Penipuan di Internet (Bahagian 2)

 

[Bersambung dari “Penipuan di Internet (Bahagian 1)”]

SKIM-SKIM penipuan pula sering terjadi terutama dalam peluang-peluang menjana pendapatan atau sistem-sistem untuk menjadi kaya. Oleh itu, sekiranya anda terbaca sahaja peluang-peluang menjana pendapatan, satu ALARM patut berbunyi dalam kepala anda sebagai WARNING untuk be ALERT!

amaran

Untuk mengelakkan diri anda dari tertipu dengan SCAM, atau SKIM-SKIM ini, banyakkan bertanya- be curious!

  1. Adakah individu atau syarikat tersebut mempunyai kredibiliti dan reputasi? Ataupun dirinya menyorok di sebalik laman web tanpa sesiapa ketahui sama ada dirinya wujud ataupun tidak.
  2. Adakah bunyinya terlalu senang untuk membuat wang? Percayalah kata saya… hendak menjadi jutawan amat susah. Tetapi, seringkali bila terdapat peluang-peluang mengatakan seseorang boleh menjadi kaya dengan pantas dan kerja senang- mudah sahaja terjerat.
  3. Adakah bukti-bukti ditunjukkan? Di sini dengan kehadiran teknologi, ianya menjadi amat sukar. Income statement, gambar penyata bank, cek yang di’scan,’ screenshot pendapatan online, kesemuanya boleh direka.

Sekiranya timbul rasa ragu-ragu ketika anda menyelidiki mencari jawapan- berhati-hatilah, ianya mungkin scam.

Ada juga di antara skim-skim ni menggunakan nama saya contoh “Dr Irfan Khairi jutawan muda telah memperolehi berjuta melalui Internet, anda bila lagi? sertai skim-skim ini amat mudah menjadi jutawan Internet… “

Ingin saya mengingatkan pembaca Majalah IK, saya tidak pernah pun menyertai skim-skim di atas untuk memperolehi pendapatan. Nak memperolehi pendapatan lumayan di Internet, caranya adalah ‘consistent hard work.” Jalankan perniagaan secara sah dan jujur. Kerja bersungguh-sungguh dan dengan tekun, Insya-Allah boleh berjaya!

PERINGATAN

To make a million, tiada short cut. Sering ingat-mengingati rakan-rakan takut ramai yang terjerat dengan perkara-perkara yang tidak diingini. Sebab ramai yang nak kaya dengan mudah dan cepat, maka bertambahlah skim dan scam untuk take advantage of the situation. Namun, saya yakin… para pengguna internet di zaman ini secara rata-ratanya adalah lebih bijak, peka dan lebih sophisticated. Semakin bijak anda sebagai pembeli, maka, lebih mudah anda menghidu SCAM.

Penipuan di Internet (Bahagian 1)

Kes-kes kena tipu di Internet, malangnya ada juga terjadi. Selalu ketika saya memberi ceramah-ceramah tentang perniagaan atau workshop, saya sering mendapat soalan-soalan seperti “Boleh percaya ke perniagaan Internet ni?”

Jawapan yang boleh saya berikan adalah, bukan hanya perniagaan Internet sahaja yang selalu berlaku penipuan. Perniagaan bukan Internet pun ada juga yang kena tipu malah lebih lagi. Sampai berpuluh dan beratus-ratus ribu hangus begitu saja apabila ditipu oleh si penyeleweng!

penipuan di internet

Sementelahanlah pula dengan perniagaan seperti projek-projek perumahan atau penjualan hartanah? Perniagaan MLM? Mail order? Malah perniagaan trading pun semuanya tidak dapat lari daripada berlakunya penipuan. Setiap apa perniagaan yang mempunyai keluar masuk wang ringgi, pasti akan ada, ‘hantu’ yang akan cuba memperdayakan kita.

Ianya bergantung kepada individu (perniagaan) itu sendiri sama ada nak tipu atau tidak. Internet tidak boleh disalahkan. Selain daripada peniaga, pengguna juga perlu berhati-hati agar tidak ditipu. Selalu juga pengguna Internet datang kepada saya dan bertanya “Betul ke skim ni?” atau “Boleh jadi kaya ke kalau buat macam ni?” atau “E-mel yang saya terima ni betul ke boleh jadi kaya?”.

Kebanyakannya adalah TIPU semata-mata. Di sini saya ingin memberi peringatan kepada anda semua agar berhati-hatilah bila…

  • Anda menerima e-mel mengatakan, ada pakcik dari Nigeria meninggal dunia dan perlu ‘bank account number’ anda di Malaysia untuk menyimpan dana bermillion-million ke bank akaun anda. – INI TIPU!
  • Pelaburan yang tidak mempunyai backup atau bukti yang nyata. Ada yang hilang beribu ringgit. – TIPU!
  • Hantar e-mel kepada banyak orang dan ubah kedudukan nombor bank akaun peserta pertama, menjadi kedua dan sebagainya. Kadangkala digunakan istilah “sumbangan ikhlas” – TIPU
  • Tiba-tiba dapat e-mel dari Spain menyatakan anda  memenangi lottery, dan mereka perlukan nombor akaun anda untuk memasukkan wang yang dimenangi. – …hati-hati TAK ADA orang menang lottery dibayar melalui akaun bank!

[Bersambung di “Penipuan di Internet (Bahagian 2)”]

 

Abu Hurairah RA. Perawi Hadis Terbesar Sepanjang Zaman (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Abu Hurairah RA. Perawi Hadis Terbesar Sepanjang Zaman (Bahagian 1)”]

al quran

Pada asalnya Abu Hurairah RA bukanlah seorang penulis, beliau hanya seorang ahli hafazan yang sangat mahir dan kuat daya ingatan. Namun beliau mula mendalami serta mempelajari ilmu penulisan. Beliau menyiapkan dirinya dan menggunakan bakat dan kemampuannya memikul tanggung jawab dan memelihara peninggalan yang sangat penting ini dan mewariskannya kepada generasi kemudian.

