Category Archives: Majalah Metro: Wang Anda

Masa untuk menjadi kaya (Bahagian 2)

Bersambung dari: Masa untuk menjadi kaya (Bahagian 1)

Pastinya anda pernah dengar istilah “yang kaya semakin kaya” bukan? Antara sebabnya adalah, mereka yang kaya, faham tentang konsep pulangan kompaun ini. Sekiranya sejumlah wang dilaburkan pada pulangan 10% setahun, dan jangan diusik selama 7 tahun, wang tersebut akan berganda dua! Ertinya, sekiranya seorang jutawan memiliki RM1,000,000 yang tidak disentuh, dan diberi pulangan pelaburan 10% setahun selama 7 tahun. Wangnya akan menjadi RM2,000,000- tanpa perlu melakukan apa kerja sekali pun!

richpoor

Tidak kira, jutawan atau tidak, pulangan kompaun ini akan terjadi pada sesiapa sahaja yang memahaminya. Dan lebih banyak masa yang diberikan, lebih besar wang kita akan berkembang. Lebih awal anda menyedari hakikat ini, maka, lebih baik untuk anda mulakan sekarang! – Wang anda, kuasa anda! ~Irfan Khairi

Soalan pembaca:
Berinteraksi mengenai  kewangan, perniagaan & motivasi di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb

Nadirah Faeez, Melaka:
Salam Irfan Khairi, saya amat minat dengan ruangan WANG ANDA Majalah Metro dan tidak terlepas mengikutinya setiap minggu. Soalan saya, dimanakah tempat terbaik untuk melaburkan wang kita?

Terima kasih atas soalan Nadirah dan sokongan kepada Majalah Metro. Pastikan teruskan sokongan anda!

Hari ini, berbagai-bagai peluang pelaburan yang diberikan oleh pelbagai pihak dan adakalanya membuatkan kita keliru manakah tempat terbaik melabur wang kita. Pertama sekali, pastikan anda tidak melaburkan wang anda pada skim-skim pelaburan yang haram dan skim cepat kaya. Walaupun seperti sesuatu yang tidak perlu dinasihatan lagi, tetapi malangnya masih ramai yang tertipu dan terperangkap  dalam skim pelaburan sebegini. Apa yang terjadi adalah, bukan sahaja wang akan lesap, tetapi juga kita kerugian masa yang telah kita ambil mengumpul wang tersebut. Oleh itu, berhati-hati apabila melaburkan wang anda dan melabur hanya pada institusi kewangan yang sah.

Satu pilihan baik untuk melabur adalah melalui dana bersama (mutual funds) yang banyak diberikan oleh institusi-institusi kewangan. Melalui dana bersama, anda umpama mempunyai akses kepada pengurusan wang dan pengurusan pelaburan profesional institusi kewangan menguruskan pelaburan anda. Ini akan mengurangkan risiko dan memudahkan proses pelaburan wang anda. 

Terdapat berbagai-bagai dana bersama yang anda boleh dapati melalui bank anda. Nasihat saya, langkah pertama adalah dapatkan brocur-brocur dana bersama ini di bank berhampiran anda- ya lakukan hari ini oleh kerana lebih awal anda mulakan, lebih tinggi pulangan anda seperti artikel saya kali ini!

Baca dan fahami setiap brocur dan dapatkan nasihat dan pandangan konsultan kewangan di bank anda yang pastinya sedia membantu. Setiap jenis dana bersama mempunyai ciri-ciri dan manfaat berbeza oleh itu, berdasarkan bacaan dan pemahaman anda, anda boleh lakukan keputusan pelaburan anda sendiri.

Masa untuk menjadi kaya (Bahagian 1)

“Masa” memainkan peranan yang amat penting dalam mengumpul dan mengembangkan wang kita. Lebih banyak masa yang kita ada, lebih besar wang dapat mengembang. Ertinya, lebih awal anda sedar dan ambil tindakan memperbaiki keadaan kewangan anda, maka lebih banyak masa untuk wang anda bertambah dan terus bertambah.

moneytime

Mari kita lihat dua beradik kembar Lili dan Didi. Lili berumur 25 tahun dan merupakan pembaca tegar Majalah Metro, ruang WANG ANDA. Lili sedar betapa pentingnya menjaga kewangan dan mula menyimpan pada usia yang muda. Setiap bulan tanpa terlepas, Lili menyimpan dan melabur RM400 ke akaun pelaburan yang memberi pulangan pelaburan 12% setahun. Sekiranya kita melihat 20 tahun akan datang,  simpanan Lili dalam akaun pelaburannya telah menjadi RM345,800. Ketika itu, Lili berumur 45 tahun.

