Pelbagai strategi yang kita perlu pelajari mengenai wang seperti cara menjana wang, cara melabur wang, cara menggunakan wang untuk dapatkan wang, cara kongsi dan sedekahkan wang kita dan sebagainya supaya hidup kita lebih bermakna dan kita dapat rasa bahagia dalam jiwa.
Dimanakah anda lihat keadaan kewangan anda pada hujung bulan ini? Atau 6 bulan akan datang? Atau tahun hadapan? Adakah anda berpuas hati dengan keadaan atau anda ingin meletakkan matlamat kewangan yang lebih tinggi?
Bagaimana pula gambaran kewangan anda 3 tahun akan datang? Atau 5 tahun akan datang? Atau 10 tahun akan datang? Adakah anda melihat diri anda seperti keadaan sekarang, atau ingin melihat diri anda mempunyai progres yang berlipat kali ganda dan mengubah keadaan kewangan kearah yang jauh lebih baik?
Semua ini memerlukan strategi dan strategi bermula dengan matlamat anda hari ini. Ambil pen dan kertas, tuliskan matlamat kewangan anda. Apakah matlamat kewangan jangka pendek anda, dan apakah matlamat jangka panjang anda.
98% dari orang dewasa tidak mempunyai matlamat kewangan. Jangan jadikan anda sebahagian dari statistik ini oleh kerana mereka yang berjaya dalam kewangan adalah mereka yang mempunyai matlamat dan strategi mencapai matlamat tersebut. Jumpa anda minggu hadapan – wang anda, kuasa anda!
Soalan pembaca:
Tanyakan soalan anda di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb
Zul Rahman, Kelantan
Saudara Irfan Khairi, baru-baru ini sempena menyambut Hari Raya, saya telah terlebih bajet dalam perbelanjaan menggunakan kad kredit. Kini, saya tidak tahu cara bagaimana hendak membayar hutang kad kredit dan terkejut apabila baru sahaja dapat penyata kad kredit. Bantu saya!
Jawapan:
Terlebih bajet tu, memang perkara biasa dan sering terjadi di musim perayaan. Tetapi, soalan saya yang pertama adalah, betul kah Zul mempunyai bajet pada mulanya? Ramai antara kita sering menggunakan alas an “terlebih bajet” sedangkan diri sendiri tidak mempunyai bajet atau perancangan belanjawan sebelum musim perayaan. Apa yang patut dilakukan terlebih awal adalah, pastikan mempunyai perancangan yang rapi. Seperti tulisan saya di atas juga, pastikan kita mempunyai matlamat kewangan dari segi perbelanjaan yang boleh kita lakukan.
Kedua, sering kali kita akan terkejut apabila menerima penyata kad kredit. Masa berbelanja menggunakan kad kredit, memang sedap sahaja, kerana tak nampak wang yang bertukar tangan. Hanya satu kali ‘swipe’ kad kredit. Hujung bulan, baru nampak jumlah terkumpul.
Kita juga kena faham psikologi kad kredit yang memudahkan kita berbelanja dengan hanya sekeping kad plastic. Mengapa di kaca TV sering dilihat program barat di Kasino, tidak menggunakan wang tetapi menggunakan cip plastik? Sebabnya adalah untuk melalaikan penjudi berjudi dan tidak perasan kehilangan wang! Itulah penangan kad plastik yang dinamakan kad kredit yang kita miliki.
Oleh itu, bagaimana membayar hutang kad kredit yang berlebih? Perbincangan bayaran balik kad kredit yang lebih terperinci saya akan kupaskan di minggu-minggu yang akan datang, tetapi, di ruang yang terhad ini, adalah hanya dua cara yang anda boleh lakukan. Iaitu kurangkan perbelanjaan anda dan/atau tambahkan pendapatan anda.
Rancang perbelanjaan harian dan mingguan anda supaya anda dapat mengurangkan perbelanjaan. Menjimat sedikit sini dan sana pada kotak rokok, the tarik, roti canai, keluar menonton wayang, dan lain lain boleh menjimatkan anda beratus juga di hujung bulan untuk bayaran balik kad kredit. Jangan hanya bayar baki minima kad kredit, oleh kerana amalan membayar baki minima sahaja setiap bulan tidak akan menghabiskan baki anda… sampai bila-bila!
Anda juga boleh mencari pendapatan tambahan mungkin melalui perniagaan sambilan secara offline ataupun secara Internet (topic panjang lebar saya akan kongsikan mengenai ini). Yang penting, usaha kita sedikit dalam menjimatkan wang dan menjana wang akan mempercepatkan lagi bayaran kad kredit anda. Dalam masa yang sama, jangan pula terus menggunakan kad kredit tersebut. Potong, patah, koyak, atau apa sahaja kad kredit anda supaya boleh menyelamatkan anda dari alasan “terlebih bajet” sebelum anda melangsaikannya!
PS: Tanyakan soalan anda di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb
Latest posts by Irfan Khairi (see all)
- 4 Sebab Video Penting untuk Perniagaan KECIL - 18 July, 2022
- Cara tambah keyakinan diri untuk buat VIDEO! - 8 May, 2022
- Saya TIDAK bermula DARI ZERO kerana…. - 2 September, 2021