Category Archives: 9/10

11 Petua dibuka pintu rezeki…

Rezeki itu luas, dan untuk dimurahkan rezeki juga luas cara-caranya. Berikut adalah koleksi 11 Tip Murah Rezeki dari Facebook saya…

  1. Redha sekiranya ada pintu rezeki tertutup. Bukan rezeki kita la tu… tapi InsyaAllah tingkap rezeki lain akan terbuka.
  1. Nak duit? Perlu Doa, Usaha, Ikhtiar dan Tawakal. Baru dapat D-U-I-T 🙂
  1. Maafkan salah & silap orang lain sebelum tidur malam ini. Bila hati tenang, rezeki mudah datang.
  1. Kalau tak mampu untuk sedekah wang ringgit selalu, lakukan solat Dhuha selalu kerana ianya mengandungi banyak manfaat sedekah.
  1. Bersangka baik dan doakan kejayaan orang lain. InsyaAllah ramai akan doakan kita kembali.

11tipsrezeki

  1. Tunaikan hajat orang lain dan bantu orang lain mencapai hajat/matlamat mereka. Nanti ramai yang akan membantu permudahkan usaha kita pula.
  1. Sedekah dan derma confirm tidak akan mengurangkan rezeki anda. Malah ia akan menambahkannya lagi.
  1. Sekiranya terjumpa jalan buntu, tak perlu minta bantuan orang lain dulu. Terlebih dahulu minta bantuan Allah swt. Solat Istikharah untuk memohon petunjuk yang sebaiknya.
  1. Tunaikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin tanpa memikirkan imbuhannya.
  1. Sentiasa bersikap rendah diri walau siapa pun anda dan sebesar mana pun jawatan yang disandang agar anda menjadi insan yang lebih dihormati dan disanjungi.
  1. Tidak mengambil kesempatan di atas kepercayaan yang diberikan dengan sentiasa bersikap jujur dan telus.

*** Program Intensif Perniagaan Internet dan Strategi Media Sosial bersama Pakar Perniagaan Internet #1 Malaysia, Irfan Khairi akan bermula. Sekiranya anda ingin mencuba rezeki dalam perniagaan Internet, sertai kami oleh kerana hanya beberapa sahaja tempat tinggal. Klik di sini untuk maklumat lanjut program separuh masa 6 bulan ini.

magnet rezeki

3 Cara Untuk Jadi “Magnet” Rezeki…

Orang yang berjaya, akan menarik orang yang berjaya yang lain menghampiri mereka seperti magnet.

Pernah saya menulis tip mengenai “success breed success”. Ini adalah sebabnya…

Apabila seseorang itu berjaya, mereka akan dapat menarik orang-orang berjaya yang lain menjadi bulatan kenalan. Oleh sebab kita akan menjadi seperti orang-orang disekeliling kita, maka, seseorang itu akan bertambah kejayaannya oleh kerana dapat “associate” dengan mereka berjaya yang lain.

Kejayaan pertama adalah yang paling sukar. Tetapi, sekali anda mencapai kejayaan yang pertama, kejayaan kedua, ketiga, keempat dan seterusnya akan menjadi semakin mudah oleh kerana kejayaan adalah seperti magnet!

magnetrezeki

ANTARA 3 cara menjadi “magnet” rezeki:

1. Solat Sunat Dhuha

Solat sunat Dhuha termasuk dalam kandungan Hadith Rasulullah s.a.w sebagai amalan yang digalakkan untuk diamalkan. Mengikut kajian, Solat Sunat Dhuha yang dilakukan pada awal pagi hari mempunyai rahsia dan khasiat tersendiri.

Individu yang sentiasa mengamalkan Solat sunat Dhuha akan lebih cenderung dan berkebolehan berkomunikasi dengan hebat dan mampu menjadi “magnet rezeki.” Rezeki akan lebih mudah mendekati mereka (dengan izin Allah).

2. Banyakkan Bersedekah

Percayalah bahawa semakin banyak kita bersedekah, semakin Allah menambahkan rezeki kita. Sedekah dan zakat mempunyai rahsia tersendiri di mana ia dapat menyuburkan dan membersihkan rezeki yang kita terima. Maka, jangan takut atau kedekut untuk bersedekah (mengikut kemampuan).

Lagipun, belum pernah kita terdengar orang muflis sebab bersedekah.

Pegang prinsip bersedekah umpama menabung untuk saham akhirat nanti. Pahala yang terhasil dari amalan sedekah semakin hari semakin subur dan berpanjangan tanpa henti. Bersedekahlah dengan tulus ikhlas tanpa mengungkit-ungkit dan jauhkan diri dari bersedekah untuk mendapat nama. Peganglah prinsip “tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima.”

3. Berdoa Bersungguh-sungguh Diwaktu Mustajab Berdoa

Doa adalah senjata orang mukmin. Setiap amalan dan usaha yang telah dilakukan haruslah diiringi dengan doa dan kemudiannya bertawakal kepada Allah SWT. Berdoalah kepada Allah agar memurahkan rezeki dan membukakan pintu rezeki kita seluas-luasnya. Terdapat masa dan ketika di mana ia dikatakan waktu yang amat mustajab untuk berdoa. Antaranya ialah:

  • Doa orang yang teraniaya
  • Doa selepas solat 5 waktu
  • Doa waktu antara 2 khutbah Jumaat
  • Doa waktu solat dhuha
  • Doa diwaktu berjemaah
  • Doa seorang ibu
  • Doa ketika sedang sujud

Gunakanlah sebaik-baiknya senjata orang Mukmin ini. Mudah-mudahan Allah SWT memakbulkan setiap doa kita supaya hidup lebih diberkati. Apabila hidup kita diberkati, maka mudahlah rezeki mengalir kepada kita. Insya-Allah.

