[Bersambung dari “Tip Murah Rezeki Cara Islam (Bahagian 1)”]
Tip #6. Sentiasa Bersyukur kepada Allah
Setiap waktu dan ketika, kita sebagai hamba-Nya wajib bersyukur atas segala kurniaan-Nya. Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah SWT. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7)
Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
Tip #7. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Al-Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau Asma’ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten 7 kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah Ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, Ya Fattah Ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa yang mengamalkan membaca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Insya-Allah.
Tip #8. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba itu dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah menyuruh kita meminta kepada-Nya, nescaya DIA akan perkenankan dan jangan sesekali bergantung harap kepada yang lain, kerana perbuatan sedemikian adalah syirik yang merupakan dosa besar.
Tip #9. Berikhtiar atau berusaha sehabisnya
Barangsiapa yang berusaha, pasti dia akan mendapat sesuatu atau memperolehi hasilnya. Perkara ini adalah sunnatullah. Dalam satu hadis sahih, dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tetapi agama hanya Allah berikan kepada orang yang dicintai-Nya sahaja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Sebagai orang beriman, tentulah kita perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada kemurahan rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang hati bacalah Al-Quran, hendak dapat anak yang baik, didiklah mereka sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat jagalah pemakanan dan makan makanan yang baik dan halal, hendak mendapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak memperolehi rezeki berkat jauhilah perkara yang haram, dan sebagainya.
Tip #10. Bertawakal
Dengan bertawakal semata-mata kepada Allah SWT, seseorang itu akan direzekikan dengan rasa kaya jiwanya. Ini bersesuaian dengan Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Barangsiapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)
Nabi Muhammad SAW pula telah bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.”(Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “Jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)
Sebagai kesimpulan, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kunci utamanya adalah melaksanakan amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Sekian, moga bertemu lagi dalam keluaran seterusnya. Salam ukhuwah dari kami di Majalah IK. Wassalam.
Latest posts by Irfan Khairi (see all)
- 4 Sebab Video Penting untuk Perniagaan KECIL - 18 July, 2022
- Cara tambah keyakinan diri untuk buat VIDEO! - 8 May, 2022
- Saya TIDAK bermula DARI ZERO kerana…. - 2 September, 2021
Terima kasih kerana berkongsi ilmu
1o tips tu jika dilakukan kesemuanya insyaallah bahagia dunia dan akhirat.