Rezeki Biar Berkat (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Rezeki Biar Berkat (Bahagian 1)”]

JUJUR DALAM BERNIAGA

Setiap peniaga tentu mengimpikan keuntungan yang banyak dan berlipat ganda hasil dari apa yang diniagakan. Namun harus diingatkan, di dalam keghairahan peniaga-peniaga mencari untung yang lebih banyak, janganlah pula melakukan penipuan dalam sukatan dan timbangan.

Allah SWT telah berfirman di dalam  surah Al-Mutaffifin ayat 1-3,

mahfumnya : “kecelakaan yang besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau mereka menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.”

Maksud menipu dalam sukatan dan timbangan di sini adalah sangat meluas sebenarnya. Ia meliputi – Menindas para pengguna dengan barangan-barangan yang tidak berkualiti untuk mengaut keuntungan yang terlalu banyak. Memperdaya rakan kongsi perniagaan bersama. Menipu dalam projek kononnya besar dan menguntungkan tetapi tidak. Mengambil komisyen secara berlebih-lebihan tanpa dipersetujui pihak pengurusan. Menggunakan wang syarikat dan berbagai-bagai lagi cara penyelewengan.

Semua ini adalah amat dicela, keji dan dilarang keras di dalam mana-mana agama sekalipun. Jika tidak ada sikap jujur dan amanah dalam diri, maka  ia akan merosakkan kepercayaan orang ramai terhadap peniaga itu sendiri dan paling merugikan bakal menutup pintu rezeki akan datang. Jadi, dalam apa jua aspek kehidupan ini, tak kira apa pun yang ingin kita lakukan kita perlu bersikap jujur dan amanah apatah lagi dalam urusan mencari rezeki yang berkat dan halal.

Jangan sesekali bersikap tamak dan khianat kerana setiap insan telah ditentukan oleh Allah rezeki masing-masing dengan mengikut kadar apa yang telah mereka usaha dan kerjakan. Jadi, mencari rezeki itu biarlah berkat, barulah selamat dunia dan akhirat.

berniaga cara islam

Tip berniaga dalam Islam

  • Berniagalah dengan amanah dan jangan sekali-kali cuba menipu dalam sukatan dan timbangan, barulah perniagaan itu kekal dan berkat.
  • Sentiasalah membantu golongan-golongan yang kurang bernasib baik kerana amalan itu tidaklah mengurangi walau sedikit pun harta yang ada sebaliknya semakin berkembang dan bertambah keberkatannya.
  • Perniagaan mendidik diri kita agar menjadi insan yang sabar, redha, tabah, jujur dan cekal. Dari sini, kita akan lebih bersyukur dengan rezeki dan nikmat yang dilimpahkan.

Rezeki Biar Berkat (Bahagian 1)

Alangkah cantiknya Islam apabila meletakkan pencarian rezeki yang halal itu ialah satu ibadah. Malah setiap apa yang kita lakukan dan laksanakan jika ianya didasarkan dengan niat yang tulus ikhlas serta hati yang jujur dan bersih, semuanya juga akan dinilai sebagai satu ibadah.

rezeki berkat

Mencari rezeki yang halal amat dituntut oleh syariat sebenarnya. Lebih-lebih lagi jika kita mengusahakan perniagaan. Pendapatan dan rezeki dari perniagaan kita itu, mestilah yang halal!

Agar, setiap tapak kaki yang melangkah keluar dari rumah dengan niat memberi nafkah kepada anak-anak, isteri dan keluarga, diberkati yang Maha Esa. Mencari rezeki halal melalui perniagaan, secara tidak langsung, membuka langkah ke arah pahala yang tak ternilai besarnya.

Seperti yang kita sedia maklum punca rezeki besar, ialah datangnya dari jalan perniagaan :

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “9/10 daripada rezeki itu adalah datangnya dari perniagaan.” [Hadis Riwayat Tirmizi].

Jadi, ini jelas membuktikan bahawa bidang perniagaan bukan sahaja mampu untuk menjana dan memantapkan ekonomi keluarga malah ia juga dapat menyediakan ruang dan peluang pekerjaan yang khusus bagi membantu golongan-golongan yang kurang bernasib baik dan tidak berupaya agar gejala kemiskinan dapat diatasi dan dikurangkan.