*** Pengambilan terbaru Program Intensif Perniagaan Internet dan Strategi Media Sosial kini dibuka. Daftar sekarang sebelum anda terlepas. Tempat adalah amat terhad untuk program yang telah melahirkan paling ramai usahawan online di Malaysia ini! Klik di sini atau hubungi Cik Jay di 03-77292277.

Sakitnya bila tertipu dalam perniagaan!

Bagi anda yang pernah berpengalaman mengalami keadaan ini, pastinya faham. Hati terasa sakit, sedih, marah dan geram pun ada. Terasa hilang kepercayaan, jatuh keyakinan diri, dan tidak percaya lagi orang lain pun ada juga. Tapi yang tak bestnya ada juga terasa diri agak lurus bendul dan dibodohkan oleh orang lain.

Pengalaman apa yang saya sebutkan ini? Pengalaman ditipu dalam perniagaan.

Keadaan ini sememangya biasa terjadi. Mungkin ditipu pekerja sendiri yang songlap duit. Mungkin juga rakan perniagaan (yang merupakan orang yang dipercayai selalunya ahli keluarga atau rakan) yang menghilangkan duit. Ataupun sesiapa sahaja atau orang luar yang tidak dikenali yang menipu, mencuri, pecah amanah, merompak, dan sewaktu dengannya yang mengakibatkan diri kita dan perniagaan kita terasa ditindas.

Pastinya ada perasaan sakit, sedih, marah dan geram bukan?

Bagi saya dan syarikat saya juga, keadaan sebegini pernah berlaku. Bukan sekali atau dua. Tetapi beberapa kali juga. Persoalannya apa yang perlu dilakukan? Dan bagaimana hendak membina semula semangat selepas ditipu?

songlap duit

[PENGUMUMAN: Program Intensif Perniagaan Internet dan Strategi Media Sosial bersama pakar perniagaan Internet #1, Irfan Khairi, pengambilan terbaru kini dibuka. Klik di sini untuk maklumat lanjut dan pendaftaran atau hubungi Cik Jay di 03-77292277 hari ini]

Pertama sekali, apa yang penting adalah, buang jauh-jauh perasaan yang merasakan kita ni bodoh atau terlalu lurus kerana tertipu. Semestinya salah adalah pada orang yang mencuri dan menipu tersebut. Dia yang bodoh kerana melakukan perkara yang bodoh bukan sahaja boleh menerima hukuman di dunia, tetapi hukuman juga di akhirat wallahualam.

Tidak kira bagaimana pun kita bersedia atau berhati-hati dalam mengelakkan keadaan ditipu dalam perniagaan, si penipu jauh lebih licik dari kita. Pastinya ada sahaja jalan lain untuk menipu atau mencuri. Kalau tak banyak, mungkin sedikit-sedikit dilakukan yang kita tak perasan yang akhirnya banyak juga.

Langkah kedua adalah untuk melakukan laporan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan undang-undang. Hubungi pihak-pihak yang berkuasa dengan segala bukti. Lebih banyak bukti yang diberikan, lebih mudah kes akan dikendalikan oleh pihak polis, pendakwaraya, mahkamah dan sebagainya.

Di sini suka saya juga mengingatkan untuk membuat sebarang perjanjian bertulis, rekod, kontrak, simpanan resit dan bukti ketika menjalankan perniagaan. Kalau ada cctv lagi bagus 😉 walau bagaimanapun kita mempercayai sesuatu pihak itu. Mana tahu, yang dipercayai sangat itu akan menikam kita dari belakang pula. Bukti-bukti inilah yang akan membantu kita kelak.

Namun, ada keadaan juga di mana kita tidak sampai hati untuk ambil tindakan undang-undang mungkin kerana rakan yang baik dulu, atau pekerja yang baik dulu, atau ahli keluarga. Maka, ini terpulang kepada anda. Tepuk dada tanya selera. Tetapi, sekiranya ini pilihan anda, langkah seterusnya adalah…

Buangkan rasa sedih, marah, geram, dan sakit hati oleh kerana kesemua itu adalah amalan yang kurang sihat dan hanya merugikan kita sahaja. Nak rasa semua itu sekejap sahaja, ok la… tapi jangan terbawa-bawa lama sangat. Lagi lama kita merasa begitu, lebih banyak masa kita dan tenaga kita terbuang kerana memberi fokus kepada perasaan negatif.

Pilih untuk bersabar dan bersyukur terlebih dahulu.

  • Bersabar kerana ini akan menenangkan anda dan inilah cara Rasulullah saw. Walaupun pelbagai cabaran yang menimpa, Rasulullah tetap bersabar. Pastinya cabaran Rasulullah adalah jauh lebih teruk lagi dari orang menipu kita dalam perniagaan bukan? Tambah, kalaupun rezeki kita hilang akibat ditipu, bila kita bersabar, kalau hilang duit, kita dapat pahala. Lagi best.
  • Bersyukur pula kerana masih banyak lagi rezeki yang kita ada InsyaAllah. Rezeki bukan sahaja pada harta benda dan duit ringgit. Rezeki kita yang masih ada mungkin pada keluarga yang bahagia, kesihatan yang baik, rakan-rakan yang memahami, dan mungkin juga gaya hidup yang tidak terjejas sangat akibat ditipu. Maish banyak yang kita boleh bersyukur InsyaAllah.