Nabi SAW pernah berbicara kepada kami pada suatu hari, kata Abu Hurairah RA: “Siapa yang membentangkan serbannya hingga selesai perbicaraanku, kemudian ia meraihnya ke dirinya, maka ia takkan terlupa akan suatu pun dari apa yang telah didengarya dari padaku!”

Maka kuhamparkan kainku, lalu baginda berbicara kepadaku, kemudian kuraih kain itu ke diriku, dan demi Allah, tak ada suatu pun yang terlupa bagiku dari apa yang telah kudengar daripadanya! Demi Allah kalau tidak kerana adanya ayat di dalam Kitabullah nescaya tidak akan kukabarkan kepada kalian sedikit jua pun! Ayat itu ialah:

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang telah kami turunkan berupa keterangan-keterangan dan petunjuk, sesudah Kami nyatakan kepada manusia di dalam Kitab mereka itulah yang dikutuk oleh Allah dan dikutuk oleh para pengutuk (Malaikat-malaikat)!”

Demikianlah Abu Hurairah RA menjelaskan rahsia kenapa hanya beliau seorang diri yang banyak mengeluarkan riwayat dari Rasulullah SAW.

Yang pertama: kerana ia meluangkan masa untuk menyertai Nabi SAW lebih banyak dari para sahabat lainnya.

Kedua, kerana beliau mempunyai daya ingatan yang kuat, yang telah diberi berkati oleh Rasulullah SAW hingga ia menjadi semakin kuat.

Ketiga, beliau menceritakannya bukan kerana ia gemar bercerita, tetapi kerana keyakinan bahawa menyebarluaskan hadis-hadis ini, merupakan tanggung jawabnya terhadap Agama dan hidupnya. Jika  tidak dilakukannya bermaksud menyembunyikan kebaikan dan haq, dan termasuk orang yang lalai yang sudah tentu akan menerima hukuman kelalaiannya!

Pada suatu hari Marwan bin Hakam ingin menguji kemampuan beliau menghafaz Hadis Nabi. Maka dipanggilnya Abu Hurairah RA dan dibawanya duduk bersamanya, lalu dimintanya untuk menyampaikan hadis-hadis dari Rasulullah SAW. Sementara itu disuruhnya penulisnya menuliskan apa yang diceritakan Abu Hurairah RA dari sebalik dinding. Setelah setahun berlalu, dipanggilnya Abu Hurairah RA kembali dan dimintanya membacakan lagi Hadis-hadis yang pernah ditanya setahun yang lalu dan telah ditulis setiausahanya.  Alangkah hebatnya apabila tiada yang terlupa oleh Abu Hurairah RA walau sepatah kata pun!

Maka Abu Hurairah pun lantas berkata, “Tidak ada seorang pun dari sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang lebih banyak menghafal Hadis dari padaku, kecuali Abdullah bin ‘Amr bin’ Ash, kerana beliau pandai menuliskannya sedangkan aku tidak.” Imam Syafi’e mengemukakan pula pendapatnya tentang Abu Hurairah RA, “Beliau seorang yang paling banyak menghafal di antara seluruh perawi Hadis sesamanya.” Sementara Imam Bukhari pula menyatakan, “Ada lapan ratus orang atau lebih dari sahabat tabi’in dan ahli ilmu yang meriwayatkan Hadis dari Abu Hurairah RA.”

Demikianlah Abu Hurairah RA yang tidak ubah bagai suatu perpustakaan besar yang telah ditakdirkan Allah kemasyhurannya.

 

Abu Hurairah RA. Perawi Hadis Terbesar Sepanjang Zaman (Bahagian 1)

Kisah Abu Hurairah RA.

Abu Hurairah atau nama sebenarnya Abdurrahman mendapat jolokan tersebut disebabkan beliau terlalu sangat sukakan kucing. Abu Hurairah itu sendiri membawa maksud “Si Bapa Kucing Kecil”. Tokoh ini selalu berpuasa sunat tiga hari setiap awal bulan Qamariah (bulan Arab dalam Hijriah), mengisi malam harinya dengan membaca Al-Quran dan solat tahajud. Beliau akrab dengan kemiskinan, dia sering mengikatkan batu ke perutnya, beliau menggunakannya bagi menahan lapar.

Dalam sirah beliau terkenal sebagai individu yang paling banyak meriwayatkan hadis. Pada waktu jahiliyah nama asal beliau adalah Abdu Syamsi ibn Shakhr Ad-Dausi, dan tatkala ia memeluk Islam, ia diberi nama oleh Rasulullah SAW dengan Abdurrahman. Beliau sangat penyayang kepada binatang dan mempunyai seekor kucing, yang selalu diberinya makan, dipegangnya, dibersihkannya dan diberinya tempat tidur. Kucing itu juga suka bersembunyi dalam baju beliau. Kucing itu selalu mengikutinya seolah-olah bayang-bayangnya. Inilah sebabnya ia diberi gelar “Si Bapa Kucing”.

Penghafaz Hadis Terbesar Sepanjang Zaman

al quran

Sahabat Nabi ini mempunyai bakat luar biasa dalam kemampuan dan kekuatan daya ingatan. Abu Hurairah RA mempunyai kelebihan untuk menangkap apa sahaja yang didengarnya dan mempunyai keistimewaan dari segi menghafal dan menyimpan. Beliau mendengar, menghadam dalam fikirannya lalu terpateri dan lekat terus dalam ingatannya hingga dihafal semuanya. Hampir tidak pemah beliau melupakan satu kata atau satu huruf pun dari apa yang telah didengarnya, sekalipun usia bertambah dan masa pun telah berlalu. Oleh kerana itulah, beliau telah mewakafkan hidupnya untuk lebih banyak mendampingi Rasulullah sehingga beliau termasuk sebagai orang yang terbanyak menerima dan menghafal Hadis, serta meriwayatkannya.

