Sesetengah dari kita, memang tidak suka kerja dari 9 pagi hingga 5 petang setiap hari. Tetapi, oleh kerana terpaksa untuk jana pendapatan, maka kita bekerja.
Satu ketika dulu, saya juga bekerja mengikut waktu pejabat. Walaupun tidak suka, tetapi terpaksa. Kalau tak kerja, bagaimana hendak bayar sewa rumah dan makan minum? Ketika itu, saya belum lagi memiliki kereta. Pergi pejabat pun berjalan kaki sahaja untuk jimat wang. Maklumlah, baru lepas tamat beajar di Universiti.
Sememangnya, pada peringkat permulaan, kita akan lakukan kerana wang. Jadi saya terpaksa kerja. Namun, dalam diri saya sendiri saya inginkan kelainan- tidak mahu terikat dengan kerja makan gaji 9 pagi hingga 5 petang. Dan ingin menjana pendapatan dari rumah, mengikut masa saya sendiri.
Ketika itulah saya mula menjinakkan diri dengan perniagaan online secara sambilan. Sambil bekerja, sambil menjalankan perniagaan.
Langkah #1: Tak mengapa kalau tak suka. Terpaksa!
Pastinya kita pernah dengar kata-kata bahawa, untuk berjaya, kita perlu lakukan apa yang kita suka.
Memang benar!
TETAPI, pada permulaannya, memang tidak dapat dinafikan kita perlu melakukan apa yang kita tidak suka, untuk mendapatkan wang. Sepertimana saya lebih cenderung ingin mulakan perniagaan 20 tahun lalu, namun saya terpaksa kerja makan gaji juga untuk menampung hidup ketika itu.
Apa yang penting, saya sentiasa tanamkan matlamat dan cita-cita dalam diri saya sendiri untuk mulakan perniagaan secara sambilan, dan sekiranya ada rezeki, perniagaan sambilan itu dapat menampung hidup saya untuk saya berhenti kerja 9-5 dan fokus pada perniagaan sahaja.
Sekiranya anda melakukan sesuatu yang anda tidak minat dan tidak suka kini, tidak mengapa. Tetapi, simpan niat untuk satu hari nanti, ubah diri sendiri untuk melakukan apa yang kita suka!
Langkah #2: Perlu berubah. Berubah pula susah!
Mengapa kita masih belum mencapai matlamat kita?
Jawapannya mudah tapi agak pedas.
Kerana, kita tidak mahu berubah. Melakukan sesuatu yang sama sahaja setiap hari, akan memberi keputusan yang sama sahaja. Sebab itulah hidup kita masih sama seperti tahun lepas, 3 tahun lepas, 5 tahun lepas atau lebih!
Tidak akan terjadi sekiranya kita melakukan perkara yang sama, tetapi keputusan atau outcome adalah berbeza.
Untuk mencapai matlamat, kita perlu berubah melakukan sesuatu yang baru. Melakukan sesuatu yang baru pula bukanlah perkara yang mudah. Ia memerlukan kita keluar dari zon selesa kita.
Nak tak nak, itu yang mesti dilakukan. Kejayaan kita dalam mencapai matlamat, adalah bila kita keluar dari zon selesa. Memang tidak mudah. Sebab itulah ramai yang masih belum mencapai cita-cita mereka…
Langkah #3: Belajar, baca, tonton, dengar dan seumpama!
Zaman internet kini, mencari ilmu bukan sahaja melalui membaca buku. Baca online, tonton YouTube, dengar PodCast dan sebagainya. Apa yang perlu anda lakukan untuk berubah sekiranya tidak suka bekerja 9-5, anda perlu banyak belajar dan terus belajar.
Tidak kira apa pun cara anda belajar, mula baca mengenai menjalankan perniagaan online. Tonton video-video YouTube tip dan strategi perniagaan, ada banyak juga podcast-podcast motivasi perniagaan di Internet.
Lebih banyak yang kira belajar, ia akan siap sediakan kita dari segi mental (dan juga fizikal) untuk keluar dari kitaran bekerja 9-5 dan menjalankan perniagaan secara sambilan.
Ramai yang tanya saya, apakah langkah pertama sebelum mulakan perniagaan? Jawapan saya sering kali adalah, cari ilmu terlebih dahulu.
Ilmu yang kita belajar, tak semestinya lengap sebelum kita mulakan perniagaan. Ilmu tidak akan lengkap. Tetapi, dengan sedikit ilmu persiapan, ia akan sedikit sebanyak membantu kita memulakan transisi dari bekerja 9-5 kepada mulakan perniagaan sambilan.
Mudahan perkongsian saya kali ini dapat membuka mata dan minda anda sekiranya matlamat anda adalah untuk memulakan perniagaan secara sambilan!
All the best!
Latest posts by Irfan Khairi (see all)
- 4 Sebab Video Penting untuk Perniagaan KECIL - 18 July, 2022
- Cara tambah keyakinan diri untuk buat VIDEO! - 8 May, 2022
- Saya TIDAK bermula DARI ZERO kerana…. - 2 September, 2021
saya sebagai suri rumah pun
buat duit sesikit..
jual simkad secara affilliate & jual jajan kat bebudak kampung
jadi le buat belanja dapur
Penatlah trafik jam ..minat jugak bisnes ni