“AKU MENIPU, BUAT MAKSIAT, TINGGAL SOLAT, TAPI AKU TETAP KAYA!”
Apakah perkara sebegini benar-benar berlaku? Pada entri kali ini tentu sahaja, ada yang tertanya-tanya, apakah benar apa yang dikatakan ini, mungkin ada pula yang berkata, ianya hanya mainan atau khayalan insan jahil itu semata-mata.
Sesungguhnya, ia adalah benar dan pernah berlaku pada ramai individu, lebih-lebih lagi mereka yang hidup kaya raya dan kebanyakan dari golongan atasan yang boleh dikatakan hampir tidak pernah mengalami kesusahan!
Apakah yang dimaksudkan dengan istidraj?
Istidraj ini adalah satu kalimah, yang sering menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang terus menerus dilimpahkan rezeki, kejayaan dan kekayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH yang taat, malahan seorang yang jahil dalam hukum agama dan pengamal maksiat yang tegar.
Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak mahu berusaha ke jalan ISLAM, juga tidak suka merapatkan diri pada yang Maha berkuasa, ALLAH S.W.T.
3 situasi yang menghairankan kita :-
- Boleh dikatakan agak ramai individu-individu yang berjudi, minum arak, tetap dengan mudah boleh berjaya, sedangkan kita yang baik dan meninggalkan segala larangan di dalam Islam ini, terkial-kial walaupun sudah berusaha, berzaman lamanya.
- Kita yakin, jika berbuat baik, taat pada ALLAH maka segala urusan kehidupan kita akan dipermudahkan. Tetapi kita lihat, mereka yang selalu meninggalkan solat, tidak pernah puasa, jauh sekali memberi zakat, begitu maju perniagaannya sehingga menjadi kaya raya. Kita pula yang hidup dengan penuh daif, miskin dan selalu dalam kesusahan.
- Islam agama yang benar, tetapi kita sering melihat orang-orang yang bukan Islam lebih berjaya. Umat Islam tertindas dalam kehidupan sempit lagi menderita sendirian, tersisih, longlai di tengah-tengah lautan yang menenggelam jiwa yang mudah mengaku kalah dengan arus deras, dugaan dan cabaran dari yang Maha Esa.
Dari Abdullah bin Qais r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:
”Tidak ada yang lebih sabar mendengar ejekan, selain daripada Allah S.W.T. Orang-orang kafir mengatakan-Nya berbilang (banyak atau bersekutu), atau mereka mengangkat anak bagi-Nya. Namun begitu Allah Taala tetap memberi mereka rezeki, memaafkan mereka dan memberikan apa yang mereka pinta.” – SUMBER RUJUKAN JAKIM
Maksud huraian hadith ini adalah..
- Nikmat Allah S.W.T maha luas dan tiada sesiapapun dapat menyekatnya. Allah juga Maha Sabar dalam setiap urusan-Nya. Manusia yang dijadikan oleh Allah adalah makhluk yang diamanahkan untuk menggunakan nikmat yang diperolehi itu untuk keperluan mendekatkan diri kepada-Nya.
- Namun begitu ada juga golongan manusia yang menggunakan nikmat Allah tetapi dalam masa yang sama mereka semakin jauh daripada Allah S.W.T. Hal ini terjadi, kerana hati mereka telah mati lantaran nikmat itu diguna atau disalurkan kepada perkara-perkara mungkar termasuklah golongan yang syirik atau kafir yang seolah-olah nikmat itu tidak disedari oleh mereka, dan akhirnya menjadikan mereka semakin sesat dan melupakan Allah.
- Bagi orang yang kufur tetapi mendapat keistimewaan atau nikmat yang lebih ini mereka dikatakan mendapat ISTIDRAJ iaitu pemberian nikmat Allah yang besar tetapi pemberian itu tidak diredhai-Nya.
Rasulullah s.a.w. bersabda :
“Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.” (at-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)
Bagaimanakah mereka yang diistidraj?
Manusia yang mendapat istidraj adalah manusia yang takhbur dan lupa daratan. Apalah ertinya hidup ini jika mendapat seribu macam nikmat seperti kaya raya, menjadi jutawan, berkuasa dan sebagainya tetapi sama sekali tidak diberkati malah dibenci oleh Allah S.W.T.
Sepatutnya orang-orang yang kaya dengan berbagai nikmat hendaklah mengunakan nikmat Allah itu untuk kebajikan dan mengabdikan diri ke jalan yang benar agar hidup mereka diredhai Allah, bahkan itulah sifat makhluk yang benar-benar bersyukur.
[Bersambung di “Istidraj (Bahagian 2)”]