Mudahan mereka yang tertindas akan mendapat rezeki yang berkali-kali ganda dari Allah swt!

INFO: Dapatkan maklumat lanjut Program Intensif Perniagaan Internet dan Stretgi Media Sosial di sini. Mulakan program Internet dengan kos yang rendah, dan capaian pelanggan yang tinggi. Mulakan perniagaan Internet yang anda minat bersama-sama kami dan rakan-rakan turut membantu. Pengambilan terbaru kini dibuka. Klik di sini untuk maklumat lanjut dan pendaftaran atau hubungi Cik Jay di 03-77292277 hari ini]

Nabi Muhammad (s.a.w.) sebagai usahawan muda

Pasti anda tahu bahawa Rasulullah saw adalah seorang usahawan. Tahukah anda baginda sudah bermula sejak berumur 12 tahun?

Di bawah jagaan Abu Talib, Rasulullah saw telah mula mengikut Abu Talib berniaga sehingga ke Syria. Abu Talib adalah mentor perniagaan kepada Rasulullah ketika muda. Ketika itu baginda dikenali sebagai “Al Ameen”, seorang yang jujur, boleh diharap dan dipercayai.

usahawan

Oleh kerana kehebatan Rasulullah saw dalam perniagaan, baginda berjumpa dengan isterinya, Siti Khadijah (yang juga seorang usahawan unggul!) ketika berumur 25 tahun.

Apa yang diniagakan oleh baginda? Ianya termasuk, herba, kain, wangian, kismis, kurma, dan juga barangan mewah untuk dijual kepada mereka yang berada. Ada satu ketika, di waktu berniaga, Rasulullah telah memperolehi keuntungan lebih dari usahawan-usahawan lain dalam rombongan yang sama- ini menunjukkan kehebatan baginda dalam berniaga!

Semoga boleh menjadi inspirasi kepada kita semua dalam memulakan perniagaan dan menjalankan perniagaan dengan sempurna. Jadilah seorang usahawan Al-Ameen!

Sekiranya anda berminat untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan, perniagaan melalui Internet adalah pilihan ramai pada zaman ini. Program 6 bulan Intensif Perniagaan Internet dan Strategi Media Sosial bersama pakar perniagaan Internet #1, Irfan Khairi telah mendapat sambutan yang hebat dan berjaya melahirkan ramai usahawan-usahawan Internet berjaya oleh kerana bantuan dan bimbingan yang diberikan sepanjang tempoh program.

Sekiranya anda inginkan maklumat lanjut dan daftar untuk pengambilan seterusnya, Program Intensif Perniagaan Internet dan Strategi Media Sosial, klik di sini untuk maklumat lanjut.

 

Abu Hurairah RA. Perawi Hadis Terbesar Sepanjang Zaman (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Abu Hurairah RA. Perawi Hadis Terbesar Sepanjang Zaman (Bahagian 1)”]

al quran

Pada asalnya Abu Hurairah RA bukanlah seorang penulis, beliau hanya seorang ahli hafazan yang sangat mahir dan kuat daya ingatan. Namun beliau mula mendalami serta mempelajari ilmu penulisan. Beliau menyiapkan dirinya dan menggunakan bakat dan kemampuannya memikul tanggung jawab dan memelihara peninggalan yang sangat penting ini dan mewariskannya kepada generasi kemudian.

Nabi SAW pernah berbicara kepada kami pada suatu hari, kata Abu Hurairah RA: “Siapa yang membentangkan serbannya hingga selesai perbicaraanku, kemudian ia meraihnya ke dirinya, maka ia takkan terlupa akan suatu pun dari apa yang telah didengarya dari padaku!”

Maka kuhamparkan kainku, lalu baginda berbicara kepadaku, kemudian kuraih kain itu ke diriku, dan demi Allah, tak ada suatu pun yang terlupa bagiku dari apa yang telah kudengar daripadanya! Demi Allah kalau tidak kerana adanya ayat di dalam Kitabullah nescaya tidak akan kukabarkan kepada kalian sedikit jua pun! Ayat itu ialah:

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang telah kami turunkan berupa keterangan-keterangan dan petunjuk, sesudah Kami nyatakan kepada manusia di dalam Kitab mereka itulah yang dikutuk oleh Allah dan dikutuk oleh para pengutuk (Malaikat-malaikat)!”

Demikianlah Abu Hurairah RA menjelaskan rahsia kenapa hanya beliau seorang diri yang banyak mengeluarkan riwayat dari Rasulullah SAW.

Yang pertama: kerana ia meluangkan masa untuk menyertai Nabi SAW lebih banyak dari para sahabat lainnya.

Kedua, kerana beliau mempunyai daya ingatan yang kuat, yang telah diberi berkati oleh Rasulullah SAW hingga ia menjadi semakin kuat.

Ketiga, beliau menceritakannya bukan kerana ia gemar bercerita, tetapi kerana keyakinan bahawa menyebarluaskan hadis-hadis ini, merupakan tanggung jawabnya terhadap Agama dan hidupnya. Jika  tidak dilakukannya bermaksud menyembunyikan kebaikan dan haq, dan termasuk orang yang lalai yang sudah tentu akan menerima hukuman kelalaiannya!

