Salman Al-Farisi merupakan salah seorang sahabat karib junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Beliau adalah seorang tokoh yang sangat menyerlah daya kepimpinannya dan amat disayangi oleh Rasulullah s.a.w. lantaran keberanian, keikhlasan serta sifat zuhudnya terhadap kemewahan dan kehidupan duniawi.
Nama penuh Salman Al-Farisi ialah Mabah bin Budzkhasyan bin Mousilan bin Bahbudzan bin Fairuz bin Sahrk Al-Isfahani. Beliau berasal daripada keluarga Zoroastrian yang begitu dihormati dan disegani dari sebuah desa, iaitu Jayyan yang terletak berhampiran Kota Isfahan, Persia (Parsi). Bapanya adalah seorang Dihqan (Ketua Kampung) dan juga merupakan orang terkaya yang memiliki rumah terbesar dan juga kebun kurma yang sangat luas dan banyak hasilnya. Beliau amat disayangi oleh bapanya sehingga beliau telah ditempatkan di sebuah kuil agama Majusi sebagai penjaga api.
Pencarian yang panjang
Namun begitu, Salman tetap tidak merasa tenang dan aman dengan agama yang dianutinya sehingga berlaku pergolakkan jiwa dalam dirinya, lantas mendorong beliau untuk mencari agama baru yang lebih baik dan boleh mendamaikan jiwanya. Dengan hidayah Allah SWT, beliau meneruskan pencarian dan pengembaraannya untuk mencari agama baru yang lebih baik dan menepati kehendak hatinya. Kisah perjalanan kehidupan Salman Al-Farisi untuk mendapatkan hidayah Allah SWT amatlah panjang.
Sebelum memeluk Islam, beliau asalnya adalah seorang yang beragama Majusi, berbangsa Parsi dan kemudian memeluk agama Nasrani. Beliau sanggup pergi ke negeri Syam dan kemudian ke Yathrib dan seterusnya ke Madinah, semata-mata untuk mencari kebenaran dalam agamanya. Sewaktu mula-mula beliau memeluk agama Islam, beliau adalah seorang hamba, namun demikian Rasulullah s.a.w. telah menganjurkan kepada para sahabat supaya memerdekakannya.
Salman Al-Farisi sangat terkenal sebagai seorang mukmin yang kuat beribadat, bersifat rendah diri dan tiada langsung tertarik dengan kehidupan dan kemewahan duniawi. Beliau amat terkenal dengan sifat taqwa dan zuhudnya. Beliau juga merupakan seorang tokoh sahabat nabi yang banyak meriwayatkan hadis-hadis daripada Rasulullah s.a.w. kerana beliau adalah salah seorang sahabat yang banyak bergaul dengan baginda Rasulullah s.a.w. sendiri.
Pernah suatu ketika juga beliau tinggal serumah, bersama dengan Abu Darda’ yang terkenal sebagai seorang ahli sufi, yang mempunyai kebiasaan melakukan ibadah pada waktu malam dan shaum diwaktu siang. Oleh yang demikian Salman telah melarangnya dari keterlaluan beribadah seperti itu lantas menegur Abu Darda’ dengan penuh hikmah dan lemah lembut.
“Sesungguhnya kedua matamu mempunyai hak atas dirimu, demikian pula keluargamu mempunyai hak atas dirimu, Di samping engkau shaum, berbukalah dan di samping melakukan solat tidurlah.”
Peristiwa ini telah sampai ke pendengaran Rasulullah s.a.w. maka baginda pun bersabda :
“Sungguh, Salman telah dipenuhi dengan ilmu.”
Sepanjang hayatnya, Salman Al-Farisi sempat menjalani kehidupan bermula daripada zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah kepada zaman pemerintahan Saidina Uthman bin Affan, iaitu khalifah Islam yang ketiga. Baginda Rasulullah s.a.w. sering memuji-muji Salman Al-Farisi lantaran kecerdasan dan ketinggian ilmu yang dimilikinya, sebagaimana beliau memuji agama dan budi pekerti serta akhlaknya yang luhur, ketika orang Anshar dan Muhajirin ingin mendapatkannya.
Rasulullah s.a.w. pun bersabda : “Salman adalah golongan kami, Ahlul Bait.” Demikianlah betapa kasihnya Rasulullah s.a.w. kepada Salman Al-Farisi.
[Bersambung di “Salman Al-Farisi (Bahagian 2)”]
Latest posts by Irfan Khairi (see all)
- 4 Sebab Video Penting untuk Perniagaan KECIL - 18 July, 2022
- Cara tambah keyakinan diri untuk buat VIDEO! - 8 May, 2022
- Saya TIDAK bermula DARI ZERO kerana…. - 2 September, 2021