Category Archives: Majalah Metro: Wang Anda

Aduhai Kad Kredit! (Bahagian 2)

Bersambung dari: Aduhai Kad Kredit! (Bahagian 1)

Untuk setiap kad kredit di hadapan anda, ketahui baki minima yang perlu dibayar untuk setiap kad kredit tersebut. Setiap bulan, pastikan anda membayar kesemua baki mimima yang sama ini setiap bulan untuk semua kad supaya anda tidak dikenakan caj yang lebih tinggi dan tidak sepatutnya.

Langkah seterusnya adalah untuk anda menetapkan kad mana yang anda ingin serang dan jelaskan terlebih dahulu. Mungkin, kad yang mempunyai baki paling tinggi, ataupun yang paling rendah. Apa yang anda perlu lakukan adalah, bayar lebih daripada baki minima semampu anda untuk kad tersebut.

Lakukan ini setiap bulan sehingga langsai baki pada satu kad itu. Apa yang anda akan dapat pada hujung bulan kemudian adalah anda akan miliki wang lebih dari baki minima dan juga bayaran tambahan yang anda telah lakukan berbulan-bulan untuk melangsaikan kad pertama.

Seterusnya, gunakan jumlah wang lebih ini untuk membayar balik kad yang kedua. Jangan lupa, pastikan bayaran minima kad kedua diteruskan juga. Bererti, wang lebih anda dibayar  tambahan kepada jumlah minima yang telah pun anda bayar selama ini.

Teknik ini akan mengajar anda lebih berdisiplin dan sistematik dalam melakukan bayaran bulanan dan anda akan dapati lebih pantas anda menjelaskan baki kad kredit anda dan keluar dari masalah… aduhai kad kredit!

paycc

Soalan pembaca:
Berinteraksi mengenai  kewangan, perniagaan & motivasi di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb Tanyakan soalan anda di sana!

Abiyah Hussin, Temerloh:
Salam Irfan Khairi, saya kini mempunyai hutang kad kredit yang hampir mencecah RM10,000. Dengan perbelanjaan harian yang tinggi, saya dapati amat sukar menurunkan baki kad kredit saya. Apakah cara terbaik menangani ini?

Sering terjadi keadaan kita hanya membayar jumlah minima yang tertera di penyata kad kredit setiap bulan. Dengan harapan, makin lama, makin kurang baki kad kredit kita. Ketahui bahawa jumlah minima kad kredit dikira menggunakan peratusan. Oleh itu, sekiranya anda hanya membayar jumlah minima setiap bulan, pastinya baki kad kredit anda tidak akan habis – sampai bila-bila.

Namun, baki minima kad kredit anda boleh menjadi satu petanda atau sasaran untuk amaun yang patut anda jelaskan setiap bulan. Gandakan tiga bayaran minima yang tertera di penyata kad kredit anda. Ini bermakna, sekiranya bayaran minima adalah RM100, cuba sasarkan bayaran pada bulan itu RM300. Dengan cara bayaran begini, anda akan dapati baki kad kredit anda akan berkurang dengan lebih cepat.

Ashraf Yunus, Kuala Terengganu:
Apakah nasihat Irfan Khairi kepada saya kerana saya sukar  mengawal belian menggunakan kad kredi?. Saya ingin mengurangkan perbelanjaan kad kredit saya.

Bayangkan seseorang yang ingin menurunkan berat badan sedang berjoging tetapi mengunyah bar coklat yang penuh dengan lemak dan kalori. Pastinya tidak membantu. Keadaannya adalah sama, di mana sekiranya anda ingin mengurangkan penggunaan kad kredit anda, jangan bawa kad kredit bersama anda.

Sekiranya anda mempunyai beberapa kad kredit, dan sedar anda sukar mengawal penggunaannya, potong dua kad kredit anda dan jangan dibawa bersama. Mungkin sukar pada permulaannya, tetapi lama kelamaan, anda akan membiasakan diri keluar tanpa kad kredit dan membiasakan diri tidak berhutang lagi.

Aduhai Kad Kredit! (Bahagian 1)

Baru-baru ini, dilaporkan dalam akhbar betapa ramainya belia-belia yang jatuh muflis akibat penggunaan kad kredit yang tidak bertanggungjawab. Ada yang kata, kad kredit ni bagus. Ada juga kata kad kredit tak bagus – aduhai kad kredit!

