Setiba Dubai jam 430 pagi tadi selepas 7 jam dalam penerbangan, dari lapangan terbang antarabangsa Dubai, terus pemandu limo menghantar saya ke apartment yang terletak berhampiran dengan Irfan Khairi Institute of Business Dubai. Sememangnya saya suka mengambil flight malam, kerana apabila tiba di Dubai pagi, boleh lah saya terus ke meeting dan appointment selepas refresh sebentar di apartment.
Di sini, saya tinggal di service suite apartment, di mana perkhidmatannya adalah seperti hotel. Setibanya di lobby apartment tersebut dalam jam 5.30 pagi, mata saya tertumpu pada seorang pekerja pencuci di lobby tersebut. Pekerja tersebut, datang dari Filipina sedang ‘buffer’ lantai untuk mengilatkannya dengan mesin buffer lantai. Cukup dengan pakaian seragam syarikat pencuci serta alat-alat cucian yang lain ditepinya.
Fikiran saya terbawa saya ke 18 tahun yang lalu…
18 tahun lalu, begitulah keadaan saya. Ketika saya belajar di UK, saya tidak mempunyai duit yang cukup untuk mendalami dua ilmu yang cukup saya minat- iaitu ilmu motivasi dan ilmu perniagaan. Walaupun ditaja kerajaan, tajaan tersebut Alhamdulillah hanya cukup untuk yuran universiti, tempat tinggal dan makan minum.
Untuk mendalami ilmu motivasi dan perniagaan, sememangnya diluar skop pembelajaran universiti. Oleh itu, saya perlu mencari wang lebih untuk mencari ilmu tambahan ini. Apakah caranya? Ya, saya bekerja sebagai seorang tukang cuci atau ‘cleaner’ selama 2 tahun sambil belajar.
Pada masa itu, setiap hari selepas solat subuh, saya akan berjalan lebih kurang 3km ke supermarket di mana saya bekerja sebagai cleaner setiap hari sebelum kuliah universiti bermula jam 10 pagi. Saya masih ingat, pada tahun pertama tidak dibenarkan cuti sehari pun.
Bekerja sebagai cleaner selama dua tahun, mengajar saya pelbagai perkara. Maklumlah, kita sebagai tukang cuci akan dipandang sebagai tukang cuci sahaja- pendatang luar pula tu. Kena marah dan tengking oleh supervisor adalah perkara biasa. Tetapi, terpaksa tahan juga oleh kerana ingin mencari wang untuk menambahkan ilmu.
Dua tahun saya bekerja sebagai cleaner tetapi itulah dua tahun yang paling banyak mengajar saya tentang erti kesabaran dengan karenah orang, sabar dalam mencari ilmu, sabar dalam berusaha. Untuk berjaya, kita akan bertemu pelbagai karenah manusia. Untuk berjaya, kita perlu mencari ilmu. Dan untuk berjaya juga, pastinya ilmu sahaja tidak cukup sekiranya tidak berusaha.
Pagi ini, melihat pencuci dari Filipina yang sedang mengilatkan lantai, teringat saya 18 tahun lalu, saya juga pernah dalam keadaan itu. Sebelum memasuki lif apartment, saya senyum dan menegurnya “Hi, how are you?”. Dan pencuci tersebut pun balas senyuman dan bertanya “Fine, have a good day sir!”. Pintu lif tertutup sambil dirinya terus memberi senyuman lagi pada saya.
Dalam hidup, kita tidak tahu di mana kita akan berada setahun akan datang, 5 tahun akan datang, 10 tahun akan datang atau 15 tahun akan datang. 5 tahun selepas saya menjadi tukang cuci, Alhamdulillah saya berjaya mencapai pendapatan RM1,000,000 dari perniagaan Internet. 10 tahun selepas menjadi seorang tukang cuci, Alhamdulillah dapat mendidik dan juga memberi inspirasi kepada orang ramai di Malaysia dan melahirkan paling ramai usahawan-usahwan Internet berjaya di Malaysia. Hari ini, 18 tahun selepas menjadi seorang pencuci, Alhamdulillah tertubuhnya Irfan Khairi Institute of Business Dubai yang kini on track, untuk menjadi business school Internet #1 di Asia dan Dunia.
Jika ditanya pada saya, apakah rahsia kejayaan? Jawapannya ada dalam pengalaman yang saya kongsikan hari ni. Kejayaan perlu mempunyai kesabaran. Kejayaan perlu mempunyai ilmu. Kejayaan juga perlu diusahakan. There is no short cut. Tak kira di mana diri kita berada satu masa dulu, masa depan kita adalah di tangan diri kita sendiri. Bukan orang lain.
Sentiasa rendah diri, tetapi jangan pandang rendah pada diri sendiri. Potensi diri sendiri kita sendiri tidak tahu sekiranya kita tidak terus berusaha mengejar matlamat. Bagaimana hendak mencungkil potensi diri? Mulakan dengan matlamat dan berusaha mencapainya dengan ilmu. Anda akan lebih mengenali potensi sebenar dalam perjalanan tersebut. Ianya bukanlah satu sasaran, tetapi satu perjalanan yang akan membentuk dan memperbaiki diri sendiri.
Hargai segala pengalaman yang kita miliki, tidak kira susah atau senang. Buangkan perasaan ego dan hormati semua insan. Sentiasa berdoa kepada yang Esa supaya apa yang kita usahakan diperkenankan dan bersyukur selalu kerana bersyukur itu akan membuka pelbagai pintu rezeki yang kita tidak sangka-sangkakan. InshaAllah.
Moga perkongsian saya yang agak panjang kali ini memberi manfaat kepada anda, dan saya doakan anda juga akan mencapai apa sahaja matlamat anda satu hari nanti!
Irfan Khairi
Palm Jumeirah
Dubai, UAE
PS: Sekiranya anda ingin sertai program saya, tak perlu datang sampai ke Dubai 😉 kerana yang di Dubai adalah untuk peserta antarabangsa sahaja. Jika di Malaysia, dapatkan maklumat lajut di www.OpenEducation.com.myuntuk program 6 bulan bersama saya membantu anda memulakan dan mengembangkan perniagaan anda ke tahap yang lebih tinggi. Boleh juga hubungi 03-77292277.
Latest posts by Irfan Khairi (see all)
- 4 Sebab Video Penting untuk Perniagaan KECIL - 18 July, 2022
- Cara tambah keyakinan diri untuk buat VIDEO! - 8 May, 2022
- Saya TIDAK bermula DARI ZERO kerana…. - 2 September, 2021
Pengalaman adalah guru yang terbaik, pengalaman buruk memacu kita berusaha lebih keras dan berusaha lebih baik, menjadikan kita lebih baik, salam blogger dari saya di Indonesia