Walaupun Islam menggalakkan kita berniaga, tidak bermakna kita bebas untuk melakukan sebarang perniagaan dengan tatacara kita sendiri dan semestinya ada prasyarat yang mesti dituruti. Islam telah mengharamkan beberapa perkara dalam aktiviti perniagaan untuk menjamin kemaslahatan manusia terjamin dan terpelihara. Antara yang dilarang dan diharamkan dalam perniagaan adalah seperti berikut :
1. Rasuah.
Rasuah merupakan salah satu dosa besar dalam Islam. Ia kerap berlaku dalam pelbagai bidang termasuklah dalam perniagaan. Sehinggakan ada yang berpendapat bahawa rasuah atau duit under-table ini adalah satu kemestian untuk perniagaan mereka. Mereka beranggapan dengan adanya rasuah dapat membantu mereka mendapatkan projek dan peluang perniagaan yang lebih luas dan memudahkan perjalanan projek mereka.
Ada juga di antara mereka yang berselindung dengan menukarkan istilah rasuah itu dengan kata-kata lain seperti sedekah, hadiah, pertolongan, bantuan dan seumpamanya. Rasuah itu sangat jauh bezanya dengan sedekah dan hadiah. Rasuah adalah pemberian yang dibuat bertujuan untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang salah atau bukan dengan cara yang sebenar. Sedekah pula adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan mendapatkan balasan pahala dari Allah SWT semata-mata, sedangkan hadiah pula adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan mempereratkan lagi ikatan silaturahim dan kasih sayang.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Dari Abdullah bin Amru katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda Allah SWT melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”
Gejala rasuah dalam menjalankan aktiviti perniagaan adalah dilarang sama sekali dalam Islam dan merupakan perbuatan haram lagi tercela. Sebagai peniaga yang beriman, perbuatan terkutuk ini hendaklah dihindari agar keberkatan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat dapat dikecapi oleh semua.
2. Riba.
Riba juga merupakan perkara yang diharamkan dalam Islam. Mereka yang menyatakan riba itu halal akan menjadi kufur dan terkeluar dari Islam, kerana riba adalah salah satu dari dosa besar yang wajib dielakkan oleh seorang muslim yang disebutkan secara jelas dalam al-Quran dan sunnah tentang pengharamannya. Riba yang dimaksudkan ialah sebarang tambahan dalam barangan tertentu dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh.
Di dalam surah al-Baqarah, ayat 289 dirakamkan bahawa Allah dan Rasul memerangi pemakan riba. Firman Allah, mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.” (Surah al-Baqarah: 289).
Dalam menjalankan aktiviti perniagaan, amalan riba mestilah dielakkan sepenuhnya. Peniaga yang baik dan diredhai Allah SWT ialah peniaga yang mampu berniaga dengan berpandukan peruntukan syarak, bebas dari sebarang bentuk riba sama ada dalam mendapatkan modal, membuat simpanan, membuat pelaburan dan seumpama dengannya.
3. Menipu untuk melariskan jualan.
Pelbagai cara dan strategi dibuat dengan tujuan melariskan barang jualan oleh kerana keghairahan untuk menarik pelanggan. Islam sangat melarang sebarang bentuk penipuan dalam perniagaan. Menipu ialah melakukan suatu helah untuk kepentingan diri sendiri dan memudaratkan orang lain. Terdapat pelbagai bentuk penipuan yang berlaku dalam perniagaan seperti menjual barangan tiruan pada harga yang mahal, menipu pelanggan dengan iklan-iklan yang palsu, memalsukan tandatangan dan macam-macam penipuan lagi yang banyak berlaku. Ada juga yang sanggup bersumpah dengan menggunakan nama Allah bertujuan untuk melariskan barangan jualan tiruan mereka dengan menyatakan bahawa barangan tersebut bukan tiruan malah ianya adalah asli.
“Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. telah melalui setimbunan makanan (yang dijual) seraya memasukkan tangannya ke dalam timbunan makanan tersebut dan mendapati jari-jemarinya basah. Rasulullah s.a.w. bersabda, apakah semua ini wahai pemilik makanan? Lelaki itu menjawab; makanan ini telah ditimpa hujan wahai Rasulullah s.a.w. Seraya Rasulullah bersabda: Kenapa tidak kamu jadikan yang basah itu di sebelah atas makanan agar manusia dapat melihatnya, barang siapa yang menipu maka ia bukan dari agamaku (yang sempurna).”
Berpandukan kepada hadis ini, kita sebagai peniaga yang beriman dan berpegang teguh kepada ajaran Islam, hendaklah mengelakkan diri daripada sebarang bentuk penipuan dalam keghairahan melariskan barangan jualan dan mendapat keuntungan daripadanya.
4. Mengambil harta dan memeras ugut dengan cara yang batil
Islam juga mengharamkan perbuatan memeras ugut serta tindakan mengambil harta orang lain dengan cara yang batil (salah). Mengambil harta orang lain dengan cara yang batil dan salah ini boleh berlaku dalam pelbagai cara dan bentuk seumpama mencuri, merompak, menipu, memperdaya, judi dan seumpamanya. Sekiranya seseorang berkeinginan kepada barangan dan sesuatu yang berharga pada milikan orang lain, maka ia boleh mendapatkannya melalui jalan perniagaan yang bebas dari sebarang unsur yang dianggap sebagai cara yang salah dan batil.
Pengharaman perbuatan seumpama ini, jelas disebutkan dalam surah An-Nisaa’ ayat 29 mafhumnya:
“(Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu).”
Ibnu Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT melarang hambanya yang beriman dari memakan harta sesama mereka dengan cara yang batil iaitu dengan pelbagai perbuatan yang tidak syarie seumpama riba, judi dan seumpama dengannya dari pelbagai jenis helah yang menjuruskan kepada riba (Ibn Kathir, Ismail bin Umar bin Kathir al-Qurasyi al-Dimashqi, Tafsir al-Quran al-azim, Dar Thibah Lil Nashr wa al-Taizi’, 1999/1420H, jld.2, hlm.268).
[Bersambung di “8 Perkara Haram Dalam Berniaga! (Bahagian 2)”]
Latest posts by Irfan Khairi (see all)
- 4 Sebab Video Penting untuk Perniagaan KECIL - 18 July, 2022
- Cara tambah keyakinan diri untuk buat VIDEO! - 8 May, 2022
- Saya TIDAK bermula DARI ZERO kerana…. - 2 September, 2021
bagaimana jika, saya memulai bisnis jasa pembayaran, lalu saya mengajak atau menawarkan keluarga dan teman” dekat saya bayarnya jadi kesaya, padahal mereka sebelumnya bayar ke orang atau via/cara tertentu, bagaimana menurut anda hukum nya ??