Bagi saya, kad kredit ada baik dan tidak baiknya. Yang baiknya, terutamanya dalam keadaan kecemasan seperti sekiranya kereta rosak tepi jalan dan tidak banyak wang tunai dalam dompet. Sering juga saya menggunakan kad kredit untuk keselamatan, seperti ingin memebeli sesuatu  yang mahal, tetapi tidak mahu membawa sejumlah wang tunai yang besar. Ada juga perlunya kad kredit dalam berhutang pada sesuatu yang baik dan memberi pulangan seperti mendapatkan ilmu untuk menambahkan pendapatan.

Yang tidak baik pula adalah apabila menggunakan kad kredit untuk membeli barangan, pakaian, bercuti atau apa sahaja yang tidak perlu dan diluar kemampuan kita.

Berbelanja menggunakan kad kredit adalah amat mudah. Dari segi psikologi, apabila kita hanya menggunakan kad plastik sahaja, kita tidak nampak nilai yang dibelanjakan. Hanya dengan sekali sapu sahaja, kita akan memiliki barang yang diidamkan- tanpa mempunyai wang yang cukup.

cutcc

Pernah tak anda terfikir mengapa di kaca TV apabila dipaparkan Kasino di filem barat, mereka menggunakan cip-cip plastic ketika berjudi dan bukan wang tunai? Sebabnya adalah sama- cip plastic melalaikan pengguna untuk terus berjudi oleh kerana tidak nampak nilai wang  yang bertukar tangan. Sama juga dengan kad plastic yang dikenali sebagai kad kredit – ia melalaikan anda dalam perbelanjaan!

Tidak membantu juga gaya hidup sempurna yang dipaparkan di kaca TV  melalui filem, siri TV atau pengiklanan membuatkan kita tertarik untuk mencapai gaya hidup seperti  dipaparkan pelakon dan selebriti walaupun dengan cara berhutang keliling pinggang.  Bak kata “Biar papa asal bergaya!”

Sekiranya anda dapati diri anda terjerat dalam masalah hutang kad-kad kredit, berikut adalah satu strategi yang akan membantu anda melakukan bayaran dengan lebih teratur dan pantas.

Letakkan kesemua kad kredit anda di hadapan anda di meja. Dan ketahui baki hutang setiap kad kredit anda. Langkah ini mungkin agak berat bagi anda yang mempunyai hutang keliling pinggang, tetapi, ianya amat penting supaya anda berhadapan dengan masalah ini bersemuka dan tidak mengelakkannya yang hanya akan menyukarkan keadaan kewangan anda.

Ketahui bahawa, mungkin anda telah mengambil masa bertahun-tahun memerangkap diri anda dalam hutang kad kredit, ia juga mungkin mengambil masa bertahun untuk keluar dari perangkap tersebut.

Bersambung di: Aduhai Kad Kredit! (Bahagian 2)

Wang & Keluarga (Bahagian 2)

Bersambung di: Wang & Keluarga (Bahagian 1)

Apabila anak semakin membesar dan faham tentang wang, libatkan mereka dalam perbincangan kewangan. Sememangnya tidak perlu memberitahu jumlah atau nilai kewangan secara tepat, tetapi, galakkan mereka berfikir dalam bentuk yang lain. Sebagai contoh, cuti sekolah akan tiba tidak lama lagi, berbincang dengan keluarga perancangan aktiviti yang ingin dilakukan.

Mungkin ingin pergi melancong jauh, sekiranya dalam bajet anda, maka bincang cara bagaimana hendak meminimakan kos melancong. Ataupun ingin pergi di tempat yang lebih dekat dan dapat membelanjakan lebih sedikit wang pada perkara-perkara lain. Beri pilihan supaya anak dapat melihat pilihan hidup yang perlu dilakukan dalam soal kewangan.

Ada juga kes saya sering dengar dimana isteri amat peka tentang simpanan dan menjana pendapatan untuk keluarga, tetapi, si suami pula sering menggunakan wang untuk gajet-gajet serta keretanya. Tidak kurang juga keadaan di mana suami amat ambil berat kewangan keluarga tetapi isteri pula sering membelanjakan pada pakaian dan aksesori. Masalah kewangan adalah isu yang amat menekankan, sehingga menjadi antara sebab perceraian.

familymoney

Oleh itu, matlamat kewangan antara suami dan isteri perlu sejajar. Satu cara untuk melakukan ini adalah untuk berikan masa setiap mingu untuk memantau kewangan keluarga. Pernah saya menyebut, masalah kewangan adalah seperti masalah kesihatan. Perlu di kesan pada tahap awal supaya tidak merebak dengan lebih teruk dalam keluarga.