Sewaktu datang golongan pemalsu-pemalsu hadis yang dengan sengaja membuat hadis-hadis palsu yang seolah-olah berasal dari Rasulullah SAW, mereka memperalatkan nama Abu Hurairah RA dan menyalahgunakan kemasyhuran nama beliau dalam meriwayatkan Hadith dari Nabi SAW, hingga sering mereka mengeluarkan sebuah “hadis”, dengan menggunakan kata-kata: – “Berkata Abu Hurairah …”

Perbuatan ini menyebabkan kemasyhuran Abu Hurairah RA dan kedudukannya sebagai penyampai Hadis Nabi SAW mula menjadi keraguan. Namun begitu, Abu Hurairah RA berjaya menangkis segala pemalsuan dan penambahan-penambahan yang sengaja dibuat oleh perosak agama Islam, dengan mengkambing hitamkan Abu Hurairah RA dan membebankan dosa dan kejahatan mereka kepadanya.

Abu Hurairah RA merupakan salah seorang yang mampu membawa kita ke zaman kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Kisah hidup beliau boleh menjadi inspirasi, dari hidupnya sebagai orang upahan sehinggalah menjadi majikan. Ini semua disebabkan ketinggian ilmunya dan kematangan fikirannya.

Dari seorang yang meminta-minta di tengah-tengah lautan manusia, menjadi imam dan ikutan! Dan dari seorang yang sujud di hadapan batu-batu yang disusun, menjadi orang yang beriman kepada Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Beliau pernah berkata: “Aku dibesarkan dalam keadaan yatim, dan pergi hijrah dalam keadaan miskin. Aku menerima upah sebagai pembantu pada Busrah binti Ghazwan demi untuk mengisi perutku! Akulah yang melayani keluarga itu bila mereka sedang menetap dan menunggang binatang tunggangannya. Sekarang inilah aku, Allah SWT telah menikahkanku dengan puteri Busrah, maka segala puji bagi Allah yang telah menjadikan Agama ini tiang penegak, dan menjadikan Abu Hurairah RA ikutan ummat Islam”

Islamnya Abu Hurairah

Jika dibandingkan dengan Nabi, umurnya lebih muda sekitar 30 tahun. Beliau lahir di Daus, sebuah desa miskin di padang pasir Yaman. Hidup di tengah kabilah Azad dan beliau sudah yatim sejak kecil serta membantu ibunya menjadi penggembala kambing.

Beliau telah datang kepada Nabi SAW pada tahun yang ke tujuh Hijrah sewaktu beliau berada di Khaibar dan telah memeluk Islam kerana dorongan kecintaan dan kerinduan kepada keindahan agama Islam. Semenjak bertemu dengan Nabi SAW; dan berbai’at kepada baginda, beliau menggunakan keseluruhan waktunya mendampingi baginda kecuali pada waktu tidur. Begitulah selama 4 tahun yang dilaluinya bersama Rasulullah SAW yakni sejak memeluk islam sehinggalah wafatnya Nabi SAW. Boleh diibaratkan seperti: “Waktu yang empat tahun itu tidak ubah bagai suatu usia manusia yang panjang lebar, penuh dengan segala yang baik, dari perkataan, sehinggalah kepada perbuatan dan pendengaran”.’

Pada waktu itu memang terdapat para sahabat Nabi  yang pandai menulis, tetapi jumlah mereka sedikit sekali dan sebahagiannya tidak berkesempatan untuk mencatat Hadis-hadis yang diucapkan oleh Rasulullah SAW.

[Bersambung di “Abu Hurairah RA. Perawi Hadis Terbesar Sepanjang Zaman (Bahagian 2)”]

Abu Thalhah Perisai Rasulullah S.A.W. Di Medan Perang (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Abu Thalhah  Perisai Rasulullah S.A.W. Di Medan Perang (Bahagian 1)”]

Kemudian, Abu Bakar pun menceritakan peristiwa yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. ketika berada di Gua Hira’ sehingga turunnya ayat pertama. Lantas Abu bakar pun mengajak Thalhah untuk memeluk Islam. Diringkaskan cerita, selepas Abu Thalhah pula menceritakan tentang pertemuannya dengan seorang pendita  sewaktu di Bushra, lalu Abu Bakar pun tercenganglah dan kemudian Abu Bakar mengajak Thalhah untuk menemui Rasulullah s.a.w. lalu menceritakan segala apa yang berlaku. Maka di hadapan Rasulullah s.a.w. juga Abu Thalhah telah mengucap dua kalimah syahadah.

Pengislaman Abu Thalhah mendapat tentangan hebat daripada kaum keluarganya. Mereka berusaha untuk mengeluarkan Thalhah daripada Islam dengan pelbagai cara dan penyiksaan yang amat pedih. Namun demikian, disebabkan  keimanannya yang sangat kukuh dan teguh, Abu Talhah tetap tidak berganjak dengan keputusannya.

harta

“Thalhah Si Pengalir Harta,” itulah jolokkannya.

Selain daripada seorang yang hebat di medan perang, Abu Thalhah juga dikenali sebagai seorang yang dermawan. Sikapnya patut dicontohi dan diteladani oleh semua. Sepanjang keislamannya sejak dari awal beliau memeluk Islam, beliau tidak pernah memungkiri janji, berkhianat dan menipu. Sikapnya yang jujur itu menyebabkan dirinya  disenangi oleh teman-teman. Ini diakui sendiri oleh sahabatnya yang bernama Jaabir bin Abdullah. “Aku tidak pernah melihat seorang yang lebih dermawan selain daripada  Thalhah, walaupun tidak diminta. Oleh kerana itu, maka ia telah diberi gelaran “Thalhah si Dermawan,”  “Thalhah si Pengalir Harta,” Kemudian Assaid bin Zaid juga turut berkata tentang Abu Thalhah. Katanya, “Aku berkawan dengan Abu Thalhah, baik dalam perjalanan ataupun sewaktu sedang bermukim. Aku melihat tidak ada seorang pun yang lebih dermawan dari dirinya terhadap kaum muslimin. Beliau sanggup mendermakan wang, makanan dan pakaiannya,” demikianlah ujar Assaid.