Pada suatu hari Marwan bin Hakam ingin menguji kemampuan beliau menghafaz Hadis Nabi. Maka dipanggilnya Abu Hurairah RA dan dibawanya duduk bersamanya, lalu dimintanya untuk menyampaikan hadis-hadis dari Rasulullah SAW. Sementara itu disuruhnya penulisnya menuliskan apa yang diceritakan Abu Hurairah RA dari sebalik dinding. Setelah setahun berlalu, dipanggilnya Abu Hurairah RA kembali dan dimintanya membacakan lagi Hadis-hadis yang pernah ditanya setahun yang lalu dan telah ditulis setiausahanya.  Alangkah hebatnya apabila tiada yang terlupa oleh Abu Hurairah RA walau sepatah kata pun!

Maka Abu Hurairah pun lantas berkata, “Tidak ada seorang pun dari sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang lebih banyak menghafal Hadis dari padaku, kecuali Abdullah bin ‘Amr bin’ Ash, kerana beliau pandai menuliskannya sedangkan aku tidak.” Imam Syafi’e mengemukakan pula pendapatnya tentang Abu Hurairah RA, “Beliau seorang yang paling banyak menghafal di antara seluruh perawi Hadis sesamanya.” Sementara Imam Bukhari pula menyatakan, “Ada lapan ratus orang atau lebih dari sahabat tabi’in dan ahli ilmu yang meriwayatkan Hadis dari Abu Hurairah RA.”

Demikianlah Abu Hurairah RA yang tidak ubah bagai suatu perpustakaan besar yang telah ditakdirkan Allah kemasyhurannya.

 

Abu Hurairah RA. Perawi Hadis Terbesar Sepanjang Zaman (Bahagian 1)

Kisah Abu Hurairah RA.

Abu Hurairah atau nama sebenarnya Abdurrahman mendapat jolokan tersebut disebabkan beliau terlalu sangat sukakan kucing. Abu Hurairah itu sendiri membawa maksud “Si Bapa Kucing Kecil”. Tokoh ini selalu berpuasa sunat tiga hari setiap awal bulan Qamariah (bulan Arab dalam Hijriah), mengisi malam harinya dengan membaca Al-Quran dan solat tahajud. Beliau akrab dengan kemiskinan, dia sering mengikatkan batu ke perutnya, beliau menggunakannya bagi menahan lapar.

Dalam sirah beliau terkenal sebagai individu yang paling banyak meriwayatkan hadis. Pada waktu jahiliyah nama asal beliau adalah Abdu Syamsi ibn Shakhr Ad-Dausi, dan tatkala ia memeluk Islam, ia diberi nama oleh Rasulullah SAW dengan Abdurrahman. Beliau sangat penyayang kepada binatang dan mempunyai seekor kucing, yang selalu diberinya makan, dipegangnya, dibersihkannya dan diberinya tempat tidur. Kucing itu juga suka bersembunyi dalam baju beliau. Kucing itu selalu mengikutinya seolah-olah bayang-bayangnya. Inilah sebabnya ia diberi gelar “Si Bapa Kucing”.

Penghafaz Hadis Terbesar Sepanjang Zaman

al quran

Sahabat Nabi ini mempunyai bakat luar biasa dalam kemampuan dan kekuatan daya ingatan. Abu Hurairah RA mempunyai kelebihan untuk menangkap apa sahaja yang didengarnya dan mempunyai keistimewaan dari segi menghafal dan menyimpan. Beliau mendengar, menghadam dalam fikirannya lalu terpateri dan lekat terus dalam ingatannya hingga dihafal semuanya. Hampir tidak pemah beliau melupakan satu kata atau satu huruf pun dari apa yang telah didengarnya, sekalipun usia bertambah dan masa pun telah berlalu. Oleh kerana itulah, beliau telah mewakafkan hidupnya untuk lebih banyak mendampingi Rasulullah sehingga beliau termasuk sebagai orang yang terbanyak menerima dan menghafal Hadis, serta meriwayatkannya.

Sewaktu datang golongan pemalsu-pemalsu hadis yang dengan sengaja membuat hadis-hadis palsu yang seolah-olah berasal dari Rasulullah SAW, mereka memperalatkan nama Abu Hurairah RA dan menyalahgunakan kemasyhuran nama beliau dalam meriwayatkan Hadith dari Nabi SAW, hingga sering mereka mengeluarkan sebuah “hadis”, dengan menggunakan kata-kata: – “Berkata Abu Hurairah …”

Perbuatan ini menyebabkan kemasyhuran Abu Hurairah RA dan kedudukannya sebagai penyampai Hadis Nabi SAW mula menjadi keraguan. Namun begitu, Abu Hurairah RA berjaya menangkis segala pemalsuan dan penambahan-penambahan yang sengaja dibuat oleh perosak agama Islam, dengan mengkambing hitamkan Abu Hurairah RA dan membebankan dosa dan kejahatan mereka kepadanya.

Abu Hurairah RA merupakan salah seorang yang mampu membawa kita ke zaman kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Kisah hidup beliau boleh menjadi inspirasi, dari hidupnya sebagai orang upahan sehinggalah menjadi majikan. Ini semua disebabkan ketinggian ilmunya dan kematangan fikirannya.