Dengan meletakkan masa setiap minggu berbincang tentang kewangan, ini memastikan matlamat kewangan adalah sejajar setiap masa. Bincang dan tetapkan bajet mingguan dan bulanan.

Soalan pembaca:
Berinteraksi mengenai  kewangan, perniagaan & motivasi di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb Tanyakan soalan anda di sana!

Syed Izwan, Petaling Jaya:
Irfan, saya telah mula mengupah anak saya dengan kerja-kerja rumah, dan apa yang terjadi kini adalah anak saya mula berunding meminta upah yang lebih 😉 Apa perlu saya lakukan?

Tahniah! Anda telah berjaya mendidik anak anda tentang kewangan. Apa yang terjadi adalah anak anda menghargai wang dan usahanya. Tambahan, anak anda menyuarakan kenaikan upah juga perlu dilihat sebagai sesuatu yang positif oleh kerana mempunyai kemahuan dan juga keberanian berunding- satu skil yang amat baik dipupuk ketika muda.

Apa yang anda boleh lakukan adalah, galakkan perbincangan dan perundingan. Capai sesuatu yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Mungkin untuk menaikkan upah, perlu membuat kerja tambahan. Apa pun, keadaan ini adalah proses perbincangan kewangan yang diperlukan.

Soalan pembaca:
Berinteraksi mengenai  kewangan, perniagaan & motivasi di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb Tanyakan soalan anda di sana!

Farouk bin Hassan, Langkawi:
Apakah pendapat Irfan Khairi memberi kad kredit suplimen kepada ahli keluarga termasuk isteri dan juga anak-anak?

Memegang kad kredit memerlukan tanggungjawab yang besar. Baru-baru ini juga diumumkan begotu ramai pemegang kad kredit muflis akibat tidak bertanggungjawab dalam penggunaan. Anggap kad kredit sebagai satu kemudahan tidak membawa wang tunai, dan bukan untuk berhutang. Daripada kad kredit, apa kata galakkan penggunaan kad debit dikalangan keluarga

Dengan cara ini, anda dan juga ahli keluarga yang lain mendapat manfaat tidak membawa tunai yang banyak serata tempat, di samping dapat mengajar tanggunjawab untuk sentiasa hadkan perbelanjaan pada wang yang sedia ada dalam akaun kad debit. Keadaan menang dan menang!

Wang & Keluarga (Bahagian 1)

Baru-baru ini di kaca TV, saya ditanya soalan, “Bilakah masa yang terbaik untuk mula mendidik anak mengenai kewangan?”. Jawapan saya adalah “Seawal yang mungkin”

Dalam soal kewangan, keluarga memainkan peranan penting. Tidak cukup, seorang isi rumah sahaja yang peka dengan kewangan, tetapi sekiranya suami, isteri atau anak-anak tidak mengambil berat soal menjaga kewangan keluarga, pastinya gagal juga mencapai matlamat kewangan anda.

Dalam hal ini, komunikasi bersama keluarga soal kewangan diperlukan. Sudah berlalu zaman “tak baik cakap pasal duit” dalam isi rumah. Suami dan isteri perlu tahu apa matlamat kewangan masing-masing, dan anak-anak juga patut ambil tahu kepentingan kewangan dalam keluarga.

kidsmoney

Ketika anak masih kecil, biasakan sikecil menabung. Tidak semestinya mereka tahu jumlah wang, tetapi memadai apabila anda pulang dari rumah, dan mempunyai beberapa duit syiling dalam poket, berikan kepada anak kecil anda untuk masukkannya ke dalam tabung. Setiap hari, ibu atau ayah pulang dari rumah, anak memasukkan duit syiling ke dalam tabung.

Apa akan terjadi adalah, ia akan membiasakan anak anda menyimpan wang apabila diberi peluang. Memasukkan syiling ke dalam tabung akan menjadi tabiatnya sejak kecil lagi.

Apabila anak semakin besar, beri peluang kepada anak untuk mula “buat duit” dari rumah. Mungkin tidak dengan cara aktiviti rutin harian seperti membasuh pinggan mangkuk selepas makan malam atau keluar buang sampah dan memebersihkan rumah- kerana aktiviti ini sepatutnya menjadi aktiviti keluarga. Tetapi, dengan memeberi upah pada kerja-kerja yang mungkin dilakukan seminggu sekali seperti mencuci kereta, mengemaskan laman dan lain-lain.