Sebagai seorang pedagang yang hebat, pada suatu petang Abu Thalhah telah mendapat untung yang banyak ketika berniaga di Hadramaut. Keuntungan yang diperolehinya itu adalah kira-kira sebanyak    700 000 dirham. Hal itu telah membuatkan Abu Thalhah menjadi bimbang pada malam harinya sehingga menyebabkan beliau tidak boleh lena kerana memikirkan tentang wang yang berada ditangannya. Maka bertanyalah isterinya, mengapa beliau begitu gelisah dan adakah mereka telah membuat apa-apa kesilapan terhadapnya. Setelah diberitahu oleh Abu Thalhah akan hal yang sebenarnya, maka fahamlah si isteri lalu mencadangkan agar Abu Talhah menginfakkan wang yang dimilikinya itu kepada fakir-fakir miskin dan orang susah dalam kalangan Muhajirin dan Ansar agar dapat membantu mereka. Wang itu kemudiannya dimasukkanlah ke dalam uncang-uncang yang besar dan kecil lalu diagih-agihkannya kepada golongan-golongan yang memerlukan.

Selain daripada mengagih-agihkan wangnya, Abu Thalhah juga turut membantu seorang lelaki yang datang kepadanya untuk meminta pertolongan. Dengan rasa simpati terhadap lelaki itu, Abu Thalhah pun berkata, “Aku mempunyai sebidang tanah pemberian Usman bin Affan kepadaku. Tanah itu berharga tiga ratus ribu. Sekiranya engkau suka, ambillah tanah itu atau aku beri kepadamu wang  tiga ratus ribu dirham?” lalu, lelaki itu pun menjawab, “Biarlah aku mengambil wangnya sahaja.” Maka Abu Thalhah pun menghulurkan wang sejumlah tiga ratus ribu dirham kepada lelaki itu. Begitulah sifat terpuji dan keperibadian milik Abu Thalhah bin Ubaidillah yang juga digelar sebagai “Assyahidul hayy” iaitu yang bermaksud Syahid Yang Hidup kerana  jasa bakti dan perjuangannya yang amat besar dalam menegakkan Islam di Medan Uhud.

Abu Thalhah telah wafat pada usia 60 tahun (36 Hijrah,bersamaan 665 Masihi) dan beliau telah gugur di medan perang sebagai syahid lantaran terkena panah sewaktu peperangan “al-Jamal.

Abu Thalhah Perisai Rasulullah S.A.W. Di Medan Perang (Bahagian 1)

Siapakah Abu Thalhah?

Beliau adalah salah seorang diantara sepuluh sahabat Nabi yang dijamin masuk ke Syurga oleh Allah SWT. Nama penuhnya ialah Thalhah bin Ubaidillah bin Usman bin Ka’ab bin Sa’ad. Beliau merupakan salah seorang sahabat Nabi yang berbangsa Quraisy. Abu Thalhah telah memeluk Islam  dengan perantaraan Abu Bakar As-Siddiq  Radiallahu ‘anhu.

Peniaga Kain yang Bijak dan Berilmu.

Abu Thalhah merupakan seorang saudagar yang kaya-raya. Memiliki pelbagai  keistimewaan dan strategi tersendiri dalam perniagaan. Beliau adalah seorang peniaga kain. Selain daripada berniaga kain, Abu Thalhah juga memiliki  banyak ladang Anggur, kebun kurma dan hamba.  Hasil daripada perniagaannya itu beliau berjaya memperolehi  pendapatan lebih daripada 1000 dinar setiap hari. Di samping itu,  Abu Thalhah juga dikatakan meninggalkan harta bernilai 300 bahar sedangkan satu bahar itu telah menyamai  dengan nilai pikulan seekor unta. Bayangkanlah betapa banyaknya harta beliau. Abu Thalhah adalah seorang yang  gigih berusaha. Beliau seorang yang amat berdikari dan tidak gemar bergantung kepada orang lain. Walaupun usianya masih muda, namun kepintarannya telah dapat mengalahkan pedagang-pedagang lain yang lebih tua darinya.

Perihal Keislamannya.

peta syam

Ketika suatu hari Thalhah dan rombongannya pergi ke Syam dan sesampai sahaja di Bushra, Abu Thalhah telah dikejutkan oleh suatu peristiwa yang sangat menarik dan lantas mengubah perjalanan hidupnya. Sewaktu di sana, Abu Thalhah melihat seorang pendita berteriak-teriak sambil berkata

  • “Wahai para pedagang, adakah di antara tuan-tuan ini yang berasal dari Kota mekah?”
  • lalu, Thalhah pun menyahut “Ya, saya penduduk mekah!” katanya kepada pendita itu.
  • Kemudian sang pendita itu bertanya lagi, “Sudah munculkan seorang di antara kalian orang yang bernama Ahmad?”
  • maka bertanyalah Abu Thalhah kepada pendita itu, “Ahmad yang mana?”
  • lantas sang pendita pun membalas, “Ahmad bin Abdullah bin Abdul Muthalib. Bulan ini ia pasti akan muncul sebagai Nabi penutup para Nabi. Kelak ia akan berhijrah dari negerimu ke negeri berbatu-batan hitam yang ada banyak pohon-pohon kurma. Ia akan berpindah ke negeri yang subur dan makmur, memancarkan air dan garam. Sebaiknya, segeralah engkau pergi menemuinya, wahai anak muda,” sambung pendita itu lagi.