Dari seorang yang meminta-minta di tengah-tengah lautan manusia, menjadi imam dan ikutan! Dan dari seorang yang sujud di hadapan batu-batu yang disusun, menjadi orang yang beriman kepada Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Beliau pernah berkata: “Aku dibesarkan dalam keadaan yatim, dan pergi hijrah dalam keadaan miskin. Aku menerima upah sebagai pembantu pada Busrah binti Ghazwan demi untuk mengisi perutku! Akulah yang melayani keluarga itu bila mereka sedang menetap dan menunggang binatang tunggangannya. Sekarang inilah aku, Allah SWT telah menikahkanku dengan puteri Busrah, maka segala puji bagi Allah yang telah menjadikan Agama ini tiang penegak, dan menjadikan Abu Hurairah RA ikutan ummat Islam”

Islamnya Abu Hurairah

Jika dibandingkan dengan Nabi, umurnya lebih muda sekitar 30 tahun. Beliau lahir di Daus, sebuah desa miskin di padang pasir Yaman. Hidup di tengah kabilah Azad dan beliau sudah yatim sejak kecil serta membantu ibunya menjadi penggembala kambing.

Beliau telah datang kepada Nabi SAW pada tahun yang ke tujuh Hijrah sewaktu beliau berada di Khaibar dan telah memeluk Islam kerana dorongan kecintaan dan kerinduan kepada keindahan agama Islam. Semenjak bertemu dengan Nabi SAW; dan berbai’at kepada baginda, beliau menggunakan keseluruhan waktunya mendampingi baginda kecuali pada waktu tidur. Begitulah selama 4 tahun yang dilaluinya bersama Rasulullah SAW yakni sejak memeluk islam sehinggalah wafatnya Nabi SAW. Boleh diibaratkan seperti: “Waktu yang empat tahun itu tidak ubah bagai suatu usia manusia yang panjang lebar, penuh dengan segala yang baik, dari perkataan, sehinggalah kepada perbuatan dan pendengaran”.’

Pada waktu itu memang terdapat para sahabat Nabi  yang pandai menulis, tetapi jumlah mereka sedikit sekali dan sebahagiannya tidak berkesempatan untuk mencatat Hadis-hadis yang diucapkan oleh Rasulullah SAW.

[Bersambung di “Abu Hurairah RA. Perawi Hadis Terbesar Sepanjang Zaman (Bahagian 2)”]

Abu Thalhah Perisai Rasulullah S.A.W. Di Medan Perang (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Abu Thalhah  Perisai Rasulullah S.A.W. Di Medan Perang (Bahagian 1)”]

Kemudian, Abu Bakar pun menceritakan peristiwa yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. ketika berada di Gua Hira’ sehingga turunnya ayat pertama. Lantas Abu bakar pun mengajak Thalhah untuk memeluk Islam. Diringkaskan cerita, selepas Abu Thalhah pula menceritakan tentang pertemuannya dengan seorang pendita  sewaktu di Bushra, lalu Abu Bakar pun tercenganglah dan kemudian Abu Bakar mengajak Thalhah untuk menemui Rasulullah s.a.w. lalu menceritakan segala apa yang berlaku. Maka di hadapan Rasulullah s.a.w. juga Abu Thalhah telah mengucap dua kalimah syahadah.

Pengislaman Abu Thalhah mendapat tentangan hebat daripada kaum keluarganya. Mereka berusaha untuk mengeluarkan Thalhah daripada Islam dengan pelbagai cara dan penyiksaan yang amat pedih. Namun demikian, disebabkan  keimanannya yang sangat kukuh dan teguh, Abu Talhah tetap tidak berganjak dengan keputusannya.

harta

“Thalhah Si Pengalir Harta,” itulah jolokkannya.

Selain daripada seorang yang hebat di medan perang, Abu Thalhah juga dikenali sebagai seorang yang dermawan. Sikapnya patut dicontohi dan diteladani oleh semua. Sepanjang keislamannya sejak dari awal beliau memeluk Islam, beliau tidak pernah memungkiri janji, berkhianat dan menipu. Sikapnya yang jujur itu menyebabkan dirinya  disenangi oleh teman-teman. Ini diakui sendiri oleh sahabatnya yang bernama Jaabir bin Abdullah. “Aku tidak pernah melihat seorang yang lebih dermawan selain daripada  Thalhah, walaupun tidak diminta. Oleh kerana itu, maka ia telah diberi gelaran “Thalhah si Dermawan,”  “Thalhah si Pengalir Harta,” Kemudian Assaid bin Zaid juga turut berkata tentang Abu Thalhah. Katanya, “Aku berkawan dengan Abu Thalhah, baik dalam perjalanan ataupun sewaktu sedang bermukim. Aku melihat tidak ada seorang pun yang lebih dermawan dari dirinya terhadap kaum muslimin. Beliau sanggup mendermakan wang, makanan dan pakaiannya,” demikianlah ujar Assaid.

Sebagai seorang pedagang yang hebat, pada suatu petang Abu Thalhah telah mendapat untung yang banyak ketika berniaga di Hadramaut. Keuntungan yang diperolehinya itu adalah kira-kira sebanyak    700 000 dirham. Hal itu telah membuatkan Abu Thalhah menjadi bimbang pada malam harinya sehingga menyebabkan beliau tidak boleh lena kerana memikirkan tentang wang yang berada ditangannya. Maka bertanyalah isterinya, mengapa beliau begitu gelisah dan adakah mereka telah membuat apa-apa kesilapan terhadapnya. Setelah diberitahu oleh Abu Thalhah akan hal yang sebenarnya, maka fahamlah si isteri lalu mencadangkan agar Abu Talhah menginfakkan wang yang dimilikinya itu kepada fakir-fakir miskin dan orang susah dalam kalangan Muhajirin dan Ansar agar dapat membantu mereka. Wang itu kemudiannya dimasukkanlah ke dalam uncang-uncang yang besar dan kecil lalu diagih-agihkannya kepada golongan-golongan yang memerlukan.