Baru-baru ini, ada sepasang ibubapa memberitahu saya, anak mereka selalu boros dan meminta wang untuk membeli itu dan ini. Sehingga mereka membuat satu system di mana, anaknya itu perlu membuat kerja di rumah dan memperolehi pendapatan sendiri untuk membeli barangannya.­

Apa yang terjadi adalah, apabila diberi upah dan wang yang dikumpulkan cukup untuk membeli barang yang diinginkan, anaknya itu tidak jadi membelinya. Dengan alasan, dirinya rasakan sayang membelanjakan wang yang dikumpulkan dari usaha sendiri! Misi selesai!

Bersambung di: Wang & Keluarga (Bahagian 2)

Wang untuk kecemasan (Bahagian 2)

Bersambung dari: Wang untuk kecemasan (Bahagian 1)

Mula menyimpan untuk tabung simpanan kecemasan bukanlah perkara yang mudah terutamanya bagi mereka yang belum memulakan.Ia memerlukan perubahan mindset dan tabiat berbelanja. Namun satu cara untuk membantu dalam mengetepikan sejumlah wang pendapatan anda untuk disimpan ke dalam tabung kecemasan adalah dengan cara automasi.

Setiap bulan, lakukan arahan automatic pada bank anda untuk memindahkan sejumlah wang sekurang-kurangnya 10% pendapatan anda ke akaun yang berasingan. Dengan melakukan arahan automatic setiap bulan ini, kita tidak akan terlupa menyimpan serta akan mengubah tabiat belanja kita dengan hanya membelanjakan baki 90% daripada pendapatan. Simpanan dalam akaun kecemasan kita jangan disentuh pula sehingga terdapatnya kecemasan! Harapannya, waktu itu tidak akan tiba.

Amat penting melindungi diri kita sendiri terlebih dahulu dari segi kewangan, oleh kerana jika bukan kita, siapa lagi yang akan melindungi kita sekiranya terdapat kecemasan?

Soalan pembaca:
Berinteraksi mengenai  kewangan, perniagaan & motivasi di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb Tanyakan soalan anda di sana!

Azreen Arshad, Segamat
Saya tidak akan terlepas kolum Irfan Khairi setiap minggu di Majalah Metro untuk membaiki kewangan saya. Soalan saya, yang mana perlu saya dahulukan- menyimpan untuk kecemasan, atau membayar baki kad kredit saya yang kini agak tinggi ?

Pastinya membayar baki kad kredit anda perlu didahulukan. Ini kerana, interest yang dikenakan oleh kad kredit adalah agak tinggi berbanding dengan interest yang mungkin anda terima dari simpanan anda. Apa gunanya menyimpan sekiranya bayaran interest yang anda perlu bayar pada kad kredit adalah 18% sedangkan interest yang anda terima dari simpanan anda adalah 4%?

cc

Anda sebenarnya dalam kerugian selagi baki kad kredit tidak dijelaskan. Walaupun anda akan rasa lega apabila melihat baki simpanan anda yang meningkat, tetapi perlu diingat bahawa itu tidak dikira sebagai wang kecemasan oleh kerana anda tetap berhutang pada kad kredit yang perlu dilangsaikan dengan cepat sebelum interest menambahkannya. Utamakan bayaran kad kredit terlebih dahulu sebelum menyimpan untuk kecemasan.

Mohd Salleh, Puchong
Saya ingin berhenti kerja dan memulakan perniagaan. Apakah nasihat bro Irfan Khairi ?

Nasihat pertama, sebelum berhenti kerja dan memulakan perniagaan, pastikan anda mempunyai sekurang-kurangnya wang simpanan untuk menanggung anda dan keluarga selama 6 bulan. Kedua, lakukan penyelidikan atas perniagaan dan pasaran anda. Hadis mengatakan 9/10 rezeki datangnya dalam perniagaan, tetapi, hakikatnya, 9/10 perniagaan gagal. Bukan hendak menakutkan anda, tetapi, sekadar ingin anda bersiap sedia dari segi semangat, ilmu dan motivasi untuk memulakan perniagaan.

Dalami ilmu perniagaan anda dengan banyak membaca, bertanya dan menghadiri kursus-kursus yang berkaitan dengan perniagaan anda. Lebih banyak ilmu yang anda miliki, maka lebih mudah untuk anda mencapai rezeki 9/10 dalam perniagaan itu!

Wang untuk kecemasan (Bahagian 1)

Minggu lepas ketika saya memberi ceramah kekayaan di sebuat intitusi pengajian tinggi dan satu soalan yang diajukan oleh pelajar kepada saya adalah “En Irfan Khairi, apakah yang dilakukan dengan sejuta ringgit pertama yang diperolehi?”