Namun dalam waktu yang sama kita seharusnya mencari punca rezeki yang berkat. Jangan hanya kerana mahu kaya, kita terkejar-kejar mencari keuntungan yang bertentangan dengan syariat Islam. Berlaku jujur dalam berniaga amatlah penting kerana perniagaan yang penuh dengan sifat kejujuran dapat mengubah perspektif masyarakat terhadap kita dan memberi corak hidup berbeza dan lebih diberkati.

Berikan usaha yang gigih dan biarlah kita bersusah payah sedikit serta berdikari dengan hasil titik peluh sendiri asalkan perniagaan yang kita ceburi itu jujur, halal dan diberkati Tuhan.

[Bersambung di “Rezeki Biar Berkat (Bahagian 2)”]

Dinar Emas – Perniagaan Alaf Baru (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Dinar Emas – Perniagaan Alaf Baru (Bahagian 1)”]

KEISTIMEWAAN DINAR EMAS

Memandangkan emas mempunyai nilai yang amat tinggi maka Dinar emas adalah perniagaan  yang paling baik untuk diperluaskan lagi kerana ia mempunyai kedudukan yang sangat stabil serta mempunyai nilai yang hebat.

Di samping itu, kesukaran untuk mendapatkannya juga memainkan peranan penting  membuatkan Dinar emas begitu berharga dan mempunyai kelebihan yang tersendiri.

Selain dari itu,  Dinar emas juga tidak boleh dimanipulasi oleh sesiapa pun atau mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab  kerana nilainya tidak akan berubah dan begitu stabil. Rupa bentuknya yang kecil dan padat membuatkan dinar emas sangat mencukupi untuk digunakan dan dibawa ke mana-mana sekalipun. Dinar juga merupakan kayu pengukur untuk pengeluaran zakat. Itulah salah satu kelebihan yang ada pada Dinar emas.

Dinar emas juga tidak boleh dicetak sesuka hati dan sewenang-wenangnya oleh kerajaan. Ini menyebabkan nilainya tidak mungkin akan jatuh sebagaimana nilai wang kertas yang ada pada masa kini.

Disebabkan Dinar emas adalah perniagaan yang paling unggul maka pelaburan jangka panjang yang paling baik ialah dengan menyimpan segala aset dan harta kekayaan dalam bentuk Dinar emas kerana ia adalah kaedah yang paling baik dan bagus untuk pelaburan dan perniagaan yang lebih efektif dan bermanfaat.

dinar emas

Dinar emas juga dapat mengelakkan penipuan dan manipulasi matawang asing agar tidak disalah gunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk melakukan penipuan. Ia juga melatih para peniaga agar bersikap jujur dan amanah dalam urusan jual beli dalam mentadbirkan perniagaan yang dijalankan.

TIP

  • Kejujuran dalam apa jua yang dilakukan akan diberkati dan mendapat redha Allah.
  • Amanah, punca segala kebaikan dan berpanjangannya jalinan ukhuwah islamiah.
  • Melalui perniagaan Dinar emas ia boleh merapatkan lagi hubungan sesama insan dengan adanya proses akad dalam jual beli barangan yang ingin dimiliki.
  • Dengan adanya Dinar emas juga kita boleh memberikan sumbangan kepada anak-anak yatim, fakir miskin dan mengeluarkan sedekah serta membayar zakat.

Dinar Emas – Perniagaan Alaf Baru (Bahagian 1)

Seperti yang kita sedia maklum, muktahir ini perniagaan yang paling hangat diperkatakan masakini adalah perniagaan Dinar Emas. Ini kerana Dinar emas merupakan matawang Islam yang cukup berharga dan telah digunakan diseluruh dunia terutamanya di negara-negara Islam TANPA kejatuhan nilai matawang itu sendiri.

Beratnya Dinar emas ini adalah kira-kira 4.25gm iaitu sama beratnya dengan 72 gandum yang dipotong hujung dan pangkalnya. Warna kuning disebalik Dinar emas itu pula adalah hasil campuran gold, silver dan copper.

dinar emas

Dinar emas digunakan sejak dari zaman Rasulullah S.A.W lagi dan kemudian diperluaskan oleh Khulafa Al Rasyidin pada zaman pemerintahannya sehingga ke Afrika utara, Andalusia, Bukhara, Delhi dan seterusnya ke Asia Tenggara.

