[Bersambung dari “Abdullah Ibnu Al-Mubarak : Siapakah Sebenarnya Beliau? (Bahagian 1)”]
Berjuang menegakkan syiar Islam.
Seperti yang umum ketahui, Abdullah Ibnu al-Mubarak bukan sahaja seorang hartawan, dermawan dan ulama yang disegani . Tetapi, beliau juga merupakan seorang pahlawan Islam yang ulung dalam menegakkan kalimah Allah SWT. Beliau dikatakan seorang pejuang Islam yang begitu handal dan berani dalam peperangan.
Menceritakan tentang kisah kepahlawanannya, berkata Abdullah bin Sinan : “Suatu waktu aku bersama Abdullah bin al-Mubarak dan Mu’tamir bin Sulaiman di Thursus, tiba-tiba, ada seruan untuk berperang, maka Abdullah bin al-Mubarak pun pergi bersama mereka yang turut menyahut seruan jihad itu.”
Ketika dua kumpulan pasukan perang bertemu dan menyusun barisan masing-masing, tiba-tiba keluar salah seorang jaguh Romawi daripada barisan mereka, lalu beliau menentang perlawanan perang. Oleh yang demikian, salah seorang anggota perang daripada kaum muslimin pula, telah keluar menemuinya.
Maka, jaguh Romawi itu pun mula menyerangnya dengan dahsyat sekali dan berjaya membunuhnya, hinggakan 6 orang daripada barisan perang kaum muslimin telah terkorban dalam peperangan tersebut.
Ini membuatkan kumpulan Romawi yang angkuh dan bongkak itu, meminta untuk meneruskan perlawanan lagi. Akan tetapi, tiada seorang pun daripada barisan perang kaum muslimin yang berani keluar. Maka pada ketika itu, Abdullah Ibnu al-Mubarak telah menoleh kepadaku lantas berkata : “Wahai Fulan, apabila aku terbunuh, maka lakukanlah hal ini dan hal itu.” (Ibnul Mubarak berwasiat kepadaku), kemudian beliau terus menggerakkan kudanya dan mara ke depan untuk menyahut cabaran daripada tentera Romawi itu. Setelah itu, berlakulah adegan serang-menyerang antara keduanya sehingga 6 orang bala tentera Romawi telah terbunuh dalam peperangan itu. Tentera Romawi terus mengugut Abdullah Ibnu al-Mubarak dengan kata-kata ancamannya, namun Abdullah Ibnu al-Mubarak sedikitpun tidak gentar melawan musuhnya yang juga musuh umat Islam.
Subhanallah! lihatlah betapa besarnya pengorbanan yang telah dilakukan oleh Abdullah Ibnu al-Mubarak yang sanggup berjuang di jalan Allah, hanya semata-mata untuk mendapat dan mengharapkan redha-Nya. Beliau sedikit pun tidak mahu orang lain mengetahui apa yang telah dilakukan olehnya, demi menjaga keikhlasan hati agar tidak sampai kebaikannya itu dirosakkan oleh iblis durjana, kerana ujudnya perasaan riyak didalam hati. Sebagai kesimpulannya, Ini dapat kita sifatkan bahawa, untuk menjadi insan yang disenangi oleh semua lapisan masyarakat, maka pelbagai pengorbanan perlu kita lakukan secara ikhlas dan istiqamah, agar nanti kita dapat menjadi cermin yang mampu memantulkan wajah yang elok dan sempurna serta tidak pudar sebagai contoh teladan kepada anggota masyarakat.
Abdullah Ibnu al-Mubarak, meskipun beliau memiliki harta yang berlimpah ruah serta ilmu yang tepu di dada, namun beliau sedikitpun tidak pernah angkuh dan sombong. Malah, tetap berpenampilan sederhana, gerak-geri dan tutur bicaranya penuh sopan dan santun. Demikianlah antara sifat-sifat terpuji yang dimiliki olehnya.
Saat Kewafatan Abdullah Ibnu al-Mubarak.
Diceritakan, bahawa sebelum kewafatan beliau, di saat ia sedang menanti dalam keadaan sakaratul maut, Abdullah bin al-Mubarak tetap berusaha untuk beramar ma’ruf. Abdullah al-’Ajli berkata : “Ketika ajal menjemput Abdullah Ibnu al-Mubarak, telah ada seseorang yang mentalkinkannya,” dan dia berkata,”Ucapkanlah laa ilaha illallah.’ Orang itu telah mengulang-ulangi perkataan tersebutsehingga beberapa kali. Maka, Abdullah bin al-Mubarak pun berkata kepadanya, “Kamu tidak pandai melakukannya, aku khuatir kamu akan menyakiti orang Islam yang lain setelah aku, apabila kamu mentalkinkan aku dan aku telah mengatakan laa ilaha illahllah, maka biarkanlah aku. Dan apabila aku mengeluarkan kata-kata lain, maka talkini aku lagi, sehingga ia menjadi akhir dari ucapanku.”
Setelah menjalani hidup kurang lebih 63 tahun, akhirnya seorang ulama, hartawan dan dermawan yang terpuji lagi terbilang iaitu Abdullah Ibnu al-Mubarak telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dan pergi buat selama-lamanya meninggalkan dunia yang fana ini.
Latest posts by Irfan Khairi (see all)
- 4 Sebab Video Penting untuk Perniagaan KECIL - 18 July, 2022
- Cara tambah keyakinan diri untuk buat VIDEO! - 8 May, 2022
- Saya TIDAK bermula DARI ZERO kerana…. - 2 September, 2021