Didi pula, agak terlewat menyedari tentang pentingnya menjaga kewangan. Didi hanya mula menyimpan dan melabur ketika berumur 30 tahun- lewat 5 tahun selepas Lili. Oleh kerana pendapatan Didi tinggi sedikit, Didi boleh menyimpan RM700 setiap bulan dan dilaburkan pada akaun pelaburan yang sama memberi 12% pulangan pelaburan. Apabila Didi mencapai umur 45 tahun, jumlah simpanan Didi telah menjadi RM313,100.

Adakah anda dapat lihat perbezaannya? Walaupun Lili menyimpan hanya RM400 sebulan, manakala kembarnya Didi menyimpan RM700 sebulan, oleh kerana Lili mula menyimpan 5 tahun lebih awal, jumlah yang dimiliki adalah lebih tinggi lagi apabila keduanya berumur 45 tahun walaupun simpanan bulanannya adalah jauh kurang.

Masa memainkan peranan yang amat penting dalam pulangan pelaburan. Lebih lama wang disimpan dan dibiarkan mengembang oleh pulangan pelaburan, kenaikannya akan menjadi mendadak. Konsep ini dikenali sebagai pulangan kompaun (compound returns).

Albert Einstein pernah menyebut, pulangan kompaun sebagai “ciptaan terhebat dalam metamatik”. Ertinya adalah, pulangan yang diterima daripada pelaburan yang dilakukan, dilaburkan semula untuk tahun yang akan datang. Dan pulangan daripada jumlah keseluruhan tersebut, dilaburkan semula untuk tahun seterusnya. Apa yang akan terjadi adalah, wang simpanan kita akan berkembang secara eksponen.

Cara lebih mudah menjelaskan keadaan ini adalah bayangkan kisah kartun Tom & Jerry, di mana Tom (kucing) sedang bergaduh dengan Jerry (tikus) di kawasan puncak bukit yang dipenuhi salji. Tom menolak Jerry di cerun bukit tersebut, lalu, Jerry berguling dan diliputi salji menurun bukit tersebut. Lagi jauh Jerry berguling ke bawah, lagi besar diliputi salji, sehingga menjadi bebola salji gergasi merempuh Tom kembali!

Kesan ini dikenali sebagai “snow-ball effect” di mana, bebola salji mengumpul lebih banyak salji dan membesar. Begitu juga dengan wang kita yang akan mengumpul lebih banyak wang melalui pulangan pelaburan yang semakin lama, semakin besar!

Bersambung di: Masa untuk menjadi kaya (Bahagian 2)

Bajet untuk jadi jutawan (Bahagian 2)

Bersambung dari: Bajet untuk jadi jutawan (Bahagian 1)

Sediakan beberapa balang kosong untuk setiap perbelanjaan berubah anda, dan labelkannya. Contoh, satu balang di labelkan “Makan & Minum”, balang kedua ditulis “Pengangkutan”, balang ketiga “Hiburan”, balang ke empat “Pakaian/hadiah” dan balang ke lima “lain-lain”.

Berdasarkan perbelanjaan kasar bulan-bulan yang lepas, masukkan sejumlah wang tunai ke dalam setiap balang tersebut- ini adalah bajet bulanan anda!

jutawan2

Apa yang anda perlu lakukan adalah biasakan diri untuk membelanjakan hanya wang di dalam balang bajet anda sahaja dan tidak lagi mengeluarkan wang dari simpanan anda. Sekiranya bajet dalam satu balang telah habis, dan anda perlu menggunakan lagi wang untuk tujuan balang itu, apa yang anda boleh lakukan adalah, ambil dari balang yang lain – gunakan bajet lain, tetapi ingat, amat penting untuk tidak mengeluarkan dari simpanan lagi.