Teringat saya lebih 10 tahun lalu bila pendapatan perniagaan Internet saya mencecah RM1,000,000. Untuk memperolehi untung sebegitu bukannya mudah, dan mengambil masa lebih 2 tahun juga. Oleh kerana mengenangkan masa dan tenaga yang telah dilaburkan untuk mencapai keuntungan sebegitu adalah tinggi, amat sukar untuk saya belanjakan secara boros.

Walaubagaimanapun, jawapan kepada soalan yang diajukan oleh pelajar tersebut dapat menjelaskan prinsip kewangan yang amat penting. Jawapan saya, “Saya membeli sebuah kereta tempatan kecil dan sebuah apartment kecil secara tunai”

Mengapa yang kecil sahaja dan tidak yang besar? Itulah silapnya ramai usahawan kita. Bila mendapat durian runtuh, terus membeli kereta mewah dan rumah yang indah. Pastinya, membeli secara berhutang dengan bayaran ansuran bank bulanan yang tinggi. Yang penting, standard mesti kena jaga supaya orang lihat kita nampak gah!

Tetapi, berkali-kali saya terdengar kisah usahawan yang hutang keliling pinggang oleh kerana ingin tampil hebat cuma, apabila perniagaan gagal, kereta kena tarik, rumah kena lelong.

 

kecemasan

Amat penting untuk kita melindungi diri kita terlebih dahulu. Mengapa saya membeli kereta kecil dan apartment kecil? Oleh kerana ingin melindungi diri dan keluarga sekiranya rezeki tidak berpihak pada diri saya, dan perniagaan gagal, sekurang-kurangnya sudah ada kereta dan rumah- walaupun kecil!

Prinsip kewangan yang disebutkan adalah untuk melindungi diri kita daripada apa jua kecemasan yang mungkin berlaku. Dalam hidup, malang tidak berbau. Berbagai-bagai perkara boleh terjadi yang akan mengakibatkan masalah kewangan. Tugas kita yang pertama sekali adalah melindungi diri kita.

Pastikan kita mempunyai simpanan kecemasan yang boleh digunakan sekiranya sesuatu terjadi. Berapa banyakkah simpanan kecemasan yang diperlukan? Jawapannya adalah, hitung perbelanjaan bulanan anda, dan gandakan dengan 6. Angka tersebut adalah simpanan kecemasan minima yang perlu anda miliki. Sekiranya perbelanjaan bulanan anda adalah RM1,300, maka simpanan kecemasan anda perlu ada adalah sekurang-kurangnya RM7,800.

Berapakah jumlah simpanan kecemasan anda kini? Sekiranya tidak mencapai 6 bulan perbelanjaan anda, anda adalah dalam keadaan yang amat merbahaya!

Bersambung di: Wang untuk kecemasan (Bahagian 2)

Makan Hati Makan Gaji (Bahagian 2)

Bersambung dari: Makan Hati Makan Gaji (Bahagian 2)

Hari ini, pelbagai kursus dan program yang diiktiraf kerajaan melalui kolej dan juga universiti yang boleh diambil secara sepenuh masa dan juga separuh masa. Diri saya sebagai pesyarah program di Open University Malaysia (OUM) kini amat teruja melihat ramai antara mereka yang bekerja dan juga berniaga mengambil program-program separuh masa ini untuk menambahkan skil dan pendidikan untuk menambahkan pendapatan. Itulah ertinya melabur pada diri.

Pasaran kerja adalah adil. Lebih ilmu, pengetahuan dan pendidikan yang kita miliki, maka lebih tinggi pendapatan yang boleh kita dapatkan!

Soalan pembaca:
Berinteraksi mengenai  kewangan, perniagaan & motivasi di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb Tanyakan soalan anda di sana!

Saiful Hasri, Rawang
Saya bekerja makan gaji sudah 2 tahun. Bagaimana caranya untuk meminta gaji lebih tinggi dari majikan saya. Saya takut keputusan yang saya terima adalah saya tak akan dapat kenaikan tersebut?

Meminta gaji lebih dari majikan pastinya suatu yang menekankan. Selalunya juga akan rasa takut dan ragu ragu untuk meminta. Sebenarnya, mengapa perlu rasa takut dan ragu-ragu sekiranya anda rasakan diri anda layak untuk kenaikan gaji yang diminta? Seakan-akan anda sendiri tidak meyakini diri anda. Sekiranya anda tidak yakin nilai diri anda, bagaimana pula majikan akan meyakini anda?

raise

Langkah pertama anda dalah untuk menunjukkan hasil kerja yang terbaik dan tiada tolok bandingnya, Sehingga, majikan dan syarikat tempat yang anda kerja bergantung kepada skil dan kepakaran anda. Langkah kedua, adalah untuk menimbulkan kenaikan isu gaji secara baik- biarkan hasil kerja anda melakukan perundingan.