Oleh kerana Dinar Emas amat terkenal pada zaman Rasulullah s.a.w, maka tidak hairanlah apabila kini ianya kembali diperkenalkan semula di Negara kita.

Mengenai perkataan ‘Dinar’ juga, di dalam al-quran ada menyebutkannya melalui surah Ali-imran ayat 75 yang bermaksud :

“Dan di antara ahli-ahli kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada kamu dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan  menyimpan hanya satu dinar sahaja pun, dia tidak akan mengembalikannya kepadamu, kecuali kalau kamu selalu menuntutnya.” (Surah Ali-Imran : ayat 75).

[Bersambung di “Dinar Emas – Perniagaan Alaf Baru (Bahagian 2)”]

8 Perkara Haram Dalam Berniaga! (Bahagian 2)

[Bersambung dari “8 Perkara Haram  Dalam Berniaga! (Bahagian 1)”]

5. Larangan membeli barang yang dirampas tanpa hak, dicuri atau diragut.

Sememangnya Islam sangat menggalakkan sebarang bentuk aktiviti perniagaan. Namun demikian, Islam melarang sama sekali sebarang bentuk transaksi jual beli yang melibatkan barangan curi, ragut dan seumpamanya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: Diriwayatkan Abi Hurairah, dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersabda: “Barang siapa membeli barangan curi, sedang ia mengetahui barang itu adalah dicuri, maka ia telah berkongsi sama (dengan pencuri) pada aib dan dosanya.”

Masalah ini adalah sama dengan keadaan orang yang menjual anggur kepada pembuat arak, atau menjual senjata kepada orang yang ia tahu akan menggunakannya untuk memudaratkan orang Islam. Jual beli dalan situasi seumpama ini adalah haram kerana ianya seumpama menolong ke arah berbuat dosa sekaligus membawa kepada kerosakan akhlak dan membantu kepada tersebar luasnya perkara yang keji dan hina seumpama fitnah dan sebagainya.

6. Memonopoli barangan (ihtikar).

Memonopoli barangan keperluan awam juga adalah salah satu perbuatan yang dilarang dalam Islam. Monopoli barangan keperluan sepeti beras, minyak, gula dan seumpamanya, biasanya dibuat oleh para peniaga agar barangan keperluan berkurangan di pasaran dan hasilnya harga barangan tersebut dapat dinaikkan dan boleh dijual dengan lebih mahal. Dengan cara  itu, perniaga akan mendapat keuntungan yang lebih banyak dan berlipat kali ganda. Perbuatan yang terkutuk ini adalah dilarang sama sekali dalam Islam kerana ia menyebabkan kemudaratan dan kesulitan kepada masyarakat awam, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan golongan miskin.

Dalam satu hadis Rasullah s.a.w. bersabda;

Maksudnya: Dari Ma’mar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; “Barang siapa memonopoli barangan (ihtikar) maka ia telah melakukan kesalahan. Yakni ia telah tersasar jauh dari perkara yang sebenar dan keadilan.

Hikmah perbuatan monopoli ini diharamkan adalah bagi menolak kemudaratan atau kesulitan terhadap masyarakat umum.

7. Haram menjual najis.

Telah berlaku Ijma’ di kalangan fuqaha tentang haramnya sebarang bentuk perniagaan barangan yang najis pada zatnya seperti babi, anjing, bangkai, dan seumpamanya. Islam mengharamkan sebarang bentuk perniagaan barangan najis ini kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan dan kerosakan di muka bumi.

Dari Jabir bin Abdullah katanya, ia telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda pada tahun pembukaan kota Mekah, sesungguhnya Allah SWT dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli babi, bangkai, arak dan patung berhala.

timbangan

8. Larangan mengurangkan kadar timbangan dan sukatan.

Islam menuntut para peniaga untuk bersikap amanah dan tidak mengaburi mata pelanggan dengan pelbagai cara tipu helah seperti, mengurangkan kadar timbangan dan sukatan. Perbuatan ini adalah dilarang dan sangat tercela dalam Islam. Bagi menunjukkan hina dan tercelanya perbuatan menipu dalam sukatan dan timbangan ini,  Allah SWT telah menemplak peniaga yang berbuat demikian di dalam surah Al-Mutaffifin 1-3, mafhumnya:

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.