Baru-baru ini, bajet negara telah diumumkan. Apa yang anda boleh lakukan juga adalah, lihat senarai bajet Negara yang telah diumumkan, dan ambil perhatian kepada isu bajet yang berkaitan dengan anda. Ambil pen, dan bulatkan bajet yang memberi impak besar atau kecil kepada anda dan keluarga dan mula dapatkan maklumat lanjut mengenainya. Ada bajet yang dapat menambahkan pendapatan anda, ada juga yang menambahkan simpanan anda.  Wang yang disimpan, adalah pendapatan juga!

Jangan lupa, sertai saya di Facebook www.facebook.com/irfankhairi.fb dan ajukan soalan anda di sana. Jumpa di sana, – wang anda, kuasa anda!

Soalan:
Hazira Reena, Kedah
Apakah nasihat Irfan dalam mendidik anak-anak tentang simpanan dan perbelanjaan?

Jawapan:

Soal kewangan adalah soal keluarga. Tahniah kerana anda menyedari tentang melibat dan mendidik anak-anak soal kewangan diperingkat awal. Dengan cara ini, ia akan menyemai tabiat kewangan yang sihat pada diri anak-anak .

Bergantung kepada umur anak, cara didikan adalah berbeza. Boleh bermula seawal anak tersebut mengenali wang, setiap kali anda mempunyai wang syiling, berikan kepada anak untuk dimasukkan kedalam tabung.

Aksi awal membiasakan anak memasukkan wang syiling dalam tabung akan menjadikan ia sebagai tabiat menyimpan dan mengaitkan wang – walaupun sekecil mana, perlu disimpan.

Apabila anak membesar, sering bincangkan mengenai wang dan galakkan anak membuat matlamat kewangan. Seperti, matlamat menyimpan sehingga RM100, akan diberi hadiah tambahan RM10 dari anda. Simpan RM100 dan RM10 tersebut anak boleh membeli apa sahaja yang diingini.

Perbelanjaan yang sihat juga perlu disemai sejak kecil. Teknik balang bajet yang saya kngsikan di atas juga adalah agak mudah untuk anak-anak melibatkan diri sama dalam perbelanjaan keluarga. Bukan sahaja mudah, ia juga menyeronokkan melibatkan semua seperti suatu permainan mengimbangkan bajet dan perbelanjaan!

Bajet untuk jadi jutawan (Bahagian 1)

Bila kita dengar perkataan “Jutawan” sering kali kita bayangkan seseorang yang mempunyai rumah besar, kereta besar dan semuanya besar. Sebenarnya, tidak seperti yang sering digambarkan di kaca TV, mereka yang kaya-raya pada hari ini ramainya hanya menjalankan hidup yang biasa dikalangan orang ramai – mungkin juga jiran anda, namun mempunyai baki akaun bank yang besar!

jutawan1

Sering kali, mereka yang digolongkan sebagai ‘jutawan’ mempunyai matlamat kewangan yang besar dan jelas, merangkumi matlamat menyimpan, matlamat melabur dan juga matlamat mengembangkan lagi kekayaan mereka.  Mereka percaya bahawa wang yang disimpan, adalah satu pendapatan.

Langkah permulaan bagaimana mereka boleh mereliasasikan matlamat ini, adalah dengan mempunyai bajet. Asas kepada bajet adalah dengan “bayar diri sendiri” 10% dari pendapatan kita terlebih dahulu setiap bulan sebelum membelanjakannya. Dengan cara ini, kita memastikan simpanan 10% tidak diusik sebelum membelanjakan baki pendapatan bulanan kita.

Sekiranya gaji kita dapat adalah RM3,000, maka, pastikan simpan RM300 terlebih dahulu sebelum menyentuh baki RM2,700 untuk perbelanjaan yang lain.

Ada juga yang kata, nak simpan 10% dari gaji bulanan pun susah sebab duit tak akan cukup .Bagaimana pula dengan ini?

Nasihat saya, sekiranya sukar menyimpan 10%, mulakan dengan kecil. 1% juga memadai. Sekiranya gaji RM3,000, takkan tak boleh simpan RM30 dulu kan? Sehingga kita selesa dengan menyimpan 1% terlebih dahulu, naikkan pula simpanan kepada 2% (RM60), kemudian 3% (RM90), kemudian 4% (RM120) sehingga kita rasa mudah dan selesa menyimpan 10% (RM300)!

Tidak mustahil bila kita sudah selesa dan rasa mudah menyimpan 10% dari simpanan, pada masa yang akan datang, naikkan lagi jumlah “bayar diri sendiri” ini.