Anda perlu ingat, tujuan meminta kenaikan gaji adalah kerana hasil kerja anda mencerminkan kenaikan gaji tersebut, dan bukannya kerana anda ingin membayar kereta baru, membayar tanggungan keluarga yang makin besar atau sebab-sebab peribadi yang lain. Sebab-sebab ini tidak seharusnya menjadi basis dalam merunding kenaikan gaji ketika bersemuka dengan majikan.

Langkah ketiga, sekiranya anda berjaya, tahniah! Tetapi, sekiranya setelah memberi sebab dan menunjukkan bukti prestasi dan capaian anda memerlukan kenaikan gaji dan di tolak, jangan risau dan terus kan kerja anda sebagai pekerja contoh. Sambil itu, mulakan usaha anda mencari tempat kerja lain. Mungkin mengambil sedikit masa, tetapi, rezeki pastinya ada ditempat lain. Mana tahu, dan sering juga berlaku, apabila tiba masanya untuk anda ingin meninggalkan tempat kerja, majikan anda yang akan menawarkan anda kenaikan gaji- dan tika ini, anda yang perlu membuat keputusan 😉

Mohd Ashraf, Pasir Mas:
Sudah hampir setahun saya menganggur tanpa pendapatan, dan malu pada keluarga kerana  isteri yang bekerja dan menanggung kami. Apa yang saya boleh buat sedangkan saya berusaha mencari kerja tetapi tidak dapat?

Sekiranya anda tidak dapat kerja, besar kemungkinan ianya adalah salah anda. Sememangnya kini berpuluh ribu yang menganggur tanpa kerja. Sebab utamanya adalah, tidak mempunyai skil yang diingini oleh syarikat yang menawarkan kerja. Sering kali, yang disalahkan adalah syarikat atau majikan kerana “memilih” sangat. Sebaiknya, lihat pada diri sendiri, dan tanyakan apakah kekurangan pada diri sendiri kerana tidak mendapat tempat kerja?

Sekiranya sukar anda mencari kerja, dapatkan set skil baru yang boleh membantu anda mendapatkan kerja. Gunakan perasaan malu anda pada keluarga sebagai satu picu untuk diri anda keluar dari zon selesa anda dan mendalami ilmu-ilmu baru yang mempunyai permintaan di pasaran. Rasa malu, dan sedih tidak akan membawa anda kemana pun. Cari kelemahan anda dan perbaiki diri sendiri dengan melabur pada diri anda!

Makan Hati Makan Gaji (Bahagian 1)

Baru-baru ini saya terjumpa seorang rakan lama saya yang dalam lingkungan umur awal 30-an. “Irfan, aku tak puas hati la kerja kat tempat aku tu. Gaji bayar ciput je, kerja pun bukan dalam bidang aku… macam mana nak jadi kaya makan gaji?”

Bukan kali pertama saya mendengar keluhan sebegitu. Zaman ini, untuk mendapat kerja yang bagus, pada gaji yang bagus, disamping manfaat yang bagus, bukanlah perkara yang mudah. Pastinya kita akan bekerja apa yang boleh untuk menyara hidup kita dan juga keluarga bagi mereka yang sudah berumah tangga. Adakalanya terpaksa juga melakukan kerja di luar bidang kita, dan tak kurang juga terpaksa melakukan kerja yang bukan diminati.

Nasihat saya, sekiranya apa yang disebutkan adalah seperti yang anda lalui, tiba masanya untuk anda betul-betul renungkan bagaimana keadaan anda 3, 5, 10 atau 20 tahun yang akan datang sekiranya anda di tempat yang sama hari ini. Tahun demi tahun berlalu, dan makin lama, makin sukar untuk berubah.

working

Adakah ini masanya untuk berubah kerier? Jawapan mudahnya adalah YA. Terutamanya sekiranya masih mempunyai 30 atau 20 atau lagi tahun bekerja, dan keadaan kini tidak memuaskan hati anda, ianya adalah masa untuk betul-betul cerminkan diri dan kerier anda kini oleh kerana anda masih mempunyai masa di pihak anda untuk lebih fleksibel dengan apa yang hendak dilakukan.

