Semalam saya telah kongsikan bagaimana seorang follower saya telah ditipu RM15,000 oleh seorang “founder” yang licik. Yang menunjukkan wang berkepuk-kepuk, kereta mewah dan juga mempergunakan nama Allah ketika mengumpan mangsa.
Susulan dari itu, ramai juga yang bertanyakan…
Apakah perniagaan yang paling mudah untuk dimulakan untuk berjaya?
Sememangnya tiada istilah “mudah” untuk berjaya. Sebab ini juga seseorang itu akan mudah tertipu. Tetapi berikut adalah 3 perkara yang akan “mempermudahkan” kejayaan anda…
Ikuti ketiga-tiganya:
1. Lakukan perniagaan yang anda minat.
Menjalankan perniagaan yang anda minat atau berkaitan dengan bidang anda akan memperudahkan kejayaan anda. Contoh, jika anda minat kucing, jalankan perniagaan yang berkaitan dengan kucing. Ini akan memberi motivasi dan semangat kepada anda secara automatik. Bayangkan, menjalankan perniagaan yang anda suka lakukan – dan InsyaAllah menjana pendapatan!
Pernah tak anda dengar kisah seseorang itu yang memulakan perniagaan kerana “kawan ajak”. Dia tidak minat, tetapi oleh kerana desakan dan paksaan kawan, dia lakukan juga. Sering kali, perniagaan tidak akan berjaya kerana minat tiada.
2. Mulakan perniagaan yang kurang pesaing.
Sebelum memulakan sesuatu perniagaan itu, adakah terlalu ramai pesaing? Sememangnya perniagaan tidak dapat lari dari pesaing. Pesaing TETAP ADA.
Tetapi, adakah terlalu ramai? Fikirkan produk seperti produk kesihatan, produk kecantikan, produk fesyen. Adakah TERLALU ramai pesaing? Bukan tidak boleh berjaya jika menjalankan industri ini. Tetapi jalannya akan semakin sukar dan usaha perlu di 10x gandakan untuk bersaing (dan tak ramai yang sanggup).
Berbalik kepada kisah kucing tadi. Fikirkan pula jika kita minat pada kucing, adakah “cat litter” mempunyai terlalu ramai pesaing? adakah makanan kucing berkualiti mempunyai terlalu ramai pesaing? adakah menjual mainan kucing mempunyai terlalu ramai pesaing? Jawapannya adalah, memang ada pesaing tetapi tidak terlalu ramai.
Memulakan perniagaan yang kurang pesaing akan memudahkan lagi perjalanan anda.
3. Mulakan perniagaan dengan modal yang rendah.
Jangan laburkan modal yang terlalu besar pada peringkat awal. Fikirkan modal kecil dahulu supaya anda dapat belajar selok belok perniagaan. Pemikiran “Lagi besar modal lagi besar untung” adalah pemikiran yang kolot dan salah. Kini zaman internet, perniagaan boleh dimulakan dan kembang dengan modal yang rendah.
Seorang yang saya kenali membeli 1,000 kotak minuman kopi berjumlah RM10,000 dari stokis oleh kerana ingin diskaun yang lebih dan rambang mata melihat bakal keuntungan.
Sedangkan dirinya nak jual 10 kotak kopi pun susah kerana tiada ilmu berniaga! Apa yang terjadi adalah, beratus-ratus stok yang tidak terjual olehnya dan kerugian beribu-ribu ringgit!
Dan kisah ini sering terjadi oleh usahawan-usahawan kita.
Apa kata beli 5 stok minuman kopi sahaja dulu. Dan cuba jual 5 kotak sahaja. Tidak mengapa jika untung kecil pada permulaan. Yang penting ini akan tambahkan ilmu dan pengalaman disamping tidak menggunakan modal yang besar dan kerugian.
Jika berjaya jual 5 kotak kopi, barulah restok dapatkan 10 kotak kopi pula, dan cuba jual 10 kotak kopi. Ini akan memberikan ilmu, pengalaman dan keyakinan untuk restok 20 kotak kopi dan seterusnya!
Inilah yang dinamakan “bootstrap”. Gunakan keuntungan perniagaan untuk roll kembali dan besarkan perniagaan perlahan-lahan.
Jangan terus beli 1,000 kotak kopi, dan sedar-sedar nak jual 10 kotak pun akan mengambil masa 1 bulan 🙁
3 langkah di atas adalah cara mempermudahkan kejayaan perniagaan anda. Mengambil langkah yang lebih berhati-hati dan yang masuk akal.
Latest posts by Irfan Khairi (see all)
- 4 Sebab Video Penting untuk Perniagaan KECIL - 18 July, 2022
- Cara tambah keyakinan diri untuk buat VIDEO! - 8 May, 2022
- Saya TIDAK bermula DARI ZERO kerana…. - 2 September, 2021