Bertemu lagi dalam artikel untuk keluaran kali ini. Kali ini penulis ingin berkongsi tentang kisah Nabi Sulaiman a.s. yang kaya raya namun imannya masih tetap utuh kepada Allah s.w.t. Seperti mana yang kita ketahui dan pelajari dari kisah-kisah Para Anbiya, Nabi Sulaiman adalah seorang Nabi dan seorang Raja yang Agung.
Nabi Sulaiman merupakan putera kepada Nabi Daud a.s. Setelah kewafatan Nabi Daud, baginda dilantik menjadi pengganti dalam pemerintahan kerajaan Bani Israel. Disebabkan kebolehan dan bakat kepimpinan yang hebat, baginda telah menjadi raja ketika usianya masih muda iaitu 13 tahun.
Walaupun masih muda, baginda mempunyai kebolehan serta kepandaian dalam memerintah dan baginda sangat terkenal sebagai pemerintah yang hebat. Nabi Sulaiman dikurniakan oleh Allah dengan pelbagai kelebihan dan mukjizat yang menakjubkan.
Mukjizat Nabi Sulaiman
Antara mukjizat yang ada pada diri baginda termasuklah baginda dapat menguasai angin yang telah menjadi sebagai alat pengangkutannya. Baginda juga mampu memerintah makhluk dari golongan jin. Baginda turut memahami segala bahasa pertuturan binatang-binatang yang ada termasuklah burung-burung dan serangga.
Kekayaannya Tidak Terjangkau
Kekayaan Nabi Sulaiman tidak terjangkau akal dan tidak terkira banyaknya kerana baginda mempunyai kebolehan mengetahui di mana letaknya harta-harta yang tersembunyi di perut bumi. Nabi Sulaiman hidup dengan penuh kehebatan dan kemewahan di istana baginda.
Walaupun baginda diselubungi dengan harta kekayaan, kememakmuran, kelebihan dan kehebatan, semua ini tidak menjadikan baginda seorang yang sombong dan bongkak. Baginda tetap merupakan seorang yang kuat ibadah, adil, bijaksana dalam memerintah dan mempunyai otak yang cerdas dalam menjalankan urusan pemerintahannya.
Kisah burung hud-hud
Pada suatu hari, Nabi Sulaiman mahukan laporan daripada seekor burung hud-hud yang baginda arahkan mencari sumber air di negeri Yaman yang telah dilanda kemarau. Namun begitu burung hud-hud yang ingin ditemui baginda tidak kunjung tiba menyebabkan Nabi Sulaiman menjadi murka. Baginda akan menghukum burung tersebut jika ia datang tanpa sebab yang munasabah atas kelewatannya.
Setelah lama menunggu, akhirnya burung hud-hud tersebut pun tiba sambil menundukkan kepalanya tanda takut atas kelewatannya. Tanpa berlengah lagi burung hud-hud tersebut melaporkan tentang berita yang diketahuinya mengenai sebuah negeri yang kaya raya bernama Sabak.
Negeri Sabak diperintah oleh seorang perempuan bernama Ratu Balqis. Namun begitu, Ratu Balqis serta rakyatnya tidak pula beriman kepada Allah sebaliknya menyembah dan bertuhankan matahari.
Dakwah Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis
Nabi Sulaiman yang sebelum itu murka kepada burung hud-hud tersebut tidak jadi menjatuhkan hukuman kepadanya. Berita tentang kekufuran Ratu Balqis serta rakyat jelatanya lebih menarik perhatian baginda lalu menulis sepucuk surat untuk diutuskan kepada Ratu Balqis.
Surat tersebut berupa seruan dakwah dari Nabi Sulaiman supaya Ratu Balqis dan seluruh rakyat jelatanya menyembah serta mengabdikan dirinya kepada Allah yang Esa dan meninggalkan segala sembahan yang lain. Burung hud-hud tersebut telah diamanahkan untuk mengirimkan surat tersebut kepada Ratu Balqis.
Surat itupun telah dibawa oleh burung hud-hud. Sesampainya ia ke negeri Sabak dan istana Ratu Balqis, ia menjatuhkan surat tersebut dihadapan Ratu Balqis lalu Ratu Balqis mengambil serta membacanya. Nabi Sulaiman telah mengarahkan supaya menyerahkan diri di bawah kekuasaan kerajaannya serta beralih daripada menyembah matahari kepada menyembah Allah yang Maha Esa disamping tidak bersikap sombong.
Setelah membaca surat tersebut barulah Ratu Balqis sedar bahawa ada lagi sebuah kerajaan yang lebih hebat selain kerajaan Sabak. Ratu Balqis lalu mengarahkan utusan beliau kepada Nabi Sulaiman setelah berbincang dengan para cerdik pandai dari kerajaannya. Utusan yang dihantar membawa pelbagai hadiah berupa emas dan intan berlian sebagai memujuk Nabi Sulaiman menarik balik arahan baginda. Namun baginda menolak segala hadiah tersebut kerana baginda sendiri mempunyai harta yang tidak terkira banyaknya.
Baginda mengarahkan utusan tersebut untuk pulang semula ke Sabak dan menyampaikan dakwah serta pesanannya agar meninggalkan amalan menyembah matahari. Mereka pun pulang lalu menceritakan kepada Ratu Balqis tentang kehebatan dan kekayaan Nabi Sulaiman melebihi Ratu Balqis.
Ratu Balqis tidak percaya dan ingin melihat dengan matanya sendiri. Perkara ini telah diketahui oleh Nabi Sulaiman lalu baginda memerintahkan rakyatnya dari kalangan jin membawa Ratu Balqis ke istana baginda dengan sekelip mata.
[Bersambung di “Nabi Sulaiman Raja Agung yang Kaya Raya Namun Tetap Beriman (Bahagian 2)”]
Latest posts by Irfan Khairi (see all)
- 4 Sebab Video Penting untuk Perniagaan KECIL - 18 July, 2022
- Cara tambah keyakinan diri untuk buat VIDEO! - 8 May, 2022
- Saya TIDAK bermula DARI ZERO kerana…. - 2 September, 2021
As-salam..tak sabar tunggu episod sambungannya 🙂
Satu perkongsian yg bagus utk kita ambik pengajaran & iktibar. Segala sesuatu itu milik Allah & Allah akan kurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki Nya.