Terdapat banyak ayat yang memerintah kita supaya sukatan dan timbangan disempurnakan dalam perniagaan. Antaranya firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 35, mafhumnya:

dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak).

Dalam surah al-Isra’ tersebut, Allah SWT turut menjanjikan kesan dan kesudahan yang baik di dunia dan di akhirat bagi mereka yang berbuat demikian. Namun begitu, wajar diingatkan bahawa sekiranya perintah dan suruhan ini tidak diendahkan, ia boleh menyebabkan turunnya bala dan azab dari Allah SWT, sebagaimana berlakunya terhadap penduduk Madyan, kaum nabi Syuib.

Demikianlah antara perkara-perkara yang diharamkan dalam aktiviti perniagaan. Kesemua tegahan dan larangan yang disebutkan di atas cukup mencerminkan kesempurnaan syariat Islam. Semua perkara yang diharamkan ini adalah perkara yang boleh mendatangkan mudarat dan kesulitan kepada manusia. Sekiranya semua manusia bepegang teguh dengan ajaran dan panduan Islam, nescaya semua akan mendapat rahmat Allah SWT dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

8 Perkara Haram Dalam Berniaga! (Bahagian 1)

Walaupun Islam menggalakkan kita berniaga, tidak bermakna kita bebas untuk melakukan sebarang perniagaan dengan tatacara kita sendiri dan semestinya ada prasyarat yang mesti dituruti. Islam telah mengharamkan beberapa perkara dalam aktiviti perniagaan untuk menjamin kemaslahatan manusia terjamin dan terpelihara. Antara yang dilarang dan diharamkan dalam perniagaan adalah seperti berikut :

rasuah

 1. Rasuah.

Rasuah merupakan salah satu dosa besar dalam Islam. Ia kerap berlaku dalam pelbagai bidang termasuklah dalam perniagaan. Sehinggakan ada yang berpendapat bahawa rasuah atau duit under-table ini adalah satu kemestian untuk perniagaan mereka. Mereka beranggapan dengan adanya rasuah dapat membantu mereka mendapatkan projek dan peluang perniagaan yang lebih luas dan memudahkan perjalanan projek mereka.

Ada juga di antara mereka yang berselindung dengan menukarkan istilah rasuah itu dengan kata-kata lain seperti sedekah, hadiah, pertolongan, bantuan dan seumpamanya. Rasuah itu sangat jauh bezanya dengan sedekah dan hadiah. Rasuah adalah pemberian yang dibuat bertujuan untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang salah atau bukan dengan cara yang sebenar. Sedekah pula adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan mendapatkan balasan pahala dari Allah SWT semata-mata, sedangkan hadiah pula adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan mempereratkan lagi ikatan silaturahim dan kasih sayang.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Dari Abdullah bin Amru katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda Allah SWT melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

Gejala rasuah dalam menjalankan aktiviti perniagaan adalah dilarang sama sekali dalam Islam dan merupakan perbuatan haram lagi tercela. Sebagai peniaga yang beriman, perbuatan terkutuk ini hendaklah dihindari agar keberkatan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat dapat dikecapi oleh semua.

2. Riba.

Riba juga merupakan perkara yang diharamkan dalam Islam. Mereka yang menyatakan riba itu halal akan menjadi kufur dan terkeluar dari Islam, kerana riba adalah salah satu dari dosa besar yang wajib dielakkan oleh seorang muslim yang disebutkan secara jelas dalam al-Quran dan sunnah tentang pengharamannya. Riba yang dimaksudkan ialah sebarang tambahan dalam barangan tertentu dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh.

Di dalam surah al-Baqarah, ayat 289 dirakamkan bahawa Allah dan Rasul memerangi pemakan riba. Firman Allah, mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.” (Surah al-Baqarah: 289).

