“Kebaikan sebesar zarah (butiran kecil) dari orang yang bertaqwa, lebih berat dan bernilai daripada ibadah setinggi gunung dari orang yang menipu diri sendiri.” (Abu Darda’ r.a.)
Demikianlah kata-kata hikmah seorang ahli sufi dan seorang hartawan yang tidak pernah lalai dari menyebut nama Allah SWT dalam setiap urusan dan kehidupan sehariannya. Beliau sering merenung dan meneliti kembali setiap amal ibadahnya dan senantiasa mengingatkan orang tentang perilaku palsu.
Ini kerana menurutnya kepalsuan itu melemahkan iman serta merasakan diri lebih hebat daripada orang lain dan menyebabkan kesombongan. Oleh kerana hal itulah, maka beliau telah menuturkan kata-kata yang penuh hikmah dan amat bermakna untuk difahami dan dihayati seperti di atas.
Abu Darda’ adalah salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang utama. Beliau terkenal sebagai seorang sahabat yang cerdas tetapi hidupnya amat sederhana. Beliau sanggup menjauhi kehidupan duniawi dan lebih mementingkan ibadah. Beliau cuma menjalani kehidupan sebagai seorang ahli sufi yang warak dan telah menjadi teladan kepada sahabat-sahabat nabi yang lain.
Kisah pengislamannya
Menceritakan tentang keislamannya, Abu Darda’ menyatakan : “Aku mengislamkan diriku kepada Rasulullah s.a.w. ketika aku ingin agar ibadah dan perniagaan dapat terhimpun dalam diriku. Tetapi tidak berhasil. Lantas aku kesampingkan perniagaan, agar aku dapat lebih banyak beribadah kepada Allah SWT. Sesungguhnya, aku tidak terlalu gembira meski setiap hari mendapat untung sebanyak 300 dinar. Allah memang tidak mengharamkan perniagaan, tetapi aku lebih suka bergabung dengan orang yang di dalam berniaga tidak melalaikan Allah SWT.”
Abu Darda’ adalah seorang hartawan di Madinah dan juga merupakan seorang saudagar yang terkenal dengan sifat jujur. Beliau masuk Islam adalah kerana kejujurannya dan banyak orang begitu suka berdagang dengannya, berbanding dengan pedagang-pedagang yang lain. Ini adalah disebabkan beliau seorang pedagang yang tidak pernah menipu.
Jelas di sini, bahawa kejujuran itu amat penting dalam kehidupan seharian kita. Lebih-lebih lagi apabila berurusan dengan ramai orang di sekeliling kita dan yang paling penting sekali jujur kepada diri sendiri dan jujur dalam mentaati perintah Allah SWT. Tidak kiralah siapa kita dan bagaimana pun keadaan kita, tetapi sifat jujur dan amanah itu amat perlu ditanam dan diasuh sedari awal dalam diri agar kita lebih dipercayai dan dihormati.
Kemuliaan seseorang itu bukanlah disebabkan oleh pangkat dan hartanya, tetapi adalah kerana sifat-sifat peribadi yang dimiliki olehnya yang boleh menjadi contoh teladan kepada orang lain yang mengenali dirinya. Mampu menjadi Ikon untuk diikuti dan dicontohi. Begitulah dengan sahabat nabi ini
Abu Darda’ mampu mengambil hikmah kehidupan di dunia tetapi beliau tidak lupa mengharapkan untuk meraih pahala di akhirat jua. Setelah meninggalkan perniagaanya, Abu Darda’ telah menjalani hidup sebagai ahli sufi dan beberapa ajarannya yang penuh dengan hikmah di antaranya adalah :
“Maukah anda mendengarkan jika aku sampaikan amalan yang terbaik dan amalan yang terbersih di sisi Allah? Amalan yang mampu meninggikan darjat anda? Yang lebih baik daripada memerangi musuh di medan perang, yang lebih baik dari wang emas dan perak?” ujar Abu Darda’.
Lantas bertanya para sahabat “Amalan apakah itu, wahai Abu Darda’?”
jawab beliau “Dzikrullah,” kerana dzikir kepada Allah itu lebih utama.
[Bersambung di “Abu Darda’ (Bahagian 2)”]
Latest posts by Irfan Khairi (see all)
- 4 Sebab Video Penting untuk Perniagaan KECIL - 18 July, 2022
- Cara tambah keyakinan diri untuk buat VIDEO! - 8 May, 2022
- Saya TIDAK bermula DARI ZERO kerana…. - 2 September, 2021