Cara seterusnya untuk bajet diri sendiri adalah, kita perlu bajet wang selebihnya untuk perbelanjaan harian.

Bajet besar tetap, seperti bayaran kereta, rumah dan bil telefon bimbit sering kali adalah bajet yang mudah dilakukan. Namun, yang susah dan sering “terlari bajet” adalah pada perbelanjaan berubah seperti makan minum, membeli belah, hiburan, dan perbelanjaan-perbelanjaan kecil lain. Sikit-sikit, lama-lama jadi juga bukit!

Satu teknik yang  amat praktikal yang boleh dilakukan bagi mereka yang sukar  membuat bajet adalah dengan menggunakan teknik “balang bajet”. Caranya mudah, dan anda juga boleh mencuba dan mula melihat perubahan dalam perbelanjaan dan bajet anda.

Bersambung di: Bajet untuk jadi jutawan (Bahagian 2)

Anda Gagal Wang! (Bahagian 2)

Bersambung dari: Anda Gagal Wang! (Bahagian 1)

Ianya dikatakan, mereka yang berjaya dalam kewangan mengambil masa lebih sejam setiap minggu merujuk dan menjejak keadaan kewangan mereka. Dengan meluangkan sedikit masa setiap hari, walaupun 10 minit untuk menjejak setiap transaksi wang kita, ia merupakan langkah pertama untuk berjaya dalam kewangan.

Kata confucious, sekiranya aku dengar, aku lupa. Sekiranya aku lihat, aku ingat. Sekiranya aku buat, aku faham. Latihan untuk anda mulai hari ini dan minggu-minggu akan datang adalah, amalkan tabiat menjejak dan merakam kewangan harian anda.

Apabila anda lakukan, anda akan faham tentang kewangan anda dan menyediakan diri anda untuk lebih berjaya dalam kewangan anda. Sehingga kita berjumpa di minggu hadapan, dengan strategi mengurangkan perbelanjaan anda- Wang anda, kuasa anda!

~Irfan Khairi

Soalan pembaca:
Tanyakan soalan anda di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb

Zaidi Reza, Kuala Lumpur:
IK, saya dapati sukar untuk menyimpan wang. Setiap bulan, pasti habis wang gaji dibelanjakan sehingga simpanan saya hampir tiada! Apakah tip untuk menyimpan wang?

Gunakan wang kertas dan simpan wang syiling. Setiap hari apabila anda berbelanja, apa kata anda hanya menggunakan wang kertas sahaja. Jangan disentuh wang syiling. Sebagai contoh, sekiranya anda ingin membayar nasi lemak dan kopi untuk sarapan pagi berharga RM4.20, bayar dengan wang kertas RM5 atau RM10. Baki syiling 80sen yang anda terima, jangan dibelanjakan! Walaupun sekiranya kemudian anda membayar tol RM1.80, bayar menggunakan wang kertas RM2 dan jangan di sentuh 80sen dalam poket anda. Kini, anda mendapat 20sen wang syiling pula.

gagalwang2

Setiap hari, simpan kesemua wang syiling anda ke dalam bekas atau tabung anda. Teknik membelanjakan wang kertas sahaja ini bunyinya agak mudah, tetapi, apa yang anda akan dapat adalah, berpuluh-puluh ringgit wang simpanan pada hujung setiap bulan. Dan ini akan menjadi beratus-ratus simpanan stiap tahun. Lebih baik dari tiada!

Rosnita Hashim, Selangor
Irfan, Apakah cara terbaik untuk bajet wang kita supaya kita lebih mudah menyimpan?

Sering kali di kursus kewangan yang saya kendalikan, ramai mengeluh bahawa sukar untuk menyimpan wang gaji setiap bulan dan sukar untuk menyediakan bajet bulanan. Nasihat saya adalah, amalkan kaedah “bayar diri sendiri” terlebih dahulu.

Kaedah ini menkehendaki anda membayar diri anda terlebih dahulu, dengan cara menyimpan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan anda setiap bulan ke akaun simpanan anda. Ertinya, sekiranya pendapatan anda adalah RM2,000 sebulan, terlebih dahulu apabila menerima gaji, simpan RM200 sekurang-kurangnya ke akaun simpanan anda yang berasingan. Ini adalah kaedah membayar diri sendiri terlebih dahulu.

