Abdullah Ibnu al-Mubarak, adalah seorang imam besar yang sangat dihormati dan dikenali ramai dalam kalangan Atba’ut Tabi’in iaitu (generasi setelah tabi’in) yang amat dipercayai dan begitu teliti dalam meriwayatkan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Beliau juga merupakan salah seorang ahli hadis yang sangat masyhur dan terkemuka.
Nama penuh beliau ialah Abu Abdurrahman Abdullah bin al-Mubarak al-Hanzali al-Marwazi. Merupakan anak seorang pedagang yang berbangsa Turki manakala ibunya pula berketurunan Parsi. Beliau telah mendapat bimbingan daripada beberapa orang guru dan merupakan seorang ahli yang sangat mahir dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, terutamanya berkenaan dengan ilmu gramatika dan kesusasteraan.
Syeikh Abdullah Ibnu al-Mubarak telah dilahirkan pada tahun 118H bersamaan dengan 736 Masihi. Beliau banyak menulis tentang hadis-hadis nabi dan salah satu daripada karyanya yang masih lagi wujud sehingga kini ialah bertemakan tentang “Zuhud.” Abdullah Ibnu al-Mubarak dikatakan meninggal dunia pada tahun 181H iaitu bersamaan dengan 797 Masihi, di sebuah Kota bernama Kota Hit yang terletak di tepi sungai Euphrat.
Seorang Hartawan Yang Banyak Berjasa :
Oleh kerana beliau telah mewarisi harta yang begitu banyak daripada orang tuanya, maka Abdullah Ibnu al-Mubarak telah mengembangkan harta tersebut dalam bidang perniagaan, sehinggakan beliau telah menjadi seorang ahli korporat yang sangat hebat dan berjaya. Modal yang digunakan oleh Abdullah Ibnu al-Mubarak untuk melibatkan diri dengan dunia perniagaan adalah sebanyak 400 ribu dirham. Bayangkanlah pada ketika itu, harga bagi seekor kambing hanyalah sekitar 5 dirham sahaja, jadi cubalah hitung berapa banyakkah harta kekayaan yang diwarisi oleh beliau daripada peninggalan ayahandanya?
Hasil daripada harta yang telah dikembangkannya itu, beliau telah membelanjakannya untuk membantu fakir-fakir miskin, menuntut ilmu dan menyantuni para ulama selain daripada digunakan untuk berjihad ke jalan Allah. Beliau berniaga bukanlah bertujuan untuk memperkayakan dirinya sendiri, tetapi adalah untuk menolong para ulama dalam mengembangkan agama Allah. Beliau pernah berkata kepada Fudhail bin ‘Iyadh : “Andaikata bukan kerana kamu dan teman-temanmu (yang bermaksud para ulama) nescaya aku tidak akan berniaga.”
Alangkah mulia dan tulusnya niat Abdullah Ibnu al-Mubarak ini untuk berniaga dan berdagang, demi mengangkat darjat para ulama, agar mereka tidak ditindas dan dipergunakan oleh pihak penguasa dan mereka yang berduit. Disebabkan hal inilah, maka berkata Abbas ad-Dauri : “Tidaklah aku melihat seorang yang mengajarkan hadis lillahi Ta’ala Kecuali 6 orang yang di antaranya adalah, Abdullah bin al-Mubarak.”
Menurut al-Imam adz-Dzahabi yang menyatakan bahawa, dalam setahun Abdullah Ibnu al-Mubarak telah mengeluarkan sejumlah wang bernilai 100 ribu dirham, semata-mata untuk membantu golongan fakir miskin. Di samping itu, beliau juga turut membantu melunasi hutang-hutang yang telah ditanggung oleh seorang pemuda yang telah dipenjarakan akibat daripada bebanan hutang yang tidak mampu dibayar olehnya.Tanpa pengetahuan pemuda itu, Abdullah Ibnu al-Mubarak telah melangsaikan segala hutang-piutang beliau,sehingga akhirnya pemuda itu telah dibebaskan dari penjara. Subhanallah! Maha suci Allah. Betapa mulianya hati seorang insan yang bernama Abdullah Ibnu al-Mubarak ini. Beliau sanggup menyembunyikan sedekahnya hinggakan tangan kirinya langsung tidak tahu apa yang telah disedekahkan oleh tangan kanannya. Masya-Allah!
[Bersambung di “Abdullah Ibnu Al-Mubarak : Siapakah Sebenarnya Beliau? (Bahagian 2)”]
Latest posts by Irfan Khairi (see all)
- 4 Sebab Video Penting untuk Perniagaan KECIL - 18 July, 2022
- Cara tambah keyakinan diri untuk buat VIDEO! - 8 May, 2022
- Saya TIDAK bermula DARI ZERO kerana…. - 2 September, 2021
Maa Syaa Allah Subhaanallah wa Alhamdulillaah
RidliyAllahu ‘Anhu, Aamiin.
Syukran katisir ya ustadz. . Atas artikel yang sangat sangat bermanfaat ini.
Barakallahu fiik. .
Dirham atau dinar? Tolong semak.