Dalam menjalankan aktiviti perniagaan, amalan riba mestilah dielakkan sepenuhnya. Peniaga yang baik dan diredhai Allah SWT ialah peniaga yang mampu berniaga dengan berpandukan peruntukan syarak, bebas dari sebarang bentuk riba sama ada dalam mendapatkan modal, membuat simpanan, membuat pelaburan dan seumpama dengannya.

3. Menipu untuk melariskan jualan.

Pelbagai cara dan strategi dibuat dengan tujuan melariskan barang jualan oleh kerana keghairahan untuk menarik pelanggan. Islam sangat melarang sebarang bentuk penipuan dalam perniagaan. Menipu ialah melakukan suatu helah untuk kepentingan diri sendiri dan memudaratkan orang lain. Terdapat pelbagai bentuk penipuan yang berlaku dalam perniagaan seperti menjual barangan tiruan pada harga yang mahal, menipu pelanggan dengan iklan-iklan yang palsu, memalsukan tandatangan dan macam-macam penipuan lagi yang banyak berlaku. Ada juga yang sanggup bersumpah dengan menggunakan nama Allah bertujuan untuk melariskan barangan jualan tiruan mereka dengan menyatakan bahawa barangan tersebut bukan tiruan malah ianya adalah asli.

“Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. telah melalui setimbunan makanan (yang dijual) seraya memasukkan tangannya ke dalam timbunan makanan tersebut dan mendapati jari-jemarinya basah. Rasulullah s.a.w. bersabda, apakah semua ini wahai pemilik makanan? Lelaki itu menjawab; makanan ini telah ditimpa hujan wahai Rasulullah s.a.w.  Seraya Rasulullah bersabda: Kenapa tidak kamu jadikan yang basah itu di sebelah atas makanan agar manusia dapat melihatnya, barang siapa yang menipu maka ia bukan dari agamaku (yang sempurna).”

Berpandukan kepada hadis ini, kita sebagai peniaga yang beriman dan berpegang teguh kepada ajaran Islam, hendaklah mengelakkan diri daripada sebarang bentuk penipuan dalam keghairahan melariskan barangan jualan dan mendapat keuntungan daripadanya.

4. Mengambil harta dan memeras ugut dengan cara yang batil

Islam juga mengharamkan perbuatan memeras ugut serta tindakan mengambil harta orang lain dengan cara yang batil (salah). Mengambil harta orang lain dengan cara yang batil dan salah ini boleh berlaku dalam pelbagai cara dan bentuk seumpama mencuri, merompak, menipu, memperdaya, judi dan seumpamanya. Sekiranya seseorang berkeinginan kepada barangan dan sesuatu yang berharga pada milikan orang lain, maka ia boleh mendapatkannya melalui jalan perniagaan yang bebas dari sebarang unsur yang dianggap sebagai cara yang salah dan batil.

Pengharaman perbuatan seumpama ini, jelas disebutkan dalam surah An-Nisaa’ ayat 29 mafhumnya:

“(Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu).”

Ibnu Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa  Allah SWT melarang hambanya yang beriman dari memakan harta sesama mereka dengan cara yang batil iaitu dengan pelbagai perbuatan yang tidak syarie seumpama riba, judi dan seumpama dengannya dari pelbagai jenis helah yang menjuruskan kepada riba (Ibn Kathir, Ismail bin Umar bin Kathir al-Qurasyi al-Dimashqi, Tafsir al-Quran al-azim, Dar Thibah Lil Nashr wa al-Taizi’, 1999/1420H, jld.2, hlm.268).

[Bersambung di “8 Perkara Haram  Dalam Berniaga! (Bahagian 2)”]

10 Tip Untuk Murah Rezeki Cara Islam (Bahagian 2)

[Bersambung dari “10 Tip Untuk Murah Rezeki Cara Islam (Bahagian 1)”]

Tip #6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Bersabda Nabi Muhammad SAW :-

“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Hadis Riwayat : Bukhari)

Tip #7. Tunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah permudahkan  rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi Muhammad SAW lagi :-

“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…”

(Hadis Riwayat : Muslim)

murah rezeki

Tips #8. Banyakkan berselawat

Ada hadith yang menganjurkan kita supaya berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya sebuah hajat.