Selain daripada mengagih-agihkan wangnya, Abu Thalhah juga turut membantu seorang lelaki yang datang kepadanya untuk meminta pertolongan. Dengan rasa simpati terhadap lelaki itu, Abu Thalhah pun berkata, “Aku mempunyai sebidang tanah pemberian Usman bin Affan kepadaku. Tanah itu berharga tiga ratus ribu. Sekiranya engkau suka, ambillah tanah itu atau aku beri kepadamu wang  tiga ratus ribu dirham?” lalu, lelaki itu pun menjawab, “Biarlah aku mengambil wangnya sahaja.” Maka Abu Thalhah pun menghulurkan wang sejumlah tiga ratus ribu dirham kepada lelaki itu. Begitulah sifat terpuji dan keperibadian milik Abu Thalhah bin Ubaidillah yang juga digelar sebagai “Assyahidul hayy” iaitu yang bermaksud Syahid Yang Hidup kerana  jasa bakti dan perjuangannya yang amat besar dalam menegakkan Islam di Medan Uhud.

Abu Thalhah telah wafat pada usia 60 tahun (36 Hijrah,bersamaan 665 Masihi) dan beliau telah gugur di medan perang sebagai syahid lantaran terkena panah sewaktu peperangan “al-Jamal.

Abu Thalhah Perisai Rasulullah S.A.W. Di Medan Perang (Bahagian 1)

Siapakah Abu Thalhah?

Beliau adalah salah seorang diantara sepuluh sahabat Nabi yang dijamin masuk ke Syurga oleh Allah SWT. Nama penuhnya ialah Thalhah bin Ubaidillah bin Usman bin Ka’ab bin Sa’ad. Beliau merupakan salah seorang sahabat Nabi yang berbangsa Quraisy. Abu Thalhah telah memeluk Islam  dengan perantaraan Abu Bakar As-Siddiq  Radiallahu ‘anhu.

Peniaga Kain yang Bijak dan Berilmu.

Abu Thalhah merupakan seorang saudagar yang kaya-raya. Memiliki pelbagai  keistimewaan dan strategi tersendiri dalam perniagaan. Beliau adalah seorang peniaga kain. Selain daripada berniaga kain, Abu Thalhah juga memiliki  banyak ladang Anggur, kebun kurma dan hamba.  Hasil daripada perniagaannya itu beliau berjaya memperolehi  pendapatan lebih daripada 1000 dinar setiap hari. Di samping itu,  Abu Thalhah juga dikatakan meninggalkan harta bernilai 300 bahar sedangkan satu bahar itu telah menyamai  dengan nilai pikulan seekor unta. Bayangkanlah betapa banyaknya harta beliau. Abu Thalhah adalah seorang yang  gigih berusaha. Beliau seorang yang amat berdikari dan tidak gemar bergantung kepada orang lain. Walaupun usianya masih muda, namun kepintarannya telah dapat mengalahkan pedagang-pedagang lain yang lebih tua darinya.

Perihal Keislamannya.

peta syam

Ketika suatu hari Thalhah dan rombongannya pergi ke Syam dan sesampai sahaja di Bushra, Abu Thalhah telah dikejutkan oleh suatu peristiwa yang sangat menarik dan lantas mengubah perjalanan hidupnya. Sewaktu di sana, Abu Thalhah melihat seorang pendita berteriak-teriak sambil berkata

  • “Wahai para pedagang, adakah di antara tuan-tuan ini yang berasal dari Kota mekah?”
  • lalu, Thalhah pun menyahut “Ya, saya penduduk mekah!” katanya kepada pendita itu.
  • Kemudian sang pendita itu bertanya lagi, “Sudah munculkan seorang di antara kalian orang yang bernama Ahmad?”
  • maka bertanyalah Abu Thalhah kepada pendita itu, “Ahmad yang mana?”
  • lantas sang pendita pun membalas, “Ahmad bin Abdullah bin Abdul Muthalib. Bulan ini ia pasti akan muncul sebagai Nabi penutup para Nabi. Kelak ia akan berhijrah dari negerimu ke negeri berbatu-batan hitam yang ada banyak pohon-pohon kurma. Ia akan berpindah ke negeri yang subur dan makmur, memancarkan air dan garam. Sebaiknya, segeralah engkau pergi menemuinya, wahai anak muda,” sambung pendita itu lagi.

Mendengarkan ucapan pendita itu, ia sangat memberi kesan di hati Abu Thalhah. Lantas, tanpa menghiraukan kafilah dagang yang berada di pasar, beliau bergegas pulang ke Kota Mekah.
Sebaik sahaja tiba di Mekah, Abu Thalhah terus bertanya kepada keluarganya.