Baki RM1,800 adalah untuk anda bajet perbelanjaan bulanan anda yang lain. Dengan cara ini, apa sahaja anda belanjakan, anda telah menjamin simpanan 10% terlebih dahulu yang tidak disentuh- kaedah bajet paling mudah!

Anda Gagal Wang! (Bahagian 1)

Bertemu kembali kita di ruang Wang Anda! Pada minggu pertama, kita tahu bahawa kita perlu berfikir positif mengenai wang. Minggu lepas pula saya menulis tentang pentingnya mempunyai matlamat kewangan. Tetapi, mengapa kita masih gagal dalam kewangan?

Jawapannya adalah, kita gagal mempunyai strategi kewangan yang berkesan. Bayangkan seperti sebuah singki, yang mempunyai pili dan juga lubang di dasarnya untuk mengalirkan air keluar. Apabila air mengalir dari pili tersebut, dan lubang di dasar singki tidak tutup, maka, pastinya tiada air yang bertakung.

Seperti kewangan kita juga, tidak kira berapa banyak wang mengalir kepada kita, melalui gaji, atau pendapatan perniagaan, sekiranya terdapat kebocoran dari segi perbelanjaan, hujung bulan, pastinya kering kontang juga simpanan kita. Maka, kita akan gagal dalam kewangan.

gagalwang

Untuk berjaya dalam kewangan, hanya terdapat dua cara sahaja iaitu menambahkan pendapatan  dan mengurangkan perbelanjaan. Kekayaan bukan bermaksud berapa banyak gaji kita, atau pendapatan kita. Tetapi, kekayaan dikira sebagai berapa banyak kita berjaya menyimpan. Gaji dan pendapatan tinggi, tetapi belanja tinggi dan hutang keliling pinggang, tak kaya namanya tu. Itu adalah gagal kewangan.

Untuk berjaya kewangan, kita perlu terlebih dahulu menguasai wang yang keluar dari poket kita. Dan cara untuk menguasai wang kita adalah dengan mengetahui ke mana setiap sen perginya wang tersebut… ya, setiap sen!

Ianya amat mudah apabila tiba hujung bulan, kita tak sedar dan terlupa ke mana perginya wang kita. Apa yang saya dan ramai pakar-pakar kewangan nasihatkan adalah untuk menjejak setiap kali kita berbelanja. Tidak kira, sama ada kita hendak mencatit setiap perbelanjaan kita di dalam buku 555, ataupun pada zaman serba canggih hari ini, berbagai-bagai aplikasi smartphone yang membolehkan kita merakam setiap perbelanjaan harian kita. Aplikasi android atau iphone percuma, Expense Manager adalah salah satu daripadanya.

Amalkan meminta resit atas setiap transaksi belian yang kita lakukan, walaupun transaksi yang kecil dari bayaran tol, sehingga ke belian yang lebih besar. Setiap malam, kumpul semula semua resit yang dikutip pada hari tersebut, dan rakamkan setiap transaksi wang yang keluar.

Bersambung di: Anda Gagal Wang! (Bahagian 2)

Wang bukan segalanya… (Bahagian 2)

Pelbagai strategi yang kita perlu pelajari mengenai wang seperti cara menjana wang, cara melabur wang, cara menggunakan wang untuk dapatkan wang, cara kongsi dan sedekahkan wang kita dan sebagainya supaya hidup kita lebih bermakna dan kita dapat rasa bahagia dalam jiwa.

Dimanakah anda lihat keadaan kewangan anda pada hujung bulan ini? Atau 6 bulan akan datang? Atau tahun hadapan? Adakah anda berpuas hati dengan keadaan atau anda ingin meletakkan matlamat kewangan yang lebih tinggi?

Bagaimana pula gambaran kewangan anda 3 tahun akan datang? Atau 5 tahun akan datang? Atau 10 tahun akan datang? Adakah anda melihat diri anda seperti keadaan sekarang, atau ingin melihat diri anda mempunyai progres yang berlipat kali ganda dan mengubah keadaan kewangan kearah yang jauh lebih baik?

sleepmoney

Semua ini memerlukan strategi dan strategi bermula dengan matlamat anda hari ini. Ambil pen dan kertas, tuliskan matlamat kewangan anda. Apakah matlamat kewangan jangka pendek anda, dan apakah matlamat jangka panjang anda.