Tip #9. Buat kebajikan sebanyak-banyaknya

Ibnu Abbas r.a. telah berkata :-

“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

Sekiranya kita sentiasa melakukan kebaikan di dunia ini, seluruh isi alam ini, pohon-pohon, alam semesta dan seluruh ciptaan Allah akan turut mendoakan kita. Bayangkanlah sekiranya semua orang dan seluruh isi alam ini menyukai dan mendoakan kita, Insya-Allah pastinya pintu rezeki juga akan terbuka luas.

Tip #10. Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah s.a.w. berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat. Dengan berpagi-pagi, kita akan menjadi lebih cergas dan otak juga akan menjadi lebih cerdas. Apabila otak dan minda telah bersedia, segala urusan akan menjadi lebih mudah, teratur dan terurus dengan baik.

Sekian dahulu untuk tip kali ini dan tunggu sambungannya dikeluaran akan datang. Diharapkan sedikit sebanyak tip-tip yang diberikan di sini dapat kita manfaatkan untuk urusan mencari rezeki seharian dengan mengikut landasan yang digarisakan oleh Islam.

10 Tip Untuk Murah Rezeki Cara Islam (Bahagian 1)

Menerusi segmen kali ini, mari bersama kita telusuri dan hayati 20 tip untuk murah rezeki mengikut aturan Islam ;-

Tip #1. Menyempatkan diri  beribadah

Allah telah menjanjikan bahawa DIA tidak akan mensia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis kudsi:

“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.”

(Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

Daripada  hadis kudsi ini kita dapat lihat bahawa Allah SWT telah berjanji tidak akan mensia-siakan hamba-Nya yang sentiasa mengabdikan dirinya kepada Allah walau apa jua keadaan. justeru sesibuk manapun kita dalam melayari kehidupan ini, susunlah waktu dengan sebaiknya untuk  tunaikan solat 5 waktu serta beribadah sebanyak-banyaknya.

Tip #2. Memperbanyakkan Istighfar

Istighfar adalah lafaz atau perbuatan rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di hadapan Allah SWT, yang menjadi penyebab Allah jatuh kasih dan kasihan terhadap hamba-Nya lantas Allah berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Dengan selalu beristighfar, insya-Allah dosa-dosa kecil yang selama ini dilakukan akan dapat dihapuskan dengan izin Allah SWT.

Berdasarkan Sabda Nabi Muhammad SAW:

“Barang siapa memperbanyakkan istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.”

(Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

 

Tip #3. Tinggalkan Maksiat

Istighfar tidak bernilai di sisi Allah sekiranya masih selalu berbuat dosa. Dosa-dosa yang dilakukan bukan sahaja akan menjadikan hati resah gelisah, malahan juga akan menutup pintu rezeki. Ia akan menjadi batu penghalang daripada rezeki mengalir kepada kita. Sudah tentu kita tidak mahu perkara sedemikian berlaku, bukan? Jika para pembaca mengikuti artikel keluaran yang lalu, ada menceritakan tentang Istidraj, iaitu Allah tetap memberikan kekayaan dan kemewahan kepada hamba-Nya walaupun terus-menerus melakukan dosa. Perkara ini harus kita elakkan agar kemurkaan Allah dapat kita hindari..

Sabda Nabi Muhammad SAW:

“…dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Betapa pentingnya kita menjaga amalan supaya rezeki yang Allah kurniakan kepada kita itu adalah berserta dengan berkat dari-Nya, bukannya berserta kemurkaan-Nya. Na’uzubillah! Ayuhlah kita sama-sama menjaga amalan agar seluruh isi kehidupan kita ini diberkati oleh-Nya.

murah rezeki

Tips #4. Sentiasa ingat Allah

Ketahuilah bahawa dengan banyak mengingati Allah, ia akan membuatkan hati menjadi tenang dan kehidupan terasa lapang. Kelapangan rezeki seperti ini hanya dapat dinikmati oleh orang-orang yang beriman. Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud :-

“(iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan dzikrullah. Ketahuilah dengan dzikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

(Surah Ar-Ra’d : ayat28)

Ketenteraman inilah yang sebenarnya menjadi dambaan seluruh umat manusia sama ada yang kaya mahupun yang miskin. Hanya zikirlah  yang mampu memberikan ketenangan jiwa zahir dan batin kepada kita.