  • “Adakah berlaku apa-apa peristiwa sepanjang peninggalanku?”
  • lalu keluarganya pun menjawab “Ada. Muhammad bin Abdullah telah mengatakan bahawa dirinya adalah Nabi dan Abu Bakar pula telah mempercayai dan mengiyakan apa yang dikatakan oleh Muhammad.”
  • Dengan yakin Thalhah pun berkata, “Aku kenal Abu Bakar. Kami bersahabat baik. Beliau seorang yang penyayang, berlapang dada dan lemah lembut. Beliau seorang pedagang yang teguh pendirian dan berbudi tinggi. Banyak orang yang menyukai majlisnya, kerana beliau seorang ahli sejarah Quraisy,” ujar Thalhah.
  • Sejurus itu, Abu Thalhah lantas pergi mencari Abu Bakar dan bertanya, “Benarkah Muhammad bin Abdullah telah menjadi Nabi dan engkau mengikutinya?”
  • maka jawab Abu Bakar dengan jujur, “Ya, benar!”

[Bersambung di “Abu Thalhah  Perisai Rasulullah S.A.W. Di Medan Perang (Bahagian 2)”]

Khalifah Uthman Bin Affan Saudagar yang Berkorban Demi Membangunkan Islam (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Khalifah Uthman Bin Affan Saudagar yang Berkorban Demi Membangunkan Islam (Bahagian 1)”]

Pada akhir tahun 34 Hijrah, pemerintahan Islam dilanda fitnah. Antara fitnah yang disebarkan adalah, beliau dituduh merancang untuk membunuh Muhammad Bin Abu Bakar, yang telah dilantiknya sebagai Gabenor. Ini kerana mereka menjumpai surat yang menyatakan niat beliau untuk membunuh.

Sasaran fitnah yang keji itu datang dari Mesir sebenarnya dan dipenuhi dengan tuduhan-tuduhan palsu. Saidina Ali bin Abi Thalib r.a. bermati-matian membela Saidina Uthman dan menyangkal tuduhan mereka.

Tetapi para peniup fitnah terus melancarkan fitnahnya dan telah menjalankan rancangan jahat mereka. Di antara mereka, ada yang menyebarkan tulisan dengan tanda tangan palsu daripada sahabat terkemuka yang memburukkan Uthman. Mereka menuntut agar Uthman dibunuh. Sebahagian besar umat Islam di ketika itu termakan hasutan syaitan berbaur fitnah tersebut hingga terjadi huru-hara. Khalifah  Uthman akhirnya terkepung selama satu bulan di rumahnya. Peristiwa itu dikenali sebagai “Al-Fitnah al-Kubra” yang pertama, telah merobohkan akhlak dan kepercayaa umat Islam dari terus bersatu.

Akibat salah faham dan fitnah yang disebarkan, sebahagian daripada kaum muslimin telah berniat untuk membunuh beliau. Kemudian mereka menjalankan penyiasatan untuk menyelesaikan masalah fitnah yang disebarkan dan terbongkarlah rahsia, bahawa salah seorang daripada ahli keluarganya yang hernama Marwan Bin Al-Hakkam yang mana, juga pembantunya, telah menulis surat yang mengakibatkan salah faham itu. Lalu, mereka meminta Khalifah Uthman menyerahkan Marwan namun dia tidak bersedia melakukannya.

Lalu, mereka mengepung rumah khalifah dan menghalang bekalan air ke rumahnya. Rumahnya dikepung selama 30 hari dan mula kedengaran berita ada orang ingin membunuhnya. Ali meminta anaknya, Hassan dan Hussain dan beberapa orang sahabat mengawal pintu rumah Khalifah Uthman daripada dicerobohi oleh pihak pemberontak Mesir.

Namun begitu, tiga orang pemberontak berjaya masuk ke dalam rumah Khalifah Uthman melalui atap rumah. Ghafiqi terus memukul Khalifah Uthman dengan besi dan menyepak al-Quran yang dibaca olehnya. Khalifah Uthman tidak melepaskan al-Quran dari tangannya dan darah menitis dari mukanya lalu jatuh ke atas muka surat al-Quran yang terbiar, ternganga…

Kemudian Sudan pula menghampiri Khalifah Uthman, lalu dilibas pedangnya ke arah beliau namun Nailah (Isterinya pada masa itu), menahannya sehingga pedang itu telah memutuskan jarinya. Sudan yang bagai hilang pedoman, dan tidak lagi ada sekuis pun rasa peri kemanusiaan terus menetak Khalifah Uthman beberapa kali sehingga beliau gugur jatuh menyembah bumi, mati dalam penuh keimanan, syahid.

Najih, anak Khalifah Uthman terus menerkam ke arah Sudan lalu membunuhnya. Kemudian Qatirah, seorang lagi ahli pemberontak membunuh Najih. Para pemberontak cuba menganiaya mayat Khalifah Uthman pula, namun jeritan tangisan Nailah mengejutkan Hassan dan Husain yang mengawal di pintu hadapan membuatkan pemberontak melarikan diri.

Khalifah terkemuka dan saudagar yang berkorban demi membangunkan Islam itu, Uthman bin Affan, menghembuskan nafas terakhirnya sambil memeluk Al-Quran yang dibacanya. Beliau meninggal dunia pada 8 Zulhijah 35 Hijriah. Sejak itu, kekuasaan Islam semakin sering diwarnai oleh titisan-titisan darah merah, pekat, bergelumang hitam dan kelam.

pemerintahan

Pemerintahannya memakan masa selama 12 tahun, dari tahun 644 sehingga tahun 656 Masihi yang mana ianya merupakan seorang pemerintah yang paling lama dalam pemerintahan Khulafa‘ ar-Rasyidin.