Saya faham, ianya lebih mudah disebut daripada di lakukan. Tetapi, persoalannya adalah apa akan terjadi pada masa akan datang, sekiranya anda TIDAK melakukan sebarang perubahan.

Mengubah kerier adalah sukar, sering kali memerlukan keberanian dan kecekalan yang amat tinggi untuk mengorakkan langkah tersebut.

Sering kali, saya mendapat email bertanyakan dimanakah tempat terbaik untuk melaburkan wang RM3,000… atau RM5,000 kerana itu sahaja simpanan yang ada sejak bertahun-tahun kerja. Mungkin rezeki belum pada pihaknya untuk mendapat pendapatan lebih tinggi. Sering kali juga, nasihat saya, sekiranya simpanan adalah rendah walaupun bertahun-tahun menyimpan, tempat terbaik melabur adalah pada diri sendiri.

Tambahkan ilmu, skil dan mungkin juga tahap pendidikan untuk anda membolehkan diri anda mendapat gaji yang lebih baik dan juga yang lebih penting, kerier yang anda minati dan seronok menghadapinya setiap pagi dari 9 hingga 6 petang!

Bersambung di: Makan Hati Makan Gaji (Bahagian 2)

Melengahkan masa untuk kaya (Bahagian 2)

Bersambung dari: Melengahkan masa untuk kaya (Bahagian 1)

Konsisten dalam perihal kewangan kita adalah kunci kepada kekayaan pada masa hadapan. Ramai yang gagal, adalah kerana tidak konsisten. Namun, konsisten dalam simpanan, pelaburan, menjana pendapatan memerlukan disiplin.

disiplin

Dua strategi mudah pulangan kompaun, dan juga pemurataan kos ringgit sahaja dapat membantu diri kita menjadi bebas kewangan pada satu hari nanti. Dan keduanya memerlukan kita tidak melengah-lengahkan lagi masa untuk menjadi kaya. Lakukan sekarang sebelum sehari menjadi seminggu, seminggu menjadi sebulan, sebulan menjadi setahun dan sedar tak sedar, bertahun-tahun terlepas tanpa kita mula langkah menjaga kewangan kita! – Wang anda, kuasa anda! ~Irfan Khairi

Soalan pembaca:
Berinteraksi mengenai  kewangan, perniagaan & motivasi di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb Tanyakan soalan anda di sana!

Asylana, Seri Kembangan:
Saya kini telah bekerja dan baru mendirikan rumah tangga. Nasihat Irfan Khairi untuk menyimpan dan melabur wang selama 20 tahun tanpa menyentuhnya, agak sukar dilakukan, tambahan, hendak membayar bil dan perbelanjaan harian pun cukup-cukup duit sahaja.

Saya faham keadaan ramai antara kita hari ini, wang yang ada hanya cukup-cukup makan. Sampai hujung bulan, kebanyakan dariapda wang kita sudah habis dibelanjakan. Tetapi cuba anda fikirkan. Sekiranya anda tidak mula menyimpan dan melabur sekarang, bagaimana keadaan anda apabila anda pencen kelak? Atau terdapat sebarang kemalangan yang membuatkan anda tidak dapat bekerja? Bagaimana pula dengan keluarga anda dan anak-anak anda?

Naishat jujur saya adalah, anda perlu melakukan apa sahaja supaya keadaan kewangan anda dan keluarga terjaga sebelum terlewat. Cari jalan untuk menambahkan pendapatan anda, mungkin melalui permintaan kenaikan gaji sekiranya anda rasakan diri anda layak, atau memulakan karier ditempat lain yang boleh memberi lebih banyak ruangan untuk anda menyimpan. Anda juga boleh memulakan perniagaan sambilan untuk menjana pendapatan, di samping itu, cari peluang berjimat dan kurangkan perbelanjaan – sama ada mengurangkan belanja rokok, the tarik, hiburan dan apa sahaja.

Sekiranya anda tidak melakukan sesuatu sekarang, anda akan dalam keadaan yang lebih teruk satu hari nanti!

Qistina Aziz, Kuantan:
Saya telah melabur sejumlah wang 4 tahun yang lalu di dalam sejenis skim pelaburan. Hari ini, pelaburan tersebut kerugian lebih 30%. Saya kurang yakin dan saya tidak mahu menjualnya sehingga pelaburan tersebut naik kembali dan saya mendapat balik modal asal saya. Apakah nasihat Irfan?