Tip #5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar sesiapa yang ingin panjang umur dan dilapangkan rezekinya, maka hendaklah mereka berbakti kepada kedua ibu bapanya serta  menyambung tali silaturrahiim. Baginda Rasulullah SAW juga bersabda:

“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.”

(Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan kedua ibu bapa juga menjadi sebab terbukanya pintu rezeki, berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW lagi :-

“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Hadis Riwayat : al-Hakim dan ad-Dailami)

Maka dengan 2 hadis sahih ini, termaktublah kepentingan kita berbakti kepada kedua ibu bapa kerana mereka yang telah bersusah payah melahirkan, membesarkan dan mendidik kita sehingga dewasa dan berjaya menguruskan kehidupan sendiri. Berbaktilah kepada kedua-dua orang tua selagi mereka masih bernafas kerana ia menjadi asbab yang kukuh mengalirnya sungai dan limpahan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita.

[Bersambung di “10 Tip Untuk Murah Rezeki Cara Islam (Bahagian 2)”]

Aduhai Kad Kredit! (Bahagian 2)

Bersambung dari: Aduhai Kad Kredit! (Bahagian 1)

Untuk setiap kad kredit di hadapan anda, ketahui baki minima yang perlu dibayar untuk setiap kad kredit tersebut. Setiap bulan, pastikan anda membayar kesemua baki mimima yang sama ini setiap bulan untuk semua kad supaya anda tidak dikenakan caj yang lebih tinggi dan tidak sepatutnya.

Langkah seterusnya adalah untuk anda menetapkan kad mana yang anda ingin serang dan jelaskan terlebih dahulu. Mungkin, kad yang mempunyai baki paling tinggi, ataupun yang paling rendah. Apa yang anda perlu lakukan adalah, bayar lebih daripada baki minima semampu anda untuk kad tersebut.

Lakukan ini setiap bulan sehingga langsai baki pada satu kad itu. Apa yang anda akan dapat pada hujung bulan kemudian adalah anda akan miliki wang lebih dari baki minima dan juga bayaran tambahan yang anda telah lakukan berbulan-bulan untuk melangsaikan kad pertama.

Seterusnya, gunakan jumlah wang lebih ini untuk membayar balik kad yang kedua. Jangan lupa, pastikan bayaran minima kad kedua diteruskan juga. Bererti, wang lebih anda dibayar  tambahan kepada jumlah minima yang telah pun anda bayar selama ini.

Teknik ini akan mengajar anda lebih berdisiplin dan sistematik dalam melakukan bayaran bulanan dan anda akan dapati lebih pantas anda menjelaskan baki kad kredit anda dan keluar dari masalah… aduhai kad kredit!

paycc

Soalan pembaca:
Berinteraksi mengenai  kewangan, perniagaan & motivasi di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb Tanyakan soalan anda di sana!

Abiyah Hussin, Temerloh:
Salam Irfan Khairi, saya kini mempunyai hutang kad kredit yang hampir mencecah RM10,000. Dengan perbelanjaan harian yang tinggi, saya dapati amat sukar menurunkan baki kad kredit saya. Apakah cara terbaik menangani ini?

Sering terjadi keadaan kita hanya membayar jumlah minima yang tertera di penyata kad kredit setiap bulan. Dengan harapan, makin lama, makin kurang baki kad kredit kita. Ketahui bahawa jumlah minima kad kredit dikira menggunakan peratusan. Oleh itu, sekiranya anda hanya membayar jumlah minima setiap bulan, pastinya baki kad kredit anda tidak akan habis – sampai bila-bila.

Namun, baki minima kad kredit anda boleh menjadi satu petanda atau sasaran untuk amaun yang patut anda jelaskan setiap bulan. Gandakan tiga bayaran minima yang tertera di penyata kad kredit anda. Ini bermakna, sekiranya bayaran minima adalah RM100, cuba sasarkan bayaran pada bulan itu RM300. Dengan cara bayaran begini, anda akan dapati baki kad kredit anda akan berkurang dengan lebih cepat.