98% dari orang dewasa tidak mempunyai matlamat kewangan. Jangan jadikan anda sebahagian dari statistik ini oleh kerana mereka yang berjaya dalam kewangan adalah mereka yang mempunyai matlamat dan strategi mencapai matlamat tersebut. Jumpa anda minggu hadapan – wang anda, kuasa anda!

Soalan pembaca:
Tanyakan soalan anda di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb

Zul Rahman, Kelantan
Saudara Irfan Khairi, baru-baru ini sempena menyambut Hari Raya, saya telah terlebih bajet dalam perbelanjaan menggunakan kad kredit. Kini, saya tidak tahu cara bagaimana hendak membayar hutang kad kredit dan terkejut apabila baru sahaja dapat penyata kad kredit. Bantu saya!

Jawapan:

Terlebih bajet tu, memang perkara biasa dan sering terjadi di musim perayaan. Tetapi, soalan saya yang pertama adalah, betul kah Zul mempunyai bajet pada mulanya? Ramai antara kita sering menggunakan alas an “terlebih bajet” sedangkan diri sendiri tidak mempunyai bajet atau perancangan belanjawan sebelum musim perayaan. Apa yang patut dilakukan terlebih awal adalah, pastikan mempunyai perancangan yang rapi. Seperti tulisan saya di atas juga, pastikan kita mempunyai matlamat kewangan dari segi perbelanjaan yang boleh kita lakukan.

Kedua, sering kali kita akan terkejut apabila menerima penyata kad kredit. Masa berbelanja menggunakan kad kredit, memang sedap sahaja, kerana tak nampak wang yang bertukar tangan. Hanya satu kali ‘swipe’ kad kredit. Hujung bulan, baru nampak jumlah terkumpul.

Kita juga kena faham psikologi kad kredit yang memudahkan kita berbelanja dengan hanya sekeping kad plastic. Mengapa di kaca TV sering dilihat program barat di Kasino, tidak menggunakan wang tetapi menggunakan cip plastik? Sebabnya adalah untuk melalaikan penjudi berjudi dan tidak perasan kehilangan wang! Itulah penangan kad plastik yang dinamakan kad kredit yang kita miliki.

Oleh itu, bagaimana membayar hutang kad kredit yang berlebih? Perbincangan bayaran balik kad kredit yang lebih terperinci saya akan kupaskan di minggu-minggu yang akan datang, tetapi, di ruang yang terhad ini, adalah hanya dua cara yang anda boleh lakukan. Iaitu kurangkan perbelanjaan anda dan/atau tambahkan pendapatan anda.

Rancang perbelanjaan harian dan mingguan anda supaya anda dapat mengurangkan perbelanjaan. Menjimat sedikit sini dan sana pada kotak rokok, the tarik, roti canai, keluar menonton wayang, dan lain lain boleh menjimatkan anda beratus juga di hujung bulan untuk bayaran balik kad kredit. Jangan hanya bayar baki minima kad kredit, oleh kerana amalan membayar baki minima sahaja setiap bulan tidak akan menghabiskan baki anda… sampai bila-bila!

Anda juga boleh mencari pendapatan tambahan mungkin melalui perniagaan sambilan secara offline ataupun secara Internet (topic panjang lebar saya akan kongsikan mengenai ini). Yang penting, usaha kita sedikit dalam menjimatkan wang dan menjana wang akan mempercepatkan lagi bayaran kad kredit anda. Dalam masa yang sama, jangan pula terus menggunakan kad kredit tersebut. Potong, patah, koyak, atau apa sahaja  kad kredit anda supaya boleh menyelamatkan anda dari alasan “terlebih bajet” sebelum anda melangsaikannya!

PS: Tanyakan soalan anda di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb

Wang bukan segalanya… (Bahagian 1)

Saya pernah dengar seseorang meluahkan “Wang bukan segala-galanya , tetapi segala-galanya memerlukan wang”. Ada betulnya juga kenyataan itu. Sememangnya kita tidak mahu menjadi seorang yang materialistik dan mata duitan, tetapi, tidak dinafikan, wang memainkan peranan yang amat penting dalam hidup seharian kita.

Minggu lepas saya telah kongsikan mengenai persepsi negatif dalam diri kita sendiri terhadap wang mengakibatkan kita sendiri “takut” dengan wang, takut berbincang mengenai wang dan sehingga takut menjana wang yang berlebihan.  Sehingga perkataan “berlebihan” itu sendiri sahaja memberi gambaran yang negatif!