5 INTIPATI PENTING

  1. Beliau seorang yang tidak mementingkan diri sendiri kerana tidak pernah memikirkan kerugian perniagaannya yang ditinggalkannya sewaktu berhijrah.
  2. Banyak melakukan perluasan kuasa terhadap beberapa buah Negara sehingga dapat mengatasi keluasan empayar Rom Timur dan juga empayar Parsi.
  3. Pemerintahannya memakan masa selama 12 tahun, yang mana ianya merupakan pemerintah yang paling lama dalam pemerintahan Khulafa‘ ar-Rasyidin.
  4. Peristiwa “Al-Fitnah al-Kubra”, merupakan titik permulaan peristiwa yang menyayat hati.
  5. Cubaan bunuh oleh pemberontak dan wafat pada 8 Zulhijah 35 Hijriah. 

Khalifah Uthman Bin Affan Saudagar yang Berkorban Demi Membangunkan Islam (Bahagian 1)

Sepuluh orang kesemua sahabat Nabi Muhammad s.a.w yang telah dijanjikan dengan ganjaran syurga, atas jasa dan pergorbanan mereka dalam berdakwah mempertahankan ajaran Islam. Salah seorang daripada sepuluh orang itu, adalah Saidina Uthman Bin Affan, atau turut digelar sebagai Zu al-Nurain kerana beliau telah memperisterikan dua orang anak perempuan Nabi Muhammad iaitu Ruqayah dan kemudiannya Ummi Kalsum.

Uthman Bin Affan

Saidina Uthman r.a dilahirkan pada tahun 576 Masihi dan berasal daripada Bani Umaiyah. Baik sebelum memeluk Islam, mahupun selepas memeluk Islam, beliau merupakan satu-satunya tokoh saudagar paling berjaya. Dialah sahabat Rasul yang paling banyak mengorbankan harta bendanya demi menegakkan perjuangan Islam.

Ketika suasana pergolakan di Mekah menjadi tegang disebabkan kaum Musyrikin Quraisy melakukan tekanan yang hebat terhadap kaum Muslimin, Saidina Uthman adalah yang termasuk golongan mereka yang turut melakukan hijrah ke Abyssinia. Beliau tidak pernah memikirkan kerugian perniagaan yang ditinggalkannya, kerana beliau sedar bahawa hijrah tersebut adalah termasuk dalam usaha untuk menegakkan agama Allah.

Antara pertolongan yang paling hebat disumbangkan oleh Saidina Uthman adalah ketika, Nabi mendapat berita bahawa Rom merancang untuk memusnahkan Negara Islam yang baru muncul. Kaum Muslimin seterusnya, melengkapkan diri mereka dengan persiapan perang. Tetapi persediaan menjadi sukar kerana pada tahun itu, kaum Muslimin kekurangan sumber tanaman, dan mereka sedang menghadapi musim panas yang sangat terik.

Mereka juga tidak memiliki kelengkapan yang cukup serta tiada bala tentera yang kuat, kerana sebahagian besar Muslimin terdiri daripada golongan yang miskin. Bukan itu sahaja, setiap sahabat mencuba segala yang terbaik untuk memperkuatkan pasukan Muslimin. Kaum Hawa pula turut sama menyokong perjuangan suci itu dengan menjual perhiasan emas dan permata yang mereka miliki semata-mata untuk membantu persiapan perang.

Walaupun ratusan sahabat yang siap untuk masuk ke medan perang, namun bagai padang pasir yang ketandusan air, berkerak tanah kering, begitulah keadaan mereka yang kekurangan banyak perkara yang diperlukan untuk berperang, seperti kuda, unta, bahkan pedang.

Lalu Uthman bin Affan hadir bagai anugerah dari Ilahi, dengan penuh keikhlasan di jiwanya yang tulus, membawa 200 unta berpelana untuk melakukan perjalanan ke As-Sham, dan mereka semua pula disiapkan dengan 200 auns emas sebagai sumbangan ikhlasnya. Dia juga menyumbangkan 1000 dinar dan meletakkannya ke atas riba Nabi. Malah, dengan sepenuh kerelaan hati Uthman bin Affan telah memberi sumbangan dengan menambah 900 unta lagi dan 100 kuda, semuanya kerana Allah s.w.t dan demi perjuangan Islam.

Antara pencapaian Saidina Uthman adalah, beliau telah dilantik sebagai khalifah yang ketiga pada tahun 23 Hijrah. Setelah dilantik, beliau banyak melakukan perluasan kuasa terhadap beberapa buah negara dalam usahanya menyebarkan Islam, ini dapat dilihat pada keluasan empayar Islam yang dapat mengatasi keluasan empayar Rom Timur dan juga empayar Parsi pada zaman kegemilangan mereka.

Antara wilayah baru yang telah berjaya ditakluki ialah Cyprus, Afganistan, Samarqand, Libya, Algeria, Tunisia, Morocco dan beberapa buah negara lagi. Beliau juga bertanggungjawab dalam menubuhkan angkatan tentera laut Islam yang pertama bagi menjamin keselamatan dan melakukan perluasan kuasa. Banyak negara-negara yang dibuka melalui angkatan tentera ini.

Namun, disebalik sumbangan dan jasa yang ditaburkan, beliau diduga pula dengan cabaran yang maha hebat! Satu peristiwa yang menyayat hati di mana telah membawa beliau berhadapan dengan maut!

[Bersambung di “Khalifah Uthman Bin Affan Saudagar yang Berkorban Demi Membangunkan Islam (Bahagian 2)”]