Ashraf Yunus, Kuala Terengganu:
Apakah nasihat Irfan Khairi kepada saya kerana saya sukar  mengawal belian menggunakan kad kredi?. Saya ingin mengurangkan perbelanjaan kad kredit saya.

Bayangkan seseorang yang ingin menurunkan berat badan sedang berjoging tetapi mengunyah bar coklat yang penuh dengan lemak dan kalori. Pastinya tidak membantu. Keadaannya adalah sama, di mana sekiranya anda ingin mengurangkan penggunaan kad kredit anda, jangan bawa kad kredit bersama anda.

Sekiranya anda mempunyai beberapa kad kredit, dan sedar anda sukar mengawal penggunaannya, potong dua kad kredit anda dan jangan dibawa bersama. Mungkin sukar pada permulaannya, tetapi lama kelamaan, anda akan membiasakan diri keluar tanpa kad kredit dan membiasakan diri tidak berhutang lagi.

Aduhai Kad Kredit! (Bahagian 1)

Baru-baru ini, dilaporkan dalam akhbar betapa ramainya belia-belia yang jatuh muflis akibat penggunaan kad kredit yang tidak bertanggungjawab. Ada yang kata, kad kredit ni bagus. Ada juga kata kad kredit tak bagus – aduhai kad kredit!

Bagi saya, kad kredit ada baik dan tidak baiknya. Yang baiknya, terutamanya dalam keadaan kecemasan seperti sekiranya kereta rosak tepi jalan dan tidak banyak wang tunai dalam dompet. Sering juga saya menggunakan kad kredit untuk keselamatan, seperti ingin memebeli sesuatu  yang mahal, tetapi tidak mahu membawa sejumlah wang tunai yang besar. Ada juga perlunya kad kredit dalam berhutang pada sesuatu yang baik dan memberi pulangan seperti mendapatkan ilmu untuk menambahkan pendapatan.

Yang tidak baik pula adalah apabila menggunakan kad kredit untuk membeli barangan, pakaian, bercuti atau apa sahaja yang tidak perlu dan diluar kemampuan kita.

Berbelanja menggunakan kad kredit adalah amat mudah. Dari segi psikologi, apabila kita hanya menggunakan kad plastik sahaja, kita tidak nampak nilai yang dibelanjakan. Hanya dengan sekali sapu sahaja, kita akan memiliki barang yang diidamkan- tanpa mempunyai wang yang cukup.

cutcc

Pernah tak anda terfikir mengapa di kaca TV apabila dipaparkan Kasino di filem barat, mereka menggunakan cip-cip plastic ketika berjudi dan bukan wang tunai? Sebabnya adalah sama- cip plastic melalaikan pengguna untuk terus berjudi oleh kerana tidak nampak nilai wang  yang bertukar tangan. Sama juga dengan kad plastic yang dikenali sebagai kad kredit – ia melalaikan anda dalam perbelanjaan!

Tidak membantu juga gaya hidup sempurna yang dipaparkan di kaca TV  melalui filem, siri TV atau pengiklanan membuatkan kita tertarik untuk mencapai gaya hidup seperti  dipaparkan pelakon dan selebriti walaupun dengan cara berhutang keliling pinggang.  Bak kata “Biar papa asal bergaya!”

Sekiranya anda dapati diri anda terjerat dalam masalah hutang kad-kad kredit, berikut adalah satu strategi yang akan membantu anda melakukan bayaran dengan lebih teratur dan pantas.

Letakkan kesemua kad kredit anda di hadapan anda di meja. Dan ketahui baki hutang setiap kad kredit anda. Langkah ini mungkin agak berat bagi anda yang mempunyai hutang keliling pinggang, tetapi, ianya amat penting supaya anda berhadapan dengan masalah ini bersemuka dan tidak mengelakkannya yang hanya akan menyukarkan keadaan kewangan anda.

Ketahui bahawa, mungkin anda telah mengambil masa bertahun-tahun memerangkap diri anda dalam hutang kad kredit, ia juga mungkin mengambil masa bertahun untuk keluar dari perangkap tersebut.

Bersambung di: Aduhai Kad Kredit! (Bahagian 2)