Bagaimana caranya menangani ini? Caranya dengan mengenali wang kita. Bak kata pepatah, tak kenal, maka tak cinta. Bila kita kenal wang, maka kita akan cinta wang. Kita akan lebih mengenali wang apabila kita mempelajari teknik dan juga strategi kewangan untuk diaplikasikan pada diri sendiri.

Kebanyakan teknik dan strategi wang adalah mudah. Setiap minggu saya akan bersama anda di ruang Wang Anda di Malajah M memberi strategi, teknik dan tip kewangan yang praktikal!

Money and plant.

Ramai antara kita, tidak mempunyai strategi dan matlamat kewangan. Sama ada matlamat kewangan kita jangka pendek, seperti apakah sasaran kewangan kita pada tahun ini? Sehingga matlamat yang lebih panjang seperti sasaran kewangan kita 20 tahun akan datang.

Ada juga yang mengatakan, prioriti utama hidup bukanlah pada wang, atau matlamat hidup bukan mengejar wang. Saya amat hargai konsep tersebut, tetapi,  walaupun ia bukan prioriti utama, wang tetap memainkan peranan dalam hidup anda. Oleh itu, mengetahui strategi kewangan pastinya dapat membantu gaya hidup kita.

Jadi, persoalannya adalah apakah matlamat kewangan anda? Apabila kita mempunya matlamat kewangan, ia akan memudahkan kita menghasilkan strategi untuk mencapai matlamat tersebut. Bayangkan perlawanan bola sepak tanpa tiang gol. Pastinya tidak ke mana perlawanan tersebut kerana tiada sasaran. Jurulatih juga tidak tahu cara menyusun strategi untuk menang bila tiada tiang gol.

Bersambung di: Wang bukan segalanya… (Bahagian 2)

Bagaimana hendak jadi KAYA? (Bahagian 2)

Bersambung dari: Bagaimana hendak jadi KAYA? (Bahagian 1)

Apa yang terjadi adalah, tanpa disedari berbagai-bagai tanggapan negatif mengenai kekayaan telah masuk ke minda kita yang menjadi penghalang kekayaan. Sejak kita kecil hingga hari ni, berbagai-bagai kisah negatif wang melanda minda kita. Bukan hendak kata tiada yang positif mengenai wang masuk ke minda kita, tetapi sering kali sesuatu yang negatif itu lebih memberi impak kepada pemikiran kita.

Keadaan ini akan membuatkan kita takut pada wang, tak mahu bercakap tentang wang, dan sehingga tidak mahu ambil tahu perihal pengurusan kewangan. Buktinya, tidak ramai yang membincangkan perihal kewangan dan matlamat kewangan bersama keluarga. Ada juga keluarga yang menganggap topik ‘wang’ sebagai seuatu yang pantang disebut!

Cute-Chimpanzees

Walaupun jauh disudut minda, perasaan ini akan menghalangkan kita mencapai matlamat kewangan kita. Apa yang terjadi adalah, kita sendiri telah mengsabotaj diri kita sebelum berusaha. Sebelum melakukan sesuatu untuk menambah baik kewangan, suara dalam diri sudah berbunyi “Eh… tak baik cakap pasal wang”, “Eh… buat apa buat duit banyak-banyak, bukan boleh bawak kubur”, “Eh… nanti buat duit banyak, apa pulak orang kata”. Maka, langkah pertama pula tidak di ambil tanpa disedari.

Tetapi, ada juga yang berjaya dalam kewangan, mendapat pendapatan yang baik, tetapi entah kenapa, hujung bulan tidak kira berapa pendapatan yang dapat, baki di bank hanya cukup-cukup makan sahaja. Atau sampai satu tahap, ia tidak naik-naik. Anda pernah merasakan keadaan ini?

Ini juga adalah akibat kita sabotaj diri sendiri. Kita telah mengaitkan mempunyai lebih wang sebagai sesuatu yang negatif. Sesuatu yang tidak patut kita punyai. Dan sesuatu yang tidak boleh usahakan lebih. Dan semua ini berlaku tanpa kita sedari – kita tidak mahu kaya!