Sekiranya hari ini, pelaburan tersebut diumumkan, dengan rekod kejatuhan 30% sejak 4 tahun lalu, dan anda belum lagi melabur, adakah anda akan keluarkan wang anda untuk melabur pada syarikat tersebut?

Saya pasti jawpannya adalah tidak bukan? Anda tidak akan melabur pada syarikat tersebut. Tetapi, mengapa pula, apabila pelaburan itu jatuh, anda ingin terus menunggu dan membiarkan wang anda di situ?

Keputusan yang anda lakukan adalah berasakan emosi di mana anda rasa “sayang” atau “takut rugi” bila tidak mendapat pulangan wang anda. Nasihat saya, jangan asaskan keputusan anda pada emosi. Lakukan penyelidikan atas syarikat dan pelaburan tersebut. Sebenarnya, dalam pelaburan yang berisiko, anda perlu sering melihat prestasinya sekurang-kurangnya dua kali setahun. Bukan maksud saya setiap kali anda melabur, dan mengalami kerugian, anda perlu keluarkan wang anda dan beredar. Maksud saya adalah tidak meletakkan keputusan pelaburan anda pada emosi, tetapi lebih kepada fakta dan penyelidikan. Adakalanya, pelaburan yang kita lakukan adalah pelaburan yang tidak baik. Maka, harus kita mengakuinya dan teruskan melabur di tempat yang lebih meyakinkan kita.

Melengahkan masa untuk kaya (Bahagian 1)

Ramai yang gagal dalam kewangan bukan kerana tidak tahu cara  menyimpan, atau tidak tahu cara menjana pendapatan tambahan, tetapi oleh kerana tidak konsisten dengan usaha memperbaiki keadaan kewangan mereka.

Beberapa bulan lepas saya terjumpa seorang sahabat lama saya. Keluhnya “Irfan, aku menyesal sebab tak melabur duit macam kau sejak di universiti lagi. Ni dah 20 tahun kemdian, simpanan aku ciput je..”. Balas saya “Why not kau mula melabur sekarang. Labur la dalam RM500 tiap-tiap bulan”. “ok… ok” jawabnya.

Baru-baru ini, saya terserempak kembali dengannya dan selepas bersembang, saya pun bertanyakan tentang usaha pelaburannya. “So amacam? Dah mula melabur RM500 sebulan?”. Jawabnya pula “Belum lagi. Hujung tahun dah dekat. Aku nak jadikan 2013 tahun mula menyimpan dan melabur. Tu azam baru 2013!” katanya dengan penuh semangat.

Saya pun tak tahu nak cakap apa lagi. Keadaannya yang menyesal kerana tidak mulakan pelaburan sejak 20 tahun dulu, kini pula menunda usaha menyimpan dan melabur untuk beberapa bulan lagi kerana nak tunggu ‘azam baru 2013’.

lazy

Berat saya nak kata, orang sebegini, susah untuk berjaya dalam kewangan. Pertama, tidak sedar pentingnya menjaga kewangan, dan kedua, melengahkan masa untuk mengawal kewangan. Sekiranya ingin menjaga kewangan, tiada alas an lagi perlu diberikan. Masanya adalah sekarang!

Tiada guna tunggu waktu yang sesuai, atau tunggu waktu yang sempurna untuk kita mula memikirkan dan mengambil langkah menjaga kewangan kita selain sekarang.

Minggu lepas saya telah kongsikan mengenai pentingnya “masa” dalam melipatkali gandakan pendapatan kita melalui pelaburan melalui pulangan kompaun (Compound Interest). Kali ini pula saya ingin perkenalkan dengan konsep Pemurataan Kos Ringgit (Ringgit Cost Averaging).

Walaupun bunyinya agak rumit, tetapi maksudnya adalah mudah. Pemurataan Kos Ringgit adalah strategi pelaburan di mana kita melaburkan sejumlah wang secara konsisten setiap bulan. Ertinya, tidak kira sekiranya waktu pulangan pelaburan tinggi, atau rendah, setiap bulan kita teruskan secara konsisten menyimpan sejumlah wang yang tetap, contohnya RM500.

Strategi pelaburan sebegini adalah efektif kerana, kita tidak dapat meramal bagaimana pulangan pelaburan setiap bulan – ada yang turun, ada juga yang naik.Tetapi, dengan menyimpan dan melabur secara konsisten setiap bulan, ia seakan memuratakan risiko pelaburan kita. Kita akan mendapat manfaat pulangan jangka panjang, disamping mengurangkan risiko jangka masa pendek.

Bersambung di: Melengahkan masa untuk kaya (Bahagian 2)