kita dalam artikel keluaran kali ini. Kali ini penulis ingin mengupas keunikan teknologi dalam penggunaan aksesori yang pada asalnya telah ditemukan sejak zaman Khalifah lagi. Jam tangan ‘anticlockwise’ atau lebih dikenali sebagai Jam Tawaf sebenarnya mempunyai khasiatnya tersendiri.

Ramai yang tidak mengetahui khasiat kepada si pemakainya. Penulis akan kongsikan dalam artikel ini sedikit sejarah dan konsep Jam Tawaf ini dan bagaimana ia berfungsi dan memberikan kesan untuk tubuh badan manusia.

Arah tawaf

Bumi, bulan, bintang, matahari serta seluruh Galaksi Bima Sakti beredar pada satu arah iaitu pada arah tawaf seiring dengan cara orang Islam melakukan tawaf di Kaabah. Kaabah yang menjadi pusat tumpuan umat Islam sebenarnya adalah pusat medan magnet dunia. Perkara ini diakui oleh pihak NASA dimana suatu kajian telah dilakukan melalui pemerhatian dari angkasa lepas bahawa medan magnet seluruh dunia tertumpu di Kaabah yang merupakan pusat dunia.

Segala tenaga didunia ini terpancar dan dikawal dari medan magnet ini. Begitu juga dengan darah di dalam tubuh badan kita yang beredar mengelilingi badan pada arah tawaf. Hakikat ini masih tidak ramai yang tahu dan tidak ramai pakar-pakar Islam menemui hasil kajian hebat seperti ini.

Kebanyakan kita tidak sedar bahawa dengan menggunakan jam biasa sebenarnya menyebabkan terhasilnya satu getaran yang tidak seimbang pada badan kerana jam yang dipakai itu berputar bertentangan dengan fitrah alam.

Akibat getaran badan yang tidak seimbang menyebabkan seseorang itu mudah menerima anasir-anasir yang negatif dan seterusnya mendapat pelbagai jenis penyakit.

Sejarah ringkas serta fungsi Jam Tawaf

Tahukah anda, jam yang ada kebanyakannya hari ini, ialah jam anti-tawaf? Pihak Barat telah mengubah konsep ini, yang merupakan salah 1 rahsia hitam yang tak didedahkan pada umat manusia. Minda manusia seluruh dunia berjaya diubah kepada penggunaan jam anti-tawaf seperti yang ada sekarang.

Fitrah penciptaan dunia seisinya, membuktikan semua yang ada di alam ini bergerak mengikut hukum TAWAF. Ini kerana Allah telah tentukan hukumnya sebegitu sejak galaksi ini diciptakan. Hukum alam ini bergerak ke arah pusingan tawaf, dan ianya ke arah kanan. Pusingan tawaf yang ada di alam semesta ini merupakan fitrah.

Manusia ciptaan tuhan sepatutnya hidup selari dengan fitrah alam. Perkara ini bersebab besar apabila aktiviti TAWAF sentiasa berputar ke arah kanan. Maka, si pemakai Jam Tawaf akan merasai faedah yang tidak terhingga apabila memakai jam ikut arah hukum alam.

Kesan TAWAF Kepada Jasad Manusia

Pergerakan Jam Arah Tawaf ini memberikan faedah yang sangat positif kepada jasad tubuh badan si pemakainya. Antara khasiat-khasiatnya termasuklah:

I – pergerakan ke kanan atau melakukan pusingan ke kanan mengimbangi sistem otak

II- pergerakan melakukan pusingan ke kanan mengimbangi tulang belakang anda

III- membersihkan darah dari ion positif berlebihan akibat radiasi luar yang terperangkap

IV- meningkatkan fungsi sistem imun, antibodi dan hormon tubuh badan

V- merangsang daya tumpuan

VI- mengekalkan potensi diri yang optima

VII- mengimbangi kedua-dua hemisfera otak kiri dan otak kanan

VIII- mengawal tekanan perasaan

X- meningkatkan daya keyakinan dan semangat

XI- mengawal, mengimbangi, mencegah dan merawat kanser

jam tawaf

Kesan TAWAF Kepada Rohani Manusia

Dalam pada itu, ia juga memberikan kesan spiritual dan kerohanian kepada si pemakainya. Ia menjadi pengimbang semulajadi setiap detik kiri dan kanan. Ia juga dipercayai memenuhi falsafah hukum 7 Kuasa Tenaga iaitu:

1) Kebenaran mengatasi kesilapan

2) Kelajuan mengatasi kelewatan

3) Kemudahan mengatasi kejutan

4) Kestabilan mengatasi kucar-kacir

5) Kekuatan mengatasi kelemahan

6) Keuntungan mengatasi kerugian

7) Kejayaan mengatasi kegagalan

Disarankan bagi lelaki untuk memakainya di pergelangan tangan kanan dan bagi wanita pula digalakkan memakainya di pergelangan tangan kiri.

Kelebihan-kelebihan dan Khasiat Jam Tawaf (Counterclockwise) secara ringkas:

1. Sebagai pengimbang semulajadi setiap detik/saat.
2. Menjadikan fikiran lebih tenang dengan penghantaran mesej
tenaga secara tetap dan sekata.
3. Membantu mengawal rentak jantung
4. Mengharmonikan sistem kesemua kelenjar.
5. Memenuhi falsafah hukum 7 kuasa menguasai tenaga.

Hukum Tawaf Ciptaan Allah

 jam tawaf

1. Medan Magnet:

Medan magnet ini menghasilkan medan elektromagnetik. Elektromagnet akan menggerakkan janakuasa sawat seperti keretapi laju. Kita sedia tahu keretapi laju bergerak menggunakan kuasa medan magnet. Sedangkan medan magnet menggunakan hukum ke kanan, iaitu tawaf dan ciptaan Allah ini menggunakan konsep kitaran tawaf yang menjanakan elektrik.

[Bersambung di “Jam Tawaf – Khasiat dan Fungsinya Kepada Tubuh Badan Manusia (Bahagian 2)”]