Mulai minggu ini saya akan berikan anda strategi, teknik dan tip kewangan untuk menguasai kewangan anda. Sebelum itu, fikirkan apa yang telah saya kongsikan ini. Adakah anda sendiri telah sabotaj diri anda mengenai kewangan selama ini tanpa anda sedari? Adakah anda mengaitkan elemen negatif kepada wang? Adakah anda dapati sukar untuk meingkatkan keadaan kewangan anda dan tidak tahu mengapa?

Puncanya mungkin pada sindrom ‘tidak mahu kaya’ yang terbenam dalam minda separuh sedar anda yang selama ini menghalang anda mencapai kekayaan yang anda impikan. Ada lagi beberapa sebab mengapa anda tidak boleh kaya dan saya akan kongsikan dalam minggu-minggu akan datang. Buat masa ini, ketahui bahawa keadaan ini berlaku dalam minda anda dan kesedarannya akan membantu anda mengenal pasti tanda-tanda awal penyakit kewangan. Kesedaran adalah kuasa untuk anda mengubahkannya!

Ikuti ruang saya, Irfan Khairi setiap minggu di Majalah M dan dapatkan strategi, teknik  serta tip kewangan dan kekayaan. Jangan lupa, ajukan soalan-soalan kewangan anda di Facebook saya, www.facebook.com/irfankhairi.fb – soalan terpilih akan dipaparkan di ruangan WANG ANDA minggu hadapan. Sehingga kita berjumpa lagi – wang anda, kuasa anda!

Bagaimana hendak jadi KAYA? (Bahagian 1)

Bagaimana hendak jadi kaya? Soalan yang sering sangat saya dengar. Pastinya anda yang membaca tajuk besar di atas juga mempunyai soalan yang sama bukan?

Apabila diberi mandat untuk menulis setiap minggu di Majalah M, amat saya seronok oleh kerana dapat sebarkan lagi mesej kekayaan, dan juga teknik kewangan kepada pembaca-pembaca setia Majalah M. Oleh itu, jangan lepaskan untuk mendapatkan Majalah M pada setiap minggu!

Masalah kewangan boleh diibaratkan seperti masalah kesihatan. Ianya lebih baik diketahui dari awal sebarang penyakit  dan halang sebelum atau tanda-tanda penyakiy itu  dapat dilihat.

Di minggu-minggu akan datang saya akan berkongsikan tentang strategi,  teknik dan tip-tip kewangan yang boleh membantu keadaan kewangan anda, tidak kira di tahap mana pun anda berada.

ifuwanttoberich

Namun, selain daripada berkongsi melalui pengalaman dan kepakaran saya, saya juga inginkan ruang ini menjadi lebih interaktif, di mana, saya dapat menjawab soalan perihal kewangan andapada  setiap minggu.  Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan, ajukan soalan-soalan anda melalui ruang Facebook saya di www.facebook.com/irfankhairi.fb

Berbalik kepada soalan asal. Bagaimana hendak menjadi kaya?

Percaya atau tidak sekiranya saya kata, kebanyakan kita yang tidak kaya adalah berpunca dari sebab sindrom ‘tak mahu  kaya’? Ok, apa maksud saya?

Maksud saya adalah, jauh di sudut minda kita, mempunyai apa yang dikatakan sebagai “penghalang kekayaan” dan penghalang ini biasanya di bawah kesedaran kita. Kita tidak sedar, tetapi, ianya tetap ada.

Saya teringat ketika saya kecil satu masa dulu, makcik di kampung sering sebut, “Duit banyok pun tak boleh bawok kubo”  (sah orang Perak!) di alih lorat Perak menjadi “Duit banyak pun tak boleh di bawa ke kubur”.  Ketika membesar, sering menoton TV cerita-cerita superhero seperti Superman dan Spiderman, di mana watak jahat pastinya orang yang kaya raya, tamak, sombong dan bongkak. Di bangku sekolah rendah dan sekolah menengah pula, kawan-kawan (dan saya juga- pengakuan!) sering mengejek ‘anak orang-orang kaya’.  “Eleh, tengok anak orang kaya tu… macam bagus!” . Tak membantu juga, apabila dewasa membaca akhbar, sering kisah jenayah kolar putih terpapar meibatkan wang berjuta dicuri akibat ketamakan wang.

Bersambung di: Bagaimana hendak jadi KAYA? (Bahagian 2)