Mendengarkan ucapan pendita itu, ia sangat memberi kesan di hati Abu Thalhah. Lantas, tanpa menghiraukan kafilah dagang yang berada di pasar, beliau bergegas pulang ke Kota Mekah.
Sebaik sahaja tiba di Mekah, Abu Thalhah terus bertanya kepada keluarganya.

  • “Adakah berlaku apa-apa peristiwa sepanjang peninggalanku?”
  • lalu keluarganya pun menjawab “Ada. Muhammad bin Abdullah telah mengatakan bahawa dirinya adalah Nabi dan Abu Bakar pula telah mempercayai dan mengiyakan apa yang dikatakan oleh Muhammad.”
  • Dengan yakin Thalhah pun berkata, “Aku kenal Abu Bakar. Kami bersahabat baik. Beliau seorang yang penyayang, berlapang dada dan lemah lembut. Beliau seorang pedagang yang teguh pendirian dan berbudi tinggi. Banyak orang yang menyukai majlisnya, kerana beliau seorang ahli sejarah Quraisy,” ujar Thalhah.
  • Sejurus itu, Abu Thalhah lantas pergi mencari Abu Bakar dan bertanya, “Benarkah Muhammad bin Abdullah telah menjadi Nabi dan engkau mengikutinya?”
  • maka jawab Abu Bakar dengan jujur, “Ya, benar!”

[Bersambung di “Abu Thalhah  Perisai Rasulullah S.A.W. Di Medan Perang (Bahagian 2)”]

Khalifah Uthman Bin Affan Saudagar yang Berkorban Demi Membangunkan Islam (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Khalifah Uthman Bin Affan Saudagar yang Berkorban Demi Membangunkan Islam (Bahagian 1)”]

Pada akhir tahun 34 Hijrah, pemerintahan Islam dilanda fitnah. Antara fitnah yang disebarkan adalah, beliau dituduh merancang untuk membunuh Muhammad Bin Abu Bakar, yang telah dilantiknya sebagai Gabenor. Ini kerana mereka menjumpai surat yang menyatakan niat beliau untuk membunuh.

Sasaran fitnah yang keji itu datang dari Mesir sebenarnya dan dipenuhi dengan tuduhan-tuduhan palsu. Saidina Ali bin Abi Thalib r.a. bermati-matian membela Saidina Uthman dan menyangkal tuduhan mereka.

Tetapi para peniup fitnah terus melancarkan fitnahnya dan telah menjalankan rancangan jahat mereka. Di antara mereka, ada yang menyebarkan tulisan dengan tanda tangan palsu daripada sahabat terkemuka yang memburukkan Uthman. Mereka menuntut agar Uthman dibunuh. Sebahagian besar umat Islam di ketika itu termakan hasutan syaitan berbaur fitnah tersebut hingga terjadi huru-hara. Khalifah  Uthman akhirnya terkepung selama satu bulan di rumahnya. Peristiwa itu dikenali sebagai “Al-Fitnah al-Kubra” yang pertama, telah merobohkan akhlak dan kepercayaa umat Islam dari terus bersatu.

Akibat salah faham dan fitnah yang disebarkan, sebahagian daripada kaum muslimin telah berniat untuk membunuh beliau. Kemudian mereka menjalankan penyiasatan untuk menyelesaikan masalah fitnah yang disebarkan dan terbongkarlah rahsia, bahawa salah seorang daripada ahli keluarganya yang hernama Marwan Bin Al-Hakkam yang mana, juga pembantunya, telah menulis surat yang mengakibatkan salah faham itu. Lalu, mereka meminta Khalifah Uthman menyerahkan Marwan namun dia tidak bersedia melakukannya.

Lalu, mereka mengepung rumah khalifah dan menghalang bekalan air ke rumahnya. Rumahnya dikepung selama 30 hari dan mula kedengaran berita ada orang ingin membunuhnya. Ali meminta anaknya, Hassan dan Hussain dan beberapa orang sahabat mengawal pintu rumah Khalifah Uthman daripada dicerobohi oleh pihak pemberontak Mesir.

Namun begitu, tiga orang pemberontak berjaya masuk ke dalam rumah Khalifah Uthman melalui atap rumah. Ghafiqi terus memukul Khalifah Uthman dengan besi dan menyepak al-Quran yang dibaca olehnya. Khalifah Uthman tidak melepaskan al-Quran dari tangannya dan darah menitis dari mukanya lalu jatuh ke atas muka surat al-Quran yang terbiar, ternganga…

Kemudian Sudan pula menghampiri Khalifah Uthman, lalu dilibas pedangnya ke arah beliau namun Nailah (Isterinya pada masa itu), menahannya sehingga pedang itu telah memutuskan jarinya. Sudan yang bagai hilang pedoman, dan tidak lagi ada sekuis pun rasa peri kemanusiaan terus menetak Khalifah Uthman beberapa kali sehingga beliau gugur jatuh menyembah bumi, mati dalam penuh keimanan, syahid.

Najih, anak Khalifah Uthman terus menerkam ke arah Sudan lalu membunuhnya. Kemudian Qatirah, seorang lagi ahli pemberontak membunuh Najih. Para pemberontak cuba menganiaya mayat Khalifah Uthman pula, namun jeritan tangisan Nailah mengejutkan Hassan dan Husain yang mengawal di pintu hadapan membuatkan pemberontak melarikan diri.

Khalifah terkemuka dan saudagar yang berkorban demi membangunkan Islam itu, Uthman bin Affan, menghembuskan nafas terakhirnya sambil memeluk Al-Quran yang dibacanya. Beliau meninggal dunia pada 8 Zulhijah 35 Hijriah. Sejak itu, kekuasaan Islam semakin sering diwarnai oleh titisan-titisan darah merah, pekat, bergelumang hitam dan kelam.

pemerintahan

Pemerintahannya memakan masa selama 12 tahun, dari tahun 644 sehingga tahun 656 Masihi yang mana ianya merupakan seorang pemerintah yang paling lama dalam pemerintahan Khulafa‘ ar-Rasyidin.

5 INTIPATI PENTING

  1. Beliau seorang yang tidak mementingkan diri sendiri kerana tidak pernah memikirkan kerugian perniagaannya yang ditinggalkannya sewaktu berhijrah.
  2. Banyak melakukan perluasan kuasa terhadap beberapa buah Negara sehingga dapat mengatasi keluasan empayar Rom Timur dan juga empayar Parsi.
  3. Pemerintahannya memakan masa selama 12 tahun, yang mana ianya merupakan pemerintah yang paling lama dalam pemerintahan Khulafa‘ ar-Rasyidin.
  4. Peristiwa “Al-Fitnah al-Kubra”, merupakan titik permulaan peristiwa yang menyayat hati.
  5. Cubaan bunuh oleh pemberontak dan wafat pada 8 Zulhijah 35 Hijriah. 

Khalifah Uthman Bin Affan Saudagar yang Berkorban Demi Membangunkan Islam (Bahagian 1)

Sepuluh orang kesemua sahabat Nabi Muhammad s.a.w yang telah dijanjikan dengan ganjaran syurga, atas jasa dan pergorbanan mereka dalam berdakwah mempertahankan ajaran Islam. Salah seorang daripada sepuluh orang itu, adalah Saidina Uthman Bin Affan, atau turut digelar sebagai Zu al-Nurain kerana beliau telah memperisterikan dua orang anak perempuan Nabi Muhammad iaitu Ruqayah dan kemudiannya Ummi Kalsum.

Uthman Bin Affan

Saidina Uthman r.a dilahirkan pada tahun 576 Masihi dan berasal daripada Bani Umaiyah. Baik sebelum memeluk Islam, mahupun selepas memeluk Islam, beliau merupakan satu-satunya tokoh saudagar paling berjaya. Dialah sahabat Rasul yang paling banyak mengorbankan harta bendanya demi menegakkan perjuangan Islam.

Ketika suasana pergolakan di Mekah menjadi tegang disebabkan kaum Musyrikin Quraisy melakukan tekanan yang hebat terhadap kaum Muslimin, Saidina Uthman adalah yang termasuk golongan mereka yang turut melakukan hijrah ke Abyssinia. Beliau tidak pernah memikirkan kerugian perniagaan yang ditinggalkannya, kerana beliau sedar bahawa hijrah tersebut adalah termasuk dalam usaha untuk menegakkan agama Allah.

Antara pertolongan yang paling hebat disumbangkan oleh Saidina Uthman adalah ketika, Nabi mendapat berita bahawa Rom merancang untuk memusnahkan Negara Islam yang baru muncul. Kaum Muslimin seterusnya, melengkapkan diri mereka dengan persiapan perang. Tetapi persediaan menjadi sukar kerana pada tahun itu, kaum Muslimin kekurangan sumber tanaman, dan mereka sedang menghadapi musim panas yang sangat terik.

Mereka juga tidak memiliki kelengkapan yang cukup serta tiada bala tentera yang kuat, kerana sebahagian besar Muslimin terdiri daripada golongan yang miskin. Bukan itu sahaja, setiap sahabat mencuba segala yang terbaik untuk memperkuatkan pasukan Muslimin. Kaum Hawa pula turut sama menyokong perjuangan suci itu dengan menjual perhiasan emas dan permata yang mereka miliki semata-mata untuk membantu persiapan perang.

Walaupun ratusan sahabat yang siap untuk masuk ke medan perang, namun bagai padang pasir yang ketandusan air, berkerak tanah kering, begitulah keadaan mereka yang kekurangan banyak perkara yang diperlukan untuk berperang, seperti kuda, unta, bahkan pedang.

Lalu Uthman bin Affan hadir bagai anugerah dari Ilahi, dengan penuh keikhlasan di jiwanya yang tulus, membawa 200 unta berpelana untuk melakukan perjalanan ke As-Sham, dan mereka semua pula disiapkan dengan 200 auns emas sebagai sumbangan ikhlasnya. Dia juga menyumbangkan 1000 dinar dan meletakkannya ke atas riba Nabi. Malah, dengan sepenuh kerelaan hati Uthman bin Affan telah memberi sumbangan dengan menambah 900 unta lagi dan 100 kuda, semuanya kerana Allah s.w.t dan demi perjuangan Islam.

Antara pencapaian Saidina Uthman adalah, beliau telah dilantik sebagai khalifah yang ketiga pada tahun 23 Hijrah. Setelah dilantik, beliau banyak melakukan perluasan kuasa terhadap beberapa buah negara dalam usahanya menyebarkan Islam, ini dapat dilihat pada keluasan empayar Islam yang dapat mengatasi keluasan empayar Rom Timur dan juga empayar Parsi pada zaman kegemilangan mereka.

Antara wilayah baru yang telah berjaya ditakluki ialah Cyprus, Afganistan, Samarqand, Libya, Algeria, Tunisia, Morocco dan beberapa buah negara lagi. Beliau juga bertanggungjawab dalam menubuhkan angkatan tentera laut Islam yang pertama bagi menjamin keselamatan dan melakukan perluasan kuasa. Banyak negara-negara yang dibuka melalui angkatan tentera ini.

Namun, disebalik sumbangan dan jasa yang ditaburkan, beliau diduga pula dengan cabaran yang maha hebat! Satu peristiwa yang menyayat hati di mana telah membawa beliau berhadapan dengan maut!

[Bersambung di “Khalifah Uthman Bin Affan Saudagar yang Berkorban Demi Membangunkan Islam (Bahagian 2)”]

Nabi Sulaiman Raja Agung yang Kaya Raya Namun Tetap Beriman (Bahagian 2)

[Bersambung dari “Nabi Sulaiman Raja Agung yang Kaya Raya Namun Tetap Beriman (Bahagian 1)”]

Maka ratu Balqis dengan hanya sekelip mata sudah berada di istana baginda dan beliau sangat terkejut dan segan akan kehebatan dan kekayaan kerajaan Nabi Sulaiman. Kekayaan kerajaan Nabi Sulaiman jauh meninggalkan kekayaan beliau dan akhirnya Ratu Balqis mengakui kehebatan Nabi Sulaiman dan bertukar aqidah dari menyembah matahari kepada menyembah Allah yang Maha Esa. Sekalian rakyat beliau turut mengikut jejak dengan beriman kepada Allah.

Allah s.w.t berfirman

“Dan sesungguhnya Kami telah memberi ilmu kepada Daud dan Sulaiman; dan keduanya mengucapkan: ‘Segala puji bagi Allah yang melebihkan kami dari kebanyakan hamba-hamba-Nya yang beriman.’ Dan Sulaiman telah mewarisi Daud dan dia berkata: ‘Hai manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu, sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurnia yang nyata.'” (Surah an-Naml: 15-16)

burung

Rasulullah saw bersabda: “Kami para nabi tidak mewariskan.”

Nabi Sulaiman mewarisi kenabian dari Nabi Daud. Perkara ini adalah hal yang jelas. Allah s.w.t telah memilihnya sebagai Nabi dari Bani Israel. Begitu juga, Allah s.w.t telah memberinya kekuasaan (kerajaan) sehingga ia menjadi pemimpin Bani Israel. Nabi Daud pada asalnya hanyalah seorang pengembala kambing namun dengan ilham dan wahyu dari Allah, Nabi Daud akhirnya menjadi seorang panglima pasukan yang tiada tandingan. Kehebatan ini dapat diwarisi oleh Nabi Sulaiman.

Allah s.w.t. telah menceritakan kisah Nabi Daud dan Nabi Sulaiman dalam Al-Quran. Antaranya:

“Dan Kami kuatkan kerajaannya.” (Surah Shad: 20)

Ayat tersebut bererti bahawa Nabi Daud belum pernah kalah dalam peperangan yang diikutinya. Dengan bimbingan yang Allah s.w.t berikan kepada Nabi Daud dan juga pasukannya dan rakyatnya di mana mereka adalah orang-orang yang bertauhid dan menyerahkan diri kepada Allah s.w.t, Allah s.w.t mengungkapkan kepada Daud hal-hal yang menjadikan pasukannya memiliki keistimewaan yang dengannya mereka dapat mengalahkan pasukan-pasukan yang lain yang ada di bumi saat itu.

Allah s.w.t berfirman:

“Dan Kami telah melunakkan besi untuknya.” (Surah Saba’: 10)

Masalah baju besi yang dibuat untuk orang-orang yang hendak berperang cukup mengganggu gerakan mereka. Kita boleh bayangkan ketika ada dua orang yang berperang yang salah satunya dapat bergerak dengan bebas dan pantas, sementara yang lain tidak dapat bergerak dengan hebat disebabkan baju besinya yang berat. Namun dengan kekuasaan Allah s.w.t, Nabi Daud dapat melunakkan besi dan membuat baju besi yang ringan. Ini adalah kemajuan penting yang Allah s.w.t berikan kepada Nabi Daud dan tenteranya. Kemajuan ini kini dimiliki oleh Nabi Sulaiman. Demikianlah Nabi Sulaiman memiliki pasukan yang dahsyat yang melebihi pasukan mana pun di bumi pada saat itu. Allah s.w.t telah menambah kurniaan-Nya kepada Nabi Sulaiman:

“Dan Sulaiman telah mewarisi Daud, dan dia berkata: ‘Hai manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurnia yang nyata.'” (Surah An-Naml: 16)

Pada suatu hari baginda menadah tangannya dan berdoa kepada Allah s.w.t. Antara hati Nabi dan Allah s.w.t tidak ada penghalang, jarak, atau waktu. Tiada seorang pun dari para nabi yang berdoa kepada Allah s.w.t kecuali doanya pasti terkabul. Kejernihan hati ketika mencapai puncak tertentu, maka ia akan mencapai apa sahaja yang diinginkan di jalan Allah s.w.t. Dalam doanya, Nabi Sulaiman berkata:

“Ia berkata : Ya Tuhanku, ampunilah aku dan anugerahilah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seseorangpun sesudahku.” (QS. Shad: 35)

Sulaiman menginginkan dari Allah s.w.t suatu kerajaan yang belum pernah diperoleh oleh siapa pun setelahnya. Allah s.w.t mengabulkan doa hamba-Nya Sulaiman dan memberinya kerajaan tersebut. Nabi Sulaiman sama sekali tidak taksub kepada kekuasaan dan ingin menunjukkan sikap kesombongan namun baginda ingin mendapatkan kekuasaan untuk memerangi kezaliman di muka bumi. Cuba kita perhatikan kata-kata Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis ketika beliau berdialog dengannya tentang istananya dalam surah An-Naml:

“Dan ketika Ratu Balqis datang, ditanyakanlah kepadanya: ‘Serupa inikah singgahsanamu?’ Dia menjawab: ‘Seakan-akan singgahsana ini singgahsanaku, kami telah diberi pengetahuan sebelumnya dan kami adalah orang-orang yang berserah diri.” (Surah An-Naml: 42)

Ketika kita membuka lembaran-lembaran sejarah kehidupan Nabi Sulaiman yang diungkap oleh Al-Quran, kita akan mengetahui bahawa kita berada pada zaman keemasan Bani Israel, iaitu masa Nabi mereka dan penguasa mereka Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman tidak merasa puas dengan apa yang telah diwarisinya dari Nabi Daud. Perkara ini yang membuatkan Nabi Sulaiman sentiasa cemerlang dalam pimpinannya dan menjadi contoh dan ikon dalam menjadi pemimpin hebat, walaupun hidup dengan penuh kekuasaan, kehebatan dan kekayaan, namun tetap tunduk dan taat kepada Allah s.w.t.

 

Nabi Sulaiman a.s. Raja Agung yang Kaya Raya Namun Tetap Beriman (Bahagian 1)

Bertemu lagi dalam artikel untuk keluaran kali ini. Kali ini penulis ingin berkongsi tentang kisah Nabi Sulaiman a.s. yang kaya raya namun imannya masih tetap utuh kepada Allah s.w.t. Seperti mana yang kita ketahui dan pelajari dari kisah-kisah Para Anbiya, Nabi Sulaiman adalah seorang Nabi dan seorang Raja yang Agung.

Nabi Sulaiman merupakan putera kepada Nabi Daud a.s. Setelah kewafatan Nabi Daud, baginda dilantik menjadi pengganti dalam pemerintahan kerajaan Bani Israel. Disebabkan kebolehan dan bakat kepimpinan yang hebat, baginda telah menjadi raja ketika usianya masih muda iaitu 13 tahun.

Walaupun masih muda, baginda mempunyai kebolehan serta kepandaian dalam memerintah dan baginda sangat terkenal sebagai pemerintah yang hebat. Nabi Sulaiman dikurniakan oleh Allah dengan pelbagai kelebihan dan mukjizat yang menakjubkan.

Mukjizat Nabi Sulaiman

Antara mukjizat yang ada pada diri baginda termasuklah baginda dapat menguasai angin yang telah menjadi sebagai alat pengangkutannya. Baginda juga mampu memerintah makhluk dari golongan jin. Baginda turut memahami segala bahasa pertuturan binatang-binatang yang ada termasuklah burung-burung dan serangga.

serangga

Kekayaannya Tidak Terjangkau

Kekayaan Nabi Sulaiman tidak terjangkau akal dan tidak terkira banyaknya kerana baginda mempunyai kebolehan mengetahui di mana letaknya harta-harta yang tersembunyi di perut bumi. Nabi Sulaiman hidup dengan penuh kehebatan dan kemewahan di istana baginda.

Walaupun baginda diselubungi dengan harta kekayaan, kememakmuran, kelebihan dan kehebatan, semua ini tidak menjadikan baginda seorang yang sombong dan bongkak. Baginda tetap merupakan seorang yang kuat ibadah, adil, bijaksana dalam memerintah dan mempunyai otak yang cerdas dalam menjalankan urusan pemerintahannya.

Kisah burung hud-hud

Pada suatu hari, Nabi Sulaiman mahukan laporan daripada seekor burung hud-hud yang baginda arahkan mencari sumber air di negeri Yaman yang telah dilanda kemarau. Namun begitu burung hud-hud yang ingin ditemui baginda tidak kunjung tiba menyebabkan Nabi Sulaiman menjadi murka. Baginda akan menghukum burung tersebut jika ia datang tanpa sebab yang munasabah atas kelewatannya.

Setelah lama menunggu, akhirnya burung hud-hud tersebut pun tiba sambil menundukkan kepalanya tanda takut atas kelewatannya. Tanpa berlengah lagi burung hud-hud tersebut melaporkan tentang berita yang diketahuinya mengenai sebuah negeri yang kaya raya bernama Sabak.

Negeri Sabak diperintah oleh seorang perempuan bernama Ratu Balqis. Namun begitu, Ratu Balqis serta rakyatnya tidak pula beriman kepada Allah sebaliknya menyembah dan bertuhankan matahari.

Dakwah Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis

Nabi Sulaiman yang sebelum itu murka kepada burung hud-hud tersebut tidak jadi menjatuhkan hukuman kepadanya. Berita tentang kekufuran Ratu Balqis serta rakyat jelatanya lebih menarik perhatian baginda lalu menulis sepucuk surat untuk diutuskan kepada Ratu Balqis.

Surat tersebut berupa seruan dakwah dari Nabi Sulaiman supaya Ratu Balqis dan seluruh rakyat jelatanya menyembah serta mengabdikan dirinya kepada Allah yang Esa dan meninggalkan segala sembahan yang lain. Burung hud-hud tersebut telah diamanahkan untuk mengirimkan surat tersebut kepada Ratu Balqis.

Surat itupun telah dibawa oleh burung hud-hud. Sesampainya ia ke negeri Sabak dan istana Ratu Balqis, ia menjatuhkan surat tersebut dihadapan Ratu Balqis lalu Ratu Balqis mengambil serta membacanya. Nabi Sulaiman telah mengarahkan supaya menyerahkan diri di bawah kekuasaan kerajaannya serta beralih daripada menyembah matahari kepada menyembah Allah yang Maha Esa disamping tidak bersikap sombong.

Setelah membaca surat tersebut barulah Ratu Balqis sedar bahawa ada lagi sebuah kerajaan yang lebih hebat selain kerajaan Sabak. Ratu Balqis lalu mengarahkan utusan beliau kepada Nabi Sulaiman setelah berbincang dengan para cerdik pandai dari kerajaannya. Utusan yang dihantar membawa pelbagai hadiah berupa emas dan intan berlian sebagai memujuk Nabi Sulaiman menarik balik arahan baginda. Namun baginda menolak segala hadiah tersebut  kerana baginda sendiri mempunyai harta yang tidak terkira banyaknya.

Baginda mengarahkan utusan tersebut untuk pulang semula ke Sabak dan menyampaikan dakwah serta pesanannya agar meninggalkan amalan menyembah matahari. Mereka pun pulang lalu menceritakan kepada Ratu Balqis tentang kehebatan  dan kekayaan Nabi Sulaiman melebihi Ratu Balqis.

Ratu Balqis tidak percaya dan ingin melihat dengan matanya sendiri. Perkara ini telah diketahui oleh Nabi Sulaiman lalu baginda memerintahkan rakyatnya dari kalangan jin membawa Ratu Balqis ke istana baginda dengan sekelip mata.

[Bersambung di “Nabi Sulaiman Raja Agung yang Kaya Raya Namun Tetap Beriman (